Mencari pulau di Malaysia untuk anda singgah bercuti? Pulau-pulau di Malaysia bukan sahaja banyak jumlahnya, tetapi cukup cantik.

Setiap negeri di Malaysia mempunyai pulau-pulau yang mempunyai keunikannya yang tersendiri. Hal ini jelas menunjukkan punca mengapa ramai pelancong kerap memilih pulau sebagai destinasi percutian mereka.

Tidak tahu pulau mana yang mahu dituju semasa bercuti? Jangan risau, berikut kami senaraikan 25 pulau di Malaysia yang menarik untuk anda. Teruskan membaca!

#1 Pulau Tioman

Alamat: 26800 Pulau Tioman, Pahang

Terletak di Rompin, Pahang, Pulau Tioman ini merupakan antara pulau yang tercantik di Malaysia. Namanya juga cukup tersohor sebagai tarikan pelancongan di Pahang.

tioman island pulau tioman - pulau di malaysia
Imej via Foursquare

Aktiviti snorkeling merupakan aktiviti yang wajib anda lakukan jika ke sini. Hidupan laut yang pelbagai juga dapat anda terokai sambil snorkeling, satu pengalaman yang pasti menyeronokkan!

Untuk ke sini, anda perlu membayar tiket masuk berharga RM 5 sahaja. Ianya berbaloi dengan kecantikan pulau yang sangat terpelihara ini.

#2 Pulau Pangkor

Alamat:  32300 Pulau Pangkor, Perak

Sebut sahaja pulau di Perak, semestinya nama Pulau Pangkor akan terlintas di fikiran ramai. Tidak dinafikan, Pulau Pangkor ini memang sangat terkenal bukan sahaja di Perak, malah di Malaysia.

pangkor laut resort pulau di malaysia
Imej via Foursquare

Airnya yang jernih dan membiru, pasir halus yang bersih dan suasana yang cukup menenangkan minda merupakan antara faktor Pulau Pangkor ini sentiasa diserbu pelancong.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini ialah snorkeling, berenang, berkayak, dan memancing. Pangkor Laut Resort yang merupakan resort mewah bertaraf dunia juga terletak di sini.

#3 Pulau Sembilan

Alamat: Bagan Datuk, Perak, Malaysia

Terletak di Perak, Pulau Sembilan ini juga merupakan antara pulau di Perak yang tercantik. Agak-agak apa yang membuatkan ia begitu istimewa?

pulau sembilan blue tears - pulau di malaysia
Imej via Orang Perak

Pulau yang turut dikenali dengan nama Blue Tears ini akan mengeluarkan cahaya berwarna biru pada waktu malam, memang unik. Peristiwa ini jarang-jarang dijumpai di pulau-pulau lain.

Ianya terjadi disebabkan oleh kewujudkan organisma laut yang dikenali dengan nama Phytoplankton. Untuk merasai pengalamannya, jangan lupa singgah di sini jika berkesempatan.

#4 Pulau Langkawi

Alamat: 07000 Langkawi, Kedah

Kami yakin pasti ramai pembaca di sini tahu tentang mercu tanda burung helang atau Dataran Lang di Kedah bukan? Ianya adalah mercu tanda di pulau yang cukup tersohor ini – Pulau Langkawi.

pulau langkawi - pulau di malaysia
Imej via Foursquare

Terdapat lebih 99 pulau yang boleh dijumpai di pulau ini. Hidupan laut yang pelbagai spesis juga boleh ditemukan, tambahan pula jika anda melakukan aktviti snorkeling atau menyelam skuba.

Resort dan hotel di sini juga tidak terkecuali. Ianya cantik, mewah dan servisnya juga cemerlang. Pendek kata, perjalanan pelancongan anda di sini dijamin menarik disebabkan oleh tarikan-tarikan ini!

