Pasti ada yang mencari tempat menarik di Hatyai lebih-lebih lagi yang ingin bercuti sendirian tanpa menggunakan perkhidmatan travel agent. Jika anda salah seorangnya, kami kongsikan tempat menarik di Hatyai yang perlu anda kunjungi.

Hatyai yang terletak di Thailand menjadi antara destinasi percutian luar negara paling popular dan diminati oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Banyak perkara menarik tentang Hatyai termasuklah kaya dengan budaya, banyak tempat menarik dan mudah diakses dimana rakyat Malaysia dapat ke sini menggunakan kenderaan sendiri. Paling best, Hatyai menjadi pusat membeli-belah terunggul di kalangan rakyat Malaysia kerana harganya yang murah serta banyak tempat makan yang sedap!

Untuk ke Thailand, terdapat lapan pintu masuk atau sempadan darat. Antara sempadan yang popular untuk ke Hatyai adalah Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar.

Central Festival Mall

Imej via Malaysia Asia

Central Festival Mall merupakan pusat membeli-belah terbesar dan terkenal di Hatyai. Pengunjung boleh membeli-belah dengan puas kerana terdapat pelbagai barangan murah seperti pakaian, kosmetik mahupun perkakas elektrik. Dah datang ke sini, masuk juga Strawberry Club yang menjual kesemua jenis barang berharga 10 Baht sahaja.

Bukan itu sahaja, bangunan ini menempatkan pelbagai hiburan termasuklah tempat berkaraoke, bermain bowling, menonton wayang dan bermain game di Fun Planet. Tarikan ini sesuai untuk semua golongan umur!

Di Central Festival juga terdapat beberapa port makanan viral dan sedap. Jika datang ke sini, pastikan anda mencuba Toro Fries, Fresh Oyster & River Prawn Stall dan Train Noodles. Banyak makanan viral yang lain perlu dicuba dan kebanyakannya berada di Ground Floor. Pastikan makanan yang anda beli di sini halal!

Alamat: 1518 Kanjanavanich Rd, Kho Hong, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

Khlong Hae Floating Market

Rugi jika ke Hatyai tetapi tidak singgah di Klong Hae Floating Market atau pasar terapung dimana kesemua barang dijual di atas sampan. Ramai yang ke sini untuk mencuba pelbagai makanan Thailand.

Otak-otak, Maggi Tomyam Seafood, Pulut Ayam Thai, Telur Puyuh Goreng dan Spring Potato antara yang digemari ramai. Cuba juga air kelapa yang dijual di dalam buluh kerana rasanya memang segar dan hidangannya unik.

Kebanyakan harga yang ditawarkan adalah berbaloi dan tidak terlalu mahal. Dah puas membeli makanan, anda boleh lepak ditempat yang disediakan sambil makan dan layan persembahan dari band tempatan serta ada juga tarian secara langsung.

Di bahagian atas juga banyak gerai yang jual makanan dan cenderamata. Klong Hae Floating Market hanya dibuka pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 2.00 petang hingga 9.00 malam.

Alamat:  2FWF+PMG, Khlong Hae, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

Chang Puak Elephant Camp

Chang Puak Elephant Camp dibuka pada setiap hari bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Masuk adalah percuma namun jika anda ingin melakukan sebarang aktiviti, ada bayaran yang dikenakan.

Ramai yang ke sini untuk menunggang gajah dan melihat persembahan dari gajah. Pengunjung berpeluang untuk bergambar dengan jarak dekat bersama gajah tersebut.

Menunggang ATV, memasuki Bird Park, Crocodile Show dan BB Gun antara aktiviti lain yang boleh anda cuba. Setiap tarikan dikenakan harga tiket yang berbeza. Pilih sahaja antara tiga jenis pakej dengan harga yang lebih murah, terdiri daripada lima aktiviti berbeza.

Di Chang Puak Elephant, anda boleh bergambar sepuasnya di pelbagai sudut. Bukan itu sahaja, surau dan tandas disediakan dengan bersih dan selesa buat pengunjung.

