Ayuh kenali siapa ibu susuan Nabi Muhammad yang mendapat berkah ini.
Halimatus Sa’diyah merupakan ibu susuan yang juga ibu angkat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Nama sebenar beliau ialah Halimah binti Abi Dhuayb Abdullah ibn Al-Harith ibn Shagna. Beliau dilahirkan di kota Bani Saad. Halimah berasal dari kabilah Sa’ad bin Bakr iaitu suku terbesar yang menguasai wilayah Arab utara pada ketika itu. Beliau berkahwin dengan al-Harith bin Abdul Uzza dari suku yang sama.
Halimatus Sa’diyah adalah ibu susuan Nabi selepas Tsuwaibah Al-Aslamiyah dan Ummu Aiman. Ketika itu telah menjadi budaya dan tradisi masyarakat di kota Mekah untuk menghantar bayi mereka ke luar kota, dan dibesarkan dalam persekitaran luar bandar.
Selain dapat dibesarkan dalam udara yang lebih segar, ini juga bertujuan menjauhkan anak-anak kecil mereka dari penyakit dan memperkuatkan fizikal. Bahkan anak-anak mereka diharapkan dapat mempelajari bahasa Arab klasik dengan fasih sejak kecil.
Kebiasaan masyarakat Arab Mekah akan memilih dan mencari ibu susuan dari keturunan yang baik agar memberi pengaruh yang baik kepada bayi mereka. Antara kabilah pedalaman yang terkenal dalam bidang penyusuan ini adalah kabilah Bani Sa’ad.
Malah, Halimatus Sa’diyah antara wanita yang menjadikan tradisi ini sebagai penyumbang nafkah hidupnya. Halimah dan suaminya akan membawa pulang bayi-bayi dari keluarga-keluarga di Mekah untuk mendapatkan upah.
Pada awalnya, Halimatus Sa’diyah bukanlah ibu susuan yang menjadi pilihan lantaran badannya yang kurus dan kelihatan lemah. Beliau juga dilihat tidak mampu menjadi ibu susuan yang baik. Dengan itu, beliau gagal untuk mendapat anak susuan dari golongan hartawan.
Namun setelah melihat Nabi Muhammad yang ketika itu seorang anak yatim, beliau rela menjadi ibu susuan kepada bayi barakah itu. Ini kerana Halimatus Sa’diyah seorang wanita yang baik hati, dan penuh kasih walaupun kehidupannya sangat sederhana.
Sementara, semua wanita lain menolak untuk menjadi ibu susuan Muhammad kerana keyatimannya. Mereka menyangka pasti kurang upah yang bakal mereka perolehi kelak.
Lalu selepas berbincang dengan keluarga Baginda, Halimatus Sa’diyah pun membawa Nabi Muhammad pulang ke rumah di pedalaman. Ketika itu Baginda baru lapan hari dilahirkan.
Halimatus Sa’diyah berdoa;
“Demi Tuhan, tiada apa yang kuharap melainkan barakah daripada si anak kecil ini.”
Bermula hari pertama menjaga Muhammad, Halimatus Sa’diyah dan keluarganya sudah mendapat begitu banyak keberkatan. Bahkan semasa dalam perjalanan pulang pun banyak kejadian aneh yang berlaku, antaranya; Baginda Nabi Muhammad tidur dengan nyenyak dan memudahkan perjalanan, kantung susu unta yang mereka tunggangi menjadi penuh, keldai milik mereka juga lebih kuat dan bertenaga. Bahkan setelah sampai di rumah selepas perjalanan panjang, Halimah tidak berasa lapar atau dahaga mahupun letih seperti orang lain.
Kehidupan keluarga itu selepas itu berubah dengan serta merta. Binatang ternakan yang dahulu kurus menjadi gemuk semuanya, keldai dan unta yang dahulunya tua dan lemah menjadi paling sihat dan gagah.
