Bayi sangat sensitif dan mudah jatuh sakit. Nak-nak lagi bayi yang ditinggalkan di taska, di mana bayi anda terdedah kepada ramai bayi dan kanak-kanak lain yang membawa pelbagai virus dan bakteria. Bayi berkahak biasanya akan kurang menyusu dan kuat meragam. Kalau bayi anda sedang berkahak, jom amalkan cara hilangkan kahak bayi yang dijamin berkesan dan selamat ini.

cara hilangkan kahak bayi
Sumber: Ohsempoi

Minyak bawang putih

Bawang putih bersifat anti bakteria. Salah satu daripada fungsinya ialah untuk merawat kahak bayi dengan menghilangkan jangkitan dan mencairkan kahak yang terkumpul di dalam dada bayi. Apa yang paling penting, cara hilangkan kahak bayi dengan cara ini adalah sangat selamat dan semulajadi maka anda tidak perlu risau tentang kesan sampingan ke atas bayi.

Untuk menyediakan minyak bawang putih, apa yang anda perlukan ialah seulas bawang putih dan 5 sudu besar minyak zaitun. Itu sahaja. Mudah kan? Jom kami kongsikan caranya:

  • Cucuk bawang putih dengan garfu dan bakar di atas api dapur. Tak perlu dikupas kulitnya. Bakar sehingga kulit bawang putih hangus dan kehitaman serta keluar baunya.
  • Setelah bawang putih tadi naik bau, sejukkan dan buang kulitnya.
  • Hancurkan bawang putih tadi dan campurkan dengan minyak zaitun yang telah disediakan. Kacau sehingga sebati.
  • Sapukan minyak bawang putih tadi ke dada, belakang, kaki, dan keting bayi anda dengan kerap sehingga kahak bayi anda tiada lagi.

Daun sireh

Selain bawang putih, daun sireh juga boleh digunakan sebagai salah satu cara hilangkan kahak bayi yang amat berkesan. Untuk menggunakan cara ini, apa yang anda perlukan hanyalah beberapa helai daun sireh. Caranya:

  • Ambil 2 sehingga 3 helai daun sireh. Basuh dan keringkan.
  • Layur daun sireh tadi di atas dapur sehingga daun sireh tadi menjadi layu. Kalau anda tidak mempunyai dapur, anda boleh juga layur dengan menggunakan lilin.
  • Tunggu sehingga daun sireh tadi menjadi suam. Jangan terus gunakan semasa daun sireh masih panas kerana ia boleh menyebabkan bayi anda mengalami lecuran.
  • Setelah daun sireh tadi suam, tekapkan daun tadi ke dada dan belakang bayi anda. Biarkan daun tadi melekap ke badan bayi anda seharian atau semalaman.
  • Anda juga boleh sapukan vicks atau balm ke dada dan belakang bayi anda sebelum melekapkan daun sireh tadi.
cara hilangkan kahak bayi
Sumber: Bidadari

Daun kaduk

Jika anda tidak dapat mencari daun sireh, anda juga boleh gunakan daun kaduk untuk menghilangkan kahak bayi anda. Rupa daun kaduk hampir sama dengan daun sireh namun kedua-dua daun ini adalah dua daun yang berbeza dengan khasiat yang berbeza. Untuk menghilangkan kahak bayi anda menggunakan daun kaduk, apa yang perlu anda lakukan ialah:

  • Ambil 2 helai daun kaduk.
  • Masukkan daun kaduk tadi bersama sedikit kapur sireh dan air ke dalam sebuah mangkuk.
  • Ramas kesemua bahan sehingga hancur dan sebati.
  • Lumurkan bahan tadi pada dada, leher dan belakang bayi anda.
  • Biarkan selama 10 minit, kemudia bersihkan badan bayi anda daripada bahan tadi. 

Kunyit hidup

Anda juga boleh gunakan kunyit hidup untuk menghilangkan kahak bayi anda. Caranya juga sangat mudah. Apa yang perlu anda lakukan ialah:

  • Ambil setengah inci kunyit hidup.
  • Buang kulitnya.
  • Sagat sehingga halus.
  • Sapukan kunyit hidup yang telah disagat tadi ke batang hidung dan dahi bayi anda.
  • Biarkan sehingga kering. Sapu sapuan yang baru untuk menggantikan sapuan lama yang telah kering atau hilang.

Terapi stim

Anda juga boleh berikhtiar untuk menghilangkan kahak bayi anda dengan cara melakukan terapi stim. Ia adalah sayu lagi cara alami yang selamat dan tidak memberikan kesan sampingan yang buruk kepada bayi anda. Cara untuk melakukan terapi stim ialah:

  • Masukkan air panas ke dalam besen atau baldi kecil. Air panas tadi akan mengeluarkan wap atau stim.
  • Pegang bayi anda dengan erat pada bahagian tangan dan muka. Halakan muka bayi anda kepada wap air yang keluar dari besen tadi.
  • Tutup kepala bayi anda untuk memerangkap stim tadi agar tidak hilang ke udara.
  • Biarkan bayi anda pada posisi tersebut selama lebih kurang 5 minit.
  • Kemudian alihkan baldi atau besen tadi dari bayi anda.
  • Tepuk dada dan belakang bayi anda untuk melonggarkan kahak yang terkumpul pada dada dan paru-paru bayi anda.
cara hilangkan kahak bayi
Sumber: Bidadari

Tepukan percussion

Cara hilangkan kahak bayi yang seterusnya ialah dengan menggunakan kaedah tepukan percussion. Ini adalah terapi yang biasa dilakukan di hospital bagi merawat bayi dan kanak-kanak yang mengalami asma dan kahak yang teruk. Anda juga boleh mengamalkannya sendiri di rumah tanpa perlu pergi ke hospital. Cara untuk melakukannya ialah:

  • Letakkan bayi anda dalam posisi meniarap. Letak bantal kecil di bawah perut bayi anda supaya dadanya lebih tinggi daripada bahagian badan yang lain.
  • Sebaiknya anda tinggikan sedikit posisi bantal dengan kedudukan dada bayi anda tinggi dan kepala bayi anda ke bawah. Luruskan kaki bayi anda.
  • Bentukkan tapak tangan anda seperti cupping dengan cara melengkungkan tapak tangan.
  • Tepuk perlahan belakang bayi anda. Tepuk seluruh belakang bayi anda dengan tujuan untuk melonggarkan kahak yang terkumpul di dada.
  • Tepuk selama 15 minit.
  • Selepas menepuk, bayi anda akan terbatuk, bersin, atau muntah untuk mengeluarkan kahak yang berjaya dilonggarkan. Namun ada juga kahak yang akan ditelan dan keluar bersama najis. 

Namun ingin kami ingatkan kepada anda supaya memastikan bahawa bayi anda tidak menyusu selama satu jam sebelum melakukan tepukan percussion bagi mengelakkan bayi anda termuntah susu sesama tepukan dilakukan.

Itulah dia cara hilangkan kahak bayi yang ingin kami kongsikan pada hari ini.  Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami mengenai cara banyakkan susu dan sebab bayi muntah susu

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.