Siapa yang tidak kenal ikan tongkol. Ikan tongkol merupakan ikan laut yang ramai dijual selain di Malaysia, juga menjadi kegemaran di Indonesia bahkan jepun sekali pun. Ikan tongkol pula ada beberapa jenis, ada tongkol hitam dan tongkol putih. Namun secara amnya ikan tongkol bersaiz agak besar dan isinya tebal.
Di Malaysia, ikan tongkol identik dimasak gulai untuk nasi dagang. Selain itu ada pula ikan tongkol sambal yang disajikan dengan nasi lemak mahupun nasi kuning. Isi ikan yang tebal dan padat jadikan ia tidak mudah berderai jika dipotong kecil, namun begitu isi ikan tongkol amat wangi dan lembut.
Sesiapa yang teringin masak simpel dengan ikan tongkol, boleh cubakan resepi yang kami tuliskan di bawah. Tidak hanya gulai dan sambal, ada juga bakar, masak asam, asam pedas, dan banyak lagi. Jadi inspirasi idea untuk masakan anda.
Ikan Tongkol Sambal Cili Api Bersantan
Jangan ingat masakan bersantan itu berkuah sahaja. Rosma Ros berkongsi resepi masakan bersantan versi sambal. Rasa lauk ini lazat ada lemak pedas masin, sedap dimakan dengan nasi putih panas-panas dan ulam-ulaman.
Bahan-bahan :
Seekor ikan tongkol dipotong,
15 biji cili api,
3 biji cili besar merah,
Sebiji bawang besar,
4 ulas bawang putih,
Seinci belacan,
Setengah sudu makan kunyit serbuk,
Asam keping ikut masam,
4 sudu makan sos cili,
Santan setengah cawan,
Gula,
1 sudu makan gula merah,
Garam,
Pati bilis,
Perasa.
Bahan hiasan :
1 biji bawang besar potong bulat.
Sebiji cili besar merah dipotong serong.
4 biji cili api dibelah 2.
Cara-cara :
Ikan bubuh garam dan kunyit, kemudian goreng.
Bawang besar, cili api, cili besar, bawang putih dan belacan goreng dalam minyak goreng ikan tadi, goreng sampai layu.
Selepas goreng masukkan kesemua bahan dalam blender sekali dengan minyak. Bubuh sedikit air.
Seterusnya tumis balik bahan blander.
Masukkan juga garam, gula, gula merah, pati bilis dan biarkan kuah masak sekejap.
Masukkan santan, asam keping dan sos cili, biarkan pecah minyak. Masukkan setengah cawan air, biarkan mendidih dan pecah minyak.
Masukkan ikan dan bahan hiasan.
Perlahankan api, biarkan bahan hiasan layu dan minyak timbul. Siap.
Gulai Ikan Tongkol
Dekat terengganu memang sinonim dengan rempah cap bunga ros ini. Sedap kalau buat gulai ikan untuk nasi dagang. Gulai ini selalunya dimakan dengan nasi dagang/nasi kuning/pulut kuning/nasi putih. Resepi dicubakan oleh Siti Noor Hidayah Samah di laman Facebook.
Bahan-bahan :
Ikan tongkol hitam direbus dengan garam, nisan kerek, asam keping dan cuka sedikit. Air tidak perlu banyak).
Santan dari 1 biji kelapa,
Cili padi,
2 sudu besar cili boh,
1 sudu besar gula,
Nisan kerek,
Garam,
Gula,
Rempah bunga ros (rempah masak dan gulai),
*2 biji bawang besar,
*2 biji bawang putih,
*1 inci halia,
*1 inci kunyit hidup,
Kisar bahan bertanda *.
Cara-cara:
Tumiskan cili boh bersama gula hingga terbit bau.
Masukkan bahan kisar dan masak hingga sedikit kering.
Bancuh rempah bunga ros dengan sedikit air dan masukkan ke dalam periuk. Nisbah rempah gulai : rempah masak = 2:1 (api perlahan sahaja).
Bila sudah hampir kering, masukkan santan dan tunggu hingga mendidih. Kemudian perasakan dengan garam dan nisan ikut selera masing-masing.
Bila sudah mendidih, masukkan ikan yang sudah siap rebus tadi. Masukkan sekali asam keping dalam air rebusan ikan tadi, masak seketika.
Bila sudah masak, perlahankan api dapur dan masukkan cili padi dan telur rebus (optional).
Renehkan sekejap hingga terbit minyak. Tutup api dapur dan sedia dihidang.
Sambal Ikan Tongkol @ Ikan Aye
Nasi lemak Terengganu biasanya dimakan dengan sambal ikan tongkol. Sesiapa yang rindu makan nasi lemak dengan sambal ikan tongkol terpaksa buat sendiri. Tapi jangan risau, Siti Noor Hidayah Samah berkongsi resepi sambal ikan tongkol sedap. Juga boleh dimakan dengan nasi lemak, nasi kukus, nasi kuning dan lain-lain. Cara mungkin berbeza dengan sesetengah orang tapi memang sedap. Gula ialah petua untuk bagi sambal merah menyala.