#5 Pulau Payar

Alamat: Pulau Payar, Kedah, Malaysia

Pulau Payar – nama pulau yang sudah tidak asing lagi buat peminat snorkeling. Ianya merupakan tapak snorkeling dan menyelam yang terkenal dengan terumbu karang yang eksotik.

taman laut pulau payar
Imej via Foursquare

Disebabkan oleh kepelbagaian spesis hidupan laut di sini, Pulau Payar juga adalah kawasan semulajadi yang dilindungi. Disebabkan itu, kawasan penginapan tidak disediakan di sini.

Dari Jeti Kuah di Langkawi, perjalanan ke pulau ini mengambil masa sekitar 1 jam. Seterusnya, anda perlu teruskan perjalanan ke Taman Laut yang merupakan penempatan utama untuk Pulau Payar.

#6 Pulau Bunting

Alamat: Pulau Bunting, Yan, Kedah

Berada sekitar Yan, Kedah? Pulau yang wajib anda singgah jika berada di sini ialah Pulau Bunting. Untuk pengetahuan anda, terdapat sebuah fakta unik tentang nama pulau ini.

jambatan pulau bunting kedah
Imej via Foursquare

Ianya digelar Pulau Bunting disebabkan oleh bentuknya yang menyerupai bentuk wanita hamil jika dilihat dari Pekan Yan. Pulau ini juga mempunyai jambatan yang tersendiri, namun ia ditutup pada November 2018.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di pulau ini termasuklah bermandi-manda dan bersiar-siar di pulau ini dengan menaiki teksi air yang boleh disewa.

#7 Pulau Jerejak

Alamat: Pulau Jerejak, Bayan Lepas, Pulau Pinang

Pernah melihat gambar tangga langit di sebuah pulau yang tular di media sosial? Lokasi tangga langit itu terletak di pulau ini – Pulau Jerejak.

pulau jerejak
Imej via Instagram

Bukan itu sahaja, buaian ala-ala di Bali, Jeti Pelangi dan Taman Bunga LED juga merupakan antara tarikan di pulau ini. Pemandangan matahari terbenam di pantainya juga turut menarik perhatian ramai.

Bertempat di Pulau Pinang, tempoh perjalanan ke pulau ini ialah sekitar 10 minit sahaja jika anda menaiki feri dari pulau. Jangan lupa untuk bergambar sepuas-puasnya!

#8 Pulau Tikus

Alamat: 10350 George Town, Pulau Pinang

Pulau Tikus ini dinamakan bersempena dengan bentuk batunya yang kelihatan seperti tikus. Pulau kecil yang terletak di George Town ini terletak antara pusat bandar dan Tanjung Tokong.

pulau tikus penang
Imej via Instagram

Pulau ini bukan sahaja terkenal disebabkan oleh kecantikannya, malah tarikan utama di sini iaitu street food Penang juga turut diakui ramai penduduknya.

Hidangan seperti Chee Cheong Fun, Pasembor dan rojak merupakan antara street food yang diburu ramai pelancongnya. Alang-alang bersiar-siar di pulau ini, jangan lupa untuk cuba!

#9 Pulau Kapas

Alamat: 21600 Marang, Terengganu

Satu lagi pulau di Malaysia yang merupakan antara pulau tercantik di Terengganu ialah Pulau Kapas. Pulau ini terletak di daerah Marang.

pulau kapas
Imej via Foursquare

Pulau ini digelar Pulau Kapas disebabkan oleh warna pasirnya yang putih yang kelihatan seperti kapas. Hal ini jelas membuktikan yang pulau ini bersih dan terjaga.

Aktiviti yang popular di sini termasuklah snorkeling, menyelam dan bermandi-manda. Kebanyakannya diuruskan oleh agensi pelancongan, jadi pilih sahaja mana-mana agensi untuk merancang aktiviti anda di sini.

#10 Pulau Redang

Alamat: 21090 Kuala Terengganu, Terengganu

Tadi di daerah Marang, kali ini pula di daerah Kuala Terengganu. Tidak dinafikan, pulau-pulau di Terengganu bukan sahaja banyak, malah cantik-cantik belaka.

