Mencari resepi roti untuk sarapan ataupun untuk minum petang? Banyak kepelbagaian makan roti misalnya roti cicah kari, cicah sup kambing, cicah sup cendawan, atau boleh juga roti cicah sardin. Anak-anak pula suka roti cicah susu atau gula, atau roti makan dengan aiskrim pun jadi kegemaran ramai anak-anak mahupun dewasa. Paling sederhana makan roti bersama teh o panas. Siram saja teh o panas ke atas roti, rasa moist dan manis kena di tekak.

Roti banyak dijual di kedai runcit dan pasaraya dengan kepelbagaian jenama roti. Roti dijual dengan harga yang berpatutan. Namun ada beberapa jenis roti berkualiti yang letak harga mahal. Membuatkan kita berpikir banyak kali sebelum beli roti.

Apa kata kalau kita meroti saja? Beli bahan-bahan roti seperti tepung, gula, yis, dan lain-lain. Jimat bahan boleh diguna untuk banyak jenis adunan roti seperti roti buku, roti kering, bahkan roti canai. Cara buat roti pula amat mudah. Ada yang hanya dengan 3 bahan sahaja, tanpa telur, tanpa pengadun elektrik pun ada. Selain itu roti homemade tentunya lebih bersih dan sihat dan sesuai dengan selera masing-masing.

Oleh kerana itu, kami kongsikan 10 resepi roti homemade yang terdiri antara kepelbagaian jenis roti. Semestinya resepi di bawah ini mudah belaka namun sedap. Tidak hairanlah resepi-resepi ini mendapat perkongsian ramai di Facebook.

Roti Homemade 3 Bahan Tanpa Telur

Imej via Facebook

Resepi pertama kami hadirkan roti homemade ala Muhamad Ismail Mohd Ali yang berkongsikan resepi di laman Facebook. Yang menarik dari resepi homemade ini adalah kerana menggunakan 3 bahan sahaja iaitu susu, mauripan, dan tepung gandum. Mudah dan jimat masa bukan? Ayuh cuba buat roti homemade ala resepi di bawah ini.

Bahan-bahan :

  • 300 ml susu suam (fresh milk@susu tepung),
  • 8 gram mauripan,
  • Garam secukupnya,
  • Air secukupnya,
  • Tepung gandum.

Cara-cara :

  1. Di dalam satu bekas, masukkan susu suam, mauripan, garam, air, kacau dan biarkan selama 15 minit.
  2. Campurkan bancuhan mauripan di atas ke dalam tepung gandum dan uli selama 10 minit.
  3. Selepas itu, tutup adunan dengan kain dan biarkan adunan naik lebih kurang selama 40 minit.
  4. Kemudian bahagikan adunan tadi kepada 8 bahagian, bulat-bulatkan dan ketepikan.
  5. Canai satu persatu dan masak atas pan, balik-balikkan sehingga masak.
  6. Selepas sudah siap, sapukan dengan minyak zaitun yang dicampurkan sedikit garam. Siap untuk dimakan.

Roti Homemade Fresh

Imej via Facebook

Hari-hari makan roti pun tidak mengapa sebab roti buat sendiri lebih segar terus dari oven dan tanpa pengawet. Seterusnya kami tuliskan resepi roti sedap, senang, simple dan uli tangan sahaja. Tidak perlu uli pun boleh dapat buat roti yang lembut dan sedap. Makan dengan kopi panas langsung tak pandang kiri kanan. Resepi dikongsikan oleh Ainieani Sam di laman Facebook. Resipi ini boleh dapat 20 biji dalam 45 gram setiap roti.

Bahan A :

  • 1 biji telur,
  • 2 sudu besar gula,
  • 2 sudu besar yis @ 2 paket yis (11 gram),
  • 300 ml air,
  • Campurkan semua bahan, kacau sebati dan biar kembang berbuih dalam 10 minit.

Bahan B :

  • 500 gram tepung high protein @ gandum,
  • 2 sudu besar gula,
  • 1 sudu kecil garam,
  • 1 sudu besar marjerin,
  • 1/8 sudu kecil improver (optional),
  • Masukkan semua bahan B dan gaul kering biar sebati.

