Apa itu frozen shoulder? Frozen shoulder atau masalah bahu keras merupakan keadaan yang menyakitkan dan berpanjangan yang memerlukan diagnosis klinikal yang tepat dan pengurusan yang betul. Secara kebiasaannya, pesakit akan pulih tetapi kemampuan sebelum ini untuk menggunakan pergerakan bahu seperti biasa mungkin terbatas.

Definisi Frozen Shoulder?

Perkataan “frozen shoulder” diperkenalkan oleh seorang doktor perubatan bernama Codman pada tahun 1934 yang menerangkan keadaan bahu yang menyakitkan yang mungkin menjadi tanda masalah kesihatan yang berbahaya. Keadaan ini boleh dikaitkan dengan kekakuan pada bahagian bahu dan kesukaran untuk tidur pada bahagian yang terjejas itu. Terdapat juga pengurangan pada pergerakan mengangkat dan memusingkan bahu yang menjadi antara tanda utama penyakit ini.

Secara sejarahnya, sebelum itu pada tahun 1872, keadaan kesihatan yang sama dikenali sebagai “peri-arhtritis.” Seterusnya, pada tahun 1945, pakar perubatan moden, Naviesar memberikan nama penyakit frozen shoulder ini secara lebih saintifik iaitu “adhesive capsulitis.”

Namun, penggunaan terma “frozen shoulder” lebih kerap digunakan dan difahami ramai untuk menerangkan keadaan penyakit ini dengan lebih tepat.

Dalam amalan klinikal, sebarang keadaan bahu yang kaku dan menyakitkan tidak boleh sewenangnya dilabelkan sebagai penyakit frozen shoulder. Penyakit ini merupakan keadaan spesifik yang memerlukan diagnosis khas dan pengurusan yang betul.

Antara masalah kesihatan yang disalah anggap sebagai frozen shoulder ialah osteoarthritis dan koyakan pada otot bahu.

Golongan yang Berisiko Mendapat Frozen Shoulder

Menurut sekumpulan pakar perubatan dari sebuah pusat perubatan di Edinburgh, UK, pesakit frozen shoulder kebiasaannya terdiri daripada mereka yang berumur 60 tahun ke atas tetapi tanda awal penyakit ini mula kelihatan dalam kalangan mereka yang berumur 40 tahun ke atas.

Usia paling kerap dilaporkan berlakunya kes frozen shoulder ini ialah 56 tahun. Penyakit frozen shoulder ini agak kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

Dalam 6-17% pesakit, bahu sebelah lagi yang tidak terjejas akan mula terjejas dalam tempoh lima tahun pertama dan selepas bahu pertama mula pulih. Mengikut pemerhatian pakar-pakar perubatan di Hospital Birmingham, bahu yang bukan dominan atau bahu pada tangan yang jarang digunakan akan lebih mudah terjejas dengan penyakit frozen shoulder ini. Tambahan pula, dianggarkan bahawa risiko berlakunya frozen shoulder dalam sesebuah populasi ialah minimum 2% pada setiap tahun.

Imej via Bidadari

Pemeriksaan Klinikal Frozen Shoulder

Secara umumnya, pesakit frozen shoulder akan mengalami 3 fasa yang menunjukkan gejala klinikal, iaitu:

1. Fasa kekakuan bahu yang menyakitkan

Fasa ini berlaku dalam 10-36 minggu dengan rasa sakit dan kaku di sekeliling kawasan bahu. Keadaan ini tiba-tiba muncul tanpa adanya sejarah kecederaan atau kemalangan. Rasa kesakitan seakan berdenyut akan semakin dirasai pada waktu malam. Rawatan ubatan NSAID hanya melegakan sedikit sahaja gejala ini.

2. Fasa lekatan

Rasa kesakitan akan mula menghilang tetapi kekakuan bahu masih tidak berubah. Fasa ini berlaku dalam 4-12 bulan. Rasa sakit akan datang sekiranya berlaku pergerakan yang ekstrim. Pergerakan bahu juga akan menjadi semakin terbatas seperti sukar untuk mengangkat dan memusingkan tangan.

