Bayangkan sedang khusyuk nak memasak untuk keluarga tersayang, tiba-tiba sinki tersumbat. Sinki pula penuh dengan pinggan mangkuk, cawan dan periuk, air pula bertakung sehingga melimpah keluar.

Mesti stres dibuatnya bukan? Ah, jangan risau! Dalam artikel ini akan mengajar cara-cara untuk mengatasi masalah sinki tersumbat. Tips sinki tersumbat yang dijamin berkesan. Tak perlu panggil tukang paip yang kena bayar beratus-ratus. Biarkan saja encik suami tonton sukan kegemarannya.

Para wanita, khasnya ibu-ibu juga boleh jadi super woman. Caranya? Nah, baca tips sinki tersumbat di bawah ni.

#1 Jangan Buang Sisa Makanan Terus Ke Dalam Sinki

Jika anak-anak ada tabiat suka membuang sisa makanan ke dalam sinki, nasihatkan mereka agar membuangnya ke dalam tong sampah. Ini adalah sebab utama sinki tersumbat.

Lebihan nasi, ketulan daging, lemak, sayuran dan sebagainya tak mudah hancur. Oleh itu, jika dibuang ke dalam sinki, dah tentu sinki akan tersumbat. Malahan, lebihan minyak masak, kuah dan sebagainya juga jangan dibiarkan di dalam sinki.

Ini kerana minyak-minyak ini akan terkumpul di saluran paip bersama-sama sisa pepejal tadi. Oleh itu, aliran air akan terganggu, tak lancar dan akhirnya tersumbat. Jangan lupa tips pertama ni ye!

2. Rajin Bersihkan Sinki

Rumah yang tak disapu dan dimop, lama-kelamaan akan kotor. Begitu juga dengan sinki. Walaupun secara luarannya nampak bersih, kita tidak tahu betapa banyaknya sisa yang terkumpul di saluran paip.

Oleh itu, rajinkan diri membersihkan sinki dengan cara menuang air panas. Jangan lupa untuk membuka perangkap sinki di bawah sinki untuk mengeluarkan kotoran. Dengan cara ni, sinki anda tidak akan mudah tersumbat.

3. Cara Pemasangan Paip

Pastikan paip yang bersambung ke sinki dipasang dengan betul. Paip perangkap sinki mestilah dipasang di bawah sinki. Fungsinya, segala kekotoran akan terperangkap pada bahagian ini saja. Oleh itu, kita hanya perlu tanggalkannya dan bersihkan dengan sekurang-kurangnya sebulan sekali.

4. Pemilihan Jenis Sinki

Tips ini boleh digunakan jika anda hendak memasang sinki di rumah baru. Pilih sinki yang mempunyai jenis perangkap lubang yang dalam. Biasanya perangkap kotoran tidak terlalu dalam. Cari sinki yang mempunyai perangkap yang berbentuk cawan kecil dan mudah untuk membuang kotoran.

5. Air panas

Jika sinki tersumbat disebabkan oleh minyak dan lemak haiwan, cara paling mudah ialah tuangkan air panas. Tuang beberapa kali. Jika air yang keluar di bahagian paip ke longkang sudah mula lancar, maknanya tips ini berkesan.

6. Plumbing Snake atau Drain Snake

Plumbing snake atau drain snake ialah sejenis dawai yang bergulung khas untuk masalah sinki tersumbat. Di mana nak beli? Anda boleh mendapatkannya di kedai-kedai hardware.

Plumbing snake ni bersifat fleksibel dan perlu dijolok dari lubang sinki. Ia akan menolak keluar kotoran yang bergumpal dan berkumpul di saluran paip. Pada bahagian depannya berbentuk spiral untuk ‘menggerudi’ kotoran yang tersangkut. Bolehlah cuba!

7. Wayar atau Dawai

Kalau tengah kecemasan gunakan saja barang yang ada di stor. Salah satunya ialah dawai atau wayar yang tak digunakan. Fungsinya sama macam plumbing snake, cuma kemungkinan tak seefektif itu.

Tapi, apa salahnya mencuba kan? Kalau bernasib baik, selesailah masalah. Kalau tak juga, cuba tips seterusnya ni.

8. Garam Kasar

Ni bahan yang paling mudah dengan kos yang amat rendah. Pastinya ada di dapur bukan? Kalau tak ada, cepat-cepat beli di kedai runcit. Caranya ialah taburkan garam kasar di dalam saluran sinki. Kemudian, jirus dengan air panas.

