Solat merujuk kepada sembahyang di dalam agama Islam dan terbahagi kepada dua iaitu solat fardhu dan solat sunat. Solat fardu diwajibkan ke atas orang Islam yang sudah baligh dan berakal (waras) sebanyak 5 kali sehari pada waktu-waktu tertentu dan solat fardhu merupakan Rukun Islam yang ke-2 dari lima Rukun Islam.
Solat fardhu yang wajib didirikan ialah solat lima waktu sehari semalam, iaitu solat subuh, solat zohor, solat asar, solat maghrib dan solat Isyak.
Sekiranya seseorang tertinggal solat fardhu, wajib baginya untuk mengulangkannya dengan niat qada (ganti) dan bagi mereka yang musafir, ia merupakan rukhsah (keringanan) yang diberikan, dan harus bagi solat dengan menqasar dan menjamakkannya.
Berdasarkan satu petikan hadis:
“Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan oleh Nya seperti Allah membenci dilakukan maksiat kepada Nya”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Kita sudah ketahui apa itu solat dan sekarang, apa kata kita ketahui tentang sejarah solat pula? Mesti ramai dalam kalangan anda yang belum ketahui tentang sejarah solat kan? Jom lihat satu persatu.
Sejarah solat subuh terjadi apabila selepas kejadian Nabi Adam A.S. dikeluarkan dari syurga kemudiannya baginda dihantar ke bumi akibat melanggar perintah Allah S.W.T. .
Apabila pertama kali Nabi Adam A.S. tiba ke bumi, perkara pertama yang dilihatnya adalah kegelapan dan baginda amat ketakutan. Namun apabila terbitnya fajar di waktu Subuh, baginda pun solat dua rakaat kerana bersyukur terlepas dari kegelapan malam dan bersyukur kerana siang telah menjelma.
Sejarah Solat Zohor pula terjadi apabila Nabi Ibrahim A.S. bersyukur kerana semasa upacara penyembelihan anaknya Nabi Ismail A.S. yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. ditukarkan dengan kibas ketika waktu tergelincirnya fajar. Maka Nabi Ibrahim A.S. bersujud kesyukuran kepada Allah S.W.T. sebanyak empat rakaat.
Nabi Yunus A.S. merupakan orang pertama yang solat Asar dan merupakan sejarah solat Asar pertama pada hari dimana baginda dikeluarkan dari perut ikan nun.
Baginda telah dimuntahkan oleh ikan nun pada waktu yang telah hampir waktu Asar di tepi pantai. Kemudiannya, baginda besyukur dan bersembahyang 4 rakaat kerana telah diselamatkan dari perut ikan nun.
Sejarah solat Maghrib pertama kalinya berlaku apabila Nabi Isa A.S. dikeluarkan oleh Allah S.W.T. dari kejahilan dan kebodohan kaumnya sendiri. Kejadian waktu itu berlaku pada waktu terbenamnya matahari. Nabi Isa A.S bersyukur lalu bersembahyang tiga rakaat kerana telah diselamatkan dari kejahilan tersebut.
Sejarah solat Isyak pula berlaku ketika Nabi Musa A.S. tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan. Dimana ketika ini dadanya dipenuhi dengan rasa kecewa.
Allah S.W.T. menghilangkan kesemua rasa kecewa Nabi Musa tersebut diakhir waktu Isyak. Lalu kemudian baginda menunaikan solat 4 rakaat sebagai tanda syukur kepada Allah S.W.T.
Kita semua ketahui bahawa solat merupakan tiang agama, malah solat juga kunci kepada terimanya semua amalan yang dilakukan dalam mengejar ganjaran pahala dan syurga. Sebelum solat lima waktu diwajibkan keatas umat Islam, solat pertama yang diwajibkan adalah solat waktu malam. Firman Allah S.W.T. :
“Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk solat) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya)”
Surah Al-Muzzammil (Ayat 1 hingga 2)
Kemudian selepas itu, melalui firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-Muzammil ayat 20, Allah SWT memberi keringanan dalam kewajipan solat malam dan ianya diganti dengan qiammullail iaitu menghidupkan malam dengan ibadah seperti solat malam, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Jadi kita sudah ketahui sejarah solat dari waktu Subuh sehingga waktu Isyak. Jom kita ketahui pula kisah disebalik kewajipan solat 5 waktu.
