Nak tahu khasiat kimchi? Artikel ini akan berkongsi tentang manfaat dan khasiat kimchi untuk diet yang mungkin kita tidak tahu.

Jika Malaysia sinonim dengan nasi lemak, Indonesia dengan ayam penyet dan Thailand dengan tom yam, negara Korea pula terkenal dengan kimchi. Malah, hidangan kimchi ini semakin digemari oleh rakyat Malaysia dan banyak pula dihasilkan dan diniagakan oleh penduduk negara kita sendiri.

Kimchi merupakan makanan ruji orang Korea yang menggunakan sayuran seperti kobis napa, timun, terung, labu, leek atau lobak putih Korea untuk dijerukkan bersama ramuan perasa lain seperti gochugaru (serbuk cili), bawang, halia, jeotgal (makanan laut masin) dan sebagainya. Kimchi boleh dimakan mentah secara terus atau disejukkan dalam peti ais, dimasukkan dalam sup atau digoreng atau digaul bersama bahan lain, contohnya nasi goreng kimchi.

Secara tradisinya, kimchi dijerukkan di dalam bekas penapaian yang besar yang dipanggil onggi. Disebabkan cuaca sejuk yang melanda Korea, kimchi yang dijeruk ini disimpan di kawasan bawah rumah yang terlindung daripada suhu sejuk ekstrim dengan suhu sekeliling yang agak nyaman. Di zaman moden, kimchi disediakan dan disimpan di dalam rak dingin peti ais sahaja.

Imej via Bidadari

Khasiat Kimchi untuk Diet

Rasa kimchi yang unik ternyata telah memikat selera ramai orang termasuklah penduduk negara kita. Selain itu, kimchi sebenarnya menawarkan pelbagai manfaat dan khasiat kesihatan kepada kita. Terutamanya untuk mereka yang sedang ‘berdiet’, kimchi merupakan antara makanan yang disarankan. Hal ini telah menarik minat para pengkaji untuk meneroka dan membuktikan khasiat kesihatan kimchi secara saintifik.

Berikut ialah khasiat kimchi yang pernah dilaporkan oleh kajian penyelidikan lepas.

Nilai Nutrien yang Mencukupi

Kimchi telah dikenal pasti sebagai salah satu makanan yang sihat di dunia. Dakwaan ini datang daripada penggunaan bahan mentah sayuran dan proses penapaian atau penjerukannya yang menghasilkan mikrob yang baik untuk sistem tubuh.

Dari segi bahan mentah sayuran yang digunakan, kobis napa contohnya, mengandungi pelbagai nutrien seperti serat, vitamin A dan C, hampir 40 asid amino perlu, garam mineral pelbagai dan beta karotena.

Bahan Antioksidan yang Tinggi

Analisis kimia mendapati bahawa sebatian aktif utama dalam kimchi ialah sebatian indole, tiocyanate dan b-sitosterol. Sebatian ini semua diakui berperanan dalam aktiviti anti obesiti, anti kanser, antioksidan dan mengurangkan risiko saluran darah tersumbat.

Kajian terkini juga menjumpai sebatian polifenolik dan glukosinat yang mempunyai kesan perlindungan terhadap pelbagai jenis kanser, penyakit kardiovaskular dan penyakit neurodegenerative (sawan, Alzheimer, kemurungan).

Menurunkan Berat Badan

Pelbagai kajian telah melaporkan pengambilan kimchi yang kerap boleh mengurangkan tahap kolesterol seseorang. Malah, semakin lama kimchi itu dijerukkan, semakin banyak sebatian kimia berguna yang boleh membantu seseorang menurunkan berat badan.

Antara mekanisme anti obesiti yang dilakukan oleh kimchi menurut kajian ialah meningkatkan metabolisme badan, mengawal tekanan darah, menurunkan kadar gula ke paras normal dan mengurangkan peratus lemak dalam badan.

Anti Penuaan untuk Awet Muda

Tidak hairanlah jika kita lihat warga emas di Korea yang mengamalkan kimchi kelihatan lebih bertenaga dan awet muda! Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan kimchi boleh memberikan kesan anti penuaan dan penurunan kadar stress.

