Mari bersama kenali Siapa Tun Fatimah dan sejarahnya.

Siapa Tun Fatimah? Tun Fatimah adalah anak Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Bendahara Tun Mutahir bin Tun Ali yang terkenal dengan gelaran Temenggung Seri Maharaja merupakan Bendahara Melaka ke-7 ketika pemerintahan Sultan Mahmud Syah sekitar abad ke-16.

Tun Fatimah dikatakan seorang wanita yang sangat jelita yang berketurunan India Muslim. Selain mempunyai akhlak dan budi perkerti yang baik sebagai wanita melayu. Kejelitannya telah berjaya menwan hati ramai para pemuda.

Tun Fatimah juga seorang  srikandi yang pandai dan tangkas dalam ilmu persilatan. Beliau juga sangat mahir bermain senjata keris dan tombak.

Wanita jelita itu kemudiannya dijodohkan dengan Tun Ali yang juga anak seorang pembesar Istana Seri Nara Diraja Tun Tahir. Pernikahan mereka diraikan dengan penuh gemilang.

Sewaktu hari perkahwinan mereka juga menjadi kali pertama Baginda Sultan melihat Tun Fatimah. Bahkan selama ini Baginda tidak mengetahui bahawa perdana menterinya itu memiliki seorang anak perempuan yang rupawan.

Sultan sangat berkenan dan mulai jatuh hati dengan Tun Fatimah. Pada masa sama Baginda juga murka dan terasa hati dengan Bendahara Tun Muktahir kerana tidak memperlihatkan Tun Fatimah kepada Baginda terlebih. Bertetapatan waktu itu, Baginda juga tidak memiliki permaisuri. Sehingga akhirnya Baginda berangkat meninggalkan majlis tanpa menyantap makanan sedikit pun.

Tidak lama kemudian, berlaku fitnah terhadap keluarga Bendahara Tun Muktahir yang menyatakan Bendahara menginginkan tahta pemerintahan Sultan dan ingin menjatuhkan kedudukan Baginda. Dendam Sultan yang telah kesumat semakin membara, lalu dengan mudah menerima hasutan itu.

Akibatnya, Bendahara Seri Maharaja Tun Muktahir, dengan dua anak lelakinya; Temenggung Tun Hasan dan Tun Tahir, bersamanya suami Tun Fatimah  sendiri Tun Ali, dijatuhi hukuman bunuh oleh Sultan.

Walaupun sangat sedih dan terkilan dengan hukuman Sultan yang melulu tanpa usul periksa,  Bendahara sangat reda dan menerima kententuan itu sebagai takdir Allah. Bendahara Tun Muktahir yang alim itu  meminta keluarganya bertenang. Malah berpesan agar tetap taat akan pemerintahan Sultan.

Semasa di bawah pentadbiran Tun Muktahir sebagai Bendahara, perkembangan ekonomi Melaka sangat memberangsangkan dan berada di kemuncak kegemilangan. Melaka pada waktu sangat aman dan dipandang tinggi oleh kerajaan-kerajaan lain. Tidak ada mana-mana kerajaan lain  yang berani mengganggu kesejahteraan Melaka.

Baginda Bendahara juga menjalankan beberapa siri perluasan empayar Melaka, seperti menakhluki Kelantan dan wilayah-wilayah berdekatan. Bendahara Tun Muktahir juga bertanggungjawab menyelamatkan Melaka daripada tipu helah Portugis yang cuba menawan Melaka (kali pertama) yang diketuai oleh Lopez de Squiera pada tahun 1509. Waktu itu Bendahara bersama putera-puteranya; Tun Hassan dna Tun Tahir telah menyerang dan mengusir angkatan Portugis dengan jayanya.

Disebabkan itulah pengaruh Bendahara mengatasi Sultan Mahmud sendiri yang lebih terkenal dengan pemerintahan yang lemah selain memiliki keperibadian yang buruk.

Bahkan Bendahara juga seorang yang berpegang teguh pada agama dan jujur dengan jawatan pentingnya. Sedangkan ketika itu ramai pembesar yang cuba mengambil peluang atas kelemahan Sultan. Namun malangnya beliau sekeluarga dihukum bunuh oleh Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara atas arahan Sultan.

Selepas keluarganya dihukum, Tun Fatimah dipaksa pula berkahwin dengan Baginda Sultan Mahmud. Pada mulanya pinangan Sultan ditolak oleh Tun Fatimah, namun dipujuk oleh Tun Busu iaitu sepupunya yang berjanji membantunya mencari dalang di sebalik fitnah pembunuhan keluarganya.

Sehinggalah pemfitnah yang menganiayai keluarganya ditangkap dan dihukum, iaitu Laksamana Khoja Hassan, Syahbandar Raja Mendeliar dan Kitul.

Baginda Sultan lantas mengarahkan  Raja Mendeliar dibunuh dan memusnahkan segala hartanya. Manakala, Kitol dijatuhkan hukuman dengan disula dalam keadaan melintang bersama-sama anak dan isterinya. Laksamana Khoja Hassan pula  dilucutkan segala pangkatnya dan segala kejahatannya tidak dimaafkan oleh Baginda walaupun dia tidak dihukum bunuh.