Bahan-bahan :
3 ketul ikan tongkol (rebus dengan asam keping),
4 sudu besar cili boh,
1 sudu kecil gula,
Air asam jawa dan belacan (bancuh bersama),
Nisan @ gula Melaka,
Garam,
*4 biji bawang besar,
*2 ulas bawang putih,
*1 inci halia,
Kisar halus bahan-bahan bertanda *,
Cara-cara:
Tumis cili boh hingga wangi. Masukkan gula.
Masukkan bahan kisar dan masak sampai terbit minyak.
Masukkan air asam jawa.
Kemudian masukkan nisan kerek @ gula melaka.
Masukkan 1 cawan air (boleh bilas bekas blend bawang tadi).
Seterusnya masukkan ikan.
Akhir sekali, masukkan garam dan masak hingga sedikit kering.
Kemudian, perlahankan api dapur dan reneh sampai terbit minyak. Siap.
Ikan Tongkol Masak Kicap
Antara resepi cepat dan sedap buat yang teramat sibuk. Makan dengan nasi panas-panas, sambal belacan dan telur dadar pun sedap. Anak-anak pun boleh ikut makan sekali kerana tidak pedas langsung. Resepi dikongsikan oleh Raha Md Sarip di laman Facebook.
Bahan-bahan :
Ikan tongkol putih,
Bawang besar,
Bawang putih,
Halia,
Rempah ratus,
Kicap,
Sos,
Cili padi.
Cara-cara :
Goreng ikan (yang dilumur bersama garam dan kunyit).
Bawang besar, bawang putih, halia, rempah ratus, cili padi, dipotong-potong dahulu. Kemudian kesemuanya digoreng agak-agak layu.
Masukkan sos dan kicap. Digaul rata dan tunggu sehingga menggelegak.
Tutup api.
Tunggu sehingga agak-agak sejuk baru masukkan ikan yang telah digoreng. Ini supaya ikan tidak lembik dan masih rangup-rangup.
Ikan Tongkol Singgang Kelantan
Singang ikan tongkol versi kelate letak budu lebih nikmat dan mabeles. Selera masakan kampung sangat. Makan dengan nasi putih panas sedap pula hirup kuah dia. Resepi singgang dikongsikan oleh Norasikin Jusoh di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan,
4 ulas bawang putih dan 4 ulas bawang merah dihiris.
Lengkuas 1½ inci dihiris halus.
Asam keping 5-6 keping (kalu suka masam boleh tambah).
Cili padi masuk sebiji.
Bendi (jika suka).
Budu 1 sk (optional).
Cara-cara:
Satukan semua bahan-bahan dalam periuk.
Masukkan air (paras agak-agak ikan tenggelam sedikit).
Perasakan dengan garam.Tunggu mendidih boleh tutup api.
Rendang Asam Ikan Tongkol
Idea masak ikan tongkol ini selain masak singgang boleh juga masak rendang asam. Resepi senang tapi sedap terangkat. Kalau sudah makan ini, tak ada lauk lain pun tak apa. Resepi didatangkan daripada Zaimah Zakaria di laman Facebook.
Bahan A :
Seekor ikan tongkol,
Garam,
Kunyit,
Air asam jawa,
Minyak masak.
Bahan B :
Serai 2 batang,
Halia sebesar ibu jari,
Cili padi 10 biji,
Kunyit hidup sebesar jari kelingking,
Bawang putih 4 ulas,
Bawang merah 2 biji.
Cara-cara :
Ikan dicuci bersih lumurkan garam dan kunyit.
Goreng sekejap jangan terlalu garing.
Sementara ikan digoreng, bahan-bahan B dikisar kasar.
Angkat ikan dan kurangkan sedikit minyak dalam kuali tadi dan tumis bahan-bahan kisar tadi.
Masukkan air asam jawa ke dalam kuali tadi dan kacau sampai pecah minyak.
Akhir sekali masukkan ikan kacau-kacau sekejap dan tutup api. Siap.
Ikan Tongkol Masak Cuka
Kalau tidak ada selera makan harus cuba buat lauk ini. Kerana rasa asam dapat merangsang selera makan dari yang tiada selera jadi berselera sangat. Macam biasa ikan kena digoreng garing dulu baru disiram dengan kuah cuka. Resepi dikongsikan oleh Zara Zyad Bundle di laman Facebook.
Bahan-bahan :
Ikan digoreng sekejap,
*Bawang besar hiris bulat,
*Bawang merah belah 4,
*Bawang putih hiris,
*Halia hiris mancis,
*Cili api/padi belah 2,
1 sdm biji sawi,
1-2 sdm cuka,
Timun hiris panjang (jika suka),
Lobak merah hiris panjang (jika suka),
Serbuk perasa/gula/garam.
Cara-cara :
Goreng ikan sekejap.
Angkat ikan dan asingkan minyak biar tinggal sedikit sahaja dalam kuali.
Tumis biji sawi dan bahan hiris bertanda * sampai sedikit layu.
Masukkan air ikut mahu banyak mana.
Masukkan sekali cuka makan.
