Senda gurau ibarat gula dalam makanan. Melengkapkan dan menambah kemanisan dalam perhubungan. Islam tidak pernah melarang untuk kita bergurau. Jom baca artikel adab senda gurau dalam Islam.
Nabi S.A.W semasa hayatnya pernah bergurau dengan seorang wanita tua seperti yang dikisahkan dalam hadis:
“Seorang nenek tua mendatangi Nabi S.A.W .Nenek itu pun berkata, ‘Ya Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia memasukkanku ke dalam syurga.’ Rasulullah S.A.W menyatakan, ‘Wahai ibu! Sesungguhnya syurga tidak dimasuki oleh nenek tua.’
Nenek tua itu pun pergi sambil menangis.
Nabi pun bersabda, “Katakan kepadanya wanita tersebut tidak akan masuk syurga dalam keadaan seperti nenek, sesungguhnya Allah mengatakan: “Sesungguhnya kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung. Dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan. Penuh cinta lagi sebaya umurnya (al-Waqiah: 35-37)”
Hadis Riwayat at-Tirmidzi
Namun,berhati-hatilah. Gurauan yang berlebihan boleh membawa keretakan silaturahim dan mewujudkan permusuhan dalam hubungan. Ikuti panduan berikut agar gurauan jenaka tidak melanggar batasan yang disyaratkan Islam:
Berguraulah dengan cara yang masih menghormati agama Islam dengan tidak menjadikan agama sebagai bahan lawak dan jenaka.
Ini bersesuaian dengan maqasid syariah iaitu menjaga kehormatan agama, seperti dalam firman Allah S.W.T:
“ Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (Dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”
(al-Hajj : 32)
Selain itu, isu sensitif dan perkauman juga perlu dihindarkan sama sekali agar tidak mendatangkan rasa tidak puas hati dari mana-mana pihak.
Bergurau tidak menjadi lesen untuk bercakap bohong,walaupun untuk menggembirakan seseorang. Sifat ini sangat-sangat dilarang dalam Islam. Rasulullah S.A.W tidak pernah berbohong semata-mata untuk membuatkan orang lain tertawa dan gembira. Sabda baginda;
“Celakalah bagi orang yang bercakap suatu percakapan agar orang ramai tertawa dengan pembohongan.Celakalah baginya! Celakalah baginya!”
(Hadis Riwayat al-Tirmidhi)
Dalam adab senda gurau dalam Islam, hindarilah menyentuh tentang keadaan fizikal atau peribadi seseorang. Bukankah setiap kejadian manusia itu daripada Allah S.W.T, jadi sangat tidak sesuai untuk dijadikan sebagai bahan gurauan dan gelak tawa. Selaras dengan yang diperintahkan al-Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman.
Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
al-Hujurat:11
Sepereti mana Islam menyarankan agar berserderhana dalam banyak hal, termasuklah dalam bergurau. Berlebihan dalam bergurau boleh mematikan hati. Seperti sabda Rasulullah S.A.W;
“Janganlah kamu sering ketawa, kerana sering ketawa akan mematikan hati.”
Hadis Riwayat Ibnu Majah
Sebenarnya Islam sangat meraikan fitrah manusia yang suka bergurau dan berhibur. Namun, dalam apapun tindakan yang dilakukan haruslah mempunyai had dan batasan tertentu demi kebaikan bersama.
Jadi, cara dan jalan yang terbaik adalah mengikuti jejak Rasulullah S.A.W semasa bergurau agar gurauan juga mempunyai menjadi sesuatu yang bermanfaat dan tidak sia-sia. Semoga anda sukakan artikel adab gurau senda ini.
Jom baca lebih banyak artikel menarik kami seperti;