3. Fasa resolusi

Selepas fasa lekatan, akan terdapat peningkatan secara beransur-ansur dari segi julat pergerakan yang semakin bertambah baik. Fasa resolusi ini mengambil masa selama 12-42 bulan. Secara puratanya, keadaan bahu kembali pulih sepenuhnya untuk hilang dari segi kesakitan dan kekakuan adalah dalam tempoh 30 bulan.

Rawatan Penyakit Frozen Shoulder

Pesakit frozen shoulder perlu dididik dan diterangkan mengenai keadaan frozen shoulder ini yang boleh beransur pulih. Maklumat ini dapat memberi kelegaan dan mengurangkan rasa gelisah pesakit yang didiagnos dengan frozen shoulder.

Namun, adalah sangat penting untuk menekankan bahawa pergerakan penuh bahu mungkin tidak akan kembali seperti sebelumnya.

Bagi merawat frozen shoulder, rawatan akan diberikan mengikut tahap penyakit tersebut.

Imej via Bidadari

Rawatan ketika Fasa Pertama

Ketika fasa permulaan iaitu bahu mula kaku dan menyakitkan, rawatan akan dilakukan bertujuan melegakan kesakitan. Antara langkah rawatan yang dicadangkan ialah:

  • Pesakit akan digalakkan untuk mengehadkan aktiviti mengikut tahap kesakitan yang dialami.
  • Doktor perubatan akan memberikan ubatan NSAID untuk memberi kelegaan kepada pesakit. Ubat tahan sakit turut diberikan jika diperlukan.
  • Fisioterapi dijalankan yang mampu mengurangkan gejala kesakitan sehingga 64% pada bulan ke-12 dan 89% pada bulan ke-24.
  • Suntikan steroid pada fasa awal penyakit ini boleh memendekkan tempoh kesakitan dengan mengurangkan keradangan dan mempercepat penyakit ini pulih.

Rawatan ketika Fasa Lekatan

Senaman dan latihan fizikal yang lebih agresif disyorkan untuk mengembalikan pergerakan bahu yang terjejas. Pendekatan yang diambil adalah dengan mengenakan beban yang rendah dan regangan yang berterusan melalui teknik fisioterapi yang bersesuaian.

Bagi pesakit yang tidak mampu menahan kesakitan akibat penyakit ini, suntikan ubat pelali akan diberikan untuk melegakan kesakitan yang akan menunjukkan kesan positif keseluruhan dalam masa 3 bulan.

Terbaru, pembedahan dilakukan bagi memberi kelegaan secara langsung ke atas pesakit frozen shoulder. Pembedahan juga bertujuan mengawal progress penyakit ini.

Kesimpulan

Penyakit frozen shoulder merupakan penyakit yang biasa ditemui dalam kalangan mereka yang berusia yang memberikan kesakitan tetapi boleh dikawal dengan penjagaan rapi seperti kombinasi penggunaan ubat tahan sakit, suntikan, dan fisioterapi.

Kebanyakan kes penyakit ini boleh diuruskan dengan penjagaan yang rapi dan bimbingan kaunseling yang betul kepada para pesakit. Hampir semua pesakit boleh kembali pulih daripada kesakitan dan kekakuan yang dialami, tetapi terdapat kemungkinan bahawa pesakit sukar kembali memiliki pergerakan bahu yang normal.

Jemput cuba abca artikel punca sakit pinggang dan punca sakit belakang.

Rujukan

  1. Dias, R., Cutts, S., & Massoud, S. (2005). Frozen shoulder. Bmj331(7530), 1453-1456. (link)
  2. Robinson, C. M., Seah, K. M., Chee, Y. H., Hindle, P., & Murray, I. R. (2012). Frozen shoulder. The Journal of bone and joint surgery. British volume94(1), 1-9. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.