Pulau Redang ini terkenal dengan air lautnya yang jernih serta persekitarannya yang bersih. Selain Pulau Kapas dan Pulau Perhentian, pulau ini juga merupakan antara tempat menyelam yang popular di sini.

pulau redang
Imej via Foursquare

Pulau Redang merupakan pulau yang dilindungi yang terletak di Taman Laut Terengganu. Taman laut ini bertujuan untuk melestarikan ekosistem dan biokepelbagaian spesis flora dan fauna di Pulau Redang.

#11 Pulau Perhentian

Alamat: Pulau Perhentian Besar, Besut, Terengganu

Satu lagi pulau di negeri Terengganu yang terkenal ialah Pulau Perhentian. Pulau yang terletak di daerah Besut ini juga terkenal dengan aktiviti menyelam skuba dan snorkeling.

pulau perhentian
Imej via Foursquare

“Airnya sangat bersih” – ini merupakan antara ulasan yang ditinggalkan oleh rata-rata pengunjungnya Pulau Perhentian sememangnya pulau yang terjaga dan sangat dipuji dari segi kebersihan dan keindahannya.

Anda juga boleh bersiar-siar sambil menghayati keindahan pulau ini dengan menaiki teksi air atau bot. Tambangnya juga dikatakan sangat berpatutan.

#12 Pulau Lang Tengah

Alamat: Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Terengganu

Terletak di daerah Kuala Nerus, Pulau Lang Tengah ini merupakan antara hidden gem di Terengganu. Untuk ke sini, anda perlu menaiki feri.

pulau lang tengah
Imej via Foursquare

Pulau yang terjaga ini terkenal dengan aktiviti snorkeling. Anda boleh melihat terumbu karang yang berwarna-warni serta hidupan laut yang berbagai spesisnya.

Sama seperti kebanyakan pulau di Terengganu, Pulau Lang Tengah ini turut dipuji disebabkan oleh keindahannya. Air yang jernih membiru serta pasir yang bersih merupakan antara tarikan di sini.

#13 Pulau Rawa

Alamat: 86800 Mersing, Johor

Pulau yang terletak di Mersing, Johor ini mungkin kecil, namun keistimewaannya sudah tidak dapat disangkal lagi. Pulau ini juga tidak mempunyai kenderaan, jadi anda perlu berjalan kaki jika ke sini.

pulau rawa mersing
Imej via Foursquare

Istilah “Rawa” yang digunakan untuk untuk pulau ini bermaksud merpati putih yang jumlahnya banyak di pulau ini. Jarang-jarang nak jumpa burung merpati putih yang banyak di pantai, patutlah pulau ini begitu istimewa!

Disebabkan oleh kejernihan airnya, anda boleh melihat hidupan-hidupan laut dengan jelas. Untuk melihat dengan lebih dekat, anda juga boleh melakukan aktiviti snorkeling di sini.

#14 Pulau Sibu

Alamat: 86800 Mersing, Johor

Satu lagi pulau di daerah Mersing yang wajib anda singgah semasa bercuti ialah Pulau Sibu. Pulau ini juga merupakan antara hidden gem di Johor kerana ianya terpencil.

Untuk ke sini, anda perlu menaiki bot dari Mersing atau Johor Bahru. Perjalanan selalunya memakan masa 1-2 jam sahaja.

pulau sibu
Imej via Foursquare

Antara aktiviti yang kerap dilakukan oleh pengunjung di Pulau Sibu ialah memancing dan bersiar-siar. Kebersihan pulau ini juga turut dipuji ramai.

#15 Pulau Aur

Alamat: Pulau Aur, Mersing, Johor

Pulau seterusnya yang bertempat di Mersing ialah Pulau Aur. Pulau ini bukan sahaja terkenal di kalangan pelancong, malah ianya juga sering disinggah oleh nelayan.