Bila hampir mendidih, masukkan timun/lobak merah.
Bila timun sudah lembut sedikit, letak perasa.
Akhir skali masukkan cili padi dan ikan yang telah digoreng tadi. Kaup balik sekejap. Siap.
Rendang Ikan Tongkol
Masak rendang bukan ayam dan daging sahaja, ikan pula boleh dimasak rendang. Ikan yang paling sedap untuk masak rendang ialah tongkol. Ikan tongkol isinya padat dan wangi sangat. Makan dengan nasi impit amat sedap. resepi dikongsikan oleh Siti Fairuz di laman Facebook.
Bahan-bahan :
2 ekor ikan saiz sedang,
*Bawang merah sebiji yang besar,
*Bawang putih 4 ulas,
*Cili kisar 2 sudu makan boleh tambah cili api kalau ingin pedas.
*Halia 1 inci,
*Serai 3 batang,
Rempah kari ikan 2 sudu makan,
Asam keping 1 biji,
Gula kabung agak-agak sahaja,
Santan pekat agak-agak,
Kerisik 2 sudu makan.
Cara-cara :
Sebelum blender, goreng dulu bahan sampai garing lepas itu semua blender sekali.
Tumis pakai minyak yang digoreng tadi sampai bahan-bahan garing. Kemudian masukkan ikan, kerisik dan santan.
Akhir sekali tabur daun kunyit.
Gulai Ikan Tongkol @ Aya Kelate
Dapat masak gulai kunyit lengkuas ikan tongkol diletak bendi timun cili dan telur rebus, tidak payah lauk lain, satu lauk ini pun sudah cukup. Ada pula sambal belacan apa nak kata sedap tidak terkata. Adakah yang suka dan minat sama? Resepi dibuat oleh Azizah Daud di laman Facebook.
Bahan-bahan :
1 ekor ikan tongkol sederhana besar potong ikut suka, rebus dengan asam keping letak garam gula secukup rasa.
1 biji kelapa ambil 6 cawan santan.
Bahan kisar :
10 biji cili kering,
2 biji bawang merah besar,
2 ulas bawang putih,
2 cm lengkuas,
3 cm kunyit hidup,
Cili merah hijau dan cili padi,
5 biji bendi,
2 biji timun,
Telur rebus berapa biji ikut suka.
Cara-cara :
Santan masuk dalam periuk 5 cawan. 1 cawan untuk kisar.
Bahan kisar tadi tidak perlu letak air masa blend nanti takut bergentel kuahnya tidak cantik.
Dalam kuali masukkan santan.
Seterusnya masukkan bahan yang dikisar. Sentiasa kacau supaya tidak berketul sehingga mendidih naik minyak.
Letak garam gula secukup rasa. Biarkan dia mereneh.
Masukkan ikan yang sudah direbus bersama kuahnya sekali tadi biar dia mereneh hingga naik minyak dan berkilat.
Masukkan cili besar, cili padi, bendi dan timun. Makin lama reneh makin cantik kuahnya.
Masukkan telur rebus, tutup api siap.
Asam Pedas Nyonya Ikan Tongkol
Siapa teringin makan Asam Pedas Nyonya? Wan Muhammad Hafiz Satar berkongsikan resepi asam pedas menggunakan ikan tongkol dan cili lebih sebab ingin pekatkan kuah dan pedas.
Bahan-bahan :
4 keping ikan tenggiri,
1 kuntum bunga kantan dibelah 2,
Sedikit daun kesum,
Air asam jawa secukupnya,
1 kiub ikan bilis,
8 biji kacang bendi,
1 biji buah tomato (belah 4),
Minyak untuk menumis,
Garam dan gula/perasa.
Bahan kisar :
5 sudu besar cili kisar,
8 ulas bawang merah,
2 ulas bawang putih,
3 biji buah keras,
2 batang serai ambil bahagian lembutnya sahaja,
2 cm lengkuas,
2 cm halia,
2 cm kunyit hidup,
Sedikit belacan,
Cara-cara :
Panaskan minyak, tumiskan bahan kisar hingga naik minyak dan bertukar warna dari kuning menjadi pes berwarna merah menyala. Ini memakan masa agak lama, gunakan api perlahan dan sentiasa kacau supaya tidak hangit di bawahnya.
Kacau sekejap masukkan bunga kantan.
Apabila sudah naik bau masukkan air asam jawa, kiub ikan bilis, ikan dan air secukupnya. Renehkan sebentar hingga kuah agak pekat.
Rasakan garam, bila ikan hampir masak boleh masukkan kacang bendi, daun kesum dan tomato.
Didihkan 2-3 minit boleh diangkat.
Resepi Menarik Lain
Selain kumpulan resepi ikan talapia, kami juga menulis resepi menarik lain yang patut anda cubakan. Sila baca dan cubakan resepinya. Jangan lupa Like dan Share resepi ini ya.
Apabila kita menyebarkan kebaikkan walaupun satu ayat, kelak kebaikkan juga yang akan datang kepada kita. Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah satu usaha untuk menyebarkan kebaikkan. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.