Solat tahajud adalah ibadah sunat pada waktu malam selepas isyak setelah bangun daripada tidur atau berqiamullail.
Bagi artikel kali ini, kami ingin berkongsi kepada anda berkenaan dengan cara untuk mengerjakan solat tahajud dan kelebihannya bagi panduan anda dalam kehidupan.
“Tahajud” berasal daripada bahasa Arab dengan tafsiran berjaga iaitu bangun ketika waktu sahur atau malam.
Walaupun begitu, menurut al-Jauhari, mereka juga menggunakan perkataan “Tahajud” ketika berjaga malam atau apabila tidur di mana kedua-duanya adalah berlawanan.
Dari segi istilah pula, solat sunat tahajud adalah solat yang dilakukan pada waktu malam selepas Isyak setelah bangun daripada tidur atau digelar juga sebagai “qiamullail”.
Solat sunat tahajud amat penting dan digalakkan dalam kehidupan umat Islam sehingga membuatkan Imam al-Bukhari memasukkan satu bab khas untuk tahajud dalam kitabnya iaitu Kitab al-Sahih.
Hukum solat ini adalah sunat muakkad, iaitu amalan sunat yang sangat digalakkan dan dituntut oleh Allah SAW.
Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat tahajjud walau hanya satu malam begitu juga dengan para sahabat;
Baginda bersabda;
“Solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat malam (solat tahajud)” – (Hadis Riwayat Muslim)
Solat sunat ini lebih afdal untuk dilakukan pada waktu tengah malam. Atau lebih tepatnya selepas jam 12.00 tengah malam, iaitu selepas waktu Isyak sehingga terbit fajar.
Sebaik-baiknya satu pertiga malam, setelah berlalunya dua pertiga malam iaitu sekitar jam 3.00 pagi sehinggalah menginjak waktu Subuh.
Ketika ini waktu sangat sunyi dan sepi, seusia untuk beribadah kepada Allah dengan lebih khusyuk.
Firman Allah SWT:
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, atau lebih daripada seperdua itu dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.”
(Surah Al-Muzammil: ayat 1-4)
Solat sunat tahajud tidak ada ketetapan dalam jumlah rakaatnya. Boleh dilakukan sekurang-kurangnya dengan dua rakaat dan sebaik-baiknya mengakhirinya dengan solat witir.
Paling afdal adalah didirikanlah 11 rakaat seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
“Daripada Abi Salamah bin Abd Rahman, bahawa dia bertanya kepada Aisyah, bagaimanakah solat Rasulullah SAW di malam Ramadan? Maka berkatalah Aisyah: ‘Baginda tidak menambah lebih daripada sebelas rakaat, sama ada di bulan Ramadan atau di bulan-bulan lain’.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Cara mengerjakan solat sunat tahajjud adalah seperti berikut:
i. Niat ketika takbiratulihram:
اُصَلِّى سُنَّةً التَّهَجُّدِ رَكْعَتَيْن ِلِلَّهِ تَعَالَى
“Aku bersolat sunat tahajjud dua rakaat semata-mata kerana Allah Taala.”
ii. Rakaat pertama: Membaca al-Fatihah dan surah al-Kafirun.
iii. Rakaat kedua: Membaca al-Fatihah dan diikuti dengan surah al-Ikhlas. Sekiranya tidak menghafal surah-surah yang digalakkan ini, bacalah mana-mana surah yang diketahui dan dihafal.
iv. Sewaktu mendirikan solat: Sangat digalakkan untuk bertasbih dan beristighfar ketika rukuk dan sujud.
v. Tamatkan solat dengan memberi salam. Diikuti dengan doa solat tahajud.
“Ya Allah bagiMu segala pujian, Engkaulah Pencipta semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya. Bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang menerangi semua langit dan bumi dan orang-orang yang berada di dalamnya. bagi Engkau segala pujian.
Engkaulah yang benar dan janji Engkau adalah benar, syurga dan neraka adalah benar, semua nabi Engkau adalah benar, Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar.
