Islam memberi panduan kepada umatnya untuk mendirikan solat istisqa sebagai salah satu ikhtiar untuk memohon turunnya hujan.

Mari ketahui cara solat sunat istisqa dan doa minta hujan ini yang betul.

Apa itu solat istisqa

Secara istilahnya ‘Istisqa’ bermaksud meminta siraman air. Manakala solat sunat Istisqa adalah solat meminta hujan, iaitu ketika berlakunya musim panas atau kemarau.

Jadi solat ini bertujuan untuk memohon rahmat Allah SWT agar diturunkan hujan serta diampunkan segala dosa dan kesalahan.

Hukum mendirikan solat istisqa

Hukum mendirikan solat ini adalah sunat muakkad. Namun, jika tidak berkehendakkan hujan maka hukumnya adalah tidak harus dan tidak sah.

Solat sunat istisqa boleh didirikan secara berseorangan atau berjemaah. Namun adalah lebih baik dan afdal jika ditunaikan secara berjemaah serta diketuai oleh imam.

Rasulullah SAW pernah mengerjakan solat minta hujan seperti yang dinyatakan oleh Abu Hurairah RA:

“Nabi SAW keluar pada suatu hari untuk meminta hujan, lalu bersolat bersama-sama kami sebanyak dua rakaat tanpa azan dan iqamat. Kemudian Baginda berkhutbah dan berdoa kepada Allah SWT, dan menghadap mukanya ke arah kiblat dengan menadah kedua-dua tangannya, kemudian memalingkan kain rida’ (selendang) memindahkan yang di sebelah kanan ke sebelah kiri dan yang di sebelah kiri ke sebelah kanan.” – (Hadis Riwayat Baihaqi)

Cara menunaikan solat sunat istisqa

Cara mengerjakan solat istisqa adalah seperti berikut:

 Niat solat istisqa:

Sahaja aku solat sunat Istisqa’ dua rakaat (sebagai imam/makmum) kerana Allah Taala.”

Rakaat Pertama:

  1. Selepas membaca doa Iftitah bertakbir sebanyak 7 kali dengan diselangi bacaan tasbih
  2. Membaca surah al-Fatihah
  3. Membaca apa-apa sahaja surah, disunatkan untuk membaca surah al-A’la
  4. Imam juga disunatkan menyaringkan suara ketika membaca surah al-Fatihah dan surah selepasnya

Rakaat Kedua:

  1. Berdiri semula
  2. Takbir sebanyak 5 kali diikuti dengan tasbih
  3. Membaca surah al-Fatihah dan diikuti dengan apa-apa sahaja surah selepasnya. Sebaik-baiknya surah yang panjang dan disunatkan membaca al-Ghasyiah
  4. Kemudian rukuk, i’tidal, sujud serta memberi salam

Membaca Khutbah Selepas Solat

Selesai memberi salam, imam atau khatib disunatkan untuk membaca khutbah yang mengandungi peringatan, pujian akan  kekuasaan dan kebesaran Allah SWT, serta memberi nasihat dalam memperbanyak amalan baik, meningkatkan keimanan dan menjauhi dosa dan larangan Allah SWT. Khutbah ini hampir menyamai solat sunat hari raya.

Doa minta hujan

Berikut adalah doa meminta hujan yang boleh diamalkan:

Solat Istisqa

Ya Allah! turunkanlah hujan kepada kami dan jangan Engkau jadikan kami ini golongan orang-orang yang berputus asa.

Ya Allah! sekalian hamba, negeri, ternakan, seluruh makhluk, sedang menghadapi keletihan, kesukaran serta kepayahan. Tiada tempat mengadu semua ini melainkan kepadaMu.

Ya Allah! tumbuhkanlah tanaman kami, keluarkan susu perahan kami, hujanilah kami dengan berkah langit dan tumbuhilah kami dari berkah bumi.