Cara-cara :

  1. Campurkan bahan B dan bahan A sedikit-sedikit hingga sebati. Adunan memang sedikit lembik tapi jangan risau nanti doh akan cantik selepas sudah kembang.
  2. Biar sehingga 20 minit dan biar naik sekali ganda.
  3. Doh sedia dirounding dan patenkan roti yang anda suka.
  4. Biar doh naik lagi dan bakar pada suhu 180°C selama 20 minit.

Roti Naan Homemade Gebu

Imej via Facebook

Resepi roti berikut ini memang gebu sangat. Lindah Ali berkongsi resepi roti naan homemade gebu di laman Facebook. Roti ini kalau bubuh cheese lagi sedap. Ayuh cuba buat untuk sarapan nanti!

Bahan-bahan :

  • 3 cawan tepung gandum,
  • 1 sudu besar gula,
  • 1 sudu besar yis,
  • 1 sudu kecil garam,
  • 1 sudu kecil bread improver atau boleh guna baking powder,
  • 1¼ cawan air,
  • 3 sudu besar minyak masak /minyak zaitun (saya campurkan).

Cara-cara :

  1. Mula-mula gaulkan semua bahan dan adunkan sehingga menjadi doh.
  2. Kemudian tutup doh dan rehatkan lebih kurang 30 minit. Doh akan naik hingga 2 kali ganda.
  3. Kemudian, tumbuk doh bagi keluar angin.
  4. Bulatkan ikut besar mana kita mahu roti naan itu.
  5. Selepas itu canaikan doh.
  6. Masa ini boleh bubuh cheese. Selepas bubuh cheese, bulatkan balik dan canaikan semula. Yang suka perasa garlic pun boleh bubuh bawang putih yang dicincang/ditumbuk, butter, dan parsley/ daun ketumbar untuk sapuan masa masak nanti. Kalau suka roti naan yang kosong, skip langkah ini dan terus masak atas api.
  7. Boleh juga masak roti yang dicanai tadi di atas kuali non-stick.
  8. Guna api paling kecil dan tutup dengan tudung periuk masa memasak.
  9. Agak-agak sudah masak, bolehlah angkat. Siap.

Paratha Homemade

Imej via Facebook

Sedap dan rangup rasa roti paratha, makan pulak dengan kari memang tidak cukup 3 keping. Cara buat roti ini senang dan dapatkan bahan-bahan pun mudah. Jom cuba resepi daripada Khadijah Jaafar di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • 2 cawan tepung gandum,
  • ½ sudu kecil garam,
  • 2 sudu kecil gula,
  • 1 sudu kecil yis,
  • 150 ml air,
  • 4 sudu besar minyak masak,
  • Minyak/butter/minyak sapi untuk goreng,
  • Butter untuk sapuan.

Cara-cara :

  1. Di dalam mangkuk campurkan tepung, garam, gula, yis dan minyak masak. Tambahkan air sedikit demi sedikit sehingga adunan sebati dan lembut. Tak perlu uli lama-lama pun.
  2. Biarkan doh direhatkan dalam satu jam dan tutupkan dengan kain. Pastikan mangkuk disapukan dengan sedikit minyak supaya doh tidak melekat pada mangkuk.
  3. Doh akan naik 2 kali ganda dari saiz asal.
  4. Bentukkan doh kecil-kecil. Ikut pada saiz yg masing-masing kehendaki. Rehatkan dalam 10-15 minit.
  5. Ambil satu biji dan taburkan sedikit tepung pada papan dan atas doh. Supaya mudah nak golek tidak melekat.
  6. Golekkanlah mengikut ketebalan yang disukai.
  7. Panaskan kuali dengan minyak/butter/minyak sapi. Mengikut citarasa masing-masing.
  8. Goreng roti paratha lebih kurang 2-3 minit untuk setiap belah ataupun sehingga garing. Pastikan goreng dengan api perlahan.
  9. Selepas siap digoreng sapukan sedikit butter. Rasanya pun lebih sedap dengan rasa lemak butter.
  10. Boleh hidangkan bersama kuah kegemaran atau cicah dengan kari.

