Ayuh ketahui perkara yang perlu dilakukan setelah ibu bapa meninggal dunia

Pemergian ibu bapa sudah tentu menjadi suatu kehilangan bagi setiap anak yang soleh. Namun, sebagai manusia kita perlu meneruskan kehidupan seperti sediakala di samping  melaksanakan beberapa tanggungjawab setelah ketiadaan mereka.

Beberapa perkara yang kita lakukan setelah kematian ibu dan bapa ini bukan sahaja mendatangkan kebaikan kepada diri kita sendiri tetapi juga ketenangan kepada roh mereka.

Terdapat beberapa cara terbaik yang perlu dilakukan selepas ibu bapa kita meninggal dunia. Antaranya;

1. Menyempurnakan Jenazah

Penghormatan terakhir yang paling terbaik seabgai seorang anak buat ibu atau bapa adalah menyempurnakan jenazah mereka. Anak-anak sebaiknya terbabit secara langsung memandikan, mengkhafan, mensolatkan dan mengebumikan jenazah.

Sudah tentu anak-anak yang soleh akan menyempurnakan sendiri jenazah ibu dan bapa mereka sebaik mungkin.

2. Menjelaskan Hutang Ibu Bapa

Hutang dibahagikan kepada hutang Allah S.W.T dan hutang dengan manusia. Jika wang simpanan cukup haul dan hisab, tetapi semasa hayatnya si mati sengaja, tidak mahu atau tidak sempat mengeluarkan zakat, waris perlu mengambil sedikit harta mereka dan membayar zakat tersebut mengikut kadar sewajarnya. Begitu juga, jika mereka mempunyai hutang dengan rakan atau ahli keluarga, langsaikanlah.

Jika si mati tidak sempat menunaikan nazar, waris juga perlu melaksanakannya. Ini termasuklah membuat upah haji jika si mati belum menunaikan haji.

3. Melaksanakan Wasiat Yang Ditinggalkan

Wasiat bermaksud seseorang semasa hayatnya telah berikrar mengenai hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi  maksud kebajikan atau sebarang maksud dibenarkan hukum syarak, selepas seseorang mati (Seksyen 2, Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999)

Wasiat si mati perlu ditunaikan selagi wasiat itu tidak melanggar hukum Islam. Hal ini termasuklah janji-janji yang baik semasa hayat mereka dahulu, seharusnya ianya ditunai dan terus ditepati.

4. Sedekah Jariah untuk Ibu Bapa

Sedekah jariah kita di dunia merupakan amalan yang akan membantu ibu bapa di alam barzakh. Contohnya dengan niatkan sedekah bagi membantu pembinaan masjid, wakaf al-Quran, sekolah dan rumah anak yatim serta sebagainya.

5. Mohon keampunan untuk Mereka

Setiap kali mendirikan solat, jangan lupa untuk mendoakan kesejahteraan dan ibu bapa kita. Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Melalui cara ini, anak-anak yang soleh boleh terus berbakti kepada ibu bapa. Nabi S.A.W bersabda:

“Jika anak Adam meninggal dunia, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa kepadanya.”

(Hadis Riwayat Muslim)

6. Meneruskan Hubungan Silaturahim dengan Ahli Keluarga dan Kenalan

Selain itu, antara perkara yang dapat membantu menjaga dan menghormati mereka yang telah meninggal dunia adalah dengan menyambungkan silaturahim agar tidak terputus.

Walaupun ibu dan bapa sudah tidak ada lagi, anak-anak mestilah berusaha memelihara dan menjaga silaturahim dengan ahli keluarga ibu bapa dan sahabat handai mereka. Hal ini termasuklah selalu menziarahi mereka, bertanya khabar serta sentiasa menghubungi mereka seperti mana ibu dan bapa masih hidup dahulu.

Meneruskan perhubungan silaturahim dengan ahli keluarag dan sahabat handai ibu dan bapa ini, samalah seperti menghormati mereka seperti ibu dan bapa sendiri.

Penutup: Jasa dan Tanggungjawab

Walaupun telah meninggalkan dunia ini, terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan oleh anak-anak demi membuktikan rasa kasih dan sayang terhadap ibu bapa yang telah pergi.

Abu Usaid al-Saidi berkata;

Ada seorang yang datang berjumpa dengan Rasulullah S.A.W dan berkata: ‘Ya Rasulullah, apakah masih mungkin saya berbuat baik kepada kedua orang tua saya yang telah meninggal dunia, kerana saya tidak tahu bagaimanakah keadaan yang dilalui mereka setiap hari. Baginda menjawab: ‘Ya, ada empat cara yang boleh kamu terus lakukan walaupun mereka telah meninggal dunia. Pertama, jangan tinggalkan di dalam doa kamu supaya sentiasa menyebut mengenai mereka.

Kedua, tunaikanlah janji yang ingin dipenuhi oleh mereka ketika hidup dahulu, tetapi tidak berkesempatan untuk melakukannya. Pahala daripada amalan perbuatan baik yang dilakukan akan sampai pahalanya kepada mereka yang sudah meninggal dunia. Ketiga, muliakanlah sahabat dan teman yang baik terhadap arwah sewaktu dia hidup dahulu, kerana dengan berbuat demikian, Allah akan tunjukkan amalan itu kepada arwah. Keempat, sambung silaturahim yang menjadikan kamu dan dia tidak mendapat kasih sayang, melainkan daripada kedua-duanya’.”

Semoga segala usaha untuk membahagiakan kedua ibu bapa di alam sana dipandang oleh Allah S.W.T dan diterima-Nya. Amin.

Jika anda menyukai artikel ini, pasti anda juga menyukai perkongsian kami yang lain tentang;

Rujukan

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.