Beli ikan talapia tapi pening ingin masak apa? Setakat ini resepi goreng-goreng sahaja yang tahu? Oleh itu, kami sediakan resepi mulai dari masakan kampung melayu hingga ala Thai. Cara masak mudah serta bahan-bahan pula senang beli.

Ikan talapia merupakan spesies ikan air tawar biasa hidup di air payau, sungai kecil, tasik, dan muara. Ikan talapia merupakan sumber protein yang tinggi dan merupakan kesukaan orang ramai.

Mungkin ada beberapa orang yang tidak suka rasa hanyir ikan talapia, namun jika dibersihkan dengan betul dan dimasak dengan resepi yang betul mesti sedap. Kami ada tuliskan resepi talapia yang mudah selain daripada goreng-goreng. 10 kumpulan resepi di bawah mendapat perkongsian ramai di laman Facebook boleh jadi idea masak ikan talapia anda.

Talapia Masak Pedas Thai

Imej via Facebook

Makan malam dengan talapia masak pedas Thai terus tak pandang orang sebelah. Tengku RosElyza Raja Muhammad berkongsi resepi talapia masak pedas Thai sedap. Seperti biasa masakan Thailand mesti ada ciri masam sama ada daripada daun limau mahupun serai. Rasa masam dan wangi masakan ini bangkitkan selera.

Bahan-bahan :

  • 1 ekor ikan talapia,
  • 1 sdb sos ikan,
  • 1 sdb cili kisar,
  • 1 sdb thai cili paste,
  • 5 ulas bawang putih dicincang halus,
  • 7-8 biji cili padi hijau dihiris,
  • 1 biji cili merah dicincang halus,
  • Halia hiris,
  • Sedikit garam,
  • Sedikit gula,
  • 1 cawan air,
  • Daun limau purut,
  • 1 sudu olive oil, guna minyak masak pun boleh.

Cara-cara :

  1. Ikan talapia disalut dengan kunyit dan garam kemudian goreng, ketepikan.
  2. Dalam kuali tumiskan bawang, cili merah, cili padi, halia yang telah dicincang.
  3. Kemudian masukkan satu sudu cili kisar, 1 sudu pes cili thai, tambah sedikit sos cili thai.
  4. Tambah sedikit air, masak hingga mendidih.
  5. Seterusnya masukkan jus limau, sos ikan, dan daun limau purut. Masak lagi hingga kuah agak pekat.
  6. Akhir sekali masukkan gula dan garam secukup rasa. Siap, curah atas ikan.

Ikan Talapia Bakar Adabi

Imej via Facebook

Afy AL Habibi berkongsi resepi ikan bakar kegemaran yang paling mudah. Cicah isi ikan dengan air asam mabeles. Guna pes ikan bakar Adabi sahaja dan sedikit bahan tumbuk bagi sedap lebih. Rencahnya terasa hingga ke tulang, isi ikan pula langsung tidak kering.

Bahan-bahan :

  • ½ sudu besar perencah asam pedas Adabi,
  • ½ sudu besar perencah ikan bakar Adabi,
  • ½ sudu besar perencah rendang Adabi.

Bahan tumbuk :

  • 2 inci kunyit hidup,
  • 2 ulas bawang putih,
  • Secubit belacan,
  • 4 tangkai cili padi merah dan hijau,
  • ½ sudu besar gula perang.

Cara-cara :

  1. Mula-mula basuh dan kelar ikan talapia.
  2. Gaul sebati campuran pes dan bahan tumbuk dalam mangkuk.
  3. Lumurkan pada badan ikan dan bahagian dalamnya.
  4. Balut ikan dengan daun pisang untuk aroma wangi.
  5. Bakar atas pan sehingga ikan masak.
  6. Hidangkan ikan bersama air asam mabeles.

Paih Ikan Talapia Temerloh

Imej via Facebook

Paih pakai tempoyak dan rempah-rempah macam cili, bawang merah, kunyit, daun kesum, dan daun kunyit diracik halus. Pais ikan talapia dibuat cara Zanna Shapeai di laman Facebook memang sedap. Dapat makan dengan nasi putih panas-panas dan ulam-ulaman, terus tak mahu pandang belakang.

