Ayuh lakukan perkara ini ketika mengahdiri majlis ilmu.

Majlis ilmu telah mula dilaksanakan sejak zaman Rasulullah SAW lagi, bahkan dengan pelbagai kegiatan keilmuan lagi. Dalam sejarah dakwah Rasulullah SAW, Baginda telah memulakan pengajian dan penyebaran  ilmu Islam secara bersembunyi di rumah Arqam bin Abi al-Arqam.


Pada setiap zaman pun, pertemuan dalam majlis ilmu juga sangat berperanan besar memberi lebih pemahaman tentang agama Islam, serta menjelaskan setiap hukum hakam dan rinci mengenai ketakwaan dan kecintaan kepada Allah dan Rasul, selain menyebarkannya.

Rasulullah SAW juga menyampaikan keutamaan sebuah majlis ilmu melalui sabdanya:


“Tidaklah suatu kaum berkumpul di satu rumah Allah, mereka membacakan kitabullah dan mempelajarinya, kecuali turun kepada mereka ketenangan, dan rahmat menyelimuti mereka, para malaikat mengelilingi mereka dan Allah memuji mereka di hadapan makhluk yang ada di dekatnya. Barang siapa yang kurang amalannya, maka nasabnya tidak mengangkatnya.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Jadi, tidakkah penting majlis ilmu itu sehingga berjaya mengislamkan Umar al-Khattab RA, yang mendapat hidayah melalui majlis ilmu di rumah adik perempuannya?

Bahkan Saidina Mus’ab bin Umayr RA yang telah diutuskan oleh Rasulullah SAW untuk berdakwah di Madinah, berjaya mengislamkan seluruh penduduk Madinah dengan majlis ta’alim yang dibuat di bawah sebatang pokok.

Sebab itulah, pentingnya adab dan cara-cara tertentu sewaktu mengunjungi  majlis ilmu agar dapat memperoleh rahmat dan berkatnya.

Bahkan banyak hal terpuji yang boleh dilakukan sewaktu mengunjungi majlis ilmu, antaranya:


1. Ikhlas  Dan Niat

Pastikan niat yang ikhlas kerana Allah SWT. Bukannya untuk kelihatan beriman, soleh atau solehah dari kaca mata orang lain.

Jauhkan diri dari rasa angkuh dan bongkak serta berasa diri lebih baik dari orang lain hanya kerana telah menghadiri majlis ilmu.


Hal ini seperti sabda Rasulullah SWT:


“Amal itu tergantung niatnya, dan seseorang hanya memperoleh sesuai niatnya. Barang siapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau karena wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya sesuai ke mana ia hijrah.”

(Hadis Riwayat  Bukhari dan Muslim)

2. Bersemangat Dan Istiqamah

Dalam memperoleh ilmu, seseorang itu haruslah bersungguh-sungguh dan sentiasa beristiqamah. Tunjukkan kemahuan dan keinginannya yang kuat. Jangan hanya sambil lewa dan seperti ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Ini kerana Allah SWT hanya memberikan kefahaman ilmu kepada sesiapa yang betul-betul mahukannya dan berusaha.

Paling penting jangan berputus asa, kerana Allah memberikan ganjaran yang terbaik bagi golongan yang cintakan ilmu. Terbukti dalam sabda Baginda SAW;

“Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.”

(Hadis Riwayat Muslim)

3. Memberi Sepenuh Tumpuan

Mendengar setiap yang disampaikan dengan penuh tumpuan  dan  konsentrasi. Ambillah contoh seperti para sahabat semasa menghadiri majlis ilmu yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Mereka memberi  sepenuh perhatian sehinggakan tidak mempedulikan burung-burung yang bertenggek di atas bahu dan kepala masing-masing.

Apabila seseorang itu memberi tumpuan dengan ilmu Allah, Allah SWT akan meredainya dengan  memudahkan tiga perkara, iaitu; Dimudahkan ilmu masuk ke dalam hati. Kedua,  dimudahkan kefahaman dengan apa yang didengari. Dan yang ketiga, Allah SWT akan  memudahkan untuk bercakap tentang ilmu yang didengari itu apabila diperlukan.

4. Adab dalam Bertanya


Ketika terdapat sesuatu yang kurang difahami atau masih ragu-ragu, bertanyalah dengan adab yang baik dan merendah diri. Jangan sesekali memotong percakapan guru dan berlagak lebih tahu.

Sebaiknya bertanyalah selepas dibenarkan oleh guru iaitu dengan meminta izin terlebih dahulu.

5. Duduk Rapat

Dalam majlis ilmu duduklah  rapat-rapat agar syaitan tidak mencelah di ruang yang kosong, selain dapat mewujudkan hubungan kasih sayang dan silaturahim kerana sentuhan fizikal itu.

Para sahabat dahulu juga sering duduk rapat antara satu sama lain dalam majlis ilmu Rasulullah. Sehingga dikatakan  daun yang gugur dari pokok tidak jatuh ke tanah, tetapi jatuh ke riba dan bahu mereka.

Selain itu, sebaik-baiknya duduk dalam posisi tahiyat awal. Jika sudah penat, beralihlah kepada kedudukan tahiyat tahiyat akhir dan kalau tidak mampu juga bolehlah duduk bersila.

Selain itu, banyak lagi kebaikan lain yang boleh dilakukan dalam menghadiri majis ilmu, iaitu;

  1. Berwuduk.
  2. Pakaian bersih, kemas dan menutup aurat.
  3. Memakai wangi-wangian.
  4. Solat sunat dua rakaat sebelum mengunjungi majlis ilmu.
  5. Membenarkan dan meyakini ilmu yang didengar.
  6. Jangan mengganggu perjalanan majlis seperti berbual-bual atau membuat bising.
  7. Memuliakan dan membesarkan majlis
  8. Mempunyai niat untuk menyampaikan dan mengamalkannya.

Penutup: Majlis Ilmu Adalah Taman Syurga

Majlis ilmu adalah taman syurga di dunia yang Allah kirimkan malaikat berhimpun bersama.

Seperti sabda Rasulullah SAW:


“Jika kalian melewati taman surga, maka berhentilah. Mereka bertanya, apakah taman syurga itu? Beliau menjawab, halaqah zikir (majlis ilmu)”

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi)


Jadi majlis seperti ini sepatutnya dimuliakan dengan kerap dihadiri. Sesungguhnya para malaikat sudah bersedia mencatat amal kebaikan kepada sesiapa yang lazim menghadirkan diri ke taman syurga ini.

Bukan sahaja mendapat rahmat dan berkat Allah SWT, majlis ilmu juga dapat menjinakkan diri dan hati untuk menjadi sebaik-baik hamba kepada Allah SWT. Amin.

Rujukan:

  1. Ustaz Azhar, Adab Duduk Dalam Majlis Ilmu
  2. Sinar Harian

Bacaan lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.