Tidak dinafikan roti john ialah makanan kegemaran rakyat Malaysia. Lebih-lebih lagi masa puasa bulan Ramadhan, bukan main panjang orang beratur beli roti john. Lagi-lagi kalau kedai itu jual roti john inti sedap, sos lebih, salad lebih, lagi lah ramai orang ingin beli.

Namun, hari-hari biasa pula macam boleh tahan susah mencari gerai roti john, tidak seramai bulan puasa. Sesiapa yang tekaknya mengidamkan roti john, rasa terkilan sebab kena pergi pasar malam yang hanya seminggu sekali.

Penahkah anda terpikir buat roti john di rumah? Walau nampak susah, sebenarnya buat roti john senang saja. Risau rasa dia tak sedap macam pasar malam? Usah risau sebab kami ada 10 resepi roti john yang mendapat perkongsian ramai di Facebook. Boleh pilih mana satu resepi yang anda mahu. Mulai daripada yang senang bahan sehingga yang rumit banyak bahan pun ada. Jom kita cubakan resepi di bawah.

Roti John Tapak Bazar Ramadhan

Imej via Facebook

Resepi pertama yang anda patut cuba kerana telah mendapat seramai 61 ribu perkongsian di laman Facebook. Apakata kita cuba buat sendiri resepi ini. Masak sambil berperang dekat dapur. Walaupun tidak berapa cantik rupa roti john tapi puas hati dapat buat sendiri bukan? Resepi dikongsikan oleh Chinta Eyja di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • Roti oblong,
  • Daging burger lembu dicincang (boleh gantikan burger ayam),
  • Sosej dipotong (pilihan),
  • Bawang merah dipotong dadu,
  • Bawang putih dipotong dadu,
  • Rempah kari (campur air),
  • Garam,
  • Lada sulah,
  • Telur,
  • Daun sup/daun bawang.

Cara-cara :

  1. Mula-mula tumiskan dulu bawang merah dan bawang putih.
  2. Kemudian masukkan rempah kari, daging, sosej, garam, dan lada sulah (tiada sukatan, campak-campak saja).
  3. Pecahkan telur ke dalam adunan.
  4. Terus masukkan daun sup/daun bawang. Campur merata. Asingkan.
  5. Roti tadi dibelah dua jangan bagi putus.
  6. Sapukan mentega/planta kemudian terus tekapkan roti di atas pan. Asingkan.
  7. Kemudian cairkan mentega/planta di atas pan dan tuangkan inti.
  8. Apabila inti sudah agak masak, tekapkan roti di atas inti.
  9. Terbalikkan roti. Masak sekejap, siap diangkat.
  10. Letak mayones, sos cili. Apabila ingin letak timun atau salad ikut citarasa pun boleh.
  11. Kemudian lipat roti dan potong. Siap.

Roti John Kebabom

Imej via Facebook

Bila bulan-bulan biasa macam ini, agak susah cari orang yang jual roti john. Daripada susah-susah pergi cari roti john di bazar. Baik buat sendiri saja, boleh adjust mahu letak inti banyak mana, lagi puas makan bukan? Resepi dikongsikan oleh Tengku RosElyza Raja Muhammad di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • Roti john/roti oblong (belah tengah),
  • Daging kisar ramly (daging burger pun boleh),
  • Bawang merah, cili merah, cili api,
  • 2-3 biji telur,
  • Planta,
  • Sos cili,
  • Mayones,
  • Thousand island,
  • Sayuran : Timun, kubis,
  • Sedikit garam.

Cara-cara :

  1. Satukan telur, daging, bawang hiris, cili hiris dan juga garam. Ketepikan.
  2. Sapu roti dengan planta. Ketepikan.
  3. Sapu kuali dengan sedikit planta, masukkan daging tadi dan biarkan daging sampai masak.
  4. Tekapkan roti tersebut diatas daging tadi. Biarkan sekejap baru terbalikkan.
  5. Bila sudah masak, baru angkat dan letak sayur dan sos yang ada. Siap dipotong. mudah bukan?

Roti John Inti Cheese

Imej via Facebook

Roti john ala Zyka Kepochi yang berkongsi di laman Facebook lain dari yang lain. Pasalnya inti roti ini diletak cheese, jadi rasa dia ada lemak masin manis yang bersatu. Jom tengok resepinya betul-betul supaya tidak tersilap masa cuba masak nanti.

Bahan-bahan :

  • 8 biji roti sosej,
  • 6 biji telur,
  • Daun bawang/daun sup.

Bahan tabur :

  • Kobis/timun/carrot,
  • Mayones dan sos,
  • Cheese tabur.

Bahan-bahan Inti :

  • Bawang putih dihiris,
  • Bawang merah dipotong dadu,
  • 1-2 sudu besar rempah kari,
  • Sepeket daging/ayam kisar,
  • Lada sulah.

