Ketahui perkara yang membatalkan solat.

Solat berasal dari perkataan Arab iaitu ‘as-Sholah’ yang bermaksud ‘sembahyang’ dalam agama Islam. Dari segi bahasa solat bererti ‘doa’. Dari segi syariah pula, solat merupakan ibadah yang terdiri daripada perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam.

Solat merupakan rukun yang paling utama dalam rukun Islam selain mempunyai pengaruh yang baik bagi kedudukan akhlak manusia. Selain memahami akan kepentingan dan kewajipan solat, sebagai hamba Allah yang bertakwa sebaiknya mengetahui akan hal-hal yang membatalkan solat, barulah setiap solat itu lebih baik dan sempurna.

Jadi, apakah perkara-perkara yang  membatalkan solat itu;

  1. Bercakap-cakap

Perbuatan bercakap-cakap yang dimaksudkan adalah mengeluarkan ataupun mengucapkan sekurang-kurangnya dua huruf yang bukan bacaan dalam solat.  Manakala jika terbatuk, bersin atau menguap ketika dalam bacaan rukun qauli, maka dikehendaki untuk berhenti dari bacaan tersebut dan kemudiannya diulang kembali bacaannya.

Jika anda teruskan bacaan ketika dalam keadaan batuk atau bersin, dikhuatiri bacaan itu akan menjadi salah, maknaya yang tidak tepat sekaligus membatalkan solat tersebut. Dalam hal ini, ia juga termasuk sama seperti bercakap juga kerana mengeluarkan perkataan yang bukan bacaan dalam solat.

perkara yang membatalkan solat
Imej via [freepik]

  1. Ketawa atau Menangis (Mengeluarkan Suara/Menggerakkan Badan)

Jika menangis atau ketawa sehingga mengeluarkan suara serta menggerakkan badan dapat membatalkan solat. Dan jika ini terjadi anda mestilah mengulangi semula solat tersebut.

 Jika anda menangis atau ketawa tanpa suara, hukumnya pula adalah makhruh. Jadi seelok-eloknya elakkan ketawa atau menangis ketika mendirikan solat.

  1. Menggerakkan Anggota Badan Tiga Kali Berturut-turut

Ketika mendiriakn solat semua anggota badan tidak boleh bergerak (yang bukan gerakan di dalam solat) sebanyak tiga kali berturut-turut. Berturut-turut disini bererti berterusan tanpa henti.

Jika gerakan itu dibuat tidak berturut-turut maka solat tersebut tidak batal walaupun dibuat lebih dari tiga kali. Jadi, sebaiknya anda menjaga pergerakan ketika solat.

  1. Takbiratul Ihram Putus Bacaan

Takbiratulihram mesti dibaca dan dilafazkan dalam satu nafas tanpa berhenti di tengah-tengahnya dan bacaanya tidak boleh dipisahkan. Contoh bacaan takbiratulihram yang betul dan salah adalah seperti berikut.

Bacaan yang salah: Allahu. Akbar (Bacaan yang terputus)

Bacaan yang betul: Allah……hu….Akbar (Bacaan yang bersambung dan dalam satu nafas)

  1. Sengaja Memanjangkan Rukun Pendek

Rukun pendek adalah iktidal dan duduk antara dua sujud. Rukun ini tidak boleh sengajakan dipanjangkan. Namun jika anda mengalami keuzuran atau sukar bergerak, itu tidak mengapa.  Tetapi jika dil;akukan dengan sengaja, adalah tidak boleh.

  1. Rukun Qauli Dibaca Dengan Sengaja Bukan Pada Tempatnya

Solat akan batal serta merta jika anda sengaja membaca surah al-Fatihah misalnya ketika sujud atau rukuk. Namun, jika anda tidak sengaja atau terlupa, solat tersebut tidak batal tetapi anda haruslah berhenti bacaan ayat tersebut apabila anda tersedar, jangan pula diteruskan.

