Zubaidah adalah seorang puteri dan permaisuri daripada Khilafah Bani Abbas yang paling terkenal. Ayuh ketahu sejarah hidupnya yang boleh diteladani.

Nama sebenar Zubaidah ialah Sukainah atau Amatul ‘Aziz binti Ja’far bin Abu Ja’far al-Manshur. Beliau dilahirkan di Kota Mosul, Iraq pada tahun 766 M. Beliau merupakan cucu kepada pengasas kerajaan Abbasiyah, Khalifah Abu Ja’far al-Mansur.  Ibunya bernama Salsabil.

Zubaidah bernikah dengan Khalifah Harun ar-Rasyid yang juga sepupunya pada tahun 165H. Harun ar-Rasyid merupakan seorang khalifah paling cemerlang dalam pemerintahan kekhilafahan Abbasiyah. Mereka mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Al-Amin yang diangkat menjadi khalifah selepas Ar-Rasyid.

Wanita Terbaik Abbasiyah

Semenjak kecil lagi Zubaidah memiliki kecantikan dengan dengan rupa parasnya yang putih bersih dan menawan. Beliau mempunyai penghormatan dan pesonanya tersendiri sebagai seorang puteri kerajaan Abbasiyah.

Zubaidah seorang yang berfikiran moden seiring dengan penampilannya sebagai seorang puteri dan permaisuri. Beliau sangat menghargai fesyen dan pakaian yang berwarna-warni seperti merah, kuning, hijau dan biru.

Zubaidah adalah pelopor kepada fesyen wanita ketika itu dengan menampilkan  pelbagai bentuk pakaian yang terbaru dan menarik. Beliau sangat menggemari sutera asli. Harga salah satu pakaiannya pernah mencecah sehingga 50,000 dinar. Fesyen-fesyen pakaiannya menjadi ikutan wanita sezamannya dan terus berkembang. Banyak wanita di kota Baghdad ketika itu berminat untuk menjadi tukang jahitnya.

Pada zaman itu, beliau orang pertama yang memiliki kasut yang dihias dengan pelbagai permata, mutiara manikam dan lilin anbar. Zubaidah juga dikatakan orang pertama yang mempunyai rumah berkubah perak di atasnya.

Wanita Berilmu dan Mencintai al-Quran

Selain cantik dan menjaga penampilan, Zubaidah seorang wanita yang berani, bijaksana di samping terkenal sebagai sebagai ulama perempuan yang cerdas. Suaminya, Khalifah Harun ar-Rasyid juga sangat menghormati Zubaidah dan sering menjadikan isterinya itu sebagai tempat rujukan dalam membincangkan hal pentabiran negara. Ini kerana pendapatnya yang tajam dan buah akalnya yang bernas.

Zubaidah juga sangat berketrampilan sebagai seorang  penyair, sasterawan, cendekiawan selain seorang ahli seni. Permaisuri ini juga sangat cintakan ilmu pengetahuan. Beliau membelanjakan banyak hartanya demi menjadikan kota Baghdad sebagai ibu negara yang kaya  dengan pelbagai  cabang ilmu.

Zubaidah juga sangat menyintai al-Quran sehinggakan menjadikan istananya sebagai taman al-Quran. Istana Zubaidah yang terletak di tepi sungai Dijlah barat iaitu Qasr Zubaidah atau digelar sebagai Dar al-Qarar, dikelilingi dengan kebun dan taman-taman yang tiada tandingan cantiknya.

Dikatakan, Permaisuri Zubaidah memiliki 100 orang hamba wanita yang diperintahkan untuk menghafaz al-Quran.  Setiap dari mereka akan membaca 10 juzuk secara bergilir-gilir sepanjang hari sehingga kedengaran di istananya seperti suara lebah (Abbasah Ukhtu al-Rasyid).

Mimpi Siti Zubaidah

Suatu malam, Zubaidah telah bermimpi ganjil bahawa beliau bersetubuh dengan beribu-ribu orang.

Selepas terbangun, Zubaidah memanggil hambanya dan menceritakan mimpinya itu. Beliau meminta hambanya itu menemui Ibnu Sirin iaitu seorang ulama dan pentafsir mimpi yang terkenal ketika itu. Lantaran berasa malu Zubaiah meminta namanya dirahsiakan.

Ibnu Sirin mendengar kisah mimpi itu hanya tersenyum sahaja. Pada hematnya, hamba Zubaidah itu bukanlah tuan punya sebenarnya mimpi tersebut. Lalu hamba itu pulang menemui Zubaidah.

Lalu terpaksalah Zubaidah mengizinkan hambanya untuk memberitahu hal sebenar.