Ada riwayat lain yang menyatakan Sultan Mahmud pada awalnya menyesal selepas tersedar akan fitnah tersebut dan akhirnya berkahwin Tun Fatimah atas rasa bersalahnya itu.

Berkahwin Dengan Sultan Mahmud Syah

Tun Fatimah akhirnya menjadi isteri Baginda yang kelima dan permaisuri Melaka. Pada awal perkahwinannya,Tun Fatimah hanya berdiam, tidak pernah tersenyum dan tidak melayani Baginda Sultan dengan sebaiknya. Beliau juga mengalami keguguran sebanyak tiga kali. Hal ini dikatakan sebagai tanda kesedihan sekaligus sebagai tunjuk perasaan terhadap Sultan atas tindakan Baginda terdahulu.

Manakala Sultan Mahmud yang terkesan dengan tindakan isterinya itu pula bertindak meninggalkan kerajaannya dengan  membawa diri ke Hulu Melaka.  Tahta pemerintahannya diserahkan kepada puteranya Sultan Ahmad Syah. 

Selepas Sultan berjanji dengan bersungguh-sungguh  dan menjamin akan memberikan tahta sebagai penguasa Melaka kepada anak-anak dari Tun Fatimah, barulah Tun Fatimah tidak keguguran lagi. Tun Fatimah melahirkan tiga cahaya mata. Iaitu;

  1. Raja Puteh
  2. Raja Khadijah
  3. Raja Ali

Sebaik sahaja kelahiran Raja Ali, Sultan Mahmud Syah menitahkan agar dipalu gendang dan melepaskan tembakan meriam bagi memberi isyarat kepada rakyat Melaka bahawa baginda Sultan telah beroleh seorang putera.

Sebagai Permaisuri Sultan Melaka

Sebagai seorang permaisuri, Tun Fatimah sangat berkelayakan lantaran dibesarkan sebagai anak seorang pembesar yang cekap memimpin rakyat. Bahkan beliau sangat berkarismatik dan berketokohan sebagai seorang ratu yang berdaulat.

Bukan hanya sebagai seorang permaisuri yang mendampingi Sultan, Tun Fatimah digambarkan sebagai seorang permaisuri yang berjiwa rakyat. Beliau sering menyamar sebagai rakyat biasa untuk mengetahui akan hal rakyatnya.

Tun Fatimah yang cekap berlawan  dan  sering berketrampilan dengan pakaian lelaki. Beliau juga tidak gentar menentang musuhnya, selain  turut  sama berjuang menentang penjajah, dan ikut membantu Bendahara Tun Perak memimpin rakyat Melaka melawan Portugis. Diriwayatkan bahawa pasukan Portugis lebih takutkan permaisuri berbanding Baginda Sultan sendiri.

Pada tahun 1511 ketika  tewas dengan Portugis,  Sultan Mahmud bersama-sama Tun Fatimah dan para pengiring berjaya melarikan diri ke Muar sebelum ke Bintan, Kampar, Sayong, Pinang, Kota Tinggi termasuk Johor Lama. Tercatat dalm sejarah akan beberapa kali Sultan dan angkatannya membuat serangan bagi mendapatkan semula kota Melaka, tetapi tetap gagal.

Dengan kejatuhan Melaka,  Tun Fatimah telah mengasaskan kerajaan Melayu baru Johor-Riau yang merangkumi Johor dan pulau-pulau Riau ke bahagian Sumatera dan Kalimantan. Walau dengan kekuasaan Sultan Melaka yang terbatas, Tun Fatimah tidak mengakui tewas dengan mencipta hubungan dengan kerajaan-kerajaan berdekatan. Beliau bertindak bijak dengan mengahwinkan putera-puterinya dengan keluarga kerajaan lain seperti Aceh, Minangkabau dan Kalimantan.

Sehinggalah Sultan Mahmud Syah mangkat pada tahun 1528 di Kampar, Raja Ali ditabal sebagai sultan dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah II. Selain mendirikan pusat pentadbiran, pengaruh kerajaan Johor Lama juga berjaya dikembangkan.

Penutup

Sebenarnya pembunuhan Bendahara Sri Maharaja sedikit sebanyak telah menjadi faktor  kegoyahan dan kejatuhan kerajaan Melaka. Tanpa kepimpinan Bendahara dan kepahlawanan Temenggung Tun Hassan, Melaka seperti kehilangan pemimpin dan pahlawan yang selayaknya. Penjajah Portugis yang diketuai Gonzalo Periera, pernah tewas dalam cubaan pertama menawan Melaka gara-gara dua beranak ini.

Hanya serangan Portugis yang kedua diketuai oleh Alfonso d’Albuquerque (selepas pembunuhan empat orang pembesar termasuk Tun Muktahir dan Tun Hassan)  ditambah dengan  perpecahan dalaman, khianat, rasuah yang parah dan serangan musuh dalam selimut  telah berjaya meranapkan kota Melaka.

Rujukan:

  • Kaum Wanita Di zaman Kesultanan Melayu Melaka: Antara Batasan dan Realiti, Mahani Musa
  • Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin)
  • Sejarah Melayu, DBP, A Samad Ahmad
  • The Story of Tun Fatimah, Buyong bin Adil (Haji)

Bacaan Lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.