Mari bersama pelajari cara tidur yang terbaik seperti tidur Rasululah.
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah tidurmu di waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mendengarkan.”
(ar-Rum: 23)
Allah menjadikan setiap manusia bersama fitrah tidur pada malam hari. Tidur pada malam hari adalah sebagai cara merehatkan diri dari pekerjaan pada siang harinya. Keperluan tempoh tidur bagi setiap setiap individu adalah berbeza, namun tempoh 7-8 jam adalah tempoh yang disarankan untuk individu dewasa sihat.
Tidur yang tidak mencukupi serta tidak berkualiti akan menganggu kegiatan harian seseorang, selain emosi juga menjadi tidak stabil.
Walaupun tidur adalah cara rehat yang santai namun ada cara dan etika yang diajarkan Islam. Rasulullah SAW jug menggalakkan umatnya adab tidur yang terbaik bagi memastikan tidur itu bukan sahaja merehatkan diri semata-mata, tetapi menjadikan tidur sebagai ibadah dan diberkati Allah SWT.
Lalu, apakah yang dilakukan oleh Baginda SAW sewaktu ingin tidur?
Rasulullah SAW akan berwuduk terlebih dahulu sebelum tidur.
“Jika kamu hendak tidur, maka berwuduk bagaikan kamu hendak mendirikan solat kemudian berbaring atas pinggang kanan dan bacalah doa ini (seperti maksud doa yang tersebut diatas) dan jadikanlah bacaan doa itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu sebelum tidur)”
(Hadis Riwayat Bukari dan Muslim)
Jika Rasulullah terjaga dari tidur di tengah malam, Baginda akan membasuh muka dan kedua-dua belah tangannya, sebelum Baginda tidur semula.
Nabi Muhammad juga menyarankan umat muslim untuk menunaikan solat sunat witir sebelum tidur, seperti yang tercatat dalam hadis berikut:
“Rasulullah SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering menganggu manusia ketika tidur. Oleh itu, umat Islam adalah dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Sebelum tidur Baginda tidak pernah meninggalkan doa. Dalam sebuah hadis yang bermaksud;
“Daripada Huzaifah katanya:Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya lalu Baginda berdoa: ‘Dengan nama-Mu Ya Allah, aku hidup dan aku mati’.”
Begitu juga dalam hadis lain yang bermaksud;
“Daripada Aisyah RA katanya Rasulullah SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falak dan surah an-Naas, kemudian Baginda menyapukan tangannya ke seluruh badan yang dapat disapunya dari kepala dan mukanya dan bahagian depan daripada tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Rasulullah SAW juga telah menganjurkan umatnya untuk berzikir dan berdoa sebelum dan selepas tidur. Sabdanya yang bermaksud:
“Al-Barra bin Azib RA berkata; Adalah Rasulullah SAW jika akan tidur, baginda mengiring ke sebelah kanan kemudian membaca: “Ya Allah aku serahkan diriku kepada-Mu dan mengadapkan wajah ku pada-Mu dan menyerahkan semua urusanku kepada-Mu dan menyandarkan punggungku kepada-Mu kerana mengharap dan takut kepada-Mu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksa-Mu kecuali kembali kepada-Mu. Aku percaya kepada Kitab yang Engkau turunkan dan Nabi yang telah Engkau utuskan. Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami kembali setelah Dia mematikan kami, dan hanya kepada-Nya kami akan dibangkitkan.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Menutup pintu, mematikan lampu sebelum tidur juga dianggap sebagai amalan sebelum tidur yang sering dilakukan oleh Baginda SAW. Hadis Jabir bin Abdillah RA, Rasulullah SAW bersabda,
“Apabila kalian hendak tidur, padamkanlah lampu dan kuncilah pintu terlebih dahulu.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Ahmad, At-Tirmidzi, Abu Dawud, Malik)
Baginda Nabi SAW ketika mahu tidur akan mengibas dan menyapu tempat tidurnya dengan kain sebanyak tiga kali, sebelum Baginda tidur di atasnya.
Abu Hurairah RA meriwayatkan, Nabi SAW bersabda;
“Jika salah seorang dari kalian hendak tidur, maka tebahlah tempat tidurnya pada bahagian dalam sarung yang tidak menyentuh badannya, kerana dia tidak tahu apa yang terjadi setelah dia berbaring padanya …”

Baginda mengamalkan cara tidur dengan mengiring pada sisi badan. Baginda bersabda;
“Jika kamu mendatangi tempat tidurmu, maka wuduklah seperti wuduk untuk solat, lalu berbaringlah pada sisi kanan badanmu.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Namun begitu, Rasulullah SAW juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas kaki yang lain seperti yang yang disebutkan dalam hadis:
“Daripada Abbad bin Tamim, daripada bapa saudaranya, bahawasanya Rasulullah SAW tidur terlentang di masjid sambil meletakkan satu kaki diatas yang lain.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mengamalkan cara Rasulullah SAW bukan sahaja mendapat pahala sunah, tetapi mengandungi banyak hikmah dan kebaikan kepada kesihatan dan emosi.
Rutin sebelum tidur yang dianjurkan oleh Baginda juga sangat teratur dan berperanan penting dalam menjadikan kita seorang hamba yang berdisiplin dan sentiasa mengingati Allah.
Dengan ini dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT seterusnya menjadikan kita hamba Allah SWT yang beriman dan bertakwa.