Mencari tips dan petua cara mengubati gout? Gout ialah sejenis penyakit metabolik yang menyerang kawasan sendi tulang apabila terkumpulnya kristal  yang menyebabkan keradangan. Sendi yang terlibat akan membengkak dan memberikan kesakitan serta kekakuan pada kawasan yang terjejas. Lokasi yang paling biasa berlakunya gout ialah sendi di bahagian kaki, khususnya di ibu jari kaki. Kawasan sendi lain yang mungkin diserang gout ialah lutut, siku, buku lali, pergelangan tangan, atau mana-mana sendi badan.

Penyakit gout sering dilaporkan dalam kalangan lelaki usia pertengahan dan wanita yang menopause atau putus haid. Masalah kesihatan ini terjadi disebabkan pengumpulan asid urik yang membentuk kristal di kawasan sendi dan tisu penghubung.

Doktor dari Tamil Nadu, India, Dr. Sabari Rajan dan Dr. Shibina menjelaskan bahawa penyakit gout ini semakin banyak berlaku disebabkan perubahan pemakanan, masalah obesiti, gejala metabolik, dan peningkatan umur. Sejak dua dekad kebelakangan ini, kes gout bertambah dua kali ganda yang dikaitkan dengan perubahan diet pemakanan.

Artikel ini akan membincangkan mengenai gout dan cara mengubati gout yang berkesan supaya pesakit tidak diserang gout pada masa akan datang.

Punca Gout

Sekumpulan penyelidik dari Hospital Universiti Cooper, New Jersey, Amerika Syarikat telah menyenaraikan punca berlakunya penyakit gout, antaranya:

  • Diet tinggi gula
  • Pengambilan protein makanan laut berlebihan
  • Obesiti
  • Kencing manis
  • Minuman beralkohol
  • Kesan sampingan ubatan tertentu

Paras asid urik yang tinggi akan menyebabkan pembentukan kristal gout ini. Oleh itu, kandungan paras asid urik yang normal dan perlu dikekalkan dalam tubuh ialah di bawah kepekatan 6.0 mg/Dl.

Cara Mengubati Gout

Menurut Rees et al. yang menerbitkan kajian ulasan mengenai rawatan gout pada tahun 2014 di National Review of Rheumatology, cara mengubati gout memfokuskan penyingkiran kristal sodium urate iaitu kristal yang menyebabkan keradangan pada sendi gout.

Pencegahan dari segi mengubah gaya hidup merupakan langkah terbaik, namun pesakit yang menghidapi penyakit gout ini masih boleh diubati dan diuruskan untuk kelangsungan hidup yang lebih baik dan selesa.

Berikut merupakan antara langkah cara mengubati gout yang boleh dibahagikan kepada 3 fasa:

  1. Rawatan serangan gout akut
  2. Pencegahan serangan gout akan datang
  3. Terapi hipourisemik
Imej via Bidadari

Rawatan dengan Ubatan NSAID

Ubatan NSAID atau ubatan anti keradangan bukan steroid ini sesuai digunakan bagi pesakit gout yang tidak mempunyai masalah penyakit komorbiditi yang lain. Ubatan ini sangat tidak sesuai bagi pesakit yang menghidapi penyakit buah pinggang kerana boleh menyebabkan buah pinggang rosak teruk dan menaikkan tekanan darah tinggi.

Antara jenama ubatan NSAID yang digunakan ialah indomethacin, celecoxib, dan rofecoxib (jualannya ditarik balik di pasaran US).

Colchicine

Pesakit gout yang menghidapi penyakit buah pinggang pada tahap sederhana selamat menggunakan ubatan colchicine ini berbanding NSAID, dengan mematuhi dos yang disyorkan. Ubatan ini dihasilkan daripada esktrak pokok lili sepsis Colchicum autumnale yang telah digunakan secara tradisi untuk merawat gout sejak 2000 tahun yang lalu.

Namun, pengambilan ubatan ini akan mendatangkan kesan sampingan seperti diarrhea, kekejangan pada otot abdomen, dan loya.

Dos pengambilan ubatan ini juga sangat perlu dipantau oleh doktor perubatan kerana ubatan ini boleh mendatangkan kesan toksik.

Suntikan Steroid

Bagi serangan gout yang akut (belum kronik), suntikan steroid adalah sangat membantu dalam mengurangkan keradangan dalam tempoh 24 jam. Pendekatan ini tidak begitu berkesan sekiranya terdapat banyak sendi yang diserang gout.