Terletak 76 kilometer dari pekan Mersing, pulau ini dikatakan agak kurang jumlah pelancongnya disebabkan oleh jaraknya yang jauh dari pekan. Namun begitu, perjalanan ke sini sememangnya berbaloi.

pulau aur
Imej via Instagram

Pengunjung-pengunjung memuji kedamaian yang dikecapi sebaik meluangkan masa di sini. Airnya sangat jernih dan persekitarannya juga bersih, memang terjaga!

#16 Pulau Pemanggil

Alamat: 86800 Mersing, Johor

Mersing sememangnya terkenal dengan pulau-pulau yang terjaga, cantik dan terpencil. Salah satu pulaunya yang terkenal ialah Pulau Pemanggil.

pulau pemanggil
Imej via Foursquare

Pulau Pemanggil ini merupakan pulau yang terkenal sebagai tempat memancing. Ianya juga sebagahagian daripada Taman Laut Johor, jadi pulau ini memang terpelihara.

Selain daripada memancing, anda juga boleh melakukan aktiviti lain yang sangat menarik. Antaranya ialah aktiviti snorkeling dan mendaki bukit di Batu Buau.

#17 Pulau Besar

Alamat: 75000 Melaka

Bila sebut sahaja pulau di Melaka, semestinya nama Pulau Besar akan terlintas di minda ramai. Pulau ini adalah antara tarikan pelancongan utama di Melaka.

Terletak 13 km dari tanah besar Melaka, anda perlu menaiki bot atau feri sahaja untuk ke pulau ini. Perjalanan selalunya memakan masa kira-kira 10 – 20 minit, bergantung kepada pengangkutan.

pulau besar melaka
Imej via Foursquare

Setibanya di sini, kami yakin anda pasti akan terpukau dengan keindahan pantainya. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini termasuklah snorkeling, bermandi-manda dan menaiki sampan.

#18 Pulau Melaka

Alamat: 75000 Melaka

Antara pulau di Malaysia yang merupakan pulau buatan ialah Pulau Melaka. Pulau ini juga tempat terletaknya Masjid Selat yang cukup tersohor namanya di Melaka.

masjid selat melaka
Imej via Foursquare

Pemandangan pulau yang cantik terutamanya semasa matahari terbenam ini merupakan antara tarikan istimewa Pulau Melaka. Tempat penginapan juga ada banyak di sekitar sini.

#19 Pulau Gaya

Alamat: Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu, Sabah

Pulau Gaya ini merupakan pulau terbesar di Taman Laut Tunku Abdul Rahman. Ianya memperoleh namanya dari perkataan Bajau iaitu “Gayo” yang bermaksud besar.

gaya island
Imej via Foursquare

Airnya yang jernih membiru serta pasir putih berukuran 400 meter yang bersih merupakan antara tarikan istimewa di pulau ini. Selain itu, tempat penginapan juga turut disediakan.

Terdapat banyak terumbu karang di sepanjang pantai Pulau Gaya yang masih dalam keadaan baik dan cantik. Jadi, ini menjadikan Pulau Gaya sebagai tempat menyelam yang sesuai untuk pengunjung.

#20 Pulau Manukan

Alamat: Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu, Sabah

Juga terletak di Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Pulau Manukan adalah pulau kedua terbesar di taman laut tersebut. Untuk ke sini, anda perlu menaiki bot.

manukan sabah pulau di malaysia
Imej via Foursquare

Aktiviti menyelam adalah aktiviti yang popular di pulau ini. Anda dapat melihat hidupan laut yang bervariasi spesisnya. Terumbu karang di sini juga berwarna-warni, sangat menarik!

Selain menyelam, anda juga boleh melakukan aktiviti lain seperti snorkeling dan berkelah. Tempat penginapan yang berhadapan dengan pantai juga turut disediakan.

