Ketahui cara belajar bersangka baik dengan Allah.

Bersangka baik dengan Allah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Nak-nak lagi tatkala kita sedang diuji dengan ujian yang maga berat, atau didatangi dengan ujian yang bertimpa-timpa. Bersabar dan bersangka baik dengan Allah adakalanya lebih mudah untuk diungkap dengan kata-kata namun tak mudah untuk hati melakukan dengan penuh redha dan ikhlas. Jika anda sedang mengalami keadaan ini, jangan sesekali salahkan diri sendiri atau merasakan bahawa diri anda adalah seorang pendosa. Ini kerana bersangka baik dengan Allah bukanlah sesuatu yang mudah.

Bersangka baik dengan Allah memerlukan latihan dan keazaman diri yang kuat. Walau pun ianya bukan sesuatu yang mudah namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita lakukan.

Nak tak kalau kami kongsikan cara berbaik sangka dengan Allah yang boleh kita amalkan untuk melatih diri agar sentiasa bersangka baik dan percaya bahawa Allah sebaik-baik perancang dan Allah tidak akan membebankan hambanya lebih daripada kemampuan dan daya upaya hambanya itu.

cara bersangka baik dengan allah

Sumber: Siraplimau

1. Banyakkan beristighfar

Apabila kita beristighfar, bukan sahaja Allah akan menghilangkan satu titik hitam dalam hati kita malah kita juga akan mendidik hati agar sentiasa yakin dengan perancangan Allah. Apabila kita yakin bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang, pastinya kita akan percaya bahawa ujian yang datang dari Allah adalah yang terbaik untuk kita.

2. Banyakkan berselawat ke atas nabi

Selain beristighfar, membanyakkan selawat ke atas nabi juga adalah satu lagi cara untuk kita mendidik hati agar bersangka baik dengan Allah. Apabila jiwa terasa terlalu lelah semasa diuji, basahkan lidah dengan selawat ke atas nabi. Insya Allah hati akan berasa lebih tenang dan kita akan bersangka baik dengan Allah.

"

3. Banyakkan membaca Al-Quran

Membaca Al-Quran adalah salah satu terapi jiwa yang dapat merawat duka-lara dan nestapa yang sedang kita alami. Jika hati berasa tidak tenang semasa diuji, banyakkan mmebaca Al-Quran. Jika terasa seolah-olah hampir rebah akibat diuji, ambil masa untuk bersendiri dan membaca kitab suci Al-Quran. Dengan membaca Al-Quran jiwa kita akan berasa lebih tenang dan secara automatik kita akan faham bahawa Allah uji kerana dia sayangkan kita dan dengan ini kita akan menjadi seorang hamba yang bersangka baik dengan penciptanya.

4. Banyakkan solat sunat

Solat sunat adalah satu lagi cara bersangka baik dengan Allah yang boleh kita amalkan. Jika selama ini kita Cuma biasa melakukan solat wajib, apa kata kita rajinkan diri untuk melakukan solat sunat yang lain seperti solat sunat sebelum subuh, solat sunat dhuha, solat sunat hajat, dan sebagainya. Ketahuilah bahawa apabila dahi bersujud kepada Allah, itulah masanya doa kita akan didengari di langit dan diaminkan oleh para malaikat.

cara bersangka baik dengan allah

Sumber: E-solat

5. Banyakkan membaca sirah nabi

Jika kita rasa ujian yang kita sedang alami adalah terlalu berat, apa kata kita baca sirah nabi dan lihat semula betapa hebat ujian yang Allah berikan kepada para nabi. Dengan cara ini kita akan insaf dan sedar bahawa seteruk mana ujian yang kita alami, ada orang lain yang diuji dengan lebih berat.

6. Ingat semula nikmat yang Allah dah beri kepada kita

Dengan cara mengingati semula semua nikmat yang Allah berikan kepada kita selama ini, insya Allah kita akan redha dan mampu untuk bersangka baik dengan Allah semasa diuji.

7. Ujian adalah cara untuk Allah dekatkan kita dengan dia, kerana nikmat boleh membuatkan kita lupa kepadanya

Cara terakhir untuk mendidik hati agar bersangka baik dengan Allah ialah dengan cara sentiasa ingatkan diri bahawa ujian adalah cara untuk Allah dekatkan kita dengan dia. Ini kerana apabila diuji kita akan sentiasa ingat pada Allah, banyak melakukan ibadat dan banyak berdoa kepadanya sedangkan apabila hidup kita senang dan penuh dengan nikmat, kita mungkin akan terlupa kepada Allah dan semakin jauh daripadanya. Kami ingin kongsikan satu kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah.

Pada zaman Rasulullah, ada seorang sahabat yang sangat miskin. Walau pun miskin dia selalu solat berjemaah dengan Rasulullah. Rasulullah perasan bahawa sebaik sahaja selesai bersolat dia akan tergesa-gesa untuk pulang ke rumah. Lalu Rasulullah bertanya,“Mengapakah kamu begitu tergesa-gesa untuk pulang setiap kali selepas selesai bersolat?”

Lalu sahabat menjawab, Ya Rasulullah aku sangat miskin, aku berkongsi pakaian solat ini dengan isteriku, dan rumahku jauh, jika terlambat pulang , isteriku pasti terlepas waktu solat. Ya Rasulullah , mohonlah kepada Allah untuk menjadikan aku kaya, agar akau dapat meluangkan masa untuk mendengar kuliahmu”

Lalu Rasulullah berdoa pada Allah. Akhirnya sahabat itu menjadi senang dan kaya-raya. Namun dia semakin sibuk dengan urusan dunia sehingga  tiada masa untuk berjemaah dengan Rasulullah di masjid seperti dahulu. Nah! Inilah buktinya bahawa ada masanya nikmat dunia boleh menyebabkan kita menjadi lalai dan semakin jauh dari Allah. Oleh itu sentiasa percaya bahawa kita yang diuji adalah insane terpilih. Allah mahu kita sentiasa dekat dengannya dan tidak hanyut dengan dunia.

Kesimpulan

Itulah dia info tentang cara belajar bersangka baik dengan Allah yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang doa mudah dapat kerja, adab ziarah kubur dan doa murah rezeki.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.