Ayuh ketahui bersama sukan-sukan kesukaan Rasulullah SAW.
Islam sangat menggalakkan umatnya melibatkan diri dengan aktiviti sukan selagi aktiviti-aktiviti tersebut tidak bertentangan dengan syariat.
Baginda Rasulullah SAW juga mengajak umatnya berriadah dan rehlah demi kesihatan fizikal dan mental. Baginda juga sentiasa mengingatkan umatnya agar menjaga kesihatan selaras dengan agama Islam juga sangat menyukai penganutnya menjadi muslim yang sihat, kuat dan mampu berkerja untuk Islam.
Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah SWT berbanding daripada orang beriman tapi lemah.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW juga mempunyai sukan dan aktiviti kegemaran, iaitu sukan memanah dan menunggang kuda. Bahkan aktiviti-aktiviti ini dianggap sebagai sunah jika dilakukan oleh umat muslim.
Sabda Baginda;
“Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasululllah SAW sangat menyarankan agar umatnya pandai memanah. Ini berikutan terdapat banyak kelebihan dalam sukan memanah ini. Antaranya membantu membina kekuatan otot ketika melakukan latihan dengan cara yang betul.
Selain meningkatkan kecerdasan mental, aktiviti memanah juga melatih emosi dan fizikal untuk tumpu pada sasaran. Ini kerana sukan ini sangat menitikberatkan keseimbangan emosi, selain ketabilan badan. Jika emosi pemanah berada dalam keadaan tertekan, maka panahan akan mudah tersasar.
Secara tidak langsung, sukan ini melatih manusia bertenang dan menstabilkan emosi. Selain mengajar bersabar dan fokus dalam melakukan sesuatu perkara.
Baginda SAW juga menyeru umatnya mempelajari atau mahir dalam memanah;
Daripada Salamah bin al-Akwa’ RA berkata:
“Nabi SAW telah berjalan di hadapan sekumpulan daripada suku Aslam yang sedang berlumba (dalam menunjukkan kemahiran memanah)”. Maka Nabi SAW bersabda: “Panahlah, wahai bani Ismail kerana sesungguhnya nenek moyang kamu adalah ahli dalam memanah maka panahlah.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Aktiviti memanah bukan sahaja sukan yang digemari oleh Rasulullah SAW, tetapi sebagai senjata ketika Baginda dan para sahabat RA menghadapi peperangan.
Rasululllah Baginda SAW yang bermaksud:
“Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.”
(Hadis Riwayat Bazzar dan Thabarani)
Rasulullah SAW juga sangat menggalakkan umatnya untuk menunggang kuda. Daripada Uqbah bin Amir RA bahawa Nabi SAW bersabda:
“Lemparkanlah (panah) dan tungganglah (kuda).”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Sebenarnya, berkuda amat baik untuk kesihatan mental dan fizikal manusia.
Bentuk lekuk badan belakang kuda sangat baik untuk merawat permasalahan berkaitan tulang belakang. Ketika kuda berlari dan melompat membuatkan vetebra tulang belakang manusia bergesel seperti diurut.
Apabila berada di atas kuda yang bergerak, semua tulang, otot, organ termasuklah sistem penghadaman, sistem saraf, organ perkumuhan akan terangsang secara optimum untuk menambah tahap kesihatan.
Bahkan akan membantu menjaga sistem penglihatan lantaran terdapat ransangan terhadap saraf kranial semasa kuda bergerak.
Baginda Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa belajar menunggang kuda dan juga berenang tidak termasuk dalam perkara yang sia-sia ataupun melalaikan.
Daripada Jabir bin Umair berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Tiap-tiap sesuatu yang bukan zikrullah bererti permainan dan kelalaian, kecuali empat perkara: Seorang laki-laki berjalan antara dua sasaran (untuk memanah); Seorang yang mendidik kudanya; Bermain-mainnya seseorang dengan isterinya; Belajar berenang.”
(Hadis Riwayat Thabarani)
Manfaat berenang sangat besar terhadap mental dan fizikal manusia. Semasa berenang semua otot dan tulang rangka bergerak dan membuat satu gerakan yang berkoordinasi antara kaki dan tangan, selain merangsang stamina dan sistem kardiovaskular.
Berenang juga menjadikan seseorang itu lebih berani dan menambah keyakinan kerana berjaya menguasai air. Bahkan berenang juga membantu mengawal pernafasan dengan baik.
Sukan-sukan sunah ini bukan sahaja dapat membina kekuatan dan ketangkasan fizikal tetapi dapat menguatkan daya tumpuan, menguatkan mental, selain melatih diri untuk menjadi lebih kuat mengawal emosi.
Sebab itulah Islam sangat menggalakkan umatnya untuk bersukan dan beriadah, agar dapat menjalani kehidupan yang aktif dan produktif. Sesungguhnya otak yang cerdas itu daripada badan yang sihat dan kuat!