Jom ketahui kisah doa Abu Darda serta manfaat doa Abu Darda yang terkenal.

Siapakah Abu Darda RA?

Nama beliau adalah Uwaimir bin Amir bin Malik bin Zaid bin Qais bin Umayyah bin Amir bin Adi bin Ka`b bin Khazraj bin al-Harits bin Khazraj. Ada yang berpendapat, namanya adalah Amir bin Malik, sedangkan Uwaimir adalah timangannya. Namun, orang ramai mengenalinya dengan nama Abu Darda kerana beliau memiliki seorang anak perempuan bernama Darda. Isterinya pula dikenali sebagai Ummu Darda.

Beliau termasuk dalam kalangan sahabat yang akhir masuk Islam. Namun, beliau juga termasuk dalam kalangan sahabat yang tinggi keislamannya. Beliau seorang faqih, pandai dan bijaksana. Nabi saw mengatakan, “Uwaimir adalah hakimul ummah (seorang yang sangat bijaksana).” (Rujuk Usudul ghabah 5/97)

Abu Darda

Imej via ik

Rasulullah saw telah mempersaudarakan Abu Darda dengan Salman al-Farisi ra.

Abu Juhaifah Wahb bin Abdillah ra berkata, “Nabi saw mempersaudarakan Salman al-Farisi dan Abu Darda ra.”

Setelah itu Salman ra mengunjungi Abu Darda ra. Dia melihat Ummu Darda ra memakai pakaian kerja dan tidak mengenakan pakaian yang bagus. Salman ra bertanya kepadanya, “Wahai Ummu Darda, kenapa engkau berpakaian seperti itu?” Ummu Darda ra menjawab, “Saudaramu Abu Darda ra sedikit pun tidak memberi perhatian terhadap isterinya. Di siang hari dia berpuasa dan di malam hari dia selalu solat malam.”

Lantas datanglah Abu Darda ra dan menghidangkan makanan kepadanya seraya berkata, “Makanlah (wahai saudaraku), sesungguhnya aku sedang berpuasa.” Salman ra menjawab, “Aku tidak akan makan hingga engkau makan.” Lantas Abu Darda ra pun ikut makan.

Tatkala malam telah tiba, Abu Darda ra pergi untuk mengerjakan solat. Akan tetapi, Salman ra mengatakan, “Tidurlah.” Dan dia pun tidur. Tak lama kemudian dia bangun lagi dan hendak solat, dan Salman ra berkata lagi kepadanya, “Tidurlah.” Dia pun tidur lagi.

Ketika malam sudah lewat Salman ra berkata kepada Abu Darda ra, “Wahai Abu Darda, sekarang bangunlah.” Maka keduanya pun mengerjakan solat.

Setelah selesai solat, Salman ra berkata kepada Abu Darda ra, “Wahai Abu Darda, sesungguhnya Rabbmu mempunyai hak atas dirimu, badanmu mempunyai hak atas dirimu dan keluargamu (isterimu) juga mempunyai hak atas dirimu. Maka, tunaikanlah hak mereka.”

Selepas itu, Abu Darda ra mendatangi Rasulullah sawdan menceritakan kejadian tersebut kepadanya.

Nabi saw menjawab, “Salman benar.” (HR Bukhari)

Abu Darda RA Seorang Pedagang Yang Hartawan

Sebelum memeluk Islam, Abu Darda ra adalah seorang pedagang yang hartawan. Malah, sebelum memeluk Islam, beliau menghabiskan sebahagian daripada umurnya hanya untuk aktiviti perniagaan sahaja.

Namun, setelah hidayah Allah swt sampai kepadanya dan beliau memeluk Islam, beliau sedar bahawa harta bukanlah segala-galanya. Beliau menyatakan, “Aku tidak mengharamkan jual beli. Namun, secara peribadi, aku lebih menyukai diriku termasuk dalam golongan orang yang mana perniagaan dan jual beli itu tidak melalaikannya dari zikir kepada Allah.”

harta

Imej via syahrizal

Abu Darda sangat terkesan dengan ayat-ayat al-Quran yang membantah “Orang yang mengumpul-ngumpulkan harta dan menghitung-hitungnya.” (Surah al-Humazah, Ayat 2-3). Ia juga sangat terkesan dengan sabda Rasulullah saw, “Yang sedikit tetapi mencukupi adalah lebih baik, daripada yang banyak namun merugikan.”

