Bagaimanakah cara solat jamak dan qasar berserta dengan bacaan niat yang perlu dibaca selepas solat?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan panduan lengkap solat jamak dan qasar yang perlu anda tahu.

Rukhsah solat ketika bermusafir

Solat Jamak

Ketahui cara mudah solat jamak dan qasar.

Nabi Muhammad SAW bersabda;

“Solat itu adalah tiang agama. Sesiapa yang mendirikannya, maka ia mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka dia meruntuhkan agama.” – (Hadis Riwayat Baihaqi)

Begitulah pentingnya solat itu sehingga Allah SWT tetap mewajibkan ianya didirikan meskipun berada dalam perjalanan atau sebagainya.

Cuma cara solat itu diberi sedikit ruksah atau kelonggaran bersesuaian dengan situasi sebagai musafir. Konsep ini sebenarnya mengajar kita bahawa solat itu wajib dilakukan tidak kira dalam apapun situasi tetapi pada masa yang sama ianya menjadi mudah.

Pasti kita tidak asing lagi dengan solat jamak dan qasar? Ianya sangat ‘popular’ dalam kalangan mereka yang kerap bermusafir dan sering mengembara.

Jadi, apakah solat jamak? Dan apa pula qasar?

Solat Jamak

Solat Qasar

Solat Jamak

‘Qasar’ berasal daripada perkataan Arab iaitu ‘qasara’ yang bermaksud ‘memendekkan’ atau ‘tidak memanjangkan’.

Dari sudut fikah, ia bermaksud solat fardhu empat rakaat yang dipendekkan menjadi dua rakaat, iaitu solat zuhur, asar dan isyak.

Allah SWT berfirman mengenai pemendekkan solat yang bermaksud;

“Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidak mengapa kamu mengqasarkan sembahyang (mu), jika kamu takut diserang orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh nyata bagimu.” – (Surah an-Nisa: 101)

Terdapat hadis yang yang menyebut tentang memendekkan solat (maksudnya):

“Daripada Aisyah RA berkata: Allah mewajibkan solat dua rakaat, selepas itu dicukupkannya menjadi empat rakaat dan dibiarkan solat ketika musafir seperti pertama kali diwajibkan (dua rakaat).” – (Hadis Riwayat Muslim)

Ibn Abbas berkata:

“Allah mewajibkan solat atas lisan (agama) Nabi kamu ketika mukim sebanyak empat rakaat dan ketika bermusafir dua rakaat, manakala ketakutan satu rakaat.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Solat Jamak

Syarat qasar solat

Namun, mengqasar solat tidak boleh dilakukan sewenangnya, ianya mestilah mempunyai syarat-syarat tertentu. Berikut adalah syarat sah mengqasarkan solat fardhu;

  1. Ketika dalam perjalanan atau sedang bermusafir.
  2. Jarak perjalanan sekurang-kurangnya sejauh dua marhalah atau 80.64 km.
  3. Perjalanan tidak bertujuan maksiat atau bercampur dengan urusan maksiat.
  4. Perlu berada dalam perjalanan selama solat ini dilakukan.
  5. Tidak tiba di kediaman sendiri atau tiba ke destinasi.
  6. Mesti melepasi sempadan pekan atau bandar tempat tinggal.
  7. Solat yang diqasarkan adalah solat tunai dan bukan solat qada. Solat tunai adalah solat yang dilakukan pada waktunya ketika dalam perjalanan.
  8. Solat yang diqasarkan adalah solat empat rakaat iaitu zuhur, asar, dan isyak.
  9. Berniat qasar ketika takbiratulihram.
  10. Tidak menjadi makmum kepada mereka yang bersolat penuh atau sempurna empat rakaat.
  11. Tidak boleh juga menjadi makmum kepada imam yang tidak diketahui niatnya sama ada qasar atau penuh,
  12. Tidak berniat untuk tinggal atau menetap di tempat yang dituju selama empat hari atau lebih. Tidak termasuk hari pergi dan kembali.
  13. Jika tidak pasti tempoh masa perjalanan akan selesai iaitu sama ada empat hari atau lebih, harus diqasarkan solat sehingga 18 hari tidak termasuk hari pergi dan kembali.
Solat Jamak

Lafaz niat qasar

Contoh niat solat qasar adalah seperti berikut:

 “Sahaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat qasar tunai kerana Allah Taala.”