Pemerhatian ke atas tikus makmal yang diberikan kimchi dalam diet seharian menunjukkan pengurangan isyarat kemurungan dan tekanan mental. Proses penuaan sel juga didapati berkurangan dengan pengambilan diet kimchi ini.

Anti Mikrob dan Anti Kanser

Kimchi merupakan makanan yang kaya dengan bakteria baik untuk membantu sistem pencernaan yang baik. Di samping itu, kimchi boleh bertindak sebagai bahan antimikrob untuk membanteras pertumbuhan mikrob jahat yang boleh mengganggu sistem tubuh. Kandungan sulfur dan bakteria asid laktik memberikan kesan antibakteria kimchi.

Sementara itu, kajian klinikal melaporkan kejayaan ekstrak kimchi dalam merencat 80% nisbah pertumbuhan kanser seperti kanser usus. Ditambah dengan penggunaan garam khas dalam penyediaan kimchi, sebatian garam tersebut turut dilaporkan membantu potensi anti kanser kimci. Oleh itu, banyak kajian menyarankan agar diet berunsurkan kimchi diamalkan dengan kerap bagi meningkatkan perkembangan sel imun dan merangsang pertumbuhan.

Kaya dengan Bakteria Baik

Imej via Bidadari

Sekumpulan penyelidik di Universiti Chung-Ang, Republik Korea pada tahun 2014 telah mengulas mengenai kehadiran pelbagai bakteria baik dalam kimchi yang sedia maklum adalah sangat bermanfaat dari segi kesihatan manusia.

Kimchi mempunyai kepekatan bakteria probiotik asid laktik yang sangat tinggi yang boleh memberikan pelbagai manfaat kesihatan seperti antioksidan, sumber vitamin dan mineral serta serat makanan.

Malah, kimchi atau produk berasaskan kimchi yang mengandungi probiotik ini dilaporkan mempunyai potensi anti mutagen yang boleh menghindarkan masalah kesihatan seperti alahan dan kerosakan sel.

Komuniti bakteria baik ini pada peringkat awal sebelum penjerukan kimchi adalah sangat sedikit. Namun, semakin lama kimchi dijerukkan, komuniti probiotik ini akan bertambah dan seterusnya memberikan kesan kesihatan yang banyak. Bakteria ini terus hidup dan menurunkan nilai pH yang memberikan persekitaran berasid apabila mereka menapai karbohidrat dalam bahan ramuan kimchi.

Namun, hati-hati kepada mereka yang cuba menyediakan kimchi sendiri kerana kadang-kala terdapat penapaian yis yang turut berlaku berbanding probiotik ini. Sekiranya hal ini terjadi, kimchi yang terhasil akan rosak dan menghasilkan bauan yang busuk dan seeloknya dibuang sahaja.

Jemput juga baca artikel lain:

Kesimpulan

Kimchi merupakan santapan dari luar negara yang kini mula mengambil tempat dalam selera masyarakat kita. Malahan, ada masakan fusion dihasilkan antara masakan tempatan dengan kimchi ini. Khasiat kesihatan kimchi ini memang tidak boleh disangkal, apatah lagi apabila kimchi diiktiraf sebagai salah satu makanan yang sihat di dunia. Penyediaan makanan juga perlu dipantau supaya hidangan sihat ini tidak bertukar tidak sihat seperti kurangkan pengambilan dengan makanan berlemak, tinggi gula dan geram serta berminyak.

Rujukan

  • Jung, J. Y., Lee, S. H., & Jeon, C. O. (2014). Kimchi microflora: history, current status, and perspectives for industrial kimchi production. Applied microbiology and biotechnology98(6), 2385-2393. (link)
  • Kim, M. S., Yang, H. J., Kim, S. H., Lee, H. W., & Lee, M. S. (2018). Effects of Kimchi on human health: A protocol of systematic review of controlled clinical trials. Medicine97(13). (link)
  • Patra, J. K., Das, G., Paramithiotis, S., & Shin, H. S. (2016). Kimchi and other widely consumed traditional fermented foods of Korea: a review. Frontiers in microbiology7, 1493. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.