Setelah Ibnu Sirin mendengar nama Zubaidah disebut, beliau berkata: “Sekarang, barulah padan!”

Tafsiran Ibnu Sirin menyatakan, Permaisuri Zubaidah akan membuat kebajikan membina terusan air di Mekah yang terusan air ini boleh dimanfaatkan oleh ribuan jemaah haji.

Jasa Agung Siti Zubaidah

Zubaidah mempunyai sifat dermawan yang sangat luar biasa walaupun dihiasi dengan kemewahan. Banyak kebaikan beliau dalam membantu serta memberi kemudahan kepada rakyatnya.

Begitu banyak hartanya diinfakkan  untuk amal kebajikan dan menolong fakir miskin dengan mendirikan banyak sekolah, rumah anak yatim dan hospital untuk umum. Zubaidah juga sering membiayai ratusan orang untuk mengerjakan haji.

Antara jasa besarnya adalah wakaf-wakaf beliau yang terkenal di sepanjang laluan jemaah haji dari Baghdad hingga ke kota Makkah yang dikenali sebagai Darb Zubaidah atau Air Mata Zubaidah.

Menurut Ibnu Battutah, tanpa kolam-kolam yang diwakafkan oleh Siti Zubaidah, nescaya laluan tersebut pasti tidak akan dapat dilalui manusia ( Pengembaraan Ibnu Battutah).

Sewaktu Zubaidah mengerjakan haji pada tahun 186H. Ketika itu musim kemarau dan semua wadi dan sumber air menjadi kering, Zubaidah melihat kesukaran jemaah haji dan juga penduduk kota Mekah yang menghadapi kekurangan bekalan air. Zubaidah berpendapat penduduk dan para jemaah tidak boleh hanya bergantung kepada telaga sahaja tetapi mesti membina saliran air lain menuju ke kota Mekah.

Selepas pulang ke Baghdad,  beliau menjemput semua pekerjanya dari serata negara untuk melaksanakan projek saliran ini walaupun bakal menelan belanja yang begitu besar.

Usaha mereka adalah memperdalam telaga zam-zam, selain menyambung mata-mata air dari gunung-gunung di sekitar Mekah dan mata air yang utama iaitu mata air dari Hunain. Lalu membina saluran sehingga air itu boleh sampai ke Mekah.

Selepas sempurna binaan telaga sepanjang terusan itu, maka sangat memudahkan beribu orang yang mengerjakan haji dan memberi manfaat besar kepada penduduk sekitar.

Saliran dan telaga tersebut dikenali sebagai ‘Ain Zubaidah dan orang ramai menggelarkannya sebagai Saqiyatu al-Hajij (perempuan yang memberi minum kepada jemaah haji). Saliran air ini terletak di Wadi Nu’man yang airnya disalurkan hingga ke Arafah kemudian ke Wadi ‘Uranah, lalu ke Mekah.

Projek tersebut menelan belanja sebanyak 1.7 juta dinar bersamaanya lebih kurang 5,950 kg emas yang semuanya adalah dari belanja peribadi Zubaidah sendiri. Namun Zubaidah tidak pernah berkira, malah berkata;

“Aku telah menyerahkan urusan belanjawan ini pada Hari Perhitungan. Segala yang telah aku lakukan hanyalah untuk mendapat kebaikan dari Allah. Jika ada sejumlah wang yang aku berhutang, aku bersedia untuk membayarnya, dan jika ada yang berhutang kepada aku, maka aku tidak akan mengiranya

Zubaidah juga mendirikan banyak kemudahan lain untuk jemaah haji yang dalam perjalanan ke Mekah dari Iraq dan juga Kufah, seperti tempat mandi dan perigi. Termasuklah rumah-rumah rehat yang digelar sebagai Darbu Zubaidah atau teratak Zubaidah. Beliau juga membina sebuah masjid yang dinamakan Masjid Zubaidah Ummi Ja’afar di Baghdad.

Selain itu, Zubaidah turut membaiki jalan di antara Baghdad dan Mekah. Selain itu, sebuah istana yang mempunyai beberapa kubah dibina oleh beliau, yang di dalamnya terdapat sebuah tempat mandi dan dua buah perigi air tawar.

Sumbangan permaisuri ini begitu besar dalam membantu para jamaah haji dan penduduk Makkah yang telah lama mengalami kesukaran. Bahkan ada antaranya masih kekal sehingga hari ini. Semoga pahala kebaikan beliau akan sentiasa mengalir sebagai amal jariahnya.

Zubaidah meninggal dunia pada tahun 216H bersamaan 831M ketika berusia 71 tahun. Beliau  dimakamkan di kota Baghdad.

Bacaan lain:

Rujukan:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.