Dalam agama Islam, berdoa adalah salah satu ibadah. Berdoa bermaksud memohon, memanggil dan meminta kepada Allah, Zat Yang Maha Agung lagi Maha Mendengar. Doa merupakan senjata dan perisai orang mukmin.

Kita sering berdoa kepada Allah apabila dilanda kesedihan, menyatakan perasaan syukur dan gembira, memohon sesuatu dan mendoakan orang lain. Begitulah dekatnya diri kita dengan Allah apabila sedang berdoa.

Jika kita berdoa dengan bersungguh-sungguh, ikhlas, penuh rendah diri dan tawaduk, in shaa Allah doa kita itu akan dimakbulkan oleh Allah. Jika masih belum dimakbulkan, jangan berhenti berdoa kerana Allah Maha Mendengar.

Dalam artikel ini, penulis akan kongsikan doa Neelofa untuk murah rezeki yang sering diamalkan oleh pelakon, pengacara dan usahawan terkenal di Malaysia iaitu Neelofa. Doa ini dikatakan merupakan amalan harian beliau untuk murah rezeki.

Apabila selebriti terkenal berkongsi sesuatu yang baik, pastinya ia akan menjadi ikutan dan contoh kepada para peminat mereka. Sesuatu yang baik itu tidak salah untuk dikongsikan bukan?

Semuanya bermula apabila seorang pengguna Twitter dengan nama @maiadnan berkongsi sebuah klip video melalui 1 tweet. Dalam video itu, Neelofa telah meminta orang yang mendengar doa yang disampaikan untuk menulisnya semula.

Doa itu tentang amalan berdoa yang beliau amalkan setiap hari bertujuan untuk dimurahkan rezeki. Video yang dikongsikan itu telah mendapat lebih 78 ribu retweets dan 76 ribu likes pada ketika itu. Jom baca doa yang diamalkan oleh Neelofa ini.

Ya Allah,

Yang Maha Pemurah,

Yang Maha Merancang,

Berikan aku rezeki seluas langit-Mu,

Rezeki yang berkat,

Rezeki yang tak pernah putus seperti air zam-zam,

Rezeki yang bertebaran di seluruh pelusuk dunia sepertimana air zamzam-Mu yang betebaran di seluruh dunia,

Rezeki yang tak pernah putus,

Rezeki yang membawa kebaikan,

Rezeki yang membawaku ke syurga-Mu,

Rezeki yang tak disangka-sangka,

Rezeki yang menjangkau akal fikiran,

Rezeki yang boleh membantu untuk aku berdakwah di negara Islam dan membantu membawa pendakwah-pendakwah ke seluruh dunia untuk mereka berdakwah,

Rezeki yang boleh membawa aku, ibu bapa, keluarga, sahabat, guru-guru dan kenalan aku ke syurga-Mu Ya Allah.

Aamin.

Dalam Islam terdapat beberapa adab ketika berdoa kepada Allah. Kita dituntut untuk mengamalkannya. Hikmah beradab ketika berdoa ialah supaya setiap doa kita dimakbulkan.

Jika mengabaikannya, kita tergolong dalam orang yang melampaui batas dalam berdoa dan kemungkinan doanya tidak dimakbulkan.

Adab Berdoa dalam Islam

Menurut laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, terdapat adab berdoa yang dianjurkan oleh Rasulullah iaitu:

  • Memulakan doa dengan pujian kepada Allah.
  • Kemudian, berselawat kepada Rasulullah.
  • Hendaklah memilih waktu yang diistilahkan mustajab seperti pada hari Jumaat, doa pada 2 per 3 malam dan sebagainya.

Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, terdapat 8 ada-adab ketika berdoa iaitu:

  • Berdoa dalam keadaan diri masih berwuduk dan bersih daripada sebarang kotoran, hadas dan najis.
  • Menghindari diri daripada sesuatu yang ditegah dan dilarang oleh Islam sama ada pada makanan, minuman, pakaian atau pekerjaan.
  • Sunat menghadap ke arah kiblat.
  • Memohon ampun dengan merendahkan diri dan mengakui kesalahan diri atas dosa yang telah dilakukan sebelum berdoa. Caranya ialah memperbanyak istighfar.
  • Memulakan doa dengan membaca ‘Bismillah’ dan ucapan memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah.
  • Berdoa dan memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Anda boleh menggunakan bahasa ibunda bagi lebih memahami segala maksud doa yang sedang dipohon.
  • Berdoa dengan penuh tawaduk, ikhlas, khusyuk dan merendah diri.
  • Mendahulukan doa dan permintaan untuk diri sendiri terlebih dahulu sebelum berdoa untuk orang lain sama ada suami atau isteri, ibu bapa, saudara-mara, kenalan dan saudara seagama.

Cara Mendapatkan Doa yang Mustajab

Menurut, Menteri Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Dato’ Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ada 3 cara untuk memustajabkan doa. Antaranya ialah:

#1 Berdoa dengan yakin dan penuh harapan

Apabila berdoa, kita perlulah meminta kepada Allah dalam keadaan bersangka baik agar permintaan itu dikabulkan. Malahan, kita mestilah berdoa dalam keadaan penuh harapan dan takut doa itu ditolak.

#2 Memuji Allah sebelum berdoa

Kita perlulah mengutamakan memuji Allah sebelum meminta sebarang hajat. Misalnya dengan membaca surah al-Fatihah. Ini kerana dalam surah tersebut, terdapat 5 pujian daripada ayat pertama hinggalah ayat ke-5 kepada Allah. Kemudian, pada ayat ke-6, ia diikuti dengan doa yang pertama.

#3 Istiqamah dalam berdoa

Ketika berdoa, kita mestilah menyerahkan jiwa dan raga kepada Allah. Janganlah berdoa apabila ada hajat sahaja tetapi melupakan Allah apabila permintaan itu tertunai.

Seperti sabda Rasulullah menurut Riwayat al-Tirmizi (3382):

“Siapa yang suka Allah terima doanya ketika kesukaran dan kepayahan, hendaklah dia membanyakkan doa pada masa kemewahan dan kesenangan.”

Kesimpulannya, walau apapun hajat kita, yang penting hati kita tunduk kepada Allah dan buang jauh-jauh ego. Cepat atau lambatnya, bukanlah urusan kita. Yang paling penting, jangan hanya ingat Allah ketika dalam kesusahan dan kesempitan. Apabila senang, kita melupakan Sang Pencipta.

Jika ingin diluaskan rezeki, anda boleh cuba membaca doa Neelofa yang telah dikongsikan di atas. Sesungguhnya Allah Itu Maha Kaya, Maha Penyayang dan Maha Pemurah, tidak mustahil doa-doa kita akan sampai ke langit.  Kita perlulah berusaha untuk mencapai impian, kemudian bertawakal kepada Allah.

Jangan lupa terus berdoa tanpa putus. Suatu hari nanti, doa kita itu pasti diperkenankan. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”(Surah Ghaafir 60)

Jemput juga baca doa murah rezeki dan punca kurang rezeki

Rujukan

 

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.