#21 Pulau Mabul

Alamat: Pulau Mabul, Sabah

Pulau ini kecil sahaja, namun impaknya terhadap industri pelancongan di Sabah cukup besar. Pulau Mabul ini merupakan antara tempat yang sangat popular dengan aktiviti menyelam.

pulau mabul, sabah
Imej via Foursquare

Sejak tahun 1970-an, pulau ini telah menadi perkampungan nelayan. Ianya juga sebuah pulau yang sangat terpelihara, jadi persekitarannya juga bersih. Kejernihan airnya membuktikan yang ia memang terjaga.

Ikan yang berbagai spesis dan terumbu karang yang berwarna-warni merupakan antara hidupan laut yang anda akan jumpa semasa menyelam di sini. Jadi, jangan lupa untuk singgah!

#22 Pulau Sibuan

Alamat: Tun Sakaran Marine Park, Semporna, Sabah

Berada sekitar Semporna? Jika anda bercuti ke sana, alang-alang singgahlah bermandi-manda di Pulau Sibuan yang terletak kira-kira 30 minit dari Semporna.

pulau sibuan
Imej via Foursquare

Antara aktiviti yang popular di pulau ini termasuklah snorkeling, selam skuba, berkelah dan melawat perkampungan sekitar sini. Penduduk tempatan juga dikatakan ramah, pasti menyeronokkan!

#23 Pulau Bohidulong

Alamat: Tun Sakaran Marine Park, Semporna, Sabah

Satu lagi pulau yang juga merupakan sebahagian daripada Taman Laut Tun Sakaran di Semporna ialah Pulau Bohidulong atau Boheydulang. Ianya juga merupakan pulau kedua terbesar di taman laut ini.

boheydulang sabah
Imej via Foursquare

Aktiviti utama yang dilakukan oleh kebanyakan pengunjung di sini ialah mendaki laluan di pulau ini. Di puncak, anda dapat melihat pemandangan pulau yang sangat indah, memang berbaloi dengan kepenatan mendaki!

Bagi pencinta haiwan, selain hidupan laut, anda juga boleh meninjau sekeliling pulau kerana kadangkala, ada banyak spesis burung yang akan singgah di pulau ini.

#24 Pulau Mamutik

Alamat: Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu, Sabah

Pulau ini memang kecil, namun tarikan di sini membuatkan kebanyakan pengunjung selesa semasa berada di sini. Pulau Mamutik juga merupakan sebahagian daripada Taman Laut Tunku Abdul Rahman.

pulau mamutik
Imej via Foursquare

Walaupun kadangkala ombak di sini sedikit deras, anda masih boleh bermandi-manda di pantainya. Anda hanya perlu berhati-hati kerana ada bahagian pantai di sini yang sedikit dalam.

#25 Pulau Mataking

Alamat: Bandar Tawau, 91000 Tawau, Sabah

Pernah terdengar tentang pulau yang mempunyai pejabat pos bawah air? Pulau tersebut ialah Pulau Mataking yang terletak di Semporna, Sabah.

Selain itu, pulau ini merupakan pulau persendirian milik Reef Dive Resort yang mempunyai chalet mewah untuk tempat penginapan. Alang-alang singgah di pulau ini, menginap sahaja di resort tersebut.

pulau mataking
Imej via Foursquare

Aktiviti menyelam merupakan antara aktiviti popular yang dilakukan di pulau yang terpencil ini. Untuk itu, pengajar menyelam akan membawa anda menyelam sekeliling pulau ini, dijamin menyeronokkan!

Artikel Menarik Lain

Anda pasti teruja setelah membaca senarai pulau di Malaysia, bukan? Semuanya cantik-cantik dan mempunyai keunikan yang tersendiri. Alang-alang bercuti, singgah sahaja di pulau-pulau ini.

Selain artikel ini, kami juga menulis artikel tempat yang lain untuk dilawati. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial.

Penulis: hani

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.