Syeikh Abdurrahman bin Abdul Aziz bin Muhammad As-Sudais Al-Najdi atau lebih dikenali sebagai Syaikh Abdurrahman As-Sudais adalah salah seorang Imam Masjidil Haram yang paling terkenal kerana kisahnya semasa kecil. Kisah Syaikh Sudais Imam Masjidil Haram ini adalah bukti bahawa betapa mustajabnya doa seorang ibu dan membuktikan kepentingan seorang ibu untuk menjaga kata-kata yang dikeluarkan kepada anak terutamanya semasa sedang marah.

Jom kenali siapa Syaikh Sudais

Nama sebenar beliau ialah Syeikh Abdurrahman bin Abdul Aziz bin Muhammad As-Sudais Al-Najdi namun beliau lebih dikenali sebagai Abdurrahman As-Sudais. Beliau dilahirkan oleh ibunya pada 10 Februari 1960 di Riyadh, Arab Saudi. Beliau adalah anak kelahiran Arab Saudi dan dibesarkan di negara penuh barakah tersebut. Menurut rekod, Abdurrahman As-Sudais  berasal dari kabilah Anza dari salasilah Abu Abdul Aziz bin Abdul Aziz bin Abdullah bin Abdul Aziz bin Muhammad bin Abdullah.

Kisah Syaikh Sudais waktu kecil

Sumber: Madaninews

Abdurrahman As-Sudais dilantik menjadi Imam dan Khatib Masjidil Haram, Mekah al-Mukarramah merangkap sebagai Ketua Umum Pengurus Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada tahun 1404H, Beliau mengimamkan solat buat pertama kalinya di Masjidil Haram pada 22 Sya’aban 1404H untuk solat Asar. Pada 15Ramadan 1404H beliau menyampaikan khutbah di Masjidil Haram buat pertama kalinya dan menjadi sejarah penting dalam kelendar islam.

Beliau terkenal di seluruh dunia dengan bacaan Al-Quran yang lunak dan sangat menjiwai setiap ayat yang terdapat di dalam kitab suci Allah itu. Malah tajwid bacaan beliau juga sangat sempurna sehinggakan umat islam di seluruh dunia terpesona dengan bacaan beliau. Beliau merupakan salah seorang imam dan khatib Masjidil Haram yang paling disenangi ramai.

Kisah Abdurrahman As-Sudais semasa kecil yang menjadi inspirasi

Menurut apa yang diceritakan oleh ibunya, semasa kecil Syaikh Abdurrahman As-Sudais adalah seorang yang sangat nakal sehingga menyebabkan ibunya selalau marah dan mati akal, tidak tahu lagi bagaimana caranya untuk membetulkan kenakalan anak kesayangannya itu. Kalau orang kita, istilah yang sesuai untuk kenakalan Syaikh Abdurrahman As-Sudais semasa kecil adalah pada tahap tak makan saman di mana walau pun dimarah tetap tak memberikan kesan.

Pada satu hari ada tetamu datang ke rumah untuk melawat mereka sekeluarga. Seperti biasa ibunya akan sibuk di dapur menyediakan makanan buat tetamu yang akan sampai. Semasa ibunya sibuk di dapur, Syaikh Abdurrahman As-Sudais sedang bermain di luar. Rumah mereka berada di kawasan padang pasir maka beliau bermain pasir sendirian. Tanpa disedari ibunya, Syeikh Abdurrahman As-sudais pun masuk ke dalam rumah sambil menggengam pasir di tangan dan memasukkan pasir ke dalam makanan yang disediakan oleh ibunya buat para tetamu.

Alangkah terkejutnya ibu beliau apabila mendapati bahawa makanan yang dihidangkan untuk para tetamunya telah bercampur dengan pasir. Ibunya berasa sangat marah dan tidak dapat mengawal perasaan lalu memarahi Syaikh Abdurrahman As-Sudais di hadapan para tetamu dengan ayat berikut: “Abdurrahman As-Sudais, awas kamu! Besar nanti kamu akan menjadi Imam Masjidil Haram.”

Sejak hari itu, setiap kali memarahi anak kesayangannya itu ibunya akan mendoakan dengan doa yang sama iaitu semoga anaknya itu akan menjadi Imam Masjidil Haram. Di antara ayat yang selalu digunakan untuk memarahi anaknya ialah: “Wahai Abdurrahman, hafalkanlah al-Quran. Insya-Allah, engkau akan menjadi Imam Masjidil Haram kelak.”

Kisah Syaikh Sudais waktu kecil

Sumber: Konsultasisyariah

Apabila sering dimarah dengan ayat yang sama akhirnya hati Syaikh Abdurrahman As-Sudais terdetik untuk mula belajar dan menghafal Al-Quran. Beliau menjadi sangat bersemangat untuk menghafal Al-Quran dan semasa kecilnya beliau banyak menghabiskan masa di Masjidil Haram untuk memerhatikan tingkah-laku para imam dan khatib yang bertugas di Masjidil Haram. Berkat doa ibunya, sejak kecil lagi Syaikh Abdurrahman As-Sudais sudah membiasakan diri di Masjidil Haram. Semasa berada di sana beliau selalu bertanya kepada diri sendiri soalan berikut:

“Apakah aku juga boleh menjadi Imam Masjidil Haram?”

“Apakah aku boleh menghafaz Al-Quran tanpa sebarang kekeliruan?”

“ Apakah aku boleh membaca Al-Quran tanpa sebarang kesalahan bacaan?”

Mulai hari itu, Syeikh Abdurrahman As-Sudais nekad untuk menghafaz al-Quran dan mula berguru dengan ramai para ulama qiraat di Riyadh. Di antara para ulama yang pernah menjadi guru beliau termasuklah:

  • Syeikh Abdurrahman bin Abdullah Alu Faryan
  • Syeikh Al-Muqri Muhammad Abdul Majid Zakir
  • Syeikh Muhammad Ali Hasan.

Beliau menghafaz 30 Juzuk Al-Quran semasa berumur 12 tahun. Sebelum dilantik sebagai Imam Masjidil Haram, Syeikh Abdurrahman As-Sudais berkerja sebagai seorang Pembantu Professor di Universiti Riyadh dan dalam masa yang sama merupakan seorang tenaga pengajar di Akademi Al-Dawa Al-Ilmi.

Kesimpulan dari kisah Syeikh Abdurrahman As-Sudais

Kesimpulan yang boleh kita dapat dapat dari kisah Syeikh Abdurrahman As-Sudais ialah doa seorang ibu adalah sangat mustajab dan tiada hijabnya. Setiap yang keluar dari mulut seorang ibu akan terus diangkat ke atas dan sampai kepada Allah seperti sabda Rasulullah:

“Ada tiga doa yang diterima Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya.”

( Hadis Riwayat Tirmizi, Ahmad dan Daud )

Di antara Kata Mutiara Syeikh Abdurrahman As-Sudais yang paling terkenal ialah:

“Berakhlaklah dengan akhlak al-Quran, sepertimana riwayat Aisyah r.a, ‘Akhlak Rasulullah adalah al-Quran’. Seterusnya, amalkan al-Quran sehingga nilai-nilai al-Quran hidup di tengah-tengah masyarakat. Segala permasalahan hendaklah dirujuk dengan al-Quran dan berubatlah dengannya.”

Kisah Syaikh Sudais waktu kecil

Sumber: Rajeena

Itulah dia perkongsian tentang kisah Syaikh Sudais yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang cara menghormati ibu bapa, tanggungjawab anak terhadap ibu bapa dan doa ibu bapa

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.