Selain penjagaan badan untuk kecantikan dan kesihatan, menjaga penjagaan gigi juga sangat penting dan perlu diberi keutamaan. Memiliki gigi yang sihat dan cantik akan memberi keyakinan dan apatah lagi ketika berhadapan dengan orang lain. Bahkan dengan gigi yang sihat juga akan memberikan senyuman yang menawan!
Gigi, walaupun kelihatan kecil dan tersembunyi, jarang yang mengetahui jika cara penjagaan gigi yang tidak rapi bakal meningkatkan risiko pelbagai penyakit kronik seperti penyakit berkaitan kardiovaskular. Bahkan pesakit kencing manis boleh mendapat masalah periodontitis iaitu penyakit gusi pada masa yang sama!
Ramai masih tidak sedar bahawa, bahawa amalan penjagaan kesihatan gigi adalah tanggungjawab penting bagi menjamin gigi tidak rosak selain gusi yang sihat. Sama pentingnya seperti menjaga anggota badan yang lain.
Sebab itulah penjagaan gigi yang baik, sepatutnya bermula dari awal iaitu dari usia bayi lagi. Bahkan dari mula-mula gigi tumbuh.
Namun, apakah cara yang paling asas yang benar-benar berkesan untuk menjaga kesihatan gigi? Selain menjadikan gigi sentiasa cantik berseri?
Ramai pakar gigi yang berpendapat, penjagaan gigi yang penting dan utama adalah melibatkan penjagaan berus gigi terlebih dahulu. Iaitu:
Pastikan berus gigi diganti dalam tempoh tiga sehingga empat bulan sekali. Jika keadaan berus tersebut sudah mulai rosak gantilah dengan segera.
Simpan berus gigi selepas digunakan dengan cara menegak agar berus dapat mengalirkan air ke bawah dan mengering dengan lebih cepat. Pastikan juga berus gigi betul-betul kering sebelum disimpan di tempat tertutup.
Pastikan juga dibilas dengan air bersih selepas digunakan dan sebelum disimpan.
Jangan simpan dalam bekas yang kecil dalam tempoh yang lama bagi mengelak pembiakan bakteria. Apatah lagi diismpan berdekatan dengan tandas.
Jangan berkongsi berus gigi denagn orang lain kerana memudahkan penyebaran kuman dan bakteria yang menjadi punca kerosakan gigi.
Berus gigi yang sedikit lembut didapati lebih sesuai kerana tidak mencederakan permukaan gigi. Berus gigi yang keras dn kasar sebenarnya mampu menghakis lapisan enamel gigi secara perlahan-lahan.
Selain itu terdapat beberapa tip paling asas dalam penjagaan gigi, iaitu;
Kekerapan yang terbaik untuk memberus gigi adalah sekurang-kurangnya dua kali sehari. Terutamanya ketika bangun tidur dan sebelum tidur.
Tetapi yang paling baik adalah memberus gigi setiap kali makan. Tambahan lagi jika makanan tersebut manis dan tinggi kandungan gula.
Ambil masa sekurang-kurangnya dua sehingga tiga minit untuk memberus gigi. Jangan tergesa-gesa dan sambil lewa.
Jadikan pemeriksaan gigi sebagai rutin kesihatan yang penting. Bukan sahaja untuk menjaga kesihatan gigi tetapi untuk mengekalkan kesihatan mulut juga.
Begitu juga untuk bayi, lakukan pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya setiap enam bulan sekali.
Sebaiknya flos gigi dilakukan pada setiap hari atau selepas makan, terutamanya pada waktu malam dan sebelum tidur. Jangan Flos gigi dengan terlalu kasar dan laju. Sebaliknya flos dengan perlahan dan lembut agar dapat mengelak kecederaan gusi dan dapat membuang kotoran pada celah gigi dengan baik.
Berkumurlah dengan air bersih selepas minum atau makan mahupun selepas flos gigi. Ini bagi membersihkan sisa-sisa makanan yang tidak dapat dicapai oleh berus gigi. Elok juga menggunakan cecair kumur antibakteria sebagai amalan penjagaan gigi.
Ubat gigi yang berfluorida dapat membantu menguatkan gigi dan mengelakkan gejala pereputan.
Ramai yang kerap tertinggal rutin memberus lidah setiap kali memberus gigi. Ini kerana, lidah mmerupakan tempat bakteria berkumpul yang akan menyebabkan kesihatan mulut terganggu.
Dengan membersihkan lidah setiap kali memberus gigi juga dapat meningkatkan tahap kebersihan mulut. Sekaligus dapat mengelakkan masalah nafas berbau.
Minuman berasid adalah minuman ringan, seperti kordial dan jus. Kandungan asid dalam minuman ini akan melemahkan material dan menguraikan mineral pada enamel gigi seterusnya menjadi punca kaviti gigi.
Kurangkan juga makanan manis yang mengandungi gula tinggi. Ini kerana bakteria yang terdapat pada plak-plak gigi akan menukarkan gula menjadi asid.
Elakkan menggunakan gigi untuk menggigit benda lain selain makanan, seperti membuka tudung botol atau mengoyakkan plastik bungkusan. Perbuatan ini akan merosakkan gigi.
Makanan yang tinggi khasiatnya akan menjamin kesihatan termasuklah gusi dan gigi. Terutamnya buah-buahan seperti oren, mangga, betik dan sayur-sayuran seperti kubis, bayam dan tomato yang sangat kaya dengan vitamin C. Makanan berkhasiat ini akan membantu memelihara dan menjaga kesihatan gusi.
Peluang mendapatkan gigi yang cantik dan sihat adalah tanggungjawab dan amanah untuk diri sendiri. Andai gigi tersebut sudah rosak, sakit dan terpaksa dicabut, ia merupakan satu kehilangan besar lantaran gigi tersebut tidak akan terganti semula. Memasang gigi palsu adalah tidak sama nikmatnya dengan memiliki gigi yang asli.
Sebab itulah penjagaan kesihatan gigi yang betul tidak boleh dipandang ringan atau mudah. Ini kerana kesihatan gigi yang baik turut menjamin kesihatan tubuh badan yang baik juga.
Memiliki gigi yang sihat dan penjagaan mulut yang baik juga memperlihatkan tahap kebersihan seseorang itu. Ini semua akan memberi keyakinan dan keterampilan yang sebaiknya sewaktu berada dalam kalangan orang lain.
Semoga tips penjagaan gigi yang dikongsikan berguna dan bermanfaat bagi mendapatkan gigi yang cantik dan menawan!