Mencari tips mengatasi anak tidur berdengkur?
Jika ditanya penulis, apa yang mengganggu kualiti tidur? Jawapannya tentulah bunyi dengkuran yang menyesakkan telinga. Waktu tidur merupakan tempoh masa untuk badan dan otak berehat setelah sepanjang hari menguruskan urusan kerja di pejabat atau di rumah.
Kadangkala tanpa kita sedari, anak-anak kita tidur berdengkur seperti tak peduli apa yang berlaku di sekeliling. Itulah sebabnya kita beranggapan bahawa mereka tentunya penat seharian di sekolah dengan pelbagai aktiviti. Mereka menggunakan terlalu banyak tenaga untuk bersosial bersama rakan-rakan.
Itulah sebabnya mereka terlalu nyenyak tidur sehingga sukar dikejutkan. Malah, anda tak sampai hati pula nak kejutkan anak-anak yang sedang tidur berdengkur kerana berasa itu sesuatu yang normal. Sebenarnya tidak. Anda silap!
Menurut Dr Han Hong Juan, Pakar Bedah Telinga, Tekak dan Hidung (ENT) Hospital Mount Elizabeth, Singapura, tidur yang normal ialah apabila kita tak berdengkur. Namun, jika berdengkur sekali atau 2 kali dalam setahun itu normal.
Namun, jika berdengkur setiap malam, kita perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan. Ini kerana ia adalah simptom kepada apnea tidur atau gangguan tidur yang mengganggu pernafasan.
Dengkur berlaku apabila terdapat halangan pada aliran udara di dalam saluran pernafasan di bahagian belakang mulut dan hidung. Antara sebab lain masalah berdengkur ialah polip, batang hidung yang bengkok, jangkitan sinus dan berat badan berlebihan.
Jika anak-anak berdengkur disebabkan hidung tersumbat dan selsema akibat cuaca sejuk, ia adalah sesuatu yang normal. Namun, jika setiap malam mereka bernafas melalui mulut dan berdengkur dengan kuat, pemeriksaan kesihatan perlu dibuat.
Ibu bapa perlu memberi perhatian tentang cara tidur anak-anak mereka dan juga cara dengkuran terhasil. Berikut merupakan ciri-ciri yang boleh anda perhatikan, iaitu:
Sebagai ibu bapa yang prihatin, anda tak boleh membiarkan masalah ni berlarutan. Impak apnea tidur boleh memberi kesan pada pelajaran, sentiasa mengantuk dan penat, masalah emosi dan sosial.
Berikut ialah cara mengatasi masalah ni, iaitu:
Kawal Berat Badan
Salah satu sebab masalah berdengkur ialah berat badan berlebihan atau obesiti. Anda perlulah menyediakan makanan yang sihat dan berkhasiat. Elakkan makanan segera dan berproses dalam usaha menurunkan berat badan mereka.
Sentiasa ajar mereka tentang keperluan dan khasiat pemakanan seimbang. Lakukan aktiviti riadah bersama-sama seperti bermain badminton, berjoging, berenang dan sebagainya.
Menggunakan Alat Continuous Positive Airway Pressure (CPAP)
Alat ni berfungsi memberi tekanan tinggi yang berterusan dan dapat membuka saluran pernafasan. Oleh itu, ia dapat memudahkan anak-anak menghembus angin keluar. Malahan, saluran pernafasan yang tersumbat dapat dibuka.
Alat ni dapat memulihkan pernafasan dan menghilangkan masalah dengkuran. Oleh itu, kanak-kanak dapat menikmati tidur yang lebih selesa dan berkualiti.
Betulkan Posisi Tidur
Jika anda mendengar dengkuran yang kuat ketika anak sedang tidur, betulkan posisi tidur mereka. Pastikan mereka tidur secara mengiring. Elakkan tidur secara terlentang dan meniarap.
Gunakan Bantal yang Tinggi
Gunakan bantal yang lebih tinggi lebih kurang 4 inci ke atas. Apabila posisi kepala menjadi lebih tinggi, lidah tidak akan tertolak ke belakang yang menjadi punca bunyi dengkuran.