 

perkara yang membatalkan solat
Imej via [syahida]

  1. Makan Dan Minum

Perbuatan seperti makan dan minum walaupun sedikit akan membatalkan solat denagn serta merta. Contohnya, jika tertelan sedikit sisa makan di mulut, solat tersebut akan terbatal.

Sebab itulah disunatkan sebelum solat, untuk bersugi atau berkumur (bersihkan mulut) terlebih dahulu bagi menyucikan sisa makanan dalam mulut.

  1. Berhadas Besar Atau Hadas Kecil Ketika Solat

Sebarang benda atau cairan yang keluar melalui qubur dan dubur adalah najis yang membatalkan wuduk. Apabila terbatal wuduk, solat pun akan terbatal dengan serta merta.

Jadi, wajib untuk membersihkan najis tersebut dahulu dan memulakan semula solat. Akan tetapi, jika anda mengalami penyakit hadas secara berterusan seperti buasir tahap serius, ia dimaafkan ada beberapa kelonggaran lain.

  1. Terkena Najis

Jika sedang mendirikan solat dan terlihat najis di pakaian, badan, tikar sejadah ataupun tempat solat, solat juga akan terbatal dan harus diulang semula. Jadi, apabila mahu memulakan solat, periksa dan pastikan persekitaran  bebas dari najis dan kotoran.

  1. Niat Berubah

Perkara yang membatalkan solat juga adalah niat yang berubah. Sesudah takbiratulihram, anda tidak boleh mengubah niat dan tidak boleh berasa was-was sama ada niat anda betul atau sebaliknya.

Selain itu, tidak boleh ada lintasan hati untuk membatalkan solat sebelum tiba salam. Ini kerana ibadah solat adalah pendek masanya berbanding dengan ibadah haji atau puasa iaitu ibadah haji dan puasa setelah jatuh niat walau apa pun lintasan di hati tidak akan membatalkan ibadah itu dengan serta merta, melainkan berlaku perbuatan yang membatalkannya. Oleh itu, fokuslah ketika sedang bersolat.

  1. Terbuka Aurat Dengan Sengaja

Dalam mendirikan solat, hal terpenting adalah menutup aurat dengan sempurna seperti yang telah disyariatkan. Maksudnya, aurat tidak boleh terbuka ketika sedang solat kerana boleh membatalkannya.

Terutamanya bagi golongan wanita yang kerap mengalami dilema telekung singkat, jarang, terselak dan sebagainya. Berhati-hatilah kerana dengan sebab-sebab ini solat menjadi tidak sah.

Bagi lelaki pula, pastikan pakaian yang dipakai melebihi paras lutut dan atas dari bahagian pusat serta tidak ketat dan selesa untuk solat.

  1. Memandang ke Tempat Lain Dengan Sengaja

Memandang ke arah tempat lain dengan sengaja juga boleh membatalkan solat. Ini juga bermaksud tidak fokus ketika mendirikan solat. Sebaiknya hanya memandang ke arah tempat yang akan di sujud, di sejadah.

  1. Murtad

Andainya ketika solat, terlintas di fikiran anda untuk membuat perkara-perkara yang dapat menjejaskan akidah anda, hukumnya adalah murtad atau keluar dari Islam. Orang yang murtad, solatnya batal dan tidak sah.

Rupa-rupanya banyak hal yang boleh membatalkan solat jika tidak berhati-hati dan berjaga-jaga. Dan semua perkara ini sebenarnya kerap terjadi setiap kali mendirikan solat sama ada secara sengaja atau sebaliknya. Jadi sentiasalah pelajari ilmu tentang solat agar dapat mengingatkan kita bahawa solat adalah hal yang perlukan kekhusyukan dan kesungguhan  dalam menunaikannya.

Semoga kita dapat memperbaiki segala perbuatan dan bacaan dalam solat agar solat kita diterima Allah SWT.

Rujukan:

  1. akuislam
  2. Facebook
  3. blogsnipers

Penulis: zulrina

Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.