Oleh sebab itulah, beliau kerap menangisi mereka yang lalai dengan kekayaan. Sehinggakan beliau berkata, “Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari hati yang bercabang-cabang.” Orang lain bertanya, “Apakah yang dimaksud dengan hati yang bercabang-cabang itu?” Abu Darda ra menjawab, “Memiliki harta benda di setiap lembah!”

Bagi Abu Darda ra, harta hanyalah alat bagi kehidupan, tidak lebih daripada itu. Manusia harus berusaha untuk mencari rezeki yang halal dengan bersederhana. “Jangan kau makan, kecuali yang baik. Jangan kau usahakan kecuali yang baik. Dan jangan kau masukkan ke rumahmu, kecuali yang baik!” ujarnya.

Di Antara Pesanan Abu Darda RA

Abu Darda adalah seorang ahli hikmah yang besar pada zamannya. Banyak kata-katanya yang mengandungi nasihat yang berguna untuk kita semua. Antaranya:

#1 Sentiasa Ingat Mati

mati

Imej via pinterest

Beliau mengatakan, “Seandainya kalian mengetahui apa yang akan kalian lihat setelah kematian, pasti kalian tidak akan berselera untuk makan, minum, dan berteduh di dalam rumah. Kalian akan keluar menuju tempat-tempat yang tinggi dan memukul-mukul dada kalian serta menangisi diri sendiri. Sungguh, aku lebih senang menjadi sebatang pohon yang dikunyah kemudian ditelan. (Az-Zuhd, Imam Ahmad/ Ash-Shahabah)

Abu Darda ra juga mengatakan, “Siapa yang banyak mengingat kematian, maka ia akan sedikit gembira dan jarang berbuat hasad.”

#2 3 Perkara Yang Membuatnya Ketawa dan Menangis

Abu Darda ra berkata, “Ada 3 hal yang membuatku ketawa dan 3 hal yang membuatku menagis.

3 hal yang membuatku tertawa iaitu:

Pertama: Orang yang cita-citanya adalah duniawi, padahal kematian selalu mengintainya;

Kedua: Orang yang lalai dari kematian, padahal kematian tidak pernah lalai kepadanya; dan

Ketiga: Orang yang berlalu banyak tertawa, ia tidak tahu apakah Allah Azza wa Jalla murka atau redha kepadanya.

Adapun 3 hal yang membuatku menangis adalah:

Pertama: Dahsyatnya kiamat;

Kedua: Terputusnya amal, dan

Ketiga: Keadaanku di hadapan Allah Azza wa Jalla, apakah akan dimasukkan ke syurga atau neraka.”

#3 Sentiasa berzikrullah

zikrullah

Imej via buletinonline

“Mahukah kamu sekalian, aku khabarkan amalan-amalan yang terbaik di sisi Allah dan paling meninggikan darjat kalian? Lebih baik dari memerangi musuh dengan menghentam batang leher mereka, lalu mereka pun menebas batang lehermu, dan malah lebih baik dari emas dan perak?”

Para pendengarnya lalu bertanya, “Apakah itu wahai, Abu Darda’?”

Abu Darda menjawab, “Zikrullah!”

Doa Abu Darda RA

Doa Abu Darda ra amat terkenal dan sering diajar untuk diamalkan agar ia menjadi pelindung diri, keluarga dan harta daripada mala petaka. Malah kisah doa Abu Darda ra juga diceritakan di dalam Risalah Ayat Manzil yang dijual di kedai-kedai buku dipasaran. Kisahnya adalah:

Talha ra meriwayatkan: “Seorang telah datang kepada Abu Darda ra dan memberitahu bahawa rumah beliau terbakar.

Abu Darda ra menjawab: “Tidak, rumah saya tidak terbakar”. Kemudian seorang lagi datang dan memberitahu bahawa rumahnya terbakar. Kemudian, ada seorang lagi datang dan memberitahu perkara yang sama dan Abu Darda ra memberi jawapan yang sama.

Pada kali ke-empat, seorang datang dan memberitahu Abu Darda ra, “Wahai Abu Darda! Api telah naik tinggi tetapi apabila sampai ke rumah tuan, api telah padam”.

Abu Darda ra menjawab: “Saya yakin bahawa Allah swt tidak akan membakar rumah saya. Rasulullah saw telah mengajarkan saya suatu doa yang mana jika dibaca selepas Subuh, si pembaca akan terselamat dari semua bala dan musibah hingga ke petang. Saya telah membaca kalimah-kalimah ini selepas subuh.

Oleh itu saya yakin rumah saya tidak akan terbakar.”