Roti Arab Kebab Daging Versi Mudah

Imej via Facebook

Teringin makan roti arab sedap tapi pasalnya sekarang ini susah cari orang jual roti arab atau roti pita. Maka, kita kena gigih juga buat roti arab homemade versi sendiri. Sesiapa yang baru pertama buat roti arab, kami kongsikan resepi olahan CikPuan SitiMasitah di laman Facebook. Rasa kebab daging ini memang persis dekat pasar malam.

Bahan Doh :

  • 3 cawan tepung gandum,
  • 1½ sudu kecil yis mauripan,
  • 2 sudu besar gula,
  • Sedikit garam,
  • 2 sudu besar minyak zaitun/minyak masak,
  • 1 cawan (lebih kurang) air suam.

Cara-cara :

  1. Satukan tepung, yis, gula, garam dan minyak dalam satu bekas.
  2. Gaul sebati kemudian masukkan air sedikit demi sedikit dan uli sehingga doh tidak melekat pada tangan. Adunan macam buat roti puri.
  3. Uli beberapa minit kemudian rehatkan doh selama 1 jam.
  4. Selepas itu, tumbuk doh dan uli semula dan boleh bulat-bulatkan doh sebesar penumbuk.
  5. Kemudian leperkan doh dan roll sedikit nipis. Sedia untuk digoreng atas non-stick pan tanpa minyak guna api sederhana, atau boleh dibakar guna oven.
  6. Roti akan nampak naik sedikit. Satu adunan itu boleh dapat 6 keping. Untuk makluman, roti ini tiada rongga. Potong 2 terlebih dahulu, kemudian belahkan bahagian tengah roti supaya dapat “poket” pada roti tadi.
  7. Sedia untuk sumbatkan inti kebab.

Bahan Inti Kebab Daging :

  • 1 paket daging burger Ramly,
  • 1 biji bawang holland (potong dadu),
  • 2 sudu besar sos lada hitam,
  • 1 sudu besar sos tiram,
  • 2 sudu besar sos tomato,
  • 3 sudu besar sos cili,
  • Sedikit lada sulah,
  • Timun (dipotong dadu),
  • Tomato (dipotong dadu),
  • Mayones.

Cara-cara :

  1. Panaskan kuali, masukkan daging burger dan hancurkan. Biar daging keluarkan minyak dan sedikit kecut.
  2. Kemudian masukkan bawang holland.
  3. Tambahkan sos yang ada, lada sulah, dan perencah. Kacau hingga daging masak.
  4. Tambahkan timun dan tomato, kacau sebati dan tutup api.
  5. Ambil roti yang telah dihiris, sapukan mayones pada bahagian dalam roti, kemudian sumbatkan inti daging burger yang sudah dimasak. Tambah sos jika perlu. Sedia dihidangkan.

Roti Puri Kembong Tanpa Yis Homemade

Imej via Facebook

Menu simple jimat masa rasa macam kedai. Sesiapa yang malas keluar pergi kedai, boleh cuba buat roti puri kembong tanpa yis. Tips untuk bagi puri kembong ialah minyak mesti betul-betul panas, waktu goreng guna api sederhana, sambil goreng curah minyak panas banyak kali ke atas roti puri sampai dia kembong sendiri, canai tidak nipis sangat pun tidak apa. Resepi dikongsikan oleh Nurasykin Ali di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • Tepung gandum 3 cawan,
  • Gula 1 sudu besar,
  • Garam 1 sudu kecil,
  • Marjerin 1 sudu kecil,
  • Air suam 1 cawan,
  • Minyak masak.

Cara-cara :

  1. Masukkan tepung, garam, marjerin dan gula. Gaul rata.
  2. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli. Asalkan jangan lembik.
  3. Uli sampai doh tidak lekat di tangan.
  4. Biar kejap dalam 10-15 minit untuk bagi doh rehat.
  5. Kemudian tarik doh buat bulat bulat kecil.
  6. Canai leper dan masuk dalam minyak yang betul-betul panas. Api sederhana.
  7. Tengah goreng itu siramkan minyak panas atas puri biar gemok mengembung. Angkat dan hidangkan.

