13 Rukun Solat Dan Syarat Sah Yang Wajib Anda Tahu
Dari segi bahasa, ‘rukun’ bermakna juzuk atau tiang bagi sesuatu. Manakala dalam solat, rukun adalah perbuatan-perbuatan yang tersusun mengikut tertibnya.…

Ringkasan Ringkas
- Terdapat 13 rukun solat dalam mazhab Syafie yang mesti dilakukan mengikut tertib untuk kesahahan solat.
- Rukun solat dibahagikan kepada tiga kategori: qauli (bacaan), qalbi (hati), dan fi'li (perbuatan).
- Syarat sah solat merangkumi bersih daripada hadas, menutup aurat, masuk waktu solat, dan menghadap kiblat.
- Solat akan terbatal jika berlaku perkara seperti batal wuduk, terbuka aurat, bercakap, atau tertawa terbahak-bahak.
- Surah al-Fatihah wajib dibaca pada setiap rakaat dengan betul, jika tertinggal maka solat menjadi tidak sah.
- Pesakit atau orang cacat boleh mendirikan solat mengikut kemampuan seperti duduk, berbaring, atau isyarat.
Dari segi bahasa, ‘rukun’ bermakna juzuk atau tiang bagi sesuatu. Manakala dalam solat, rukun adalah perbuatan-perbuatan yang tersusun mengikut tertibnya. Dengan itu tidak lengkap dan tidak sah sesuatu solat itu jika tertinggal salah satu rukunnya. Dalam mazhab Syafie, terdapat pendapat yang rajih (kuat) dan mu’tamad (yang dipegang), iaitu sebanyak 13 perbuatan yang menjadi rukun dalam solat.
“Apabila kamu bangun untuk solat, sempurnakanlah wuduk, kemudian hadaplah ke kiblat lalu bertakbir. Kemudian bacalah apa yang mudah daripada al-Quran. Kemudian rukuklah sehingga kamu rukuk dengan tamakninah. Kemudian bangunlah sehingga kamu berdiri tegak. Kemudian sujudlah sehingga kamu sujud dengan tamakninah. Kemudian bangkitlah sehingga kamu duduk dalam tamakninah. Kemudian sujudlah sehingga kamu sujud dalam tamakninah. Kemudian bangkitlah sehingga kamu duduk dengan tamakninah
(Hadis Riwayat Bukhari)
13 Rukun Solat
-
Berdiri Tegak
Berdiri secara tegak, lurus serta mengadap kiblat penting bagi yang mampu. Hukumnya sunat, jika ketika berdiri ditundukkan sedikit kepala serta memandang ke tempat yang akan disujud. Sekiranya sakit atau cacat dan sebagainya bolehlah bersolat secara berbaring, terlentang, duduk, atau dengan menggunakan isyarat. Ianya bergantung kepada keadaan yang dikirakan sesuai.
“Solatlah dengan berdiri, sekiranya tidak mampu maka dengan duduk, sekiranya tidak mampu, maka dengan berbaring.”
(Riwayat Bukhari, Ahmad, Ibnu Majah dan Abu Dawud)

Imej via Zuriat.My
2. Niat
Hendaklah berniat dalam hati atau secara lintasan dalam ingatan untuk mendirikan solat. Contohnya, jika seseorang itu mahu menunaikan solat asar, maka mestilah berniat untuk bersolat asar, bukan solat yang lain.
-
Takbiratul Ihram Iaitu Dengan Lafaz
Iaitu, dengan melafaz ‘Allahuakbar’ ketika memulakan solat dengan suara sederhana yang sekuranganya dapat didengar oleh diri sendiri.
-
Membaca Surah al-Fatihah Pada Setiap Rakaat
Surah al-Fatihah adalah wajib dibaca, jika tertinggal solat menjadi tidak sah.
“Tidak (sah) solat bagi seseorang yang tidak membaca Fatihatul Kitab (surah al-Fatihah)”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Begitu juga jika ianya tidak dibaca dengan tajwid yang betul, solat menjadi tidak sah. Bacaannya juga tidak boleh diubah ke bahasa lain bahasa Arab. Nada bacaannya mestilah boleh didengari oleh diri sendiri.
-
Rukuk Dengan Tamakninah
Rukuk adalah keadaan meletakkan kedua tapak tangan ke lutut, sementara kepala dan belakang selari dengan punggung iaitu pada kadar 90°. Ada bacaan tertentu semasa berukuk, ataupun berdoa dan cukup dengan bertasbih. Tamakninah pula adalah diam sebentar sebelum meneruskan rukun seterusnya. Tamakninah juga bermaksud ‘tenang’ iaitu, berhenti sekejap.
-
Iktidal
Iktidal adalah bangkit dari rukuk dan kembali berdiri tegak beserta dengan tamakninah. Kadar masa tamakninah tidaklah lama iaitu sekadar sekali sebutan tasbih sahaja.