Rawatan ini juga sangat selamat dan boleh diberikan kepada pesakit gout yang mempunyai penyakit buah pinggang. Pengambilan ubatan corticosteroid secara oral (makan) juga boleh dilakukan yang memberi kesan kelegaan dalam tempoh 7-10 hari.

Ubatan untuk Pencegahan Gout Akan Datang

Selepas serangan gout akut ini reda, adalah penting untuk mencegah serangan gout akan datang. Maka, pencegahan ini dilakukan dalam tempoh beberapa minggu pertama selepas serangan gout akut tersebut.

Kebarangkalian pesakit gout untuk mendapat serangan gout kedua ialah 62% dalam tempoh setahun, 78% pada tahun kedua, dan 89% pada tahun kelima.

Secara umumnya, doktor perubatan akan memberikan ubatan NSAID atau yang berkenaan mengikut tahap kesihatan pesakit.

Terapi Hipourisemik

Imej via Bidadari

Dalam terapi ini, pesakit akan disarankan untuk mengurangkan pengambilan alcohol, penjagaan diet pemakanan dari segi saiz hidangan, dan mengawal berat badan bagi mengurangkan rintangan insulin; yang menyebabkan masalah gout.

Terapi ini bertujuan memberikan gaya hidup pesakit yang baru bagi mengelakkan berlakunya masalah kesihatan yang lebih kronik selepas serangan gout akut, contohnya:

  • Pembentukan batu karang
  • Ketumbuhan tophi
  • Masalah buah pinggang
  • Kerosakan sendi

Peranan Diet

Antara makanan yang perlu dielakkan bagi mengurangkan risiko atau gejala gout ialah:

  • Daging merah
  • Minuman berkarbonat atau tinggi fruktosa
  • Beer (kandungan purina yang sangat tinggi)

Sementara itu, makanan yang boleh mengurangkan kandungan asid urik penyebab gout adalah seperti:

  • Produk tenusu
  • Kopi
  • Vitamin C
  • Protein sayuran
  • Buah ceri

Pengurusan dan Penjagaan Kebajikan Pesakit Gout

Pesakit gout perlu sentiasa diberi perhatian dan penjagaan rapi selain mendidik mereka tentang perkara berkenaan gout. Antara halangan yang mengganggu pengurusan pesakit gout yang berkesan adalah apabila:

  • Kurangnya pengetahuan berkaitan punca dan akibat gout.
  • Gout sering disalah anggap sebagai arthritis dan dianggap perkara jenaka, terutamanya dalam kalangan orang tua.
  • Persepsi bahawa gout ialah penyakit yang hanya menyerang lelaki, sedangkan perempuan boleh mendapat penyakit ini dan perlu sama-sama tampil mendapatkan rawatan.
  • Orang ramai juga menganggap bahawa gout merupakan lumrah atau hal biasa yang terjadi dalam kalangan mereka yang berusia.
  • Pesakit gout terlalu bergantung kepada ubatan dan petua tradisional tanpa mendapat bimbingan doktor perubatan untuk rawatan dan pemeriksaan klinikal yang lebih tepat.

Kesimpulan

Terdapat pelbagai rawatan dan ubatan moden yang telah dibangunkan sebagai cara mengubati penyakit gout. Di samping itu, bimbingan dan didikan ke atas pesakit gout dan masyarakat secara umumnya dapat membantu pemahaman mengenai perubahan gaya hidup yang boleh membantu mengurangkan masalah gout dan menambah kualiti kesihatan bersama. Sesungguhnya, pencegahan kepada sesuatu penyakit itu merupakan langkah yang terbaik.

Jemput juga abca artikel makanan penyebab gout dan ubat gout.

Rujukan

  1. Dubchak, N., & Falasca, G. F. (2010). New and improved strategies for the treatment of gout. International Journal of Nephrology and Renovascular Disease3, 145. (link)
  • Rajan, S. S., & Shibina, K. (2020). A case of gout trated with Homoeopathic constitutional remedy. International Journal of Homoeopathic Sciences4, 365-8. (link)
  • Rees, F., Hui, M., & Doherty, M. (2014). Optimizing current treatment of gout. Nature Reviews Rheumatology10(5), 271-283. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.