Kini, terdapat banyak bantal yang direka khas untuk keselesaan tidur di pasaran. Selain bagus untuk menikmati tidur yang berkualiti, bantal jenis ni juga dapat merehatkan otot leher.
Waktu Tidur yang Tetap
Disiplinkan anak-anak agar tidur pada waktu yang sama setiap hari. Pastikan mereka tidak tidur terlalu awal atau lewat. Waktu yang terbaik adalah sekitar jam 9 malam. Pastikan waktu bangun tidur juga kekal sama seperti biasa.
Pembedahan Tonsil dan Adenoid
Kebanyakan kanak-kanak yang berdengkur mempunyai masalah pada kelenjar tonsil. Ini disebabkan kelenjar tonsil dan adenoid yang besar pada bahagian tekak dan hidung. Tonsil yang membengkak akibat daripada jangkitan berulang di dalam tekak menyebabkan masalah pernafasan ketika tidur.
Masalah ni sering berlaku pada kanak-kanak berusia antara 3 hingga 10 tahun. Rawatan yang boleh diberikan ialah dengan cara pembedahan bergantung kepada keseriusan masalah tersebut.
Dapatkan Pemeriksaan Doktor
Jangan biarkan masalah ni berlarutan sehingga memberi kesan buruk kepada anak-anak. Bawa mereka untuk berjumpa dengan doktor ENT untuk pemeriksaan lanjut.
Doktor akan membuat pemeriksaan melalui ujian endoskopi bagi melihat struktur tekak, hidung dan struktur muka. Selepas kenal pasti punca sebenar masalah, pakar akan menjalankan ujian tidur bagi memastikan apnea tidur. Hasil diagnosis akan menentukan jenis rawatan yang sesuai.
Bilik Tidur yang Bersih
Ibu bapa perlulah memastikan bilik tidur anak-anak bersih daripada habuk dan kotoran. Cadar tilam dan sarung bantal perlulah ditukar dengan kerap untuk mengurangkan masalah ni.
Habuk yang banyak dan bulu haiwan peliharaan akan mengganggu pernafasan kanak-kanak. Boleh juga minta mereka membersihkan bilik tidur ketika hujung minggu. Ini bukan saja akan mewujudkan persekitaran yang sihat malah mereka juga akan aktif.
Berikan Susu Sebelum Tidur
Meminum susu dapat memberikan tidur yang lena dan berkualiti. Ini kerana susu mengandungi triptofan iaitu bahan yang boleh merangsang hormon melatonin yang penting untuk tidur nyenyak. Malahan, boleh juga ditambah sesudu madu asli ke dalam susu suam.
Elakkan Makan dan Minum Secara Berlebihan Sebelum Tidur
Pastikan anak-anak makan sejam awal sebelum tidur. Berikan makanan yang mudah dihadam seperti pisang, betik, roti, yogurt dan sebagainya. Paling penting elakkan minuman berkafein seperti teh dan kopi. Kafein dikatakan akan menjejaskan kualiti tidur anak-anak.
Buat ibu bapa, jangan ambil mudah jika anak-anak anda berdengkur dengan kuat dan sering berlaku setiap malam. Perkara ini tak boleh dipandang entang atau menjadi bahan jenaka sesama ahli keluarga.
Bawalah anak-anak mendapatkan rawatan jika anda berasa ada yang tak kena. Semoga artikel ni dapat memberi maklumat yang diperlukan berkaitan masalah berdengkur. Semoga bermanfaat buat kita semua.
Jemput juga baca artike cara dapatkan tidur yag cukup dan bayi tidur meniarap
http://www.astroawani.com/gaya-hidup/jalani-hari-yang-indah-atasi-masalah-dengkur-anda-171589
http://www.myhealth.gov.my/berdengkur-tanya-kepada-doktor-gigi-anda-untuk-mendapatkan-bantuan/