Ramadan bakal menjelma tidak lama lagi. Pasti suasana menyambut ketibaan Ramadan ini bukan sahaja dirasai oleh golongan dewasa. Malah, anak-anak juga akan turut bersemangat menyambutnya.
Masjid akan dipenuhi tidak kira peringkat umur dari sekecil bayi hingga golongan tua. Manakan tidak, ibu bapa pasti akan membawa anak-anak ke masjid untuk turut merasai suasana berbuka puasa beramai-ramai dan menunaikan solat berjemaah demi merebut ganjaran yang berganda dibulan mulia ini.
Namun, isu membawa anak kecil di masjid kerap menjadi isu besar di kalangan ibu bapa dan kariah masjid. Ye, umum mengetahui ‘keriuhan’ anak-anak ini di dalam masjid pasti sedikit sebanyak akan mengganggu para jemaah yang lain untuk beribadah.
Dalam isu ini, penyelesaian patut diambil dengan kaedah kerjasama dan saling hormat menghormati diantara satu sama lain. Nasihat yang diberikan oleh pihak masjid perlu didengari dan ibu bapa juga perlu sensitif untuk mengawal anak masing-masing supaya para jemaah dapat beribadah dengan selesa.
Antara inisiatif yang boleh diambil oleh pihak masjid ialah dengan menyediakan kemudahan atau sudut bermain dan penjagaan buat kanak-kanak. Kemudahan seperti ini atau lebih dikenali sebagai kemudahan yang ‘mesra kanak-kanak’ akan mewujudkan suasana yang selesa buat ibu bapa yang membawa anak kecil ke masjid.
Pasti usaha mewujudkan masjid yang ‘mesra kanak-kanak’ ini sangat diraikan oleh para ibu bapa kerana memudahkan mereka sepanjang berada di masjid.
Mereka boleh turut berjemaah dengan tenang dan anak-anak pula bebas bermain dan beraktiviti semasa menanti ibu dan bapa selesai menunaikan ibadah.
Ikuti perkongsian Puan Azizah di facebook tentang pengalaman beliau hadir ke masjid yang menyediakan ruang khusus bagi anak-anak untuk bermain dan beraktiviti.
Sangat mesra kanak-kanak. Masjid ini menyediakan ruangan solat khas untuk ibu dan anak. Terdapat ruang bermain untuk anak-anak di ruangan solat muslimah aras 2.
Ibu bapa perlulah tetap memantau anak-anak semasa bermain dan lebih baik jika ada anak yang lebih besar turut bersama mereka.
Kids Corner yang terbaik! Terdapat ramai sukarelawan daripada kalangan pelajar IPT yang akan membantu menguruskan kanak-kanak di sana. Anak-anak perlu didaftari oleh ibu bapa. Setiap kad nama akan diberikan untuk setiap anak yang tertera nama ibu bapa masing-masing.
Apa yang menariknya, pihak masjid menyediakan bilik-bilik khas mengikut kategori umur kanak-kanak. Mereka akan beraktiviti mengikut umur dan pelbagai mainan turut disediakan. Aktiviti dilakukan mengikut peringkat umur. Manakala, bayaran adalah atas infak ibu bapa setelah selesai menunaikan solat.
Bagi golongan ibu juga disediakan ruang iktikaf di bahagian ruang solat tertutup di bawah masjid dan dibenarkan tidur di situ.
Masjid ini juga mempunyai sukarelawan terdiri daripada kalangan pelajar IPT yang bertugas setiap hari sepanjang bulan Ramadan.
Mereka akan menjalankan aktiviti playgroup untuk anak-anak di sana. Juga mempunyai bilik kids corner dibahagian bawah masjid. Ibu bapa perlu mendaftarkan anak-anak mereka sebelum menunaikan solat.
Di ruang solat utama dan di bahagian tingkat atas juga ada sukarelawan yang akan bawa peralatan mewarna dan kertas untuk anak-anak beraktiviti. Namun, pantauan daripada ibu bapa tetap diperlukan bagi anak-anak yang masih kecil.
Terdapat satu sudut taman mini permainan untuk anak-anak di dalam masjid ini. Namun, agak jauh dari ruangan solat ibu dan masih perlukan pemantauan daripada penjaga.
Jemaah muslimat boleh beriktikaf dibahagian tingkat atas masjid. Lebih sejuk dan selesa.
Sama juga seperti Masjid Ampuan Jemaah, masjid ini juga mempunyai ruang permainan buat kanak-kanak. Tetapi, sedikit jauh dari ruang solat wanita, kaum ibu.
Di dalam ruang solat wanita juga turut disediakan ruang untuk anak-anak duduk bermain. Dicadangkan agar anak-anak dibekalkan alat mainan sendiri untuk beraktiviti.
Masjid ini juga mempunyi sudut bermain kanak-kanak tetapi lokasinya juga sedikit jauh daripada ruang solat. Namun, pihak masjid menyediakan tempat yang selesa buat kaum wanita untuk beriktikaf kerana terhadap penghadang yang tertutup di ruangan solat buat muslimah.
Pihak masjid menyediakan bilik permainan buat kanak-kanak di bangunan pentadbiran masjid. Para ibu juga boleh menunaikan solat bersama anak-anak kecil di ruang terbuka masjid.
Inisiatif Biro Wanita, Masjid Hasanah ini patut dipuji atas usaha mereka menyediakan perkhidmatan nurseri percuma di dalam masjid bagi membolehkan ibu bapa ikut berjemaah sepanjang bulan Ramadan.
Penjaga di sini masih tetap berkesempatan mengerjakan solat terawih secara bergilir-gilir. Ibu bapa dinasihatkan untuk memendekkan jumlah rakaat kepada 8 sahaja demi memberi ruang kepada penjaga untuk berterawih secara berjemaah juga.
Kebanyakkan penjaga adalah terdiri daripada kalangan surirumah tangga yang akan membantu menjaga si kecil sepanjang ibu bapa mereka menunaikan ibadah.
Masjid ini juga menjadi tumpuan warga Shah Alam kerana sangat mesra kanak-kanak dan selesa bagi jemaah yang datang berkeluarga.
Disediakan playground untuk anak-anak bermain di bahagian tepi masjid. Bagi golongan wanita yang tidak selesa bersolat di ruang solat utama, mereka masih boleh bersolat di ruang luar masjid yang berbumbung dan turut disediakan kipas bagi keselesaan jemaah.
Lokasi masjid ini di Kajang, Selangor. Apa yang menarik, perkhidmatan nurseri sempena Ramadan telah disediakan di Bilik Kuliah, Masjid Bandar Seri Putra.
Ibu bapa boleh menghantar anak mereka ke nurseri ini yang sesuai bagi kanak-kanak yang berusia dari umur 1 hingga 8 tahun. Perkhidmatan seperti ini sangat memudahkan ibu bapa yang membawa anak kecil supaya mereka dapat fokus dalam beribadah.
Pasti ada banyak lagi masjid yang mengambil inisiatif meraikan kedatangan kanak-kanak ke masjid dengan menyediakan pelbagai kemudahan buat mereka dan membantu memudahkan urusan para ibu bapa.
Kanak-kanak dirai, pihak masjid dihormati dan ibu bapa disantuni. Semoga tiada yang berkecil hati dan tersinggung di antara satu sama lain di bulan mulia ini. Panjangkan silaturrahim sesama kita bukannya sengketa. Mudah-mudahan niat hadir ke masjid bersama keluarga itu diganjari pahala oleh Allah swt.
Selamat berpuasa. 💖
Sumber: Facebook Ummu Uwais Azizah