Siapa yang tidak teruja membuat kek sendiri? Walaupun sebenarnya mudah untuk dapatkan kek di kedai kek. Tapi mestilah ada kalanya teringin buat kek sendiri bukan? Buat kek sendiri sepatutnya lebih puas dan seronok.

Tapi tahukah anda, kalau ingin buat kek, kena paham juga alatan dan perkakas untuk buat kek tersebut. Bermula dari siapkan bahan-bahan hingga lah mengukus atau membakar kek. Untuk dapatkan kek yang cantik teksturnya, tiada ketul-ketul, sebati dan sesuai sukatan, kena guna alat pengadun eletrik. Boleh saja guna tangan tapi kena hadap risiko kebas tangan sebab menguli berjam-jam.

Namun, tidak semua orang punya pengadun elektrik, bukan? Itulah cabaran sesungguhnya.

Tapi tidak perlu anda risau akan itu, kerana ada alternatif lain yang boleh diguna jika anda tidak punya pengadun elektrik. Alat alternatif itu ialah blender. Blender merupakan alat penting di dapur, kebanyakan orang mesti punya bukan? Dan sememangnya blender serbaguna kerana boleh diguna sebagai pengadun bahan kek. Berikut ini kami kumpulkan resepi kek blender yang boleh diadun dengan menggunakan blender. Jemput baca resepi di bawah.

Kek Coklat Moist Kukus

coklat moist
Imej via Facebook

Resepi kek blender mudah pertama yang boleh anda cuba ialah kek coklat moist kukus. Selain mudah, kek ini pula amat simple sebab masak kukus sahaja. Blender bahan hanya 5 minit boleh siap. Kek coklat moist kukus ini sesuai dijadikan kudapan minum petang. Anak-anak mesti suka. Resepi dikongsikan oleh Ibu Rabbani di laman Facebook.

Bahan Blend :

  • 1 cawan susu cair/air biasa,
  • 1 cawan susu pekat,
  • 1 cawan serbuk koko,
  • 1 cawan gula,
  • 1 cawan minyak masak@minyak jagung,
  • 3 biji telur,
  • Secubit garam.

Bahan Ayak :

  • 1 ½ cawan tepung gandum,
  • 1 sudu kecil soda bikarbonat,
  • 1 sudu kecil baking powder.

Bahan Topping:

  • ½ cawan susu pekat,
  • ½ cawan sebuk koko,
  • 3 sudu susu cair/air biasa,
  • 2 sudu butter @ marjerin @ minyak.

Cara-cara :

  1. Blend kesemua bahan blend dalam masa kurang 5 minit.
  2. Sementara itu panaskan kukusan hingga mendidih.
  3. Satukan kesemua bahan yang diblend tadi bersama bahan yang telah diayak, kacau rata kesemuanya.
  4. Jika sudah rata tapis adunan untuk elakkan ketul-ketul.
  5. Masukkan dalam loyang yang disapu marjerin supaya tidak melekat.
  6. Kukus lebih kurang 45 hingga 50 minit. Jangan lupa balut tudung pengukus untuk elak air jatuh atas kek.
  7. Untuk topping pula, masak atas api dengan kaedah double boil sampai sebati dan agak pekat.
  8. Bila kek sejuk, boleh siram dengan topping.

Kek Oren Blender

kek oren
Imej via Facebook

Selain daripada kek coklat, kek oren yang sedap pun boleh dibuat dengan kek blender. Siapa sangka kek oren sedap, lembut dan wangi yang disukai ramai mudah dibuat sendiri dengan alatan yang senang pula. Sila rasa sendiri keenakan kek oren blender dengan resepi yang dikongsikan oleh Ruhana Zalina di laman Facebook.

Bahan Ayak :

  • 2½ cawan tepung gandum,
  • 1 sudu teh baking powder,
  • 1 sudu teh soda bikarbonat,
  • Secubit garam.

Bahan Blend:

  • 1 cawan susu Dutch Lady/susu cair,
  • 1½ cawan gula,
  • ½ cawan minyak masak,
  • ½ cawan jus buah oren/Sunquick,
  • Sedikit pewarna,
  • 3 biji telur.
    (Blend semua bahan selama 3 minit).

Cara-cara :

  1. Mula-mula ayak tepung, baking powder, bikarbonat, dan garam.
  2. Kemudian masukkan bahan blend ke dalam bahan yang diayak tadi, putar sebati.
  3. Masukkan 1 cawan air panas, putar sebati.
  4. Akhir sekali tuang dalam loyang dan kukus hingga masak lebih kurang 30-40 minit mengikut size acuan.
  5. Kalau ingin lagi wangi parutkan buah oren sedikit ke dalam adunan.