-
Sujud Dua Kali Dengan Tamakninah
Sujud dilakukan dua kali untuk setiap rakaat. Sujud mestilah dalam keadaan punggung lebih tinggi daripada kepala. Ada tujuh anggota sujud iaitu dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan hujung jari kedua-dua kaki. Sunat jika meletakkan hidung ketika bersujud.
-
Duduk antara Dua Sujud Dengan Tamakninah
Duduk antara dua sujud adalah duduk sebentar selepas sujud pertama sebelum melakukan sujud yang kedua dalam setiap rakaat. Sujud ini juga mesti dilakukan dengan tamakninah. Duduk antara dua sujud adalah dalam keadaan kedua-dua tapak tangan diletakkan di atas kedua-dua paha dengan hujung jari hampir dengan lutut. Kemudian dibaringkan tapak kaki kiri dan duduk di atasnya. Tapak kaki kanan pula ditegakkan dengan anak-anak jari dihalakan ke arah kiblat.
-
Duduk Tasyahud/Tahiyat Akhir
Duduk ketika ini sewaktu membaca tahiyat akhir sebelum memberi salam. Tangan diletakkan di atas paha.
-
Membaca Tasyahud/Tahiyat Akhir
Tahiyat adalah ucapan dan doa yang yang merangkumi pujian kepada Allah SWT dan salam serta diakhiri dengan lafaz syahadah.
-
Membaca selawat ke atas Rasulullah SAW
Ketika duduk tahiyat akhir iaitu selepas melafazkan dua kalimah syahadah, wajib membaca selawat ke atas Rasulullah SAW.
-
Memberi salam yang pertama
Salam sebagai penutup dalam mendirikan solat, iaitu cukup dengan melafazkan ‘Assalamualaikum’.
-
Tertib
Tertib iaitu mengerjakan solat mengikut turutan. Oleh itu, tidak boleh mana-mana rukun yang kemudian dilakukan mendahului yang lebih awal. Hal ini terkecuali untuk rukun yang dilakukan serentak seperti takbiratul ihram bersama niat, berdiri tegak bersama membaca al-Fatihah dan duduk tahiyat akhir semasa membaca tahiyat, tasyahud dan selawat.
Kategori Rukun Solat; Qauli, Qalbi, Fi’li
Dalam 13 rukun solat ini pula terdiri daripada beberapa pembahagian kecil. Rukun ini dikenali sebagai rukun qauli, qalbi, fi’li.
Rukun Qauli
Rukun qauli (perkataan atau bacaan) adalah rukun yang bacaannya wajib didengari oleh telinga sendiri. Jika tertinggal walau satu huruf, hukumnya wajib diulangi semula bacaan itu. Antara bacaan yang terlibat dengan rukun ini adalah:
- Takbiratul ihram (ucapan ‘Allahu Akbar’)
- Surah al-Fatihah
- Bacaan tahiyat akhir
- Selawat atas nabi
- Salam yang pertama
Rukun Qalbi
Rukun qalbi (hati) adalah melibatkan hal yang perlu dilakukan dalam hati seperti;
- Niat
- Tertib
Rukun Fi’li
Rukun fi’li adalah rukun yang melibatkan pergerakan atau perbuatan. Jika terlupa atau tertinggal, mestilah berpatah balik kepada rukun tersebut. Ada enam rukun fi’li, iaitu;
- Berdiri (qiam)
- Rukuk
- Iktidal
- Sujud
- Duduk antara dua sujud
- Duduk tahiyat akhir
Imej via Ustaz Sharhan Shafie
5 Syarat Sah Solat
- Anggota badan, pakaian, dan tempat untuk bersolat mestilah dalam keadaan suci seluruhnya. Pastikan anda bersih daripada hadas besar dan hadas kecil.
- Wanita dan lelaki yang hendak menunaikan solat mestilah menutup aurat. Aurat bagi wanita adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua tapak tangannya, manakala aurat bagi lelaki adalah antara pusat dan lututnya.
- Pastikan anda bersolat apabila telah masuk waktu solat.
- Bersolat mestilah dengan menghadap kiblat. Boleh jadi tidak sah solat jika tidak menghadap kiblat kecuali keadaan terpaksa.
- Penting untuk tahu yang mana termasuk dalam rukun solat dan yang mana termasuk dalam kategori sunat supaya tidak terkeliru.
Perkara-perkara Membatalkan Solat
Ertinya, jika berlaku perkara-perkara yang membatalkan solat ini, solat akan menjadi tidak sah dan perlu didirikan semula. Oleh itu, perkara yang membatalkan solat adalah;
- Batal wuduk
- Makan dan minum dengan sengaja walaupun seteguk air atau sebiji nasi sekalipun (sisa makanan dalam mulut)
- Terbuka aurat
- Pergerakan seperti melangkah, tiga langkah berturut-turut
- Bercakap, berkata-kata dengan sengaja
- Berubah niat
- Mendahulu imam sampai dua rukun
- Meninggalkan rukun sembahyang
- Terdapat najis di badan, pakaian atau tempat sembahyang
- Tertawa terbahak-bahak