9. Pam getah

Guna pam getah atau pelocok merupakan cara yang paling asas untuk mengatasi sinki tersumbat. Pam ni dapat mengalirkan kotoran menggunakan kuasa sedutan.

Caranya, takung air di sinki, tekan pam getah di bahagian lubang sinki. Ulang beberapa kali hingga aliran air menjadi lancar. Tekanan air dapat membantu menarik sisa kotoran.

10. Cecair Anti-Clog

Anti-clog merupakan cecair yang paling berkesan untuk menyingkirkan dan menguraikan sisa kotoran. Ia merupakan sejenis asid dan boleh dibeli di kedai hardware. Terdapat pelbagai jenis jenama di pasaran.

Disebabkan cecair ini merupakan asid yang bertoksik dan boleh menyebabkan kecederaan, gunakan dengan berhati-hati. Jauhkan dari kanak-kanak. Sebelum tuang cecair ni, pastikan memakai sarung tangan dan penutup hidung.

Caranya ialah tuang pada bahagian saluran paip sedikit demi sedikit. Biarkan selama 10 hingga 15 minit. Kuantiti penggunaan bergantung pada teruknya masalah sinki tersumbat tu.

11. Cecair Pencuci Pinggan Mangkuk

Tak perlu beli bahan yang mahal-mahal, gunakan saja cecair pencuci pinggan mangkuk di rumah. Caranya campurkan secawan cecair pencuci, beberapa biji limau yang diambil jusnya dan 2 liter air panas.

Campurkan kesemuanya, tuangkan ke dalam sinki. Sabun mampu menangkis kotoran seperti minyak dan lemak yang terkumpul.

12. Serbuk Pencuci Pakaian

Anda mesti terkejut kan dengan tips ni? Sebenarnya serbuk pencuci pakaian juga boleh membantu mengatasi masalah sinki tersumbat.

Caranya campurkan 5 hingga 6 sudu serbuk pencuci ke dalam baldi bersama 2 liter air panas. Kemudian, tuangkan larutan ni ke dalam lubang sinki. Ulang beberapa kali.

13. Baking Soda dan Cuka

Baking soda dan cuka juga sebenarnya mampu menyelesaikan masalah sinki tersumbat ni. Caranya campurkan suku cawan baking soda dan suku cawan cuka di dalam sebuah bekas.

Apabila dicampurkan, kedua-dua bahan ini akan menghasilkan buih. Jangan tunggu lama, terus tuang ke dalam sinki yang tersumbat. Biarkan selama 10 minit dan akhir sekali jirus dengan air panas.

14. Baking Soda dan Garam

Kalau cuka di rumah tiba-tiba habis, boleh juga gantikan dengan garam. Caranya campurkan suku cawan baking soda dan suku cawan garam. Tambahkan air panas dan kacau sebati.

Kemudian, tuang ke dalam sinki yang tersumbat. Tips lain pula, kalau nak tambah jus limau ke dalam larutan pun boleh.

15. Cecair Peluntur

Cecair peluntur juga boleh digunakan untuk mengatasi masalah sinki tersumbat. Caranya tuang sedikit cecair peluntur ke dalam saluran sinki dan curahkan air panas hingga semua sisa kotoran tertanggal.

Pastikan anda bersihkan sinki menggunakan sabun selepas saliran menjadi lancar. Ini kerana bahan peluntur amat berbahaya jika masih tersisa di sinki.

Mudah bukan kesemua tips yang dikongsikan ni? Yang penting cuba dahulu, jangan cepat merungut. Anda juga tak perlu bayar mahal-mahal pada tukang paip, tak perlu tunggu suami balik dari kerja.

Para isteri juga mampu membaiki sinki yang tersumbat. Jangan lupa kongsikan tips-tips ni kepada saudara-mara dan sahabat handai. Kalau anda ada tips yang lain, boleh juga kongsikan dengan kami. Semoga bermanfaat.

Jemput juga baca artikel tentang tips urus rumah DIY perangkap nyamuk  dan DIY pepper spray

Rujukan

1.http://www.abejaq.com/2017/01/tips-supaya-sinki-dapur-tidak-tersumbat.html (link)

2.https://www.mingguanwanita.my/cara-mudah-atasi-masalah-sinki-tersumbat-bau-sampah-mak-mak-pun-boleh-buat-sendiri-1/(link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.