Mencari senaman kempiskan perut buncit yang mudah dan efektif? Jemput baca artikel senaman kempiskan perut buncit ini.

“Dah jaga makan. Dah puasa. Badan pun makin susut tetapi kenapa perut ni masih lagi buncit. Kalaulah kempis perut ni, mesti lagi orang kagum.”

Monolog di atas bukan sahaja selalu diucapkan oleh kaum wanita tetapi juga lelaki. Tidak dapat dinafikan, bahagian tubuh yang paling susah hendak mengecil ialah perut.

Manakan tidak, di situlah tempat anda mengumpulkan segala macam makanan dan minuman yang sedap-sedap belaka. Jika melebihi keperluan badan, pastinya ia akan terkumpul sebagai lemak.

Lihat sahaja di pasaran terdapat pelbagai jenis teh kurus, krim pelangsingan, ubat dan macam-macam lagi dijual. Berkesan? Jika anda rasa terlalu banyak duit, lebih baik beli makanan yang sihat seperti buah-buahan dan snek-snek berkhasiat.

Jangan membazir duit membeli produk ‘overclaimed’ yang pastinya hanya menipu pengguna sahaja. Tiada produk yang mampu membuang lemak kecuali anda jaga makan dan bersenam. Ini memang kenyataan yang pahit.

Bayangkan lemak di bahagian perut yang kita pun tidak pasti berapa lapis ketebalannya yang sudah terkumpul bertahun-tahun, begitu mudah hilang dengan produk? Jangan terus tertipu dan jadilah pengguna yang bijak.

Dalam artikel ini, penulis akan kongsikan tentang cara senaman untuk kempiskan perut buncit dan contoh-contoh diet yang boleh diamalkan. Menurut Health and Fitness of The Times of India, peratusan lemak dalam badan boleh dikurangkan melalui senaman. Jom baca!

Contoh Senaman Kempiskan Perut

Senaman kaki

Caranya ialah baring di atas tikar yoga atau apa sahaja tikar yang sesuai untuk senaman. Kemudian, perlahan-lahan angkat lutut ke bahagian dada. Sambil itu teruskan pernafasan. Pegang kaki anda selama beberapa minit dan bernafas perlahan-alahan.

Teknik berlari atau berjalan

Berlari dan berjalan merupakan salah satu cara yang berkesan untuk membakar lemak. Jika anda mempunyai masalah berat badan berlebihan (obesiti), faktor usia dan fizikal yang menyebabkan susah untuk bersenam, anda boleh berjalan atau lari-lari anak sahaja.

Jadikan aktiviti ini rutin harian yang konsisten atau sekurang-kurangnya 4 kali seminggu. Jangan lupa memakai kasut sukan yang bersesuain untuk mengelakkan kecederaan.

Teknik plank

Plank ialah sejenis senaman yang memerlukan kita menahan posisi tubuh dengan betul. Antara caranya ialah meniarap di atas tikar yoga. Kemudian, dengan perlahan-lahan angkat tubuh anda dengan menahan tangan sahaja. Pastikan punggung dan kaki lurus tanpa mengendur. Buat selama 2 hingga 5 minit setiap hari.

Teknik push-up

Teknik push-up bukan sahaja baik untuk menegangkan otot di bahagian perut tetapi juga dada dan lengan. Jadi, tidak hairanlah teknik ini menjadi pilihan kebanyakan orang yang hendak mendapatkan tubuh yang cantik.

Caranya ialah letakkan tangan secara lulus (planking). Kemudian, turunkan badan anda setakat yang termampu. Pastikan belakang badan, pelvis dan kaki anda lurus secara selari. Selepas itu, dengan perlahan-lahan kembali ke posisi awal.

Teknik squat

Anda perlu mencangkung dengan melebarkan kaki anda selari dengan bahu. Pastikan anda menggunakan seluruh tapak kaki untuk berdiri (jangan menjongket). Bayangkan yang anda sedang duduk dia atas sebuah kerusi.