Alamat:  108 Moo.8, km19-Tajeen Rd Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

Asean Night Bazaar

Tak tahu nak makan malam di mana? Bukan apa, kadangkala ramai yang risau dengan status halal makanan di sini. Tak perlu risau, datang terus ke Asean Night Bazaar kerana banyak makanan halal dijual di sini.

Makanan-makanan tersebut berada di tingkat dua. Antara menu yang menjadi tumpuan adalah air longan, laksa Thai, Banana Pancake dan Pad Thai.

Di bahagian bawah pula anda boleh dapatkan cendermata. Ada juga kedai menjual pakaian, aksesori dan sebagainya. Rata-rata pelancong mencadangkan untuk membeli cenderamata di sini kerana harganya lebih murah berbanding tempat membeli-belah yang lain.

Asean Night Bazaar dibuka pada setiap hari kecuali Isnin bermula 4.30 petang hingga 10.00 malam.

Alamat:  76 Chotevittayakul 3 Rd, Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

Dimsum Chabura

Tanya sahaja tempat makan sedap di Hatyai kepada pelancong tegar di sini, pasti ramai yang akan mencadangkan untuk makan di Dimsum Chabura. Dimsum Chabura menjadi port sarapan popular di Hatyai dan kebanyakan pengunjung adalah rakyat Malaysia.

Menu utama semestinya dimsum. Dimsum telah diletakkan di dalam bekas dan anda perlu memilih dimsum yang ingin dicuba. Jangan risau, harga memang sudah terletak pada menu ini.

Selain dimsum, pelbagai lagi menu menarik dan sedap ditawarkan buat pengunjung. Antara menu yang digemari ramai adalah Hot Sizzling Tomyum, bubur tomyam dan Gyoza. Bagi minuman pula ramai yang cadangkan untuk mencuba teh ais dan green tea yang pekat dan padu!

Dimsum Chabura dibuka pada setiap hari bermula 6.00 pagi hingga 2.00 petang. Jangan lupa singgah di sini jika ke Hatyai!

Alamat:  2FG9+M2Q, Khlong Hae, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

Samila Beach

Imej via Beach Searcher

Jika pernah lihat patung duyung yang besar dengan latar laut di mana-mana media sosial, Samila Beach adalah tempatnya. Samila Beach berada di bahagian utara Songkla. Alang-alang ke Hatyai, singgah juga ke Samila Beach untuk bergambar.

Banyak gerai makanan berada di sepanjang pantai dan Coconut Ice Cream antara menu yang perlu anda cuba ketika waktu panas! Duduk berkelah di tepi pantai atau menunggang kuda antara aktiviti yang boleh dilakukan di Samila Beach.

Tang Kuan Hill

Tang Kuan Hill atau Khao Tangkuan merupakan salah satu tempat rekreasi yang juga menempatkan Kuil Buddha di puncak bukit. Untuk sampai ke puncak, pengunjung perlu menaiki lift unik serendah 45 Baht untuk dewasa dan 20 Baht untuk kanak-kanak.

Berdekatan dengan Samila Beach, anda dapat melihat kawasan sekitar meliputi laut, bandar dan belukar dari jarak yang tinggi. Namun anda perlu berhati-hati jika ke sini kerana kadangkala ada monyet yang akan mengganggu pengunjung.

Alamat:  6H6R+884, Bo Yang, Mueang Songkhla District, Songkhla 90000, Thailand

Cable Car Hatyai City

Nak tengok lagi permandangan Hatyai yang cantik dari jarak yang tinggi? Jom rasai pengalaman menaiki kereta kabel di Hatyai hingga ke puncak bukit.

Alamat:  Unnamed Rd Tambon Kho Hong Amphoe Hat Yai Chang Wat Songkhla 90110 Thailand

Central Mosque of Songkhla

Imej via Take Me Tour

Turut dikenali sebagai Masjid Nurul Iman, reka bentuk masjid ini memukau dan berkonsepkan binaan Melayu dan selatan Thailand. Kubah berwarna kuning dan kolam besar yang berada berhadapan binaan masjid antara yang unik di masjid ini.