Ya Allah! lenyapkanlah kesukaran kami, kelaparan dan kemiskinan, halaukanlah semua bencana dari diri kami, sebab tiada yang dapat menghalaukan itu selain Engkau.

Ya Allah! kami mohon kempunanMu, sebab Engkau adalah Maha Pengampun. Kerana itu turunkanlah hujan dari langit dengan selebat-lebatnya.”

Doa ketika hujan

Berikut adalah beberapa doa ketika hujan yang boleh amalkan:

Doa ketika hujan renyai:

اللَّهُمَّ صَيِّباً نافِعاً

Allahumma shayyiban nafi’ah

Maksudnya: “Ya Allah, curahkanlah air hujan yang bermanfaat.” – (Hadis Riwayat Bukhari)

Solat Istisqa

Doa ketika hujan lebat:

اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

Allahumma haawalaina wa laa ‘alaina. Allahumma ‘alal aakami wal jibaali, wazh zhiroobi, wa buthunil awdiyati, wa manaabitisy syajari

Maksudnya: “Ya Allah! (Kami bermohon agar hujan hanya) mengelilingi kami dan bukannya menimpa ke atas kami. Ya Allah! (Alihkan ia) ke atas tempat-tempat tinggi, gunung ganang dan bukit bukau, perut-perut lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 1014)

Perkara yang harus dilakukan sebelum solat sunat

Solat Istisqa
  1. Sesiapa yang akan mendirikan solat sunat ini digalakkan untuk berpuasa selama tiga hari berturut-turut.
  2. Melakukan taubat kepada Allah SWT dan memohon keampunan-Nya dengan bersungguh-sungguh.
  3. Meninggalkan maksiat, dosa dan kesalahan yang dilarang Allah.
  4. Memperbanyak doa, zikir dan mengingati kebesaran Allah SWT.
  5. Merendah dan menghina diri dengan penuh kehambaan kepada Allah SWT.
  6. Seluruh penduduk digalakkan beramai-ramai dirikan solat secara berjemaah.
  7. Solat mestilah dilakukan dengan penuh khusyuk serta pengharapan yang tinggi agar  Allah SWT memberikan bantuan.

Berdoa ketika hujan adalah mustajab?

Hujan dikatakan terkandung segala rahmat dan kasih sayang Allah pada setiap makhluk Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan Kami turunkan air daripada langit berupa hujan yang penuh dengan keberkatan dan manfaatnya sekali gus menyuburkan tanaman serta kebun dengan hasil yang lumayan yang dituai.” – (Surah Qaf, ayat 9)

Daripada Sahl bin Sa’ad RA, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Dua doa yang tidak akan ditolak: Doa ketika azan atau selepas daripada azan dan doa ketika turunnya hujan.” (Hadis riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, No. 2534)

Kesimpulannya, sesungguhnya Allah itu sangatlah Penyayang dan Pengasih, dan Dialah jua yang menentukan rezeki serta menurunkannya. Bahkan Allah jua berhak untuk menarik balik rezeki yang telah diberikan-Nya.

Namun, tidak akan sesekali Dia menurunkan sesuatu perkara tanpa asbab dan hikmah yang tertentu. Jadi sebagai hamba, selalu ada cara untuk meminta bantuan Allah SWT agar dapat keluar daripada kesusahan dan ujian-Nya, termasuklah dengan menurunkan hujan sewaktu kekeringan.

Dengan itu segala pertolongan tersebut mestilah diminta dengan penuh tawaduk dan bersunguh-sungguh agar lebih mudah dimakbulkan dan diperkenan oleh-Nya.

Selain dari cara solat istisqa ini, anda juga boleh baca artikel tips kami yang lain berkenaan panduan solat seperti:

Sumber:

  1. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-417: Doa Meminta Hujan. Mufti WIlayah Persekutuan
  2. Zikir Minta Hujan. Mufti Negeri Sembilan
  3. Doa Ketika Hujan Turun Dalam Rumi dan Terjemahannya. Taqwa.My

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.