Solat lima waktu telah diwajibkan keatas umat nabi Muhammad S.A.W. yang merupakan penutup kepada segala nabi dan rasul serta penghulu kepada segala para sekalian nabi (anbia’).
Jika dibandingkan dengan para nabi sebelumnya, proses solat dilakukan atas beberapa faktor. Namun ibadah yang diwajibkan ke atas umat rasulullah S.A.W. diterima oleh baginda secara terus daripada Allah S.W.T. dan pada asalnya Allah memerintahkan untuk solat adalah sebanyak 50 waktu sehari semalam.
Kisah disebalik asalnya kewajipan solat 5 waktu ini terjadi pada peristiwa Israk dan Mikraj. Di dalam peristiwa ini, rasulullah bukan sahaja menerima perintah kewajipan bersolat, namun baginda berpeluang berjumpa dengan para nabi dan rasul terdahulu malahan berkesempatan juga berbual dengan para nabi-nabi terdahulu.
Rasulullah S.A.W. juga diperlihatkan dengan manusia yang menanggung azab kerana ingkar dengan perintah Allah serta betapa nikmatnya mereka yang patuh kepada perintah Allah.
Di dalam peristiwa ini, Rasulullah S.A.W. telah dibawa ke Sidratul Muntaha. Sidratul Muntaha terletak melepasi garisan langit ketujuh dan hanya boleh dilepasi oleh Rasulullah S.A.W. sahaja.
Pada asalnya, solat yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. kepada Rasulullah SA.W. adalah 50 kali sehari semalam, namun apabila tibanya dilangit ke enam, Rasulullah bertemu dengan Nabi Musa A.S. yang menasihatkan supaya bertemu kembali dengan Allah S.W.T. bagi meminta untuk mengurangkan lagi waktu solat kerana umat Rasulullah S.A.W. adalah umat yang lemah untuk solat sebanyak 50 kali sehari semalam.
Rasulullah menerima nasihat itu lalu baginda pun kembali menghadap Allah S.W.T. untuk meminta pengurangan jumlah solat 50 waktu. Lalu kemudiannya Allah mengurangkan jumlah 50 waktu kepada 40 waktu. Lalu Rasulullah kembali turun ke lapisan langit keenam untuk bertemu Nabi Musa A.S. namun Nabi Musa A.S mencadangkan agar jumlah itu dikurangkan lagi dan begitulah seterusnya berulang kali sehingga jumlah tersebut berkurangan menjadi 5 waktu.
Selepas perintah itu ditetapkan menjadi 5 waktu, Rasulullah turun bertemu Nabi Musa dan Nabi Musa mencadangkan lagi agar jumlah waktu itu dikurangkan lagi namun baginda Rasullullah S.A.W. berasa amat malu memohon keringanan berulang kali kepada Allah SWT dan baginda redha dan akur menerima perintah solat 5 waktu sehari semalam.
Kemudian baginda pun kembali ke bumi dengan membawa perintah Allah untuk solat 5 waktu sehari semalam dan pada awalnya kewajipan bersolat, semua waktu solat hanya diwajibkan dua rakaat sahaja kecuali Maghrib iaitu tiga rakaat. Namun selepas baginda berhijrah ke Madinah, Rasulullah S.A.W. mendapat wahyu supaya pada waktu solah zohor, asar dan isyak ditambah kepada empat rakaat.
Kesimpulannya, solat itu mempunyai rahsia yang tersendiri yang kesannya boleh dirasai jika seseorang itu melakukannya dengan penuh ikhlas dan semata-mata kerana Allah dalam mencari keredhaan dari Nya.
Solat dapat membentuk jati diri kita ke arah peribadi yang lebih mulia, menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat serta membentuk diri menjadi seorang yang lebih ikhlas dalam melakukan ibadah. Mulai saat ini, marilah kita memperbaiki solat kita ke arah yang lebih baik agar segala amalan kita diredhai oleh Allah S.W.T.
Jom baca juga kelebihan solat sunat dhuha, cara solat sunat rawatib, perkara yang membatalkan solat dan jenis solat dan ibadah dalam qiamullai.