Salah satu masjid terbesar di Songkhla ini bukan sahaja menjadi tempat untuk umat Islam beribadat, malah menjadi tempat kegiatan sosial dan pendidikan untuk rakyat setempat. Jangan lepaskan peluang untuk solat di masjid yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Alamat:  352 หมู่ที่ Lopburi Ramesuan Rd, Khlong Hae, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

Songkhla Flower Farm

Buat yang suka fotografi, apa kata anda ke Songkhla Flower Farm dimana anda boleh ber’ootd’ sepuasnya di taman bunga ini. Tiket masuk serendah 50 Baht sahaja dan anda boleh dapatkan minuman secara percuma.

Terletak 10 KM dari pekan Hatyai, Songkhla Flower Farm dibuka pada setiap hari bermula 9.00 pagi hingga 8.00 malam.

Alamat:  4G4F+7JR, Nam Noi, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

Songkhla Zoo

Imej via Songkhla Zoo

Singgah juga ke Songkhla Zoo jika ingin melihat pelbagai haiwan di zoo negara jiran ini. Songkhla Zoo dibuka pada setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Namun lebih menarik jika anda datang pada waktu pertunjukan haiwan iaitu Survival of Wildlife, Penguins dan Feeding Tiger. Waktu pertunjukan ketiga-tiga bahagian ini berbeza namun berurutan dan jarak masanya tidak perlu tunggu terlalu lama.

Harga tiket serendah 350 Baht untuk dewasa dan 120 Baht untuk kanak-kanak. Kadar tiket ini untuk pelancong sahaja.

Alamat:  189 หมู่ที่ 5 ถนน สงขลา-นาทวี Khao Rup Chang, Mueang Songkhla District, Songkhla 90000, Thailand

Nora Plaza

Nora Plaza merupakan salah satu tempat membeli-belah di Hatyai dan kelainannya dari pusat membeli-belah yang lain adalah kebanyakan barang jualan adalah barangan berkulit. Pengunjung boleh dapatkan beg tangan kulit yang eksklusif dan barangan lain.

Alamat: 328 Thumnoonvithi Rd, Tambon Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

GreenWay Night Market

Imej via Greenway Market

Satu lagi tempat menarik di Hatyai yang menjadi tumpuan pelancong terutama rakyat Malaysia semestinya GreenWay Night Market. Apa yang anda boleh dapatkan di sini?

Sebut sahaja apa yang anda mahu, rata-ratanya dijual dengan harga yang murah. GreenWay Night Market terbahagi kepada dua iaitu bahagian makanan dan bahagian barangan. Ada barangan bundle dan ada juga yang baru. Berada di sini memang rambang mata.

Dibuka pada setiap hari kecuali Isnin, anda boleh ke sini dari pukul 4.00 petang hingga 10.00 malam. Satu lagi perkara penting, sistem bayaran di sini tidak menggunakan wang sebaliknya menggunakan kupon. Anda boleh menukar wang kepada kupon di kiosk yang disediakan di sana.

Alamat:  1406/4 ถนน กาญจนวณิชย์ Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

7Eleven Hatyai

Tak sah bercuti di Thailand jika tidak mengunjungi mana-mana cawangan 7Eleven di sana yang mempunyai pelbagai barangan menarik. Di Hatyai, anda boleh mengunjungi 7Eleven Pasawang RD. Bahagian alat solek dan makanan sedap menjadi tumpuan ramai dan ada barang hanya boleh didapati di sana sahaja.

Antara menu yang diburu ramai adalah colek buah, CP Burger, CP Dimsum, susu Meiji, roti sosej dan Arabus Coffee.Namun jika ingin membeli, pastikan makanan tersebut halal!

Kaysorn

Kaysorn juga tidak kurang hebatnya dan menjadi tumpuan pelancong Malaysia untuk membeli-belah pelbagai barangan menarik dan gedungnya juga besar. Pakaian, aksesori dan makanan ringan antara barang yang boleh anda beli dan bawa pulang sebagai cenderamata.