(Riwayat Ibnu Sunni. Di petik dari Al Azkar Imam Nawawi)

Lafaz doa yang diamalkan oleh Abu Darda ra ialah:

Doa Abu Darda RA

Imrj via pokok2u

Maksudnya, Ya Allah! Engkaulah Tuhanku. Tidak ada Tuhan melain Engkau. Hanya kepadaMu aku bertawakal. Engkaulah Tuhan ‘Arasy Yang Maha Agung. Apa sahaja yang dikehendaki Allah pasti terjadi, dan apa saja yang tidak dikehendakiNya pasti tidak akan terjadi.

Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Aku sedar bahawa Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dan sesungguhnya ilmu Allah meliputi segala sesuatu.

Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan diriku dan kejahatan sekalian yang melata, yang segala roh mereka dalam gengamanMu. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus (adil).

Kritikan Terhadap Doa Abu Darda RA

Kisah riwayat yang menceritakan tentang doa Abu Darda ini sebenarnya mendapat kritikan daripada para ulama kerana terdapat kecacatan pada orang yang menyampaikan kisah ini.

Kisah ini direkod oleh ramai ulama dalam kitab-kitab mereka. Antaranya, Ibnus Sunni dalam kitab `Amal Yaum wal Lailah, Ath-Thabrani dalam kitab ad-Du’a, Al-Kharathi dalam kitab Makarimul Akhlak dan Al-Baihaqi dalam Kitab al-Asma’ was Sifat.

Mereka merekodkan dari jalan Hudbah bin Khalid, dia berkata, “al-Aghlab bin Tamim pernah bercerita kepada kami dari al-Hajjaj bin Furafishoh, dari Thalqi.”

Manzil

Imej via twitter

Namun begitu, dalam buku-buku Ayat Manzil bahasa Melayu yang dicetak, disebut “Talha ra meriwayatkan…” sedangkan tidak ada sahabat Nabi saw yang bernama Talha. Yang ada cumalah, Thalhah bin Ubaidillah dan Thalqi bin Habib.

Oleh itu, menurut Ustaz Syihabudin Ahmad, beliau berkeyakinan bahawa mereka mahu menyandarkan kepada Thalqi yang meriwayatkan kisah ini. Tetapi mungkin berlaku kesilapan dari segi tulisan atau percetakan. Kesilapan ini adalah biasa berlaku dalam dunia penerbitan.

Kisah ini mempunyai kecacatan pada orang yang menyampaikannya iaitu al-Aghlab bin Tamim. Menurut Imam al-Bukhari dalam kitab At-Tarikh al-Kabir, “Aghlab bin Tamim dia ialah seorang yang Munkarul Hadis.” Bagi Imam al-Bukhari, Munkarul Hadis menunjukkan orang itu sangat lemah periwayatannya. Al-Bukhari menyandarkan Munkarul Hadis kepada orang yang tidak layak diambil riwayat daripadanya.

Manakala menurut Ibnu Hibban dalam kitab Al-Majruhin, “Aghlab bin Tamim ialah seorang Munkarul Hadis. Dia menceritakan sesuatu dari orang yang sangat dipercayai sedangkan mereka tidak berkata demikian. Sehingga terkeluar dari batasan untuk berhujah dengan cerita itu kerana banyaknya kesalahannya.”

Kesimpulan

Abu Darda ra merupakan sahabat Nabi saw yang sangat tinggi keislamannya. Malah, beliau juga merupakan ahli hikmah yang besar pada zamannya. Kata-katanya sentiasa terselit mutiara nasihat yang indah-indah agar kita sentiasa kembali kepada Islam dan mengingati Allah swt.

Walaupun terdapat kekurangan dalam periwayatan kisah Doa Abu Darda, namun tidak menjadi kesalahan untuk kita beramal dengan doa ini. Ini kerana, ia tidak bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Syaratnya, kita tidak boleh menyandarkan doa ini kepada Abu Darda apatah lagi kepada Rasulullah saw. Dan kita juga tidak boleh berkeyakinan dengan kelebihan doa ini.

doa

Imej via ceritapenyejukhati

Kita bebas untuk berdoa dan memohon apa sahaja kepada Allah swt. Yang paling penting adalah kita berdoa dalam keadaan yakin bahawa doa kita akan terkabul. Seperti mana Nabi saw bersabda,

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Maksudnya, “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan, dan ketahuilah bahwa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai.” (HR at-Tirmizi)

 

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Doa Abu Darda yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

 

Rujukan:

  1. Dunia Nabi
  2. Ustaz Syihabudin
  3. Republika
  4. Al-Manhaj

 

 

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.