Kek Cheese Leleh

cheese
Imej via Facebook

Hantu cheese mari sini tengok resepi yang dikongsikan oleh Salimi Dolah di laman Facebook. Resepi mudah guna blender dan kukus sahaja. Bukan senang mencari resepi yang mudah sangat macam ini bukan? Kek ini boleh buat untuk sambut hari jadi sebab ianya cantik sangat. Resepi kek cheese ini memang mudah dan cepat siap. Tunggu sejuk dulu baru bubuh cheese leleh ya.

Bahan-bahan :

  • 2 cawan tepung gandum,
  • 1sb baking powder,
  • *4 biji telur,
  • * ½ cawan gula,
  • * ½ cawan susu pekat,
  • *1 sudu besar ovalate,
  • *100 gram cream cheese Tatura,
  • *1 sudu kecil esen vanilla,
  • ¼ cawan minyak masak.

Cara-cara :

  1. Tepung gandum dan baking powder diayak dan ketepikan seketika.
  2. Kemudian blender bahan bertanda * hingga putih gebu.
  3. Satukan adunan yang sudah diblend gebu tadi bersama bahan ayak.
  4. Akhir sekali letak minyak masak dan gaul sebati.
  5. Seterusnya sapu planta pada acuan biru. Kukus dalam 30 minit @ sampai masak.
  6. Kalau guna loyang, kukus 30 atau 40 minit atau hingga masak.

Bahan Topping :

  • 150 gram cream cheese,
  • 1 cawan whipping cream,
  • ½ cawan susu pekat,

Blender bahan topping sebati.
Bila kek sudah sejuk tuang topping dan parut cheese.

Kek Buah Kukus Super Moist

kek buah kukus
Imej via Facebook

Resepi seterusnya ialah kek buah kukus. Walaupun kek buah ini diadun dengan menggunakan blender, tapi kejadiannya memang moist dan sedap sangat. Cara masak pula senang. Kek buah kukus resepi daripada Zaimah Zakaria di laman Facebook amat sesuai untuk minum petang ataupun untuk berniaga. Sekali cuba mesti teringin lagi.

Bahan A :

  • 300 gram gula pasir,
  • 250 gram butter berkualiti tinggi,
  • 500 gram mixed fruit,
  • 50 ml air panas.

Bahan B :

  • 350 gram tepung gandum,
  • 2 sudu kecil soda bikarbonat,
  • 1 sudu kecil cream of tartar,
  • 1 sudu kecil serbuk buah pala@nutmeg.

Bahan C :

  • 3 biji telur gred A,
  • 1 sudu kecil esen vanila.

Cara-cara :

  1. Mula-mula ayak bahan bertanda B, ketepikan.
  2. Kemudian sediakan bahan-bahan A. Sama seperti buat gula hangus, masak gula sampai cair dan keperangan baru tuang air panas perlahan-lahan.
  3. Seterusnya masukkan butter ke dalam adunan gula hangus.
  4. Bila butter sudah cair masukkan mixed fruit. Kacau sebati, sejukkan.
  5. Dalam bekas lain putar guna blender telur dengan esen vanila sampai berbuih.
  6. Kemudian tuang telur dalam adunan mixed fruit tadi, kacau rata sambil masukkan bahan-bahan yang diayak tadi sedikit demi sedikit. Kacau rata sampai semuanya sebati.
  7. Selepas itu masukkan bahan ke dalam loyang 8×8 yang dilapik baking paper.
  8. Jangan lupa tutup dengan aluminium foil, kukus selama 4 jam.
  9. Sebenarnya 2 jam pun boleh masak tapi untuk dapatkan kek yang moist perlu kukus selama 4 jam. 2 jam pertama api sederhana, 2 jam terakhir api perlahan.
  10. Sejukkan kek baru potong.

Burnt Cheesecake Blender

burnt ck
Imej via Facebook

Ada jenis orang yang tidak pandai sangat buat kek, tambah tidak berapa minat sebab remeh sangat. Mereka rela pergi tempah dan beli kalau ingin makan kek. Jadi kalau ingin buat juga kena pilih kek yang senang sahaja, contoh kek yang dibuat guna blender. Kalau mudah macam itu kita gagah untuk buat. Suhasnida Ismail berkongsi kejayaan di laman Facebook di mana ia membuat burnt cheese cake mudah sebab pakai blender, cantik dan sedap pula keknya.