Solat jamak

Solat Jamak

Dari sudut bahasa, ‘jamak’ adalah perkataan Arab yang bermaksud ‘menghimpunkan’ atau ‘mengumpulkan sesuatu yang berselerak’ atau ‘mengarang kitab’ atau ‘menyusun huruf’.

Dari sudut istilah pula, jamak bermaksud menghimpunkan dua waktu solat fardhu dengan melakukannya dalam satu waktu. Jamak terbahagi kepada jamak takdim dan jamak takhir.

Jamak Takdim adalah menunaikan solat yang kedua dalam waktu yang pertama iaitu asar ditunaikan dalam waktu zuhur dan isyak didirikan dalam waktu maghrib.

Solat jamak disyariatkan ketika Perang Tabuk iaitu pada tahun 7 Hijrah. Muaz bin Jabal telah berkata:

“Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam Perang Tabuk dan Baginda bersolat zuhur dan asar bersama (jamak) dan maghrib dan isyak bersama.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Seperti juga solat qasar, solat jamak juga diharuskan bagi mereka yang memenuhi syarat. Berikut syarat bagi melakukan jamak takdim:

  1. Tertib – ditunaikan dahulu solat yang pertama, kemudian diikuti dengan solat kedua. Contohnya, dahulukan zuhur kemudian asar atau dahulukan maghrib sebelum isyak.
  2. Niat untuk menghimpunkan solat kedua ke dalam waktu solat pertama.
  3. Segera tunaikan solat yang kedua sesudah selesainya solat yang pertama tanpa memisahkannya untuk satu tempoh yang panjang.
  4. Masih dalam perjalanan ketika melakukan solat yang kedua.

Jamak takhir pula adalah melewatkan solat yang pertama untuk ditunaikan dalam waktu yang kedua. Contohnya, zuhur didirikan dalam waktu asar dan maghrib dilakukan dalam waktu isyak.

Anas bin Malik berkata:

“Apabila Rasulullah SAW berangkat sebelum matahari condong, Baginda akan melewatkan solat zuhur ke dalam waktu solat asar, kemudian Baginda berhenti (dalam perjalanan) lalu menjamakkan kedua-duanya. Jika condong matahari sebelum Baginda berangkat, Baginda akan menunaikan solat zuhur terlebih dahulu kemudian baru bertolak.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Berikut merupakan syarat menunaikan jamak takhir:

  1. Niat untuk melewatkan solat pertama ke dalam waktu solat kedua sebelum berakhirnya waktu solat pertama.
  2. Masih dalam perjalanan ketika melakukan kedua-dua solat.

Secara ringkasnya, solat jamak hanya boleh dilakukan untuk solat berikut:

  1. Solat zuhur dan asar dalam waktu zuhur
  2. Solat zuhur dan asar dalam waktu asar
  3. Solat maghrib dan isyak dalam waktu maghrib
  4. Solat maghrib dan isyak dalam waktu isyak

Cara menunaikan solat jamak dan qasar

Solat jamak boleh dilakukan sama ada bersama-sama qasar atau tanpa qasar. Solat jamak tanpa qasar bermaksud menunaikan solat penuh. Jamak tanpa qasar adalah seperti berikut:

  1. Zuhur empat rakaat dan asar empat rakaat
  2. Maghrib tiga rakaat dan isyak empat rakaat

Contoh niat solat zuhur dengan asar;

“Sahaja aku solat fardhu zuhur empat rakaat dihimpunkan kepadanya asar tunai kerana Allah Taala.”

Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu asar empat rakaat jamak taqdim berserta zuhur tunai kerana Allah Taala.”

Jamak berserta qasar pula memendekkan dan menghimpunkan dua solat dalam satu masa iaitu:

  1. Zuhur dua rakaat dan asar dua rakaat
  2. Maghrib tiga rakaat dan isyak dua rakaat

Contoh bagi jamak berserta qasar bagi solat maghrib dan isyak. Solat maghrib tidak boleh dipendekkan kepada dua rakaat. Hanya solat empat rakaat sahaja yang boleh dipendekkan kepada dua rakaat sebagaimana dinyatakan sebelum ini.