Cara-cara :

  1. Mula-mula tumis bawang putih, jika sudah garing masukkan rempah kari daging dan biar kering sedikit.
  2. Selepas itu masukkan daging ayam kisar yang telah dibasuh dan bawang merah yang telah dipotong dadu.
  3. Perasakan dengan sedikit garam dan lada sulah. Masak sehingga daging benar-benar masak.
  4. Dalam bekas lain pecahkan telur dan masukkan hirisan daun bawang dan daun sup.
  5. Kemudian masukkan bahan inti tadi ke dalam telur, kacau sebati.
  6. Seterusnya bakar roti.
  7. Belah atau potong roti kepada dua bahagian tetapi jangan bagi putus dihujung.
  8. Sapukan permukaan roti dengan planta dan letak atas kuali leper seketika, angkat dan ketepikan.
  9. Langkah seterusnya, panaskan kuali leper.
  10. Sapukan mentega, corakkan bahan inti tadi sesuai untuk sebiji roti sosej. Saya guna 1 senduk untuk 1 roti.
  11. Tabur cheese.
  12. Kemudian tekapkan roti tersebut.
  13. Jika sudah yakin telur masak elok, terbalik dan biarkan seketika, kemudian boleh diangkat.
  14. Hiaskan dengan kobis dan timun. Letak mayones dan sos cili di atasnya. Boleh gaulkan kobis dengan mayones terus.

Roti John Cheese Meleleh

Imej via Facebook

Seterusnya kami akan kongsikan resepi roti john cheese meleleh daripada Ariana Sofia Ahmad di laman Facebook. Sesiapa yang rindukan roti john dengan cheese banjir boleh cuba resepi ini. Sedapnya sampai menjilat jari. Adunan ini dapat 9-11 biji roti john yang kecil.

Bahan-bahan :

  • 350 gram ayam @ daging kisar,
  • 1 biji bawang merah besar (dipotong dadu),
  • 3 sudu besar serbuk kari ayam dan kari daging Adabi,
  • 1 ½ sudu besar gula,
  • 1 sudu besar garam,
  • 1 sudu kecil serbuk lada putih,
  • 1 sudu kecil ajinomoto,
  • 7 biji telur gred A@B,
  • 70 ml minyak untuk menumis,
  • Roti sosej @ roti john,
  • Sos cili,
  • Mayones,
  • Sos salad (thousand island),
  • 50 gram salad (dihiris halus),
  • 100 gram kobis (dihiris halus),
  • 90 gram lobak (diparut halus).

Cara-cara :

  1. Mula-mula tumis dulu bawang besar sehingga kekuningan.
  2. Bila sudah kekuningan masukkan serbuk kari. Tumis sehingga sebati.
  3. Jika sudah sebati masukkan ayam kisar. Boleh juga guna daging kisar. Masak sehingga ayam bertukar putih atau daging menjadi empuk. Kalau daging belum empuk, boleh tambah sedikit air.
  4. Bila ayam sudah masak masukkan gula, garam, serbuk lada putih dan ajinomoto. Kacau hingga sebati. Masak jangan terlampau kering.
  5. Bila sudah masak boleh angkat.
  6. Dalam mangkuk lain pukul telur hingga sebati.
  7. Bila sudah sebati masukkan ayam yang telah dimasak tadi. Kacau hingga sebati.
  8. Roti dipotong tengah jangan putus.
  9. Kemudian sapukan butter atau majerin pada roti.
  10. Seterusnya dalam pan non stick atau kuali masukkan sedikit butter. Ratakan ketepi.
  11. Masukkan 1-2 senduk adunan dan ratakan mengikut size roti yang digunakan.
  12. Terus tabur mozarella cheese di atas. Kalau suka makan cheese, boleh letak banyak.
  13. Bila telur sudah separuh masak, ambil roti tekap di tengah-tengah telur. Tekan sedikit roti supaya melekat pada telur.
  14. Bila sudah masak terus terbalikkan roti dalam pinggan.
  15. Untuk sayur, letak lobak, kobis dan salad. Boleh letak banyak mana ikut kesukaan masing-masing.
  16. Letak bahagian bawah sahaja.
  17. Tambah sos cili, mayones dan sos salad (thousand island). Rasanya akan bertambah sedap.
  18. Jika sudah siap boleh terbalikkan bahagian atas roti.