Bahan-bahan :

  • 500 gram cream cheese,
  • 400 ml whipping cream,
  • 400 gram gula, boleh kurangkan gula sehingga 350 gram sahaja.
  • 6 biji telur,
  • 4 sudu besar tepung gandum,
  • 1 sudu besar jus lemon,
  • 1 sudu teh esen vanila.

Cara-cara :

  1. Lembutkan sedikit cream cheese pada suhu bilik.
  2. Kemudian blend halus kesemua bahan.
  3. Sediakan loyang size 8 dan lapik dengan paper yang tidak melekat.
  4. Curah adunan yang siap diblend ke loyang tadi.
  5. Bakar dengan suhu 200°C api atas bawah selama 60 minit.
  6. 5 minit terakhir api atas sahaja bagi burn.

Kek Pisang Moist Sedap

pisang
Imej via Facebook

Seterusnya kek yang paling senang buat sebab guna blender sahaja. Selepas diblend, kacau-kacau sekejap, masak, dan siap. Bahan pun simple sahaja. Siapa peminat kek pisang wajib cuba resepi Fauziah Ardell Daniyal di laman Facebook, gerenti menjadi.

Bahan Ayak :

  • 2 cawan tepung gandum,
  • 1 sudu kecil baking powder,
  • 1 sudu kecil soda bikarbonat.

Bahan Blender :

  • 1 cawan minyak masak,
  • 1 cawan gula perang,
  • 1 sudu kecil esen vanilla,
  • 3 biji telur gred A,
  • *4 biji pisang berangan dilenyek-lenyek.

Cara-cara :

  1. Mula-mula gaulkan bahan ayak dengan bahan blender.
  2. Kemudian masukkan pisang yang dilenyek tadi, gaul sampai sebati.
  3. Jika sudah sebati masukkan ke dalam loyang.
  4. Letak topping ikut suka. Boleh letak hirisan pisang, chip butterscotch dan coklat masakan. Bakar dengan suhu 180°C selama 1 jam, atau kalau kukus pun boleh kukus selama 45 minit.
  5. Jika sudah masak, terus keluarkan kek dari loyang dan sapu marjerin di atas permukaan kek sewaktu masih panas. Sedia untuk dihidang.

Kek Minyak Kukus

minyak
Imej via Facebook

Tidak jemu buat kek minyak kukus sebab mudah sangat. Tidak perlu guna mixer, hanya guna blender sahaja. hasil kek lembut dan gebu. Wan Ruzita Wan Deraman berkongsi resepi di laman Facebook. Ada yang teringin buat? Mari tengok resepi di bawah.

Bahan-bahan :

  • 1 cawan minyak,
  • 1 cawan susu pekat,
  • ½ cawan gula pasir,
  • 1 sudu kecil ovalete,
  • 5 biji telur (gred B),
  • Esen vanilla,
  • 2 cawan tepung (diayak),
  • 1 sudu kecil baking powder.

Cara-cara :

  1. Blender semua bahan-bahan kecuali tepung dan baking powder. Blender sehingga adunan jadi putih.
  2. Letak adunan dalam mangkuk besar, kemudian masukkan tepung dan baking powder. Kaup balik sampai sebati.
  3. Bahagikan adunan dalam beberapa bekas dan letak warna pilihan. Selang-selikan warna adunan dalam loyang sampai habis.
  4. Kukus selama 40 minit.

Kek Coklat Cheese

coklat cheese
Imej via Facebook

Ingat kek biasa-biasa saja yang boleh buat dengan blender, tapi kek kahyangan yang orang selalu jual mahal macam kek coklat cheese pun boleh dibuat dengan blender, tidak semestinya dengan mixer ya. Kepada yang tidak ada mixer jangan bersusah hati ya, guna blender pun boleh. Eta Mohd Said kongsikan resepi di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • 2 biji telur,
  • 1 sudu besar ovalet,
  • ¾ cawan gula,
  • 1 sudu kecil esen vanilla,
  • 1 cawan minyak masak,
  • ½ cawan susu segar atau susu coklat.

Bahan Ayak :

  • 1 cawan tepung gandum,
  • 1 sudu kecil baking powder,
  • 1 sudu kecil soda bikarbonat,
  • ½ cawan serbuk koko,
  • 1 sudu kecil garam.