Rata-rata pelancong mengatakan barangan di sini berkualiti berbanding tempat membeli-belah yang lain. Kebanyakan pelancong memilih untuk membeli kekacang, barangan kering dan pes tomyam. Kaysorn dibuka setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 6.00 petang

Alamat:  88 Hoimook Alley, Tambon Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

Big Bee Farm

Di Hatyai juga ada Big Bee Farm dimana anda boleh mendapatkan pelbagai menu berasaskan madu lebah yang asli dan segar. Jika datang dalam kelompok yang ramai, pengunjung akan disajikan dengan air madu secara percuma.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga akan diberi taklimat atau informasi berkaitan jenis, kaedah penghasilan dan kelebihan madu lebah. Juga dikenali sebagai Big Bee Garden, ada juga tempat untuk anda ootd.

Alamat:  15 ถ.ประชายินดี ต.หาดใหญ่ Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

Lee Garden Night Market

Tempat menarik di Hatyai seterusnya ini turut menjadi tumpuan pelancong Malaysia untuk mencuba pelbagai jenis makanan sedap dengan harga yang berpatutan. Selain makanan, ramai juga yang memborong cenderamata di sini.

Pada hujung minggu, terdapat festival diadakan di sini dengan lebih banyak pilihan barangan. Lee Garden Night Market dibuka pada Rabu hingga Ahad bermula 5.00 petang hingga 10.00 malam. Nak lebih meriah, datang sahaja pada waktu malam.

Yum Mama, Roasted Beef & Grilled Chicken dan makanan laut antara yang dicari ramai jika ke sini. Namun pastikan makanan yang anda beli di sini adalah halal.

Alamat: 2F4C+9JR, Tambon Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

SeaVerse Cafe & Restaurant

Merupakan sebuah restoran di Hatyai, namun ramai yang ke sini untuk bergambar kerana segenap sudut restoran ini sangat instagrammable dan berada terapung di atas tasik.

Antara port ootd yang menjadi tumpuan adalah jambatan gantung, patung kuda laut yang besar dan jambatan gegelung. Selain restoran, ia menempatkan dua buah kafe dan banyak kedai kraftangan di dalam chalet.

Tiket masuk sekadar 30 Baht sahaja. Tempat menarik di Hatyai ini dibuka setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 8.00 petang.

Alamat:  Lopburi Ramesuan Rd, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

Hatyai Municipal Park

Jika mahu lepak di tempat yang santai, datang saja ke Hatyai Municipal Park yang terletak bersebelahan Cable Car Hatyai City. Berada di puncak bukit, permandangan di sini juga memukau dimana pengunjung boleh melihat bandar Songkhla dari jarak yang tinggi.

Di sini pengunjung boleh menaiki tram mengelilingi taman atau menaiki bot unik berbentuk ikan dan bersiar-siar sekitar tasik.

Alamat: Kanjanavanich Rd, Tambon Kho Hong, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

Kilang Kacang Ranu Kohyo

Tempat menarik di Hatyai yang terakhir ini juga menjadi tumpuan pelancong untuk mendapatkan kekacang dan makanan kering yang murah.  Buat hantu kacang, pasti anda akan berbelanja lebih di sini!

Turut dikenali sebagai Renu Shop, pelbagai jenis kacang yang ada seperti kacang pistacio, almond dan gajus. Bukan sahaja kacang, penguncung juga boleh membeli pelbagai produk berasaskan kacang seperti rempeyek, biskut dan coklat.

Alamat:  490/8-10 Thumnoonvithi Rd, Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

Nak pergi kesemua tempat menarik di atas memang tidak cukup untuk percutian selama satu hari. Menginaplah di sini agar anda dapat merasai keseronokan bercuti di Hatyai.

Jika anda ingin memasuki sempadan menggunakan kenderaan sendiri, pastikan anda membawa passport, sijil pemilikan kenderaan dan insuran kereta Thailand. Tiga perkara ini sangat penting untuk membolehkan anda memasuki Thailand. Di imigresen pula, anda perlu mengisi borang maklumat diri dan kenderaan.

Dah bercuti ke sini, pasti anda akan datang bercuti ke sini lagi kerana Hatyai menjadi lokasi menarik untuk bercuti dengan bajet yang kecil berbanding negara lain. Dengan banyak tempat menarik, harga barang yang murah serta banyak makanan sedap menjadikannya pekan yang tidak bosan untuk dikunjungi.

Anda seorang pengembara? Berikut merupakan senarai lokasi percutian luar negara yang digemari ramai:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.