Hati yang tenang adalah idaman setiap manusia. Pernah tak anda tertanya-tanya kenapa hati berasa tidak tenang, dan terasa seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Terasa seperti ada sesuatu yang kurang. Mungkin ada yang akan berkata bahawa hati tak tenang kerana tak dekatkan diri dengan Allah, tapi tak semestinya orang yang tak tenang itu jauh dari Allah. Ada yang kuat beribadat namun masih berasa tak tenang.
Yang sebenarnya, ada pelbagai punca kenapa hati kita berasa tidak tenang. Salah satu daripada puncanya ialah disebabkan oleh ujian dan dugaan yang sedang kita hadapi. Hati mana yang akan berasa tenang jika sedang diduga dengan ujian? Ketahuilah bahawa ujian dan dugaan yang datang adalah tanda Allah sayangkan kita. Sedangkan nabi dan para rasul juga diuji dengan maha dahsyat.
Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan beberapa kisah ujian yang dihadapi oleh para nabi dan rasul. Betapa hebat ujian mereka dan akhirnya Allah berikan kebahagiaan kepada mereka. Semoga perkongsian kami tentang kisah untuk hati tenang ini bermanfaat buat anda. Semoga kita semua mendapat ketenangan hati.
Nabi Ayub adalah salah seorang nabi yang dikurniakan kekayaan dan harta melimpah-ruah oleh Allah. Di antara kekayaan yang dimiliki oleh Nabi Ayub ialahbinatang ternakan yang banyak, hamba sahaya yang ramai, serta isteri dan anak yang ramai. Namun pada satu hari Allah menarik semula semua nikmat ini. Malah Nabi ayub ditimpa penyakit gatal yang kronik dengan nanah meleleh dari badannya sehingga orang ramai berasa jijik dengan Nabi Ayub.
Tiada sesiapa ingin mendekati Nabi Ayub kecuali seorang isteri. Isteri dan anak-anaknya yang lain membuang Nabi Ayub. Nabi Ayub dihalau dan ditinggalkan di kawasan pelupusan sampah. Betap hebat dugaan yang dialami oleh Nabi Ayub namun baginda tak putus-putus berdoa, berzikir, dan berselawat kepada Allah. Isteri Nabi Ayub yang setia berkata: “Wahai Ayub, sekiranya engkau berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan memberikan kelapangan bagimu.” Nabi Ayub menjawab: “Aku telah menjalani hidup dengan sihat selama tujuh puluh tahun. Sangat sedikit sekali bagi Allah bila aku bersabar untuk menghadapi ujian ini selama tujuh puluh tahun.”
Nabi Ayub mempunyai dua adik-beradik lelaki. Suatu hari mereka berdua datang menziarahi Nabi Ayub namun tidak sanggup untuk mendekatinya kerana bau busuk yang teramat. Mereka cuma berdiri dari jauh. Salah seorang daripada mereka berkata kepada Nabi Ayub: “Sekiranya Allah mengetahui kebaikan Nabi Ayub, nescaya Dia tidak akan mengujinya dengan ujian seperti ini.”
Nabi Ayub tersentak dan terus berdoa sambil bersujud: “Ya Allah, dengan kemuliaan-Mu aku tidak akan mengangkat kepalaku selama-lamanya sebelum Engkau hilangkan penyakit ini dariku.” Nabi Ayub tidak mengangkat kepalanya sehingga seluruh penyakitnya sembuh sepenuhnya.
Menurut Syeikh al-Sobuni, selepas doa tersebut Allah memberikan Nabi Ayub wahyu menghentak kakinya ke bumi. Air sejuk keluar dari kawasan yang dihentak oleh kaki nabi Ayub. Kemudian Nabi Ayub minum dan mandi dengan air tersebut. Maka Nabi Ayub sembuh semula dan menjadi semakin kuat dan sihat.
Nabi Sulaiman adalah seorang nabi hebat yang mempunyai mukjizat di mana baginda boleh memahami dan berkomunikasi dengan haiwan dan makhluk jin. Nabi Sulaiman adalah seorang nabi yang hebat dan mempunyai 100 orang isteri, namun diuji dengan tidak mempunyai anak lelaki untuk mewarisi takhtanya.
Berkat berdoa kepada Allah, salah seorang isteri Nabi Sulaiman melahirkan seorang anak lelaki namun anak tersebut cacat dan tidak sempurna. Menurut catatan sirah, Nabi Sulaiman diuji dengan ujian tersebut kerana beliau terlupa untuk mengucapkan insya Allah semasa berkata-kata.
Nabi Sulaiman mengatakan bahawa dengan isterinya yang ramai, setiap isteri akan melahirkan seorang anak lelaki yang akan berjihad di jalan Allah. Namun baginda terlupa untuk mengucapkan insya Allah. Itulah sebabnya Allah uji baginda dalam bentuk ujian sebegini.
Maka jika kita berasa bahawa ujian kita terlalu berat, bayangkan jika kita berada di tempat Nabi Sulaiman. Seorang nabi dan raja yang maha hebat dengan kerajaan yang besar dan mampu mengawal semua haiwan dan jin, namun tidak mampu untuk mendapat seorang anak lelaki yang sempurna untuk mewarisi takhtanya. Adakah ujian kita sehebat baginda?
Nabi Muhammad adalah di antara nabi yang paling banyak diuji dan diduga oleh Allah. Sedangkan baginda adalah kekasih Allah. Tidakkah anda tertanya-tanya, kenapa Allah menguji kekasih hatinya? Ia adalah untuk mengajar kita bahawa Allah uji kita kerana Allah sayang. Allah uji kita kerana Allah nak kita dekatkan diri kepadanya. Mungkin juga kalau kita tak diuji, kita tak ingat pada Allah. Kita leka dengan dunia.
Apakah ujian yang dihadapai oleh Nabi Muhammad?
Kalau Nabi Muhammad boleh bersabar dan terus beriman semasa diuji dengan begitu hebat oleh Allah, kenapa kita tak mampu? Kalau kita redha dengan segala ujian yang datang, pastinya hati kita akan berasa lebih tenang.
Itulah dia perkongsian tentang tazkirah hati: kisah untuk hati tenang yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang tazkirah ringkas dan tazkirah pendek
Sumber: Muftiwp