Semua tanaman kebun milik mereka bertambah subur. Bahkan susunya pun bertambah-tambah. Halimatus Sa’diyah berasa sangat gembira dan senang hati kerana rezekinya bertambah luas dan kehidupannya semakin baik. Beliau sangat bersyukur.
Sejak menjaga dan menyusui Muhammad, keluarga dan anak-anak Halimatus Sa’diyah tidak pernah ditimpa apa-apa penyakit dan bahaya. Begitu juga dengan Muhammad sendiri yang begitu mudah dijaga dan tidak pernah menyusahkan keluarga Halimah. Mereka hidup dalam bahagia dan ceria.
Halimatus Sa’diyah terus menjaga Muhammad dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri. Beliau sangat mencinta anak susuannya itu sepenuh hati.
Nabi Muhammad pula terus membesar sebagai kanak-kanak yang sihat dan kuat. Baginda juga terkenal sebagai seorang budak yang memiliki akhlak baik dan sopan santun.
Ketika hidup bersama Halimah di pedalaman dan padang pasir menjadikan pembesaran Baginda lebih cepat dan lasak. Di sinilah Nabi Muhammad belajar tentang kehidupan seperti bersabar, berkongsi, menghargai alam dan binatang, termasuklah sebagai seorang gembala. Semua ini mencorakkan sifat mulia dan keperibadian Baginda sehingga dewasa.
Setelah dua tahun Muhammad dijaga dan disusukan oleh Halimah dan diasuh oleh puterinya Syaima, tibalah waktu untuk dipulang kepada keluarganya di kota Mekah.
Namun Halimatus Sa’diyah berasakan hanya sekejap saja dan belum puas menjaga Baginda. Lalu beliau menemui Aminah (Ibu Nabi) untuk meminta tambahan selama dua tahun lagi.
Keluarga Nabi Muhammad kemudian berbincang dan bersetuju untuk menyerahkan semula Baginda kepada Halimatus Sa’diyah selama dua tahun lagi. Ini juga bertujuan agar Baginda lebih matang dan mengelakkan wabak penyakit di kota Mekah.
Selepas dua tahun berlalu, ketika Nabi berusia empat tahun Halimatus Halimatus Sa’diyah terpaksa menyerahkan Baginda kepada Aminah kerana perjanjiannya sudah tamat. Walaupun sangat berat hati dan bersedih, beliau memahami pentingnya Muhammad membesar dan belajar dalam sukunya sendiri, Quraisy. Pada masa sama Ibu Nabi juga sangat mengharapkan Baginda dipulangkan untuk diasuh sendiri.
Ketika itu juga berlaku suatu peristiwa orang Yahudi ingin membawa Nabi Muhammad pergi setelah berlaku pembelahan dada Baginda. Peristiwa itu sangat membimbangkan Halimatus Sa’diyah. Demi keselamatan anak susuanya kesayangannya itu, Baginda dibawa ke kota Mekah.
Selepas Baginda pulang ke kota Mekah, hubungan mereka tetap erat. Nabi Muhammad sering mengunjungi Halimah dan keluarganya dan Halimah juga selalu mengunjungi Baginda di kota Mekah.
Sosok seorang wanita bernama Halimatus Sa’diyah sangat penting dalam kehidupan awal Nabi Muhammad SAW. Beliau adalah antara wanita utama dalam sejarah kehiudpan Baginda dan selalu diingat sebagai ibu susuan Nabi yang penyayang.
Halimatus Sa’diyah semamangnya bukan ibu kandung Nabi Muhammad, tetapi pengaruhnya dalam menjaga dan mengasuh Nabi tidak boleh diabaikan.
Jasa dan kebaikan Halimatus Sa’diyah dalam mendidik Nabi sejak kecil sedikit sebanyak menjadi faktor kepada akhlak mulia Baginda sehingga menajdi suri tauladan kepada umatnya.
Bahkan membentuk perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW sehingga membina sebuah peradaban yang agung.