Roti Canai Homemade

Imej via Facebook

Sesiapa penggemar roti canai, selepas ini boleh buat roti canai sendiri di rumah. Tidak perlu pergi kedai mamak, beratur ramai sangat. Fatimah Ali berkongsikan resepi roti canai homemade di laman Facebook. Kuah terpulang ingin kuah apa, cicah gulai sardin pun sedap. Resepi ini boleh dapat 12 biji doh. Konfirm disukai ramai.

Bahan-bahan :

  • Tepung 4 cawan,
  • Gula pasir 1 sudu besar,
  • Garam ½ sudu kecil,
  • Telur 1 biji,
  • Margerin 2 sudu besar,
  • Air suam satu cawan (sebab uli pakai tangan, kalau guna mesin guna air sejuk).

Cara-cara :

  1. Sediakan bekas besar. Masukkan tepung, gula, garam, dan margerin. Gaul rata.
  2. Pecahkan telur ke dalam bekas tadi.
  3. Masukkan air. Uli sampai licin sekata lebih kurang 30 minit.
  4. Kemudian bahagikan doh, bulat-bulatkan.
  5. Terus masukkan doh ke dalam bekas.
  6. Jangan lupa letak minyak hingga doh terendam.
  7. Perap lebih kurang 2 jam atau lebih. Lagi lama perap, lagi bagus. Biasa kalau nak makan pagi, buat doh malam.
  8. Selepas perap canaikan roti. Anda boleh guna dulang untuk tebar rotinya. Tarik perlahan, agak-agak nipis penuh permukaan dulang. Kemudian gulungkan kemas.
  9. Masa masak atas kuali, ambil doh tadi leperkan sedikit. Masak seperti biasa. Renjis-renjiskan sedikit minyak. Masak sehingga roti masak dan garing.
  10. Bila sudah garing, angkat roti, seperti biasa kepuk-kepukkan roti guna tangan ala-ala penebar roti canai.

Roti Reben Homemade

Imej via Facebook

Anak suka makan roti, mak pun kena rajin bersilat di dapur. Ini ialah apa yang berlaku kepada Liyana Izzati yang berkongsi resepi roti reben cantik di laman Facebook. Roti reben cicah dengan susu pun sedap. Anak-anak lagi suka rasa lembut dan manis macam itu. Lagi comel kalau rebennya gendut-gendut macam resepi di bawah ini bukan? Roti reben sesuai untuk menu potluck anak dekat sekolah.

Bahan-bahan :

  • 2 biji kuning telur,
  • 1 sudu besar susu tepung,
  • 5-6 sudu besar madu@60 gram gula,
  • 120 gram air,
  • 250 gram tepung high protein/gandum,
  • 1 sudu kecil yis,
  • 35 gram unsalted butter.

Cara-cara :

  1. Satukan kesemua bahan dan gaul.
  2. Masukkan air sedikit demi sedikit. Uli sehingga tidak melekat di tangan.
  3. Timbang doh seberat 40 gram dan terus bentukkan.
  4. Biar kembang dan sebelum bakar tabur tepung (hiasan).
  5. Bakar suhu 160°C selama 15-20 minit, api atas bawah.

Roti Bantal Homemade

Imej via Facebook

Susah juga dapatkan roti bantal untuk buat roti titab makan pagi-pagi. Oleh kerana itu Siti Bid gigih belajar dan kongsikan resepi roti bantal yang konfirm menjadi di laman Facebook. Selepas ini boleh lah buat roti titab ala-ala kopitiam di rumah.

Bahan-bahan :

  • 500 gram tepung gandum,
  • 3 sudu besar susu tepung,
  • 1 biji telur saiz A,
  • 3 sudu besar shortening,
  • 5 sudu besar gula,
  • 1 sudu besar yis,
  • 1 sudu kecil garam halus,
  • 200 ml air suam.

