Golongan mualaf atau saudara baru merupakan golongan yang baru memeluk Islam, iaitu mengakui beriman dengan Allah serta melaksanakan ajaran Islam sama ada imannya dhaif ataupun imannya sudah kuat.

Mualaf juga merujuk kepada golongan bukan Islam yang cenderung dan boleh dijinakkan hatinya kepada Islam.

Kebanyakan golongan mualaf berhadapan dengan cabaran penerimaan daripada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling. Bahkan banyak dalam kalangan mualaf yang mendapat tentangan hebat daripada keluarga sendiri lantaran tidak bersetuju dengan pertukaran agama, kepercayaan dna sebagainya.

Sedangkan apabila mereka telah menerima Islam sebagai agama, maka mereka juga sudah  menjadi sebahagian ‘saudara’ seislam dan seharusnya golongan ini dibantu dan  tidak dibiarkan.

Jadi, bagaimana untuk membantu golongan ini? Berikut terdapat beberapa cara yang barangkali sesuai sebagai usaha  menyokong dan menyantuni mereka.

1. Mengukuhkan Akidah Melalui Pembelajaran

Golongan mualaf baru mengenali Islam dan pelbagai perkara perlu dikenali dan dipelajari. Jadi memudahkan mereka jika wujud kelas awal untuk mualaf dengan lebih banyak seperti di masjid, surau oleh NGO (Badan Bukan Kerajaan).

Hal ini sekaligus mereka mempunyai tempat merujuk sebarang persoalan tentang kehidupan harian mahupun tentang ibadah dalam Islam.

• Bantuan Pekerjaan

Boleh membantu mereka dari aspek modal dan peralatan bagi  memulakan perniagaan. Pihak NGO juga boleh membantu suai padan pekerjaan mereka sesuai dengan kelulusan dan kemahiran yang mereka miliki.

• Pemberian Zakat Bulanan

Zakat bulanan boleh dihulurkan kepada golongan ini sebelum mereka mampu berdikari bagi  menampung kehidupan seharian. Ini secara tidak langsung mengajar mereka tentang konsep zakat yang dipratikkan dalam ekonomi Islam.

2. Mengajak Masyarakat Mendekati Mualaf

Masyarakat perlu sedar, golongan mualaf adalah saudara seakidah dan perlu didekati. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan supaya golongan mualaf berasa tidak disisihkan. Mengeratkan silaturahim dengan ziarah-menziarahi, membuat sesi dialog tentang Islam, khidmat masyarakat, program motivasi, majlis kenduri dan sebagainya.

Pendek kata, mualaf mestilah diajak untuk menyertai masyarakat, bukannya disisihkan mengikut bangsa asal mereka.

3. Membantu Keperluan Asas

Apabila memeluk Islam, ada golongan mualaf kehilangan tempat tinggal akibat dipulaukan ahli keluarga dan masyarakat. Menyediakan rumah transit sementara dan keperluan seperti makanan, pakaian dapat mengurangkan beban emosi mereka. Sudah tentu apa-apa saja jenis bantuan sangat  membantu mereka memulakan hidup baru.

4. Perkahwinan Campur

Penganut Islam digalakkan untuk menjalinkan hubungan pernikahan dengan mualaf. Hal ini membantu dan memudahkan bimbingan kepada mereka. Gaya hidup Islam juga akan lebih mudah diamalkan oleh golongan mualaf. Sekaligus mengukuhkan pegangan agama kerana ada didikan dan sokongan dari pasangan.

5. Wujudkan Badan Khas Membantu Mualaf

Satu badan khas perlu disediakan bagi memudahkan golongan saudara baru ini mendapatkan bantuan dan merujuk sebarang persoalan pada bila-bila masa pun. Badan khas ini perlu sentiasa bersama mualaf bagi mendekati dan meningkatkan ilmu dan taraf hidup mereka.

Penutup: Umat Islam itu Semuanya Bersaudara

Islam tidak membezakan penganutnya berdasarkan warna kulit, bahkan sangat mengecam umatnya bersikap rasis. Sedarlah, beza antara kita hanyalah amal dan takwa.

Jadi, golongan mualaf perlu diberikan ruang menyesuaikan diri dengan gaya hidup Islam. Adalah menjadi tanggungjawab semua agar golongan mualaf tidak berasa tersisih dan dianaktirikan sebaliknya diberi bantuan dan perhatian yang baik.

Jika anda menyukai artikel ini, pasti anda juga menyukai perkongsian kami yang lain tentang;

Rujukan

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.