Lutut dan kaki anda perlu berada pada baris yang sama dan punggung anda telah lurus. Bagi menyeimbangkan badan, anda boleh mendepangkan kedua-dua tangan. Kemudian, bangun secara perlahan-lahan dan jangan terburu-buru.

Teknik peha dan otot punggung

Caranya ialah bongkokkan badan seperti dalam posisi hendak berlumba lari. Regangkan kaki kiri dan lengan kanan dalam garis lurus. Kemudian, perlahan-lahan bengkokkannya dan sentuh siku kanan ke lutut kiri anda. Luruskan semula dan tukar lengan kiri dan kaki kanan pula.

Senaman pinggang

Baring secara meniarap. Kemudian, dekatkan muka ke tikar yoga dengan lengan disilangkan dan diletakkan di bawah kepala anda. Angkat bahagian atas badan semampu yang boleh. Tahan posisi tersebut dalam beberapa saat dan kembali ke posisi awal tadi. Ulang beberapa kali.

Teknik abs dan punggung

Caranya ialah letakkan kedua-dua belah lengan ke arah belakang dengan menyentuh tikar yoga. Pastikan kedua-dua kaki juga berada posisi yang sama dengan lengan. Anda akan berasa ketegangan di bahagian belakang badan.

Kemudian, naikkan satu kaki ke atas setegak mungkin. Bahagian punggung perlu direndahkan tanpa mengangkat tumit kaki yang satu lagi.

Teknik abs

Caranya ialah berbaring seperti biasa dan naikkan lengan di atas kepala. Bengkokkan lutut. Dengan perlahan-lahan, naikkan badan bahagian atas dengan tangan lurus. Bangun dan sentuh hujung jari kaki anda. Kemudian, kembali ke posisi awal.

Jadual Senaman Efektif

Jika hendakkan hasil yang berkesan dalam masa yang singkat, anda mestilah mempunyai semangat, disiplin dan konsisten yang tinggi. Oleh itu, bagi memudahkan anda membuat rutin harian senaman yang dinyatakan di atas, anda boleh merujuk jadual berikut.

Minggu Pertama
SenamanMasa Senaman (Minit)Masa Rehat (Minit)
Plank210
Push-Up110
Peha dan Otot Punggung110
Squat110
Abs110
Abs dan Punggung110
Pinggang210
Minggu Kedua
SenamanMasa Senaman (Minit)Masa Rehat (Minit)
Plank315
Push-Up315
Peha dan Otot Punggung315
Squat315
Abs315
Abs dan Punggung315
Pinggang315

Bagi rutin Minggu Ketiga, ulang semula jadual Minggu Pertama. Manakala, bagi Minggu Keempat, ulang semula rutin Minggu Kedua. Dengan cara ini, anda akan mencapai target untuk kempiskan perut dengan lebih efektif.

Malahan, anda juga boleh menambah aktiviti lain dalam rutin jadual ini seperti teknik lutut ke dada, berjalan, berlari dan sebagainya. Pastikan anda buat ‘warm up’ dulu sebelum memulakan apa-apa senaman.

Ini dapat mengelakkan badan anda ‘terkejut’ yang boleh menyebabkan kecederaan pada otot dan anggota badan. Jangan lupa memakai pakaian dan kasut yang sesuai. Sediakan tikar yoga yang dapat memberi keselesaan pada belakang badan, lutut dan kepala.

Jangan berbaring di atas lantai tanpa alas. Ia akan menyebabkan anda sakit dan berasa bosan untuk bersenam. Bagi menaikkan mood, anda boleh memainkan muzik yang tenang. Jangan lupa jaga pemakanan, minum air yang mencukupi dan elakkan diri daripada stres.

Semoga bermanfaat. Jemput juga baca artikel lain seperti:

Rujukan

https://bukanaku.com/kesihatan/4396/senaman-cara-kempiskan-perut-masa-4-minggu/

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.