Anjing liar adalah di antara binatang yang paling ditakuti oleh semua manusia dimuka bumi. Bukan orang melayu islam sahaja. Anjing liar digeruni kerana dikhuatiri ia akan melakukan perkara yang tidak dijangka seperti mengejar atau menggigit kita. Gigitan anjing, terutamanya anjing yang bersaiz besar boleh membawa maut akibat kecederaan yang parah. Hari ini kami akan kongsikan petua halau anjing yang boleh anda lakukan sekiranya tiba-tiba anda didekati oleh anjing liar atau ada anjing liar yang selalu datang ke rumah anda.

Sumber: Cambridge

Bahaya anjing liar

Anjing liar dianggap sebagai binatang merbahaya yang boleh menggugat keselamatan manusia. Tak hairanlah jika ada majlis perbandaran atau PBT yang melakukan operasi menembak anjing liar sekiranya didapati terdapat terlalu banyak anjing liar di sesuatu kawasan. Di antara bahaya anjing kepada manusia ialah:

  • Bahaya sekiranya digigit, terutamanya anjing yang mempunyai penyakit anjing gila.
  • Najis di merata-rata tempat yang mengotorkan dan membawa penyakit.
  • Jangkitan penyakit kepada manusia.
  • Anjing liar mempunyai parasit, kuman, bakteria, dan virus yang boleh menjangkiti manusia.
  • Pencemaran bulu.
  • Sampah-sarap yang diselongkar oleh anjing liar akan menyebabkan kekotoran, pencemaran mata, dan kawasan pembiakan lalat dan tikus.

Petua halau anjing liar

Jika anda mempunyai masalah anjing liar yang selalu berkeliaran dan datang ke rumah anda, berikut adalah di antara petua berkesan yang boleh anda cuba.

1.  Air kencing harimau

Sumber: Gayahidup

Anjing adalah sejenis haiwan yang garang namun ia sangat takut dengan harimau. Sekiranya ia dapat menghidu bau badan atau air kencing harimau, dari jauh lagi anjing liar akan lari dan menjauhkan diri bagi mengelakkan daripada terserempak dengan harimau tersebut. Petua untuk menghalau anjing liar daripada datang ke rumah ialah dengan meletakkan air kencing harimau di kawasan halaman rumah.

Ia adalah petua yang dijamin berkesan. Namun pastinya anda tertanya-tanya bagaimana cara untuk mendapatkan air kencing harimau? Jawapannya ialah anda boleh bancuh sendiri air yang menyerupai bau air kencing harimau. Apa yang anda perlu lakukan ialah bancuh dan peram sahaja bahan-bahan berikut:

  • 1 liter air
  • 1 paket kapur barus
  • 500 ml cuka
  • 50 gram belacan

Campurkan kesemua bahan tersebut dan rebus sehingga mendidih. Kemudian anda peram air tersebut selama seminggu. Baunya menyerupai bau air kencing harimau. Bolehlah air bancuhan tadi disiram di halaman rumah anda atau diletakkan didalam bekas yang terbuka agar baunya memenuhi halaman rumah anda. Atau anda juga boleh campurkan air peraman tadi dengan 10 liter air kosong dan sembur di seluruh halaman rumah anda. Anjing liar tidak akan mendekati rumah anda lagi.

2. Air dalam botol

Cara halau anjing liar yang seterusnya ialah dengan cara memasukkan air ke dalam botol. Kita biasa dengar tentang air merah yang dimasukkan kedalam botol untuk menghalau kucing. Namun tahukah anda bahawa anjing juga takutkan air yang diisi dalam botol. Cuma tidak semestinya anda menggunakan air yang berwarna merah. Untuk menghalau anjing liar menggunakan air botol, apa yang perlu anda lakukan ialah:

  • Masukkan air kosong ke dalam botol lutsinar seperti botol air mineral atau botol air berkarbonat.
  • Tutup rapat botol tadi.
  • Letakkan botol tadi di kiri dan kanan pagar masuk rumah anda. Tiang rumah, dan di sebelah kiri dan kanan pintu rumah anda. Kehadiran botol berisi air akan menakutkan anjing liar.

3. Wisel anjing

Anda pernah dengar tentang wisel anjing? Berbeza daripada wisel biasa yang kita gunakan, wisel anjing mengeluarkan bunyi dalam frekuensi yang berbeza dan hasilnya, bunyi tersebut hanya boleh didengar oleh anjing. Oleh itu, jika anda selalu mempunyai masalah gangguan anjing liar, kami sarankan anda membeli wisel anjing dan gunakan wisel tersebut apabila perlu.

Apabila ada anjing liar yang masuk ke kawasan rumah anda, tiup wisel anjing dengan sekuat hati. Begitu juga sekiranya ada anjing liar yang selalu mengekori anda semasa pulang ke rumah, pastikan wisel anjing sentiasa di tangan. Tiup wisel tersebut apabila ada anjing yang mula mengekori anda. Bunyi yang dihasilkan oleh wisel tadi akan menyebabkan anjing berasa takut dan lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri.

4. Jangan takut dan pura-pura mengambil batu

Petua halau anjing yang seterusnya ialah jangan tunjukkan yang anda sedang ketakutan. Anjing adalah haiwan yang mempunyai deria yang tinggi dan mampu menghidu ketakutan yang dirasai oleh manusia. Semakin anda takut. Anjing liar akan berasa berani untuk menyerang anda. Oleh itu, apabila berdepan dngan anjing liar, beranikan diri dan pura-pura mencari batu untuk dibaling kea rah anjing tersebut. Keberanian anda akan menakutkan anjing liar.

5. Surah Al-Masad

Sumber: Duasrevival

Petua halau anjing liar yang terakhir ialah dengan membaca Surah Al-Masad atau tabbat yada apabila berdepan dengan anjing liar. Surah hebat ini mempunyai aura tersendiri dan ditakuti oleh anjing.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!

مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya.

سَيَصْلَى نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.

وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. –

فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِنْ مَسَدٍ Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.

Itulah dia info  tentang petua halau anjing liar yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang petua halau belalang, petua halau lipas , petua tumit merekah dan petua sembelit.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.