Contohnya;

“Sahaja aku solat fardhu maghrib tiga rakaat dihimpunkan kepadanya isyak tunai kerana Allah Taala.”

Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu isyak dua rakaat qasar jamak taqdim berserta maghrib tunai kerana Allah Taala.”

Jika jamak takhir berserta qasar, contoh niatnya adalah seperti di bawah:

Contoh: Solat zuhur dengan asar;

“Sahaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat qasar dihimpunkan kepada asar kerana Allah Taala.”

Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu asar dua rakaat qasar tunai kerana Allah Taala.”

Dalam menunaikan jamak dan qasar dalam solat, seseorang musafir itu harus memastikan beberapa hal penting ini;

  1. Antara dua sembahyang jamak tidak boleh dipisahkan dengan jarak yang sangat lama. Selepas salam, teruskan solat yang kedua dengan hanya diselangi oleh iqamat sahaja. (Solat jamak dengan satu kali azan dan dua kali iqamat)
  2. Orang yang melakukan solat qasar tidak boleh berimamkan orang yang solat sempurna (tamam).
  3. Apabila seseorang itu sudah sampai ke kawasan permulaan dia bertolak tadi, selesailah jamak dan qasarnya dan tidak boleh bersolat secara qasar dan jamak lagi.
  4. Apabila bermusafir kerana sesuatu maksiat, ianya tidak diharuskan solatjamak dan qasar.
  5. Bagi mereka yang hendak mengerjakan jamak takhir, disunatkan untuk berniat lebih awal. Tidak semestinya berniat di waktu akhir.
  6. Hendaklah tentu dan pasti tujuan destinasi. Jika tidak,  tidak boleh melakukan jamak atau qasar.

Namun, selain daripada musafir, ada beberapa atas alasan terdapat halangan dan keuzuran lain yang dibolehkan untuk mendirikan jamak dan qasar ini, seperti kesibukan yang terlampau, sakit uzur, banjir dan lain-lain, iaitu;

  1. Perawat atau doktor yang sedang membedah pesakit. Contohnya masa pembedahan yang lama.
  2. Orang yang takut kepada musuh seperti dalam medan perang.
  3. Pesakit kronik yang sedang dirawat seperti, rawatan hemodialisis dan sebagainya.
  4. Bidan yang bimbang kelewatannya akan memudaratkan anak dan ibu yang melahirkan.
  5. Perempuan yang menaiki bas dalam perjalanan jauh, dan bimbangkan keselamatannya  jika turun dari bas.
  6. Wanita yang dalam istihadah yang menyukarkannya solat.

Jadi, terpulanglah kepada individu sama ada mahu memendekkan solat bersama-sama jamak atau tidak. Ini kerana menghimpunkan solat atau jamak adalah tidak digalakkan sekiranya ada masa tetapi lebih baik mengqasarkan solat walaupun anda mempunyai masa untuk bersolat penuh dalam perjalanan.

Sebenarnya, golongan yang  bermusafir telah diberikan banyak keringanan lain sama ada dalam perjalanan singkat atau pun panjang selain kelonggaran qasar dan jamak. Ini menunjukkan Islam agama yang mudah dan tidak membebankan umatnya.

Dengan itu, sambil meneroka alam Allah yang luas ini, kita masih boleh menjalani kewajipan agama tanpa terjejas sedikitpun. Maka tiada alasan untuk kita menunaikan kewajipan ini.

Selain dari cara solat jamak ini, anda juga boleh baca artikel tips kami yang lain berkenaan panduan solat seperti:

Sumber:

  1. Niat Solat Jamak & Qasar (Cara Jamak Zohor & Asar). Taqwa.my
  2. Niat & Panduan Solat Jamak Qasar Zohor Asar (Takdim & Takhir). Taqwa.my
  3. Al-Kafi #926: Perkiraan Hari Masuk dan Hari Keluar Dalam Hukum Solat Musafir (Jamak dan Qasar). Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis: Anas Haikal

Suka mengembara dan sukakan aktiviti penulisan. Berharap dapat berkongsi ilmu bermanfaat dengan para pembaca di Bidadari.My.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.