Buah kurma adalah salah satu buah yang menjadi kegemaran umat Islam. Malah Nabi Muhammad SAW sendiri sangat menggemari buah kurma ini. Ada banyak buah kurma di pasaran dan antara buah kurma yang paling mendapat perhatian adalah buah kurma Ajwa.
Buah kurma ajwa sangat istimewa kerana ia adalah salah satu jenis kurma yang ditanam di rantau Madina Munawara di Arab Saudi. Ia adalah kurma hitam yang manis, dengan rasa buah yang sedap. Buah kurma Ajwa ini juga sering dikaitkan dengan pelbagai khasiat hinggakan barangsiapa memakan buah kurma ini dengan adab yang betul dapat menangkal racun dan sihir.
Terdapat 1,400 jenis kurma di seluruh dunia dan daripada jumlah itu, kurma Ajwa merupakan yang paling dikagumi. Kurma Ajwa dianggap sebagai buah kurma yang terbaik di dunia dan sangat istimewa malah Nabi Muhammad SAW sendiri sangat menggemari makan kurma ajwa ini.
Menurut sejarah, kurma Ajwa yang pertama ditanam sendiri oleh Rasulullah SAW di tanah berhampiran Masjid Quba, Madinah sekitar 14 abad yang lampau. Masa kini jumlah pokok kurma Ajwa di Madinah hanya sekitar seratus pokok sahaja. Maka tak hairanlah kenapa harga buah kurma Ajwa ini agak tinggi jika hendak dibandingkan dengan buah kurma yang lain.
Apa yang lebih menariknya lagi, kurma Ajwa mempunyai saiz sederhana dengan jumlah kedutan yang lebih banyak berbanding dengan jenis kurma lain. Dan jika diamati dengan betul-betul, kedutan pada kurma Ajwa ini seakan membentuk kalimah Allah.
Ramai yang tertanya-tanya, apa cara terbaik untuk makan kurma Ajwa yang betul dan mengikut sunah nabi. Sebenarnya, cara yang terbaik untuk makan kurma Ajwa adalah dengan makan sebanyak 7 biji pada setiap pagi.
Dengan memakan 7 biji kurma pada setiap ia dapat dijadikan sebagai penawar kepada racun dan juga sihir.
Ada beberapa sabda yang menyebut tentang kebaikan memakan 7 biji kurma pada setiap pagi. Antaranya:
Daripada Saad bin Abi Waqqas bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً، لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ، وَلَا سِحْرٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.” [HR al-Bukhari (5445) dan Muslim (2047)]
Daripada Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda :
إِنَّ فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ شِفَاءً – أَوْ إِنَّهَا تِرْيَاقٌ – أَوَّلَ الْبُكْرَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya pada kurma Ajwah ‘Aliyah itu ada ubat penyembuh atau ia merupakan ubat penawar bagi racun, apabila dimakan pada awal pagi.” [HR Muslim (2048)]
Di atas tadi sudah diterangkan tentang cara makan kurma. Jadi, sekarang akan diterangkan pula dengan anda apakah khasiat kurma Ajwa ini pada diri kita. Selain dari khasiat yang dinyatakan dalam hadis di atas, Kurma Ajwa sebenarnya kaya dengan bermacam khasiat pada tubuh badan kita.
Dengan bermacam khasiat yang terdapat di dalam kurma Ajwa, tidak hairanlah kenapa kurma ini mendapat sambutan setiap kali Ramadhan walaupun harganya agak mahal. Anda pasti nak tahu apa lagi khasiat yang ada dalam kurma Ajwa.
Antara manfaatnya adalah seperti di bawah ini:
Ramai yang tidak tahu, kurma Ajwa sebenarnya mengandungi flavonoid glycosides yang membekalkan antioksidan kepada tubuh. Dengan antioksidan ini ia dapat mengelakkan daripada diri anda terkena jangkitan penyakit yang merbahaya. Bukan itu sahaja, jika anda makan kurma Ajwa dengan lebih kerap ia dapat meningkatkan lagi kesihatan diri anda.
Dengan khasiat dan serat yang terdapat dalam kurma Ajwa, ia sebenarnya dapat membekalkan kepada mereka yang berpuasa supaya kekal cergas sepanjang hari. Bukan itu sahaja, kurma Ajwa juga sebenarnya sangat bagus untuk mereka yang mengandung. Dengan khasiat yang terdapat pada kurma Ajwa, ia dapat membantu ibu meningkatkan susu badan serta melindungi tubuh mereka daripada penyakit dan jangkitan penyakit berbahaya dan dapat mencegah anemia.
Memang tidak dinafikan pada bulan Ramadhan, kita mudah terkena sembelit dan ketidakhadaman makanan. Ini kerana, tubuh badan kita kekurangan air pada siang hari. Justeru itu, untuk mengelakkan dari ia berlaku, anda sangat digalakkan untuk mengamalkan pengambilan kurma Ajwa pada waktu sahur dan waktu berbuka puasa.
Ini kerana, kandungan serat yang terdapat di dalam kurma Ajwa sangat berkesan untuk melancarkan sistem pencernaan dan seterusnya dapat memastikan usus anda berfungsi dengan lebih baik.
Dengan khasiat yang terdapat di dalamnya, kurma ajwa bukan sahaja sesuai untuk orang dewasa. Malah, ia juga sesuai untuk kanak-kanak dan juga mereka yang sedang belajar. Dengan sentiasa mengamalkan kurma ajwa dan kurma lain ia akan menguatkan memori anda. Jadi, apa sahaja yang anda hafal anda akan mudah ingat. Tidak hairanlah, ramai pelajar sekolah sentiasa mengamalkan pengambilan buah kurma terutama sekali sewaktu peperiksaan.
Kurma memiliki banyak sekali khasiat yang baik bagi kesihatan kerana memiliki kandungan vitamin A, kalsium dan besi yang tinggi. Kurma juga sangat mendapat sambutan terutama jika sedang berada di bulan puasa. Terbayang-bayang rupa kurma Ajwa di fikiran dan jika dapat nikmatinya setiap hari, alangkah seronoknya rasa di hati.
Baca juga khasiat tomato mengikut kajian , dan Checklist Ramadhan