Bermulanya perkahwinan, maka bermulalah suatu alam baru. Kita akan menerima orang baru dalam hidup kita. Sama ada isteri atau suami kita. Ibu dan bapa mertua juga akan menjadi ahli keluarga kita. Namun, tidak semua pasangan berasa selesa dengan mertua mereka. Ada yang mendapat mertua yang cerewet dan tidak mesra.

Ada caranya untuk pikat hati ibu mertua agar terus menyukai kita. Tips di bawah ini boleh membantu anda.

  • Ketika berkunjung, bawalah buah tangan bersama
  • Kenali sikap sebenar mertua anda
  • Jangan sesekali anda memarahi anaknya di hadapan mereka
  • Berkongsi minat dengannya
  • Jaga pertuturan anda
  • Cuba mengasihani keluarga mertua seperti anda menyayangi keluarga sendiri

 

1. Ketika melawatnya, bawalah buah tangan bersama

Tiada salahnya jika anda melawat mertua anda tanpa membawa sesuatu kepadanya. Namun, alangkah gembiranya hati ibu mertua jika kita berusaha untuk menceriakan harinya dengan membawa buah tangan setiap kali berkunjung ke rumahnya. Jika anda tahu makanan kegemarannya, boleh juga dijadikan sebagai buah tangan. Masakan daripada hasil tangan anda pasti ada auranya tersendiri.

2. Kenali sikap mertua anda

Sudah pasti, jika anda kerap berkunjung dan melawat mertua, anda akan mula mengenalinya dengan lebih mendalam. Jika mertua seorang yang suka bercakap atau berkongsi pengalaman, pastikan anda juga terlibat sama dalam perbualan tersebut. Bersikap ramahlah dengan mereka.

Jika mertua anda seorang yang kurang bercakap pula, anda masih perlu cuba untuk berinteraksi dengan mereka. Anda boleh bertanya soalan-soalan mudah kepada ibu mertua misalnya, cara untuk memasak makanan yang enak dan lazat. Untuk bapa mertua pula, tanyalah perihal pekerjaannya dan tanyalah pengalamannya.

 ibu mertua

3. Jangan sesekali anda memarahi anaknya di hadapan mereka

Hati mana yang tidak tersentuh pabila melihat anak mereka disakiti. Begitu jua dengan mertua. Walaupun pada saat itu anda perlu menegur anak mereka, cuba untuk menahan perasaan itu sementara berada bersama mertua. Elakkan bertindak kasar atau memarahi anak mereka di hadapan mereka. Mereka beranggapan anda tidak pandai menjaga anak mereka.Ini tips pikat hati ibu mertua yang terbaik daripada kami.

4. Berkongsi minat dengan mertua

Salah satu cara mudah untuk mendekati dan memikat mertua adalah dengan berkongsi minat mertua bersama-sama. Hal ini kerana dengan adanya minat yang sama, kita akan semakin mudah untuk serasi dan bercampur gaul dengan mertua kita. Namun jangan sampai kita minat sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Kelak mereka akan berasa seolah-olah dipermainkan pula. Ajaklah mereka sekali-sekala untuk keluar melakukan aktiviti keluarga bersama.

5. Sentiasa menjaga tutur kata

“Terlajuk perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.”

Ketika bersama mertua, bercakap dan bertuturlah dalam sebaik-baik bahasa dan tingkah-laku. Jangan sesekali mengungkapkan perkataan yang boleh mengguris hati mereka. Orang yang lebih tua pasti mempunyai hati yang agak cerewet dan mudah berkecil hati. Sekali anda mengguris hati mereka, mungkin sukar untuk anda merawat hati mereka kembali.

6. Cuba mengasihani keluarga mertua seperti anda menyayangi keluarga anda sendiri

Walaupun mereka mertua anda, tetapi mereka tetap ibu dan bapa anda. Tidak ada salahnya melayan mereka seperti mana anda menyayangi ibu bapa anda sendiri. Kasih sayang anda berikan kepada mereka pasti akan mereka hargai dan ingati.  Jika keluarga mertua ada sebarang masalah, cubalah untuk bersama-sama menolong dan membantu mereka untuk menyelesaikannya. Ingatlah bahawa mereka juga keluarga anda, bukannya orang lain. Mungkin anda bakal menjadi menantu kegemaran mereka nanti dengan adanya sikap ini.

Itulah 6 tips ampuh memikat mertua. Sudah bersedia?

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.