Ya Allah kepadaMulah aku serahkan diriku, aku percaya kepada Engkau, tempat aku berserah diri dan kepada Engkau aku kembali, dengan pertolongan Engkau aku menghadapi musuhku, kepada Engkau aku berhukum.
Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terkemudian,dosa yang tersembunyi dan yang nyata dan dosa yang hanya Engkau sahaja yang mengetahui. Engkaulah yang dahulu dan yang akhir, tiada tuhan kecuali Engkau dan tiada daya upaya kecuali dengan pertolongan Engkau.”
Allah SWT menggalakkan umatNya untuk bangun mendirikan solat tahajjud, dengan menganugerahkan ganjaran besar.
Maka beruntunglah bagi sesiapa yang mampu terjaga, berwuduk lalu berqiamullail tika kebanyakan orang lain lena enak diulit mimpi indah.
Daripada Abi Hurairah berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
“Apabila berlalu setengah malam atau dua pertiga malam, turunlah Allah Yang Maha Tinggi ke langit dunia seraya berfirman: ‘Adakah sesiapa yang meminta untuk diberi (Aku perkenankan permintaannya), adakah sesiapa yang berdoa untuk dimakbulkan (Aku makbulkan doanya), adakah sesiapa yang beristighfar untuk diberi ampun kepadanya (Aku ampunkannya)’, sehinggalah terbit fajar.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis, sesiapa yang bangun mengerjakan solat tahajud akan dianugerahkan dengan banyak keistimewaan, antaranya:
1. Ditempatkan di Tempat Terpuji di Akhirat
Firman Allah SWT:
“Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah solat tahajud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”
(Surah al-Isra’, ayat 79)
2. Masuk ke Syurga Tanpa Hisab
Rasulullah SAW bersabda;
“Seluruh manusia akan dihimpunkan di suatu kawasan pada hari kiamat, lalu kedengaran satu suara yang menyeru: ‘Siapakah (di dunia) yang telah meninggalkan tempat-tempat tidur mereka (untuk qiamullail)?’ Lalu sekumpulan kecil orang yang bangun malam itu masuk syurga tanpa hisab. Selepas itu barulah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dilakukan hisab kepada semua manusia.”
(Hadis Riwayat al-Baihaqi)
3. Diampunkan Segala Dosa dan Kifarah
Rasulullah SAW bersabda;
“Hendaklah kamu berqiamullail kerana ia merupakan perjalanan orang yang soleh sebelum kamu. Qiamullail mendekatkan kamu kepada Tuhanmu, mengampunkan segala dosa dan kifarah di atas dosa-dosa, mencegah penyakit daripada bulan.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)
4. Dijauhkan daripada Semua Penyakit
Salman al-Farisi menceritakan, Rasulullah SAW pernah bersabda;
“Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada TuhanMu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari amalan dosa dan dapat menghalangi penyakit.”
(Hadis Riwayat Tirmizi dan Ahmad)
5. Diperkenankan Permintaannya yang Baik
Rasulullah SAW bersabda;
“Sesungguhnya pada malam terdapat satu waktu tiadalah hamba yang Muslim membetulinya dengan berdoa meminta kebaikan kepada Allah kecuali dikurniakan kepadanya, yang demikian itu setiap malam.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Selain itu, seseorang yang melazimi solat tahajud juga mendapat kebaikan lain seperti;
Kurniaan di Akhirat Kelak;
Solat sunat tahajud adalah tawaran yang sangat berharga yang Allah SWT berikan untuk kita dekatkan diri padaNya. Andai kelebihan itu ditinggalkan sahaja, ia amatlah merugikan.
Pada awalnya, pastilah sukar untuk bangun di tengah malam dan bertahajud, namun berusahalah untuk cuba bangun dan melaziminya.
Boleh dicuba amalan berwuduk sebelum tidur dan berazam bersungguh-sungguh untuk berqiamullail. Selain membantu untuk bertahajud, ia juga perbuatan berpahala, InsyaAllah.
Semoga kita tergolong dalam golongan yang mendapat keistimewaan bagi mereka yang berqiamullail. Amin.
Selain dari cara solat tahajud ini, anda juga boleh baca artikel tips kami yang lain berkenaan panduan solat seperti:
Sumber: