Menjaga bayi bukanlah perkara yang mudah. Pastinya anda sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik dan memberikan jagaan yang terbaik buat si comel.

Salah satu aspek yang paling penting ialah tentang penyusuan bayi anda. Pernah tak anda berasa risau kalau-kalau bayi anda tidak menyusu secukupnya lalu menyebabkan perkembangan dan tumbesaran bayi terbantut?

Dalam masa yang sama, anda juga risau kalau-kalau bayi anda terlebih menyusu. Ia akan menyebabkan bayi anda menjadi obes dan lagi susah hati kalau bayi anda asyik muntah susu akibat terlebih menyusu. Berapa kali sepatutnya bayi anda menyusu setiap hari? Berapa banyak sukatan susu yang tepat untuk bayi anda menyusu setiap kali?

Apakah kepentingan mengetahui sukatan susu yang betul untuk bayi anda?

Pastinya anda tertanya-tanya penting tak untuk anda mengetahui sukatan susu yang tepat untuk bayi? Apakah kesannya jika anda memberikan susu kepada bayi anda secara melulu berdasarkan gerak hati atau setiap kali bayi anda menangis?

Untuk pengetahuan anda, mengetahui sukatan susu yang betul untuk bayi adalah sangat penting terutamanya jika anda memberikan bayi anda susu formula kerana:

  • Mengukur dan membancuh susu formula bayi dengan sukatan yang tepat adalah sangat penting bagi bayi yang dilahirkan dengan berat badan rendah yang rendah atau pun bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan atau bayi pra matang. Ini kerana bayi dengan berat badan yang rendah dan pra matang mempunyai sistem pencernaan yang masih belum matang dan tidak mampu untuk mencerna susu formula yang tidak dibancuh dengan sukatan yang betul.
  • Jika anda membancuh susu formula dengan terlalu cair, susu tersebut tidak mengandungi kalori dan nutiris yang mencukupi untuk perkembangan dan tumbesaran bayi anda. Ini akan menyebabkan berat bayi anda tidak naik dengan tahap yang sepatutnya.
  • Sebaliknya, jika anda membancuh susu formula dengan terlalu pekat, ia akan menyebabkan perut bayi anda kembung dan melambatkan process percernaannya lalu menyebabkan bayi anda mengalami masalah sembelit yang sangat menyakitkan.

Apakah sukatan susu yang tepat untuk diberikan kepada bayi?

Kebanyakan bayi yang baru lahir akan minum kira-kira 1.5 sehingga 3 auns susu formula setiap 2 hingga 3 jam. Namun ia tidak sama bagi setiap bayi. Bayi lelaki biasanya akan menyusu dengan lebih banyak dan lebih kerap berbanding bayi perempuan.

Semakin bayi anda membesar, semakin banyak susu yang diminum oleh bayi anda memandangkan perutnya juga semakin besar. Namun kekerapan akan berkurangan memandangkan perut bayi anda sudah mampu menyimpan jumlah susu yang banyak dalam satu masa.

Jika bayi anda menyusu badan, susukan bayi anda setiap kali bayi anda kelihatan lapar. Jika ana memberikan susu formula, ikut sukatan yang disyorkan pada tin susu yang dibeli.

Tips penyusuan yang boleh anda amalkan

sukatan susu untuk bayi
Sumber: Siralimau

Berikut adalah beberapa tips penyusuan yang ingin kami kongsikan kepada anda sebagai panduan dalam menyusukan bayi anda. Perkara pertama yang perlu anda tahu ialah mengangis bukanlah satu-satunya petanda bahawa bayi anda lapar dan ingin menyusu. Kebiasaannya bayi akan memberikan tanda-tanda berikut apabila dia mula lapar:

  • Memberikan refleks yang menunjukkan dia ingin menyusu. Di antara perbuatan yang memberikan refleks ingin menyusu ialah seperti membuka mulut dan mencari payudara anda atau bayi anda kelihatan mula menghisap jari atau apa-apa yang ada di tangannya.
  • Bayi anda mula meragam, minta didukung dan dipeluk sentiasa serta enggan untuk diletakkan ke bawah.
  • Bayi anda mula menggerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan.
  • Bayi anda mula membuka mulut dan ternganga-nganga.
  • Bayi anda mengeluarkan dan menjelir-jelirkan lidahnya.
  • Bayi anda mula memasukkan tangannya ke dalam mulut.
  • Bayi anda menggerakkan mulutnya seperti sedang menghisap sesuatu.

Selain itu, terdapat juga beberapa perkara yang perlu anda elakkan semasa menyusukan bayi anda. Di antara perkara-perkara yang perlu dielakkan ialah seperti berikut:

  • Jangan amalkan untuk menunggu sehingga bayi anda betul-betul lapar serta mula menjerit dan meragam sebelum anda menyusukan si comel. Ia akan menyebabkan bayi anda menjadi seorang individu yang kuat meragam dan suka memberontak apabila dewasa nanti. Menangis juga akan menyebabkan bayi anda kepenatan lalu cepat tertidur semasa menyusu sebelum belum-belum kenyang lalu menyebabkan bayi anda akan terjaga semula dalam tempoh yang sekejap akibat kelaparan.
  • Jangan risau jika bayi anda tidak kerap menyusu seperti bayi lain atau pun bayi anda menyusu terlebih banyak berbanding bayi lain yang sebaya dengannya. Ini kerana setiap bayi adalah berbeza. Tiada dua bayi pun yang sama di dunia ini.
  • Jangan risau kalau bayi anda tidak menyusu dengan banyak dan kerap. Mungkin anda risau bayi anda tidak menyusu dengan secukupnya lalu menyebabkan perkembangannya terbantut. Untuk pengetahuan anda, untuk mengetahui sama ada bayi anda mendapat susu yang secukupnya atau tidak, ada dua perkara yang boleh anda perhatikan iaitu lampin dan berat badannya. Jika berat bayi anda naik secara normal dan lampin bayi anda ditukar sekurang-kurangnya 5 kali sehari, ini bermakna bayi anda mendapat susu yang secukupnya.
  • Jangan juga risau jika bayi anda menyusu secara berlebihan. Bayi akan berhenti menyusu dengan sendiri apabila dia kenyang. Oleh itu jangan paksa bayi anda untuk menyusu jika dia enggan untuk menyusu.

Itulah dia info tentang sukatan susu untuk bayi yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang panduan susu ibu dan ibu susuan

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.