Cara-cara :

  1. Blend telur, ovalet, dan gula sehingga gebu.
  2. Masukkan esen vanila, blender lagi.
  3. Masukkan minyak masak.
  4. Masukkan susu segar atau susu coklat, blender sehingga sebati.
  5. Masukkan sedikit-sedikit bahan-bahan yang sudah diayak. Blender sebati.
  6. Kemudian tuang adunan ke dalam bekas yang dikehendaki.
  7. Kukus selama lebih kurang 10 minit.

Cream Cheese :

  • 250 gram cream cheese,
  • ¼ cawan susu cair atau whipped cream,
  • ½ cawan susu pekat,
  • Pukul sehingga sebati atau boleh guna blender,

Tuang cream cheese ke atas kek coklat.
Parut cheese cheddar sebagai hiasan.

Kek Gula Hangus @ Sarang Semut

gula hangus
Imej via Facebook

Antara resepi kesukaan ramai. Siapa suka kek gula hangus? Resepi kali ini mudah tidak perlu peram, lebih jimat masa semestinya. Kek gula hangus lemak manis bikin ketagih. Sesuai dihidang untuk minum petang. Resepi yang dikongsikan Hidayah Jamaludin di laman Facebook untuk 1 adunan menggunakan saiz loyang 8 inci.

Bahan-bahan :

  • 2 cawan gula jadikan karamel.
  • Selepas itu tambah 2 cawan air panas.
  • Tambahkan 120 gram butter (atau 3 sudu besar marjerin). Biar butter larut.
  • Tutup api. Ketepikan biar sejuk.

Bahan Blend :

  • 8 biji telur A,
  • ½ cawan krimer manis,
  • 2 cawan tepung gandum,
  • 2 sudu teh soda bikarbonat,
  • 1 sudu teh baking powder (rata),
  • Air gula hangus.

Cara-cara :

  1. Blend semua sampai sebati. Kalau guna blender, biasanya ada ketul-ketul, boleh tapis dulu.
  2. Masukkan ke dalam loyang 8 inci (petak) atau 9 inci (bulat).
  3. Bakar guna cara dan suhu oven masing-masing.
  4. Saya panaskan dulu 10 minit.
  5. Kemudian teruskan dengan suhu 160°C api atas bawah selama 1 jam 20 minit. Guna rak paling bawah sekali, bukan tengah.

Kek Karamel Coklat Versi Kedai Eco

eco karamel
Imej via Facebook

Siapa pernah beli kek karamel coklat Eco? Bila teringin makan tapi tengok orang lain jual RM 35 sebiji. Lebih baik kita cuba buat sendiri dengan bajet tidak sampai RM 10. Versi paling senang oleh Farra Hanis di laman Facebook. Yang ini versi derhaka sedikit sebab malas buat kek coklat sendiri, bilamana masuk kedai Eco, terus beli tepung kek coklat segera Eco. Letak 1 plastik tepung sudah cukup untuk dapat sebiji kek macam dalam gambar.

Bahan Lapisan Caramel :

  • 3 biji telur,
  • 1 cawan susu cair,
  • 1 cawan susu pekat (kurangkan kalau tidak mahu manis),
  • 1 sudu kecil esen vanilla.

Bahan Lapisan Kek Coklat :

  • Tepung kek coklat segera kedai Eco,
  • Masukkan telur 1 biji,
  • 5 sudu besar minyak masak,
  • ¾ cawan gula,
  • ½ cawan air.

Cara-cara :

  1. Mula-mula buat gula hangus. Panaskan 2 sudu gula dalam loyang, guna api perlahan.
  2. Seterusnya, campur semua bahan karamel guna blender.
  3. Jika sudah siap, tuangkan ke dalam loyang yang ada gula hangus tadi.
  4. Kukus 20 minit. Angkat dan sejukkan.
  5. Seterusnya, sediakan lapisan kek coklat. Putar sekali semua bahan-bahan lapisan kek coklat.
  6. Jika siap, tuang dalam loyang yang ada karamel tadi.
  7. Kukus dalam 40-50 minit (sampai kek masak).

Resepi Menarik Lain

Selain Kek Blender, kami juga menulis resepi menarik lain yang sedap dan patut cuba. Jemput baca dan mencubanya. Jangan lupa Like dan Share resepi ini ya.

Penulis: Saiful Izzuan

Menulis berkenaan tips motivasi dan kejayaan di blog drInspirasi.com. Seorang yang gemar berkongsi mengenai prinsip Kejayaan dan Bakat. Kebanyakan artikel beliau boleh dibaca di www.drinspirasi.com

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.