Roti John Terung@Terung John

Imej via Facebook

Seterusnya kami kongsikan resepi roti john guna bun terung @ Terung John, juga untuk peminat terung terutama yang mahu diet/makan rendah karbo. Ini antara salah satu daripada menu rendah karbo yang Noorul Izzah Marzuki amalkan, sehingga saya berjaya turunkan berat daripada 130kg kepada 65kg. Berjaya sembuh diabetes dan pulih darah tinggi. Oleh itu dia berkongsi resepi sihat ini di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • 1 biji terung panjang (potong memanjang),
  • 1 homemade beef patty/daging burger,
  • 3 biji telur,
  • Garam,
  • Serbuk black pepper,
  • Sedikit daun ketumbar,
  • Sayuran/kubis.

Cara-cara :

  1. Hancurkan dan masakkan sekejap beef patty/daging burger di atas pan.
  2. Bancuh telur dengan serbuk blackpepper, garam, dan daun ketumbar. Kemudian masukkan beef patty hancur yang dimasakkan sebentar tadi (letak apa-apa rempah atau serbuk kari pun boleh). Ketepikan.
  3. Panaskan sedikit butter di atas pan, tabur garam dan blackpepper, grilkan terung yang dipotong memanjang sehingga masak. Ketepikan.
  4. Tuangkan adunan telur atas pan, ratakan. Bila sudah masak bahagian bawah, ambil potongan terung yang sudah digrilkan tadi, tampalkan di atas telur yang sedang dimasak atas pan.
  5. Terbalikkan terung sebentar, kemudian boleh diangkat. Boleh letak mayones (kewpie merah) dan sayuran/kubis.

Roti John Meletops

Imej via Facebook

Resepi roti john mudah untuk sarapan atau makan malam dikongsikan oleh Almie Amira di laman Facebook. Resepi ini menggunakan rencah daging macam biasa tapi pedas, dan rencah daging ini boleh disimpan dan guna bila ingin buat bekal atau makan. Jom tengok resepinya.

Bahan-bahan :

  • Bawang merah 2 biji,
  • Bawang putih 3-5 ulas,
  • Daun bawang 2 tangkai,
  • Cili 1 batang,
  • Serbuk kari 1 sudu,
  • Daging burger Ramly 2-3 keping,
  • Minyak untuk menumis.

Cara-cara :

  1. Letak minyak sedikit untuk tumis bawang. Kemudian letak serbuk kari satu sudu.
  2. Apabila rencah kari sudah naik minyak, masukkan daging. Pecahkan bagi sekata sampai masak.
  3. Masukkan pula dedaunan dan cili untuk yang suka pedas. Bahan ini boleh masak awal dan simpan.
  4. Bila ingin buat roti john, kocok telor dan masukkan bahan ini satu atau dua sudu.
  5. Gaul sebati bahan inti dengan telur sebiji. Kocok sedikit. Gaul bagi rata.
  6. Panaskan pan, masuk inti. Ratakan.
  7. Kemudian bubuh roti di atas inti, tekan-tekan sedikit.
  8. Jika sudah siap, garingkan roti sebelah lagi. Bagi garing sedikit, kemudian letak sos.
  9. Boleh juga letak timun, salad, mayo, atau sos.
  10. Potong-potong macam roti john pasar malam.

Roti John Mudah dan Simple

Imej via Facebook

Resepi roti john ini paling mudah dan simple. Tidak banyak sangat bahan yang dipakai untuk buat roti john resepi daripada Atie Norhayaty yang berkongsi di laman Facebook. Guna bahan yang ada di dapur sahaja, bawang Holland, bawang putih dan sedikit rempah kari. Amat senang membuatnya gerenti tidak gagal. Sesuai untuk anak-anak makan, konfirm habis.

Bahan-bahan :

  • Daging/ayam kisar,
  • Sosej/isi ketam,
  • Telur 2-3 biji,
  • Bawang besar racik halus,
  • Daun sup/daun bawang,
  • Rempah kari daging,
  • Cili besar.

Cara-cara :

  1. Gaul kesemua bahan.
  2. Panaskan pan, masak bahan inti.
  3. Seterusnya ambil roti, potong tengah jangan putus.
  4. Terus letakkan roti atas pecahan telur tadi. Tunggu kering sedikit, siap.
  5. Letakkan mayones, sos cili, dan thousand island dalam roti john tadi.

Roti John Ala Khairul Aming

Imej via Facebook

Siapa tahu roti john femes khairul aming? Jika anda peminat roti john tersebut, maka anda patut tengok resepi yang kami kongsikan di bawah. Finas Osman dalam halaman Facebook berkongsikan resepi roti john tular. Justeru, sekali cuba resepi ini mesti berturut-turut ingin buat. Lagi best kalau boleh letak sayur banyak-banyak.

Bahan-bahan :

  • Roti hotdog,
  • Butter untuk sapu pada roti dan bakar sekejap.

