Menjadi seorang ibu bukanlah perkara yang mudah. Terlalu banyak tanggung jawab yang digalas dibahu, tak kira anda seorang ibu yang berkerjaya atau suri rumah. Menguruskan rumah tangga nampak saja mudah dari luaran namun percayalah, kerjanya terlalu banyak dan tak habis-habis. Pendek kata dari pagi membawa ke  malam sentiasa ada sahaja kerja yang perlu dilakukan. Memasak, mencuci, mengemas, menyapu, belum lagi diambil kira menguruskan anak-anak yang sentiasa memerlukan perhatian ibunya.

Kalau beranak kecil, semakin huru-hara urusan seharian si ibu. Itulah sebabnya kenapa anda perlu menguruskan kerja rumah dengan cara yang teratur. Jika anda melakukan tugasan harian secara teratur, pastinya anda akan berasa kurang terbeban dan yang paling penting sekali kurang stress. Hari ini kami akan kongsikan tips urus rumah cepat dan efektif yang boleh dipraktiskan oleh para ibu terutamanya yang bergelar suri rumah tangga.

tips urus rumah

Sumber: Keluarga

Sediakan senarai tugasan yang perlu dilakukan pada hari tersebut

Kalau nakkan tugasan menguruskan rumah berjalan dengan lancar, adalah sangat penting untuk anda menyediakan senarai tugasan yang perlu dilakukan pada hari tersebut atau juga dikenali sebagai To Do List. Apabila anda menyediakan senarai tersebut, anda akan nampak berapa banyak tugasan yang perlu dilakukan.

Jika tidak, anda mungkin tak perasan yang anda mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan lalu melakukan kerja dengan sambil lewa dan bermalas-malasan sedangkan sepatutnya anda perlu menyelesaikan semua kerja dengan cepat. Individu yang mempunyai To Do List biasanya lebih teratur dan berjaya menyelesaikan urusan harian dengan lebih tenang dan teratur.

Kenal pasti urusan yang penting dan perlu dilakukan dengan segera

Setelah anda mempunyai senarai tugasan atau To Do List, perkara seterusnya yang perlu anda lakukan ialah untuk mengenal pasti yang mana satu adalah urusan yang penting dan perlu dilakukan dengan segera pada hari tersebut tanpa boleh ditangguh. Lihat semula senarai To Do List anda tadi, pastinya anda akan dapat mengenal pasti mana satu adalah urusan yang penting dan perlu dilakukan dengan segera. Sebagai contoh, mengambil anak balik dari sekolah adalah urusan yang penting dan tidak boleh ditangguhkan. Nak tak nak anda perlu lakukan juga. Selain itu, sekiranya anak anda sakit, urusan untuk pergi ke klinik juga masuk ke dalam kategori urusan penting dan tidak boleh ditangguhkan.

Kenal pasti urusan yang boleh ditangguhkan dan dilakukan kemudian

Tips uruskan kerja rumah cepat dan efektif yang seterusnya ialah dengan cara mengenal pasti urusan yang boleh ditangguhkan atau dilakukan kemudian. Ini adalah kerja-kerja yang tidak termasuk dalam kategori penting dan segera yang perlu diselesaikan pada hari tersebut. Di antara contoh tugasan rumah yang masuk ke dalam kategori ini ialah:

  • Menyapu lantai
  • Membasuh pinggan
  • Menyiram pokok bunga
  • Menjahit pakaian koyak
tips urus rumah

Sumber: Bawangputih

Kenal pasti urusan yang boleh dilakukan pada bila-bila masa

Langkah seterusnya ialah untuk mengenal pasti tugasan yang boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Ini adalah tugasan yang ada dalam senarai To Do List anda tapi ianya adalah urusan yang tidak begitu penting dan tidak akan mendatangkan sebarang masalah atau kesan yang buruk jika tidak dilakukan. Di antara tugasan yang masuk ke dalam kategori ini ialah:

  • Menyusun semula aturan perabot di rumah
  • Membersihkan sawang pada siling
  • Mencuci kipas

Kenal pasti tugasan yang boleh dilakukan bersama suami dan anak-anak atau diserahkan terus kepada mereka

Ini juga adalah tips uruskan kerja rumah dengan cepat dan efektif namun tak ramai yang amalkan. Tahukah anda bahawa ada sesetengah kerja rumah boleh dilakukan bersama ahli keluarga yang lain, dan tak perlu untuk anda selesaikan sendirian. Jangan segan untuk meminta bantuan suami dan anak-anak. Di antara tugas yang boleh jatuh ke dalam kategori ini ialah membasuh tandas, melipat baju, membasuh pinggan, dan sebagainya.

Susun jadual melakukan kerja rumah mengikut turutan yang sesuai

Tips yang seterusnya ialah dengan menyusun jadual melakukan kerja rumah mengikut turutan yang sesuai. Macam mana cara untuk menyusun jadual tugasan ini? Utamakan kerja yang penting dan perlu diselesaikan pada hari tersebut didikuti oleh tugasan lain yang kurang penting. Adalah sangat penting untuk anda meletakkan sekali anggaran masa untuk menyelesaikan tugasan tersebut. Dengan cara ini, pastinya tugasan anda akan berjalan dengan lebih lancar.

Disiplinkan diri untuk mengikut jadual To Do List yang disediakan

Tips urus rumah yang terakhir ialah dengan cara mendidiplinkan diri untuk mengikut jadual To Do List yang telah anda sediakan. Dah ada jadual? Ikut. Buat kerja rumah dengan mengikut perancangan yang telah dibuat. Jika anda memilih untuk tidak mengikut jadual yang disediakan, tiada bezanya dengan anda tidak menyediakan jadual tadi. Di penghujung hari pastinya anda akan berasa menyesal.

Ikut jadual senarai kerja yang anda telah buat, dan adjust mengikut keadaan semasa asalkan tidak terlalu jauh menyimpang dari perancangan yang asal. Jika anda konsisten mengikut jadual yang telah anda buat, pastinya urusan menguruskan rumah akan menjadi lebih cepat dan efektif. Hidup anda juga akan menjadi semakin terurus.

tips urus rumah

Sumber: Creativemarket

Itulah dia info tentang tips urus rumah cepat dan efektif yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang cara susun baju, cara susun kasut, kemas rumah cara KonMari dan kelebihan menjadi suri rumah.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.