Kita selalu dengar ungkapan ‘Sakit Penghapus Dosa’. Namun, tahukah kita dari mana datangnya ungkapan ini? Pastinya dari hadith Nabi SAW iaitu:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلا وَصَبٍ وَلا هَمٍّ وَلا حُزْنٍ وَلا أَذًى وَلا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Maksudnya: Daripada Abu Sa’id Al Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (HR Bukhari, Muslim, at-Tirmizi & Ahmad)

Imej via seizeyours

Penyakit yang Allah berikan adalah salah satu daripada banyaknya ujian dalam hidup kita di dunia ini. Tujuannya adalah untuk menguji kesabaran dan keimanan kita terhadap Tuhan Yang Menciptakan.

Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلً

Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Mulk: 2)

Oleh sebab itu, redha dan sabarlah dengan ujian penyakit yang Allah berikan. Selain daripada berikhtiar untuk berubat, kita juga disarankan mengamalkan doa-doa memohon kesembuhan daripada Allah SWT.

"

Sekiranya kita diuji dengan penyakit demam sekalipun, berdoalah kepada Allah SWT agar diberi kesembuhan daripada penyakit tersebut. Antara doa sembuh penyakit yang boleh kita amalkan adalah dengan beberapa potong ayat al-Quran:

 

1) Surah at-Taubah, ayat 14

وَيَشْفِ صُدُورَ قَوْمٍ مُّؤْمِنِينَ

Maksudnya: “…Dan Dialah (Allah) melegakan (menyembuhkan) hati-hati orang yang beriman.”

2) Surah Yunus, ayat 57

وَشِفَآءٌ لِّمَا فِى الصُّدُوۡرِۙ

Maksudnya: “…Dan penyembuh (penawar) bagi apa yang (penyakit-penyakit yang berada) di dalam dada…”

3) Surah an-Nahli, ayat 69

يَخرُجُ مِن بُطونِها شَرابٌ مُختَلِفٌ أَلوانُهُ فيهِ شِفاءٌ لِلنّاسِ

Maksudnya: “…Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat penawar bagi manusia…”

4) Surah al-Isra’, ayat 82

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan kami turunkan daripada al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman…”

5) Surah asy-Syua’ra, ayat 80

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

Maksudnya: “Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.”

6) Surah Fussilat, ayat 44

قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ هُدًى وَشِفَآءٌ

Maksudnya: “…Katakanlah, Al-Quran itu ialah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman…”

Selain daripada berdoa dengan ayat-ayat al-Quran, terdapat juga zikir yang kita boleh amalkan untuk memohon kesembuhan penyakit daripada Allah SWT.

 

Selawat Syifa

Imej via anjungsyifa

Maksudnya: “Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad s.a.w. yang menjadi penyembuh kepada hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya.”

Walaupun selawat ini pernah menjadi kontroversi kerana terdapat bait zikirnya yang dikatakan seperti syirik, namun ulasa Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr. Harun Din ini sedikit sebanyak memberi pencerahan kepada kita.

Menurut Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din, di dalam kamus Bahasa Arab yang masyhur iaitu Kamus al-Munjid, perkataan ‘Tib’ adalah bermaksud ‘ilaj’ iaitu di dalam bahasa Melayu bermakna ‘ubat’ atau ‘penawar’. Ia bukan bermaksud ‘Syafi’ iaitu menyembuhkan. Dengan itu kalau diterjemahkan: “Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW yang menjadi penawar kepada hati-hati”.

Iktikad kita perlu diperbetulkan supaya tidak syirik kepada Allah SWT. Allah SWT sahaja yang boleh memberi kesembuhan kepada segala penyakit yang kita hadapi. Kesembuhan hanya milik Allah SWT. Semoga Allah SWT sentiasa menjauhkan kita daripada syirik kepadaNya.

 

Doa Buat Orang Sakit

Doa dan zikir sembuh penyakit bukan setakat boleh dibaca oleh pesakit sahaja, malah ada doa-doa yang Nabi SAW ajarkan kepada kita untuk dibaca ketika melawat orang sakit iaitu:

1) Doa Penyembuh

Dari Ibnu Abbas R.A pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa barang siapa yang melawat orang sakit (yang belum sampai ajalnya), bacakanlah doa ini sebanyak 7 kali disebelahnya, maka Allah akan menyembuhkan penyakitnya:

أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ

Maksudnya: “…Aku mohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang Agung semoga Dia menyembuhkanmu.” (HR. Abu Daud)

2) Doa Agar Dihilangkan Penyakit

Dari Aisyah RA bahawa apabila Rasulullah SAW menjenguk orang sakit atau ada orang yang sakit datang kepada Baginda, Baginda akan berdoa:

أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya: Hilangkanlah penyakit wahai Tuhan sekalian manusia, sembuhkanlah wahai Zat Yang Maha Menyembuhkan, tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan kesembuhan dariMu, iaitu kesembuhan yang tidak membawa rasa sakit.” (HR. Bukhari dan Muslim)

 

Adab Melawat Orang Sakit

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang menziarahi saudaranya kerana Allah nescaya penyeru (malaikat) akan berseru kepadanya: Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga.” (HR Tirmizi)

Imej via alustaz

Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat muakadah, iaitu sunat yang sangat dituntut. Antara adab-adab yang perlu kita amalkan ketika menziarahi orang sakit adalah:

1) Niat ikhlas kerana Allah SWT. Menziarahi orang yang sakit itu atas dasar kasih sayang, tanggungjawab dan juga persaudaraan. Bukan kerana inginkan publisiti, pujian dan seumpamanya.

2) Melakukan ziarah itu pada waktu yang sesuai. Jangan terlalu lama melakukan ziarah tersebut kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesusahan dan mengganggu orang yang sakit.

3)  Ucapkanlah kata-kata yang elok, mententeramkan dan menggembirakan hati orang yang sakit. Jangan sesekali melemahkan semangat orang yang sakit sekalipun keadaannya sangat uzur.

4) Disunatkan untuk mendoakan orang sakit supaya cepat sembuh. Antara doa yang boleh dibaca adalah seperti yang telah di tulis dalam artikel ini.

5) Jangan bercerita tentang perkara buruk atau aib orang sakit kepada orang lain.

6) Bagi orang sakit yang tiada harapan sembuh atau sedang nazak, dituntut ke atas ahli keluarga atau ahli terdekat untuk mengajarkannya ucapan Lailahaillallah agar kalimah tauhid tersebut menjadi ucapan terakhir sebelum dia meninggal dunia. Sunat untuk kita membaca Surah Yaasin dengan suara yang dapat didengar oleh orang lain, dan surah Ar-Raad dengan suara perlahan yang hanya didengar oleh diri sendiri.

 

Kesimpulan

Setiap penyakit yang wujud di muka bumi ini Allah turunkan bersama-sama dengan penawarnya.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً

Maksudnya: “Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.”  (HR Bukhari)

Oleh itu, jika kita ditimpa dengan ujian penyakit, wajib bagi kita berusaha untuk sembuh dengan ilmu perubatan yang Allah ilhamkan kepada para doktor. Namun begitu, kita juga wajib berdoa memohon kesembuhan daripada Allah SWT juga. Ini kerana, pentingnya iktikad dan keyakinan kita bahawa hanya Allah SWT sahaja yang Maha Menyembuhkan. Berdoa dan bertawakallah kepada Allah SWT setelah kita berusaha untuk menyembuhkan segala penyakit yang kita hadapi.

 

Rujukan:

 

Artikel Menarik Lain:

 

Penulis: Aniuna

Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.