Bahan Inti :

  1. Daging cincang apa-apa brand pun boleh (finas guna brand Azmy sebab kurang lemak).
  2. 1 biji bawang Holland blend kasar,
  3. 4 ulas bawang putih blend kasar,
  4. 3 ke 4 sudu besar serbuk kari ayam/daging,
  5. Jintan manis 1 sudu kecil,
  6. Jintan putih 1 sudu kecil,
  7. Gula dan garam secukup rasa,
  8. Telur 4 biji.

Cara-cara :

  1. Bakar roti sekejap bersama butter dan ketepikan dulu.
  2. Tumis bawang holland dan bawang putih, apabila tukar warna kuning sedikit terus masukkan serbuk kari, air sedikit, jintan manis, jintan putih, masak bagi garing sedikit.
  3. Jika sudah garing masukkan daging, garam dan gula. Masak inti sampai hampir kering. Asingkan.
  4. Seterusnya pecahkan telur 4 biji dan kacau bersama inti daging tadi.
  5. Tuang atas kuali dan tekap roti ke atas inti daging. Hampir masak balik-balikkan dan boleh hias atas roti john anda.
  6. Letak sos, mayones, salad dan lain-lain sesuai selera.

Roti John Simple Kurang Pedas

Imej via Facebook

Makan roti john sambil-sambil layan drama mesti syok bukan? Lagi kalau makan bersama rakan-rakan dan keluarga. Licin 10 biji roti. Sarah Nordin berkongsikan resepi roti john paling simple di laman Facebook. Guna bahan sedikit sahaja. Bila masak sendri boleh letak isi dan telur banyak.

Bahan Inti :

  • Mince beef,
  • Bawang besar dipotong dadu,
  • Serbuk kari,
  • Garam secukup rasa.

Cara-cara :

  1. Gaul semua bahan dan letak sedikit air untuk lembutkan daging.
  2. Masak sampai terbit minyak.
  3. Bila sudah terbit minyak. Keluarkan dan pukul bersama telur.
  4. Kemudian masak bahan telur.
  5. Tekapkan roti. Masak sekejap.
  6. Terbalikkan roti, masak sekejap.
  7. Boleh angkat dan letak sos. Pakai sos cili life biasa. Campur air sedikit bagi cair leleh sedikit.

Roti John Cheese Leleh Inti Lebih

Imej via Facebook

Mengidam roti john isi lebih, telur banyak, sos lebih. Buat sendiri saja boleh sesuaikan selera masing-masing. Iza Abu Bakar berkongsi di laman Facebook resepi roti john sedap dengan kepingan cheese. Siapa minat cheese? Ayuh buat roti john kebabom ini.

Bahan-bahan :

  • 4 biji telur (dipukul),
  • 1 sudu kecil serbuk lada putih,
  • 1 sudu besar serbuk rempah kari,
  • 1 biji bawang besar (dipotong dadu),
  • 2 biji bawang putih (dipotong dadu),
  • Roti panjang (dibelah 2),
  • Kobis (dihiris nipis),
  • Kepingan cheese,
  • Mayones,
  • Sos cili,
  • Ayam cincang/daging cincang,
  • Garam secukupnya,
  • Minyak masak.

Cara-cara :

  1. Tumiskan bawang besar dan bawang putih hingga naik bau.
  2. Kemudian masukkan daging kisar atau ayam cincang, serbuk kari, serbuk lada putih dan garam secukupnya. Kacau sebati dan biarkan sehingga ayam masak.
  3. Setelah masak, angkat dan ketepikan.
  4. Pukul telur sehingga berbuih dan masukkan inti ayam tadi. Kacau rata hingga sebati.
  5. Kemudian potong roti kepada dua bahagian jangan putus.
  6. Sapukan permukaan roti dengan butter atau marjerin dan grillkan atas kuali sekejap dan angkat.
  7. Kemudian masukkan sedikit minyak di dalam pemanggang dan tuangkan inti secukupnya supaya ia melebar lebih besar daripada saiz roti. Biarkan seketika.
  8. Letakkan kepingan cheese di atas inti tadi.
  9. Ambil roti yang dibelah tadi dan terlangkupkan di atas inti. Tekan tekan sedikit dan biarkan masak sebentar.
  10. Bila sudah masak, balikkan roti seketika dan angkat.
  11. Letak mayones, sos cili dan kobis yang telah dihiris nipis. Potong roti pada beberapa bahagian. Siap.

Resepi Menarik Lain

Selain resepi Roti John, kami juga menulis resepi lain yang mendapat perkongsian ramai. Jemput baca dan mencubanya. Jangan lupa Like dan Share resepi ini ya!

Penulis: Saiful Izzuan

Menulis berkenaan tips motivasi dan kejayaan di blog drInspirasi.com. Seorang yang gemar berkongsi mengenai prinsip Kejayaan dan Bakat. Kebanyakan artikel beliau boleh dibaca di www.drinspirasi.com

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.