Bahan-bahan :

  • Tempoyak,
  • *Cili 5 biji,
  • *Bawang merah sebiji,
  • *Garam cukup rasa,
  • *Kunyit hidup@serbuk,
  • Daun kesum dan daun kunyit diracik halus.

Cara-cara :

  1. Tumbuk bahan-bahan bertanda *.
  2. Apabila sudah lumat gaul bersama tempoyak dan daun-daunan.
  3. Boleh lumurkan pada ikan dan perap dalam 30 minit. Terus bakar pun boleh.

Ikan Talapia Hitam Tumis Sambal Belacan

Imej via Facebook

Masak talapia hitam tumis kena dengan sambal belacan. Sambal belacan versi Amy Aurora Qaisarah II yang berkongsi di laman Facebook amat sedap dan memikat selera. Guna air asam jawa supaya rasa lebih ngam ya.

Bahan-bahan :

  • 5-7 ekor ikan talapia hitam (cuci bersih dan goreng),

Bahan sambal belacan :

  • 10 biji cili api merah,
  • 10 biji cili api hijau,
  • 5 biji cili besar merah,
  • 5 biji cili besar hijau,
  • Sedikit garam,
  • Sedikit Ajinomoto,
  • Belacan (dibakar sedikit),
  • Air asam jawa secukupnya,
  • Sedikit gula (jika perlu).
    Kemudian blend semua bahan untuk buat sambal belacan itu sampai lumat.

Bahan Tumis :

  • 5 ulas bawang putih,
  • 5 ulas bawang besar,
  • Sedikit air,
  • Sedikit garam.

Cara-cara :

  1. Tumiskan bahan tumis sampai naik bau.
  2. Kemudian masukkan 4-5 sudu sambal belacan tadi. Tumis sampai bawang agak layu.
  3. Masukkan garam secukupnya.
  4. Kemudian boleh masukkan ikan talapia hitam yang sudah siap digoreng tadi. Golek-golekkan ikan itu biar kena dengan sambal. Siap dimakan dengan nasi panas.

Ikan Talapia Siram Tempoyak Berlada

Imej via Facebook

Amaran jangan makan depan mertua, takut-takut terpapar muka tidak senonoh mak mertua lalu kita tidak perasan. Tempoyak berlada boleh buat siram pada ikan bilis goreng juga. Resepi campak-campak Pia Sofieya ajar, walaupun campak-campak tapi sedap. Pekena pulak ada petai makin sedap.

Bahan-bahan :

  • Ikan talapia lumur garam,
  • Tempoyak (suka hati ingin banyak mana),
  • Cili padi (terserah ingin kepedasan tahap mana),
  • Bawang merah,
  • Daun kunyit hiris/mayang.

Cara-cara :

  1. Goreng ikan talapia yang dilumur garam tadi, asingkan.
  2. Bawang merah dan cili padi ditumbuk sama-sama, kemudian tumis sampai naik bau.
  3. Bila pecah minyak masukkan tempoyak, kacau sebati, boleh tambah air untuk kurangkan kepekatan.
  4. Jika warna sudah sebati, tabur hirisan daun kunyit.
  5. Perasakan dengan garam secukup rasa.
  6. Tempoyak yang dimasak tadi tuang ke atas ikan talapia yang kita masak asing tadi.

Talapia Stim Asam Masin

Imej via Facebook

Pada sesiapa yang sudah muak makan yang berlemak-lemak dan bersantan. Ayuh cuba yang masam-masam pula. Bila sudah masak, makan panas-panas dengan telur dadar ais batu. Resepi dikongsikan oleh Adnan Bin Mat Abu di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • Seekor ikan talapia,
  • Sebatang serai,
  • Sebijik bawang besar,
  • 2 inci halia,
  • 5 helai daun limau purut,
  • Seketul kiub ayam,
  • 5 biji asam masin.

Cara-cara :

  1. Lumur ikan dengan garam dan aji.
  2. Masukkan hirisan halia, bawang besar, serai, asam masin dan daun limau purut dalam perut ikan.
  3. Kukus dan siram dengan kiub ayam yang sudah dicairkan dengan ¼ cawan air.

Bahan lain :

  • 7 biji cili padi,
  • 4 