Tahukah anda, pensel dan kertas adalah tidak diperlukan dalam memulakan langkah mengajar anak menulis?

Pasti perkara ini menimbulkan tanda tanya di minda, bagaimanakah cara untuk mengajar anak menulis tanpa menggunakan pensel dan kertas.

Ikuti perkongsian Puan Masturah A. Latib atau lebih mesra dengan panggilan Teacher Mas ini, tentang tips dan langkah-langkah untuk mengajar anak menulis tanpa menggunakan pensel.

AJAR ANAK MEMBACA DAN MENULIS DENGAN KAEDAH FONIK

Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk mengajar anak membaca dan menulis. Salah satunya adalah dengan menggunakan kaedah fonik.

Dua perkara utama untuk mengaplikasikan kaedah fonik ini untuk mengajar anak-anak membaca dan menulis adalah :-

  • Perkenalkan bunyi huruf kepada anak, bukan nama huruf.
  • Cara mengajar anak membaca adalah dengan menggabung bunyi, bukan mengeja.

Untuk mengajar anak membaca, ianya memerlukan persediaan awal iaitu bermula dengan kesedaran fonemik.

Begitu juga dengan mengajar anak menulis, ia perlu bermula dengan pra-penulisan.

Foto Kredit : listvi.com

MATERIAL TERBAIK UNTUK AKTIVITI PRA-PENULISAN

Sebelum anak mula memegang pensel dan menulis di atas kertas, kita perlu pastikan bahawa mereka sudah bersedia dari pelbagai aspek terutamanya dari segi kemahiran mengecam bentuk, kemahiran motor kasar dan kemahiran motor halus.

Untuk permulaan, anak perlu tahu dan boleh mengenalpasti bentuk-bentuk yang ada dalam sesuatu simbol huruf. Oleh itu, sejak usia bayi lagi, mereka sudah boleh diperkenalkan dengan pelbagai jenis bentuk dan bermain pelbagai jenis permainan bagi membantu perkembangan kemahiran motor mereka.

Jika tidak, anak mungkin tidak dapat menulis dengan baik disebabkan kemahiran motor halus / motor kasar yang masih lemah atau tidak mengetahui bentuk yang diperlukan untuk menulis sesuatu huruf.

Ibu ayah tidak perlu menunggu anak berusia 5 atau 6 tahun untuk mula mengajar mereka menulis. Anak sudah boleh diberi pendedahan pra-penulisan seawal usia mereka sebagai persediaan untuk menulis.

Yang pasti, untuk mengajar anak menulis, ianya tidak memerlukan mereka untuk menulis di atas kertas dengan menggunakan pen, pensel, pensel warna, krayon, pen marker, ‘magic pen’  dan sebagainya.

Antara material terbaik yang paling diminati dan digemari anak-anak dalam aktiviti pra-penulisan ini adalah dengan bermain ‘playdough’  (tanah liat).

Foto Kredit : steemit.com

KENAPA GUNA ‘PLAYDOUGH’ ?

Dengan bermain ’playdough’, aktiviti seperti menggentel, mencubit, menguli, melenyek, dan memicit adalah aktiviti yang sangat bagus untuk merangsang perkembangan kemahiran motor kasar serta motor halus anak. Ini kerana, ia dapat menguatkan otot tangan dan jari dalam membantu anak untuk memegang pensel kelak.

Selain itu, bermain ‘playdough’  turut membantu perkembangan kemahiran koordinasi mata tangan yang mana ianya berkait rapat dengan kemahiran membaca.

Dengan menggunakan ‘playdough’, anak bukan sahaja dapat bermain sambil meningkatkan kemahiran motor halus dan motor kasar mereka, tetapi sekaligus dapat belajar tentang bunyi huruf dan membentuk simbol bunyi huruf sebelum mula membaca dan menulis.

Foto Kredit : libertateapentrufemei.ro

3 LANGKAH AWAL SEBELUM MULA AKTIVITI PRA-PENULISAN

Sebelum memulakan aktiviti pra-penulisan, dedahkan anak dengan 3 perkara berikut terlebih dahulu mengikut kaedah fonik :-

  1. Perkenalkan bunyi huruf bersama asosiasi.
  2. Beri gambaran tentang bentuk yang terlibat untuk simbol bagi bunyi huruf tersebut (contohnya : bunyi /i/ mempunyai tiang dari atas turun ke bawah dan ada titik di bahagian atasnya).
  3. Perlihatkan simbol bunyi huruf dengan menggunakan kad / kertas. (Selitkan dengan aktiviti menyentuh simbol bagi huruf tersebut di atas kad dengan menggerakkan jari mengikut bentuk huruf. Seeloknya, gunakan kertas pasir kerana ia mempunyai tekstur yang lebih kasar untuk merangsang sensori anak).

