Apabila bergelar seorang ibu, terdapat pelbagai tugas dan tanggung jawab yang tergalas di bahu terutamanya berkaitan dengan kerja rumah. Sudah menjadi lumrah seorang perempuan, sukakan kebersihan dan kecantikan. Kalau boleh semuanya nak kelihatan bersih, kemas, dan tersusun cantik. Salah satu perkara yang tidak kurang pentingnya ialah susunan pakaian di dalam almari.

Menyusun pakaian di dalam almari mungkin kedengaran mudah malah ada yang menganggap ia sebagau perkara yang remeh namun tahukah anda bahawa susunan pakaian yang tidak sesuai boleh menjadi punca stress di kalangan ibu-ibu? Masakan tidak, bayangkan baru sahaja anda susun dengan kemas dan cantik, sekejap sahaja sudah berterabur semula. Padahal nak melipat dan menyusun mengambil masa yang lama.

Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan cara susun baju dalam almari paling praktikal dan kemas yang boleh anda amalkan di rumah. Lepas ini insya Allah anda tidak akan stress atau pening kepala lagi memikir tentang kain baju yang berselerak dan berterabur. Nak-nak lagi kalau anda mempunyai anak kecil.

1. Asingkan pakaian mengikut tuan empunya

Ini adalah langkah pertama dan merupakan yang sangat penting untuk anda lakukan. Apa yang perlu dibuat ialah kumpulkan semua pakaian di satu tempat dan kemudian ambil masa untuk mengasingkan pakaian mengikut tuan empunya. Asingkan dan letak setempat. Anda boleh gunakan bakul untuk mengasingkan pakaian suami, diri sendiri dan setiap anak-anak. Takde bakul? Takde masalah. Longgokkan sahaja di atas lantai buat sementara waktu.  Kelebihan langkah ini ialah, jika anda tidak sempat untuk terus melipat baju, mudah untuk ahli keluarga mencari pakaian sendiri memandangkan anda telah mengasingkan mengikut tuan masing-masing.

2. Pilih dan bahagikan mengikut kegunaan

Setelah pakaian berjaya diasingkan mengikut tuan masing-masing, langkah seterusnya ialah pilih dan bahagikan pakaian tadi mengikut kegunaan masing-masing. Sebagai contoh:

  • Pakaian dalam
  • Seragam sekolah
  • Baju kerja
  • Baju tidur
  • Baju berjalan
  • Baju siang
  • Baju sukan

Membahagikan pakaian mengikut kegunaan adalah sangat membantu proses anda menyimpan pakaian di dalam almari nanti. Ianya akan memudahkan kerja anda dan membuatkan pakaian tersimpan dengan lebih kemas dan teratur.

3. Asingkan pakaian yang sudah tidak digunakan

Sambil anda menyusun pakaian mengikut tuan empunya dan kegunaan masing-masing, kami cadangkan anda ambil masa untuk terus mengasingkan pakaian yang sudah tidak digunakan lagi. Mungkin ada pakaian yang sudah kecil dan tidak muat untuk dipakai lagi. Atau mungkin ada pakaian yang sudah terlalu lusuh, rosak, koyak, dan sebagainya. Mengasingkan pakaian yang sudah tidak digunakan akan menjimatkan ruang di dalam almari anda.

Apa yang nak dilakukan dengan pakaian yang sudah tidak dipakai? Berikut adalah cadangan kami:

  • Kitar semula.
  • Derma kepada golongan yang memerlukan seperti rumah anak yatim, ibu tunggal, atau keluarga miskin. Namun pastikan anda tidak memberikan pakaian yang sudah lusuh dan terlalu buruk.
  • Dijadikan sebagai kain buruk.
cara susun baju

Sumber: Impiana

4. Asingkan pakaian untuk digantung dan dilipat

Cara susun baju dalam almari yang seterusnya ialah dengan kaedah mengasingkan pakaian untuk digantung dan dilipat. Kaedah menggantung dan melipat pakaian adalah salah satu cara untuk menyusun pakaian secara kemas, teratur, dan mudah untuk diambil. Sesetengah pakaian lebih sesuai untuk digantung pada penyangkut baju sementara sesetengahnya adalah lebih sesuai untuk dilipat. Oleh itu adalah sangat baik jika anda memilih kedua-dua kaedah ini.

Contoh pakaian yang sesuai untuk digantung ialah:

  • Seluar jeans
  • Seluar slack
  • Skirt
  • Kemeja
  • Baju kurung
  • Jubah

Contoh pakaian yang sesuai untuk dilipat ialah:

  • Tshirt
  • Pakaian anak-anak
  • Baju dalam
  • Stoking
  • Tudung dan shawl

5. Lipat dan gantung dengan kemas

Langkah seterusnya ialah anda perlu melipat dan menggantung baju dengan kemas dan teratur. Gantung baju mengikut jenis dan saiz supaya susunannya cantik dan teratur. Untuk baju yang dilipat, pastikan lipatan anda adalah seragam agar pakaian mudah untuk disusun. Lipatan yang tidak seragam dan tidak kemas akan menyebabkan almari anda nampak tidak teratur. Susun pakaian yang dilipat mengikut jenis agar mudah diambil. Sebagai contoh, baju tidur diletakkan setempat.

6. Simpan dalam laci atau kotak

Menyusun pakaian didalam laci atau kotak juga akan membuatkan almari baju kelihatan kemas dan tersusun. Di antara pakaian yang sesuai untuk disusun dalam laci atau kotak ialah pakaian dalam, anak tudung atau inner, stoking, tudung dan shawl. Tali leher juga sesuai untuk disimpan di dalam laci dan kotak.

cara susun baju

Sumber: Harianmetro

7. Susun ikut keperluan dan kegunaan

Tips terakhir yang ingin kami kongsikan ialah sila susun pakaian mengikut kegunaan dan keperluan. Sebagai contoh, pakaian yang selalu anda gunakan boleh diletakkan di bahagian hadapan manakala pakaian yang jarang digunakan boleh disusun di bahagian belakang memandangkan ianya jarang sekali digunakan. Malah pakaian yang digunakan setiap hari sebagai contoh baju tidur dan baju kerja boleh diletakkan di bahagian almari yang senang diambil sementara baju sejuk yang jarang digunakan boleh disusun di bahagian yang lain. Mudah sahaja kan?

Itulah dia info tentang cara susun baju dalam almari yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang cara simpan bunga kantan, cara hilangkan hitam bawah kuali, dan cara cuci mesin basuh.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.