Cara-cara :

  1. Campurkan gula dan yis ke dalam air suam, biarkan 10 minit. Biarkan yis bertindak balas sehingga keluarkan buih (anggaran dalam 10 minit).
  2. Campurkan tepung gandum, susu tepung, garam, shortening dan telur. Gaul rata semua campuran tersebut.
  3. Kemudian masukkan air yang dicampur gula dan yis tadi sedikit demi sedikit dan uli adunan hingga sebati dan lembut. Kalau adunan keras tambah lagi air. Sekiranya adunan lembik kurangkan air. Sebab itu penting masukkan air sedikit demi sedikit supaya kita boleh kontrol adunan supaya tidak terlalu lembik dan tidak terlalu keras.
  4. Selepas sudah uli sebati dan lembut adunan tersebut, rehatkan doh selama 45 minit. Tutup bekas doh dengan tuala atau dengan plastik. Kalau boleh guna tuala kering.
  5. Selepas rehatkan doh 45 minit, doh akan mengembang 2x ganda doh yang asal. Tekan/tumbuk doh untuk keluarkan angin yang terdapat dalam doh tersebut dan bentukkan untuk masukkan dalam loyang khas untuk roti bantal. Bentukkan doh dengan kaedah mengulung.
  6. Kemudian rehat lagi sekali 45 minit. Tutup dengan plastik. Jangan lupa sediakan ruang untuk doh mengembang (maknanya tutup doh jangan rapat. Kosongkan ruang atas supaya doh boleh mengembang dengan cantik). Biarkan doh mengembang 2x ganda.
  7. Panaskan oven 180°C selama 10 minit. Kemudian masukkan doh dalam oven dan bakar selamat 30-40 minit bergantung pada oven masing-masing. Sebelum masukkan dalam oven, sapukan permukaan doh dengan telur. Telur tersebut hendaklah dipukul dan dicampurkan sedikit pewarna kuning telur supaya nampak berseri.

Roti Boy/Mexico Bun Homemade

Imej via Facebook

Dari jauh lagi memang semerbak aroma kopi dia. Memang tidak tahan kalau sekadar tengok. Mau meleleh liur nanti. Apabila anda teringin makan roti, baik buat sendiri. Bahan-bahan boleh dikata memang ada dekat rumah. Efie Muhamad berkongsikan resepi roti boy di laman Facebook. Bolehlah buat untuk minum petang-petang.

Bahan-bahan :

  • Tepung gandum 250 gram,
  • Gula 50 gram,
  • Susu segar 150 gram,
  • Mauripan 1 sudu,
  • Mentega 30 gram,
  • Mentega yang dipotong kiub (jumlah terpulang kepada berapa banyak roti dapat).

Cara – cara :

  1. Masukkan kesemua bahan ke dalam breadmaker untuk diuli.
  2. Kemudian bulat-bulatkan doh.
  3. Seterusnya masukkan mentega yang sudah dipotong kiub ke dalam doh tersebut. Bulatkan semula.
  4. Selepas selesai semua, tunggu hingga doh kembang, baru letak topping dia.

Bahan Topping Kopi :

  • Mentega 60 gram,
  • Gula 30 gram,
  • Serbuk nescafe 2 sudu dengan air suam 2 sudu (godak-godak dalam gelas, ketepikan).
  • Telur sebiji,
  • Tepung gandum 70 gram.

Cara-cara :

  1. Mula-mula pukul mentega dengan gula sampai berkrim, guna mixer sahaja.
  2. Kemudian masukkan telur dan pukul lagi.
  3. Masukkan air bancuhan nescafe tadi, pukul lagi.
  4. Akhir sekali masukkan tepung dan pukul sebati.
  5. Untuk topping pula, masukkan siap-siap ke dalam piping beg. Paipkan dari tengah secara melengkar di atas roti tadi.
  6. Bakar suhu 170°C selama 20 minit, guna api atas bawah.

Resepi Menarik Lain

Selain resepi roti homemade, kami juga menulis resepi lain yang mendapat perkongsian ramai. Jemput baca dan mencuba resepi di bawah. Jangan lupa Like dan Share resepi ini ya.

Penulis: Saiful Izzuan

Menulis berkenaan tips motivasi dan kejayaan di blog drInspirasi.com. Seorang yang gemar berkongsi mengenai prinsip Kejayaan dan Bakat. Kebanyakan artikel beliau boleh dibaca di www.drinspirasi.com

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.