Foto Kredit : cambiando.es

3 LANGKAH AKTIVITI PRA-PENULISAN TANPA GUNA PENSEL

Aktiviti pra-penulisan amat penting untuk memastikan anak-anak dapat menguasai kemahiran menulis dengan baik. Setelah selesai memperkenalkan kepada anak tentang bunyi dan simbol huruf, anak sudah boleh memulakan aktiviti pra-penulisan.

Pra-penulisan terbahagi kepada 3 peringkat berikut dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan perlu dibuat secara berperingkat untuk memastikan keberkesanannya.

LANGKAH 1 : ‘TRACING’ (MENEKAP)

Langkah pertama adalah dengan melakukan aktiviti ‘tracing’. Melalui aktiviti ‘tracing’, anak perlu diberi kertas atau kad yang mempunyai bentuk huruf.

Minta anak untuk membentuk simbol bunyi huruf tersebut dengan menggunakan ‘playdough’  dan kemudian lekatkan ‘playdough’ di atas huruf itu.

Sebagai contoh, anak dikehendaki membentukkan simbol bagi bunyi /i/ seperti yang tertera pada kad huruf. Anak perlu melekatkan ‘playdough’  di atas bentuk huruf ini daripada atas ke bawah dan kemudian letakkan titik di bahagian atas garisan menegak ini. Minta anak untuk menyebut bunyi bagi simbol huruf ini beberapa kali sepanjang melakukan aktiviti ‘tracing’.

LANGKAH 2 : ‘COPYING’ (MENIRU)

Untuk langkah kedua iaitu aktiviti ‘copying’, kita hanya perlu letakkan kad simbol huruf di hadapan anak dan minta anak untuk membuat bentuk huruf tersebut dengan menggunakan ‘playdough’.

Sebagai contoh, anak dikehendaki membuat bentuk bagi bunyi /i/ sebanyak mungkin dalam tempoh masa 2 minit. Sambil anak membentuk simbol tersebut, minta anak sebutkan bunyi kepada simbol yang sedang dibuat.

Tanpa mengira saiz atau kekemasan bentuk huruf yang dibuat, beri pujian dan penghargaan kepada anak atas kejayaan mereka membentuk simbol yang banyak bagi sesuatu bunyi huruf itu dalam tempoh 2 minit tadi.

LANGKAH 3 : ‘DICTATION’ (IMLAK)

Untuk langkah ketiga iaitu aktiviti ‘dictation’, anak sudah tidak memerlukan kad simbol huruf lagi. Kita hanya perlu memberi arahan kepada anak untuk membentuk beberapa simbol bunyi huruf yang telah dipelajari sebelum ini.

Sebagai contoh, anak dikehendaki membentuk simbol bagi bunyi /a/, /i/ dan /u/ dengan menggunakan ‘playdough’.

Sentiasa berkomunikasi dengan anak untuk menyebut bunyi huruf yang sedang dibentuk bagi memastikan mereka telah mengecam dan mengingati bunyi bagi simbol huruf yang dibentukkan itu.

AKTIVITI DAN MATERIAL LAIN

Antara aktiviti dan material lain yang boleh digunakan dalam pra-penulisan adalah seperti contoh berikut :-

  • ‘Tracing’  dengan menampal ‘sticker’  bersaiz kecil di atas simbol huruf.
  • ‘Copying’  dengan melakar simbol huruf di atas garam kasar atau ‘kinetic sand’.
  • ‘Dictation’   dengan melukis simbol huruf menggunakan jari dan ‘water colour’ (finger hand painting).

Foto Kredit : imgdealix.pw

BERI ANAK PENDEDAHAN AWAL

Walau apa jua kaedah membaca dan menulis yang dipilih oleh ibu ayah, beri pendedahan awal kepada anak. Pilih pendekatan yang bersesuaian dalam mengajar mereka membaca seiring dengan menulis.

Walaupun anak masih belum boleh menulis, sekurang-kurangnya mereka sudah tahu langkah-langkah untuk membentuk sesuatu huruf dan ianya pasti memudahkan mereka untuk menulis huruf tersebut dengan menggunakan pensel kelak.

Walaupun anak masih belum boleh membaca, sekurang-kurangnya mereka sudah dapat mengecam serta tahu simbol dan bunyi huruf, sekaligus akan memudahkan mereka untuk menggabung bunyi dan membaca nanti.

Semoga kita semua dapat meluangkan masa bersama anak setiap hari untuk melakukan pelbagai aktiviti bermanfaat, dalam usaha membantu perkembangan anak secara menyeluruh sebagai persediaan untuk mereka membaca dan menulis kelak.

Penulis: Eyza Faizah

Graduan dalam bidang psikologi di salah sebuah universiti tempatan. Berpengalaman dalam bidang pengurusan dan professional serta pengacaraan majlis. Kini bergelar 'work at home mom' (WAHM) - berkhidmat untuk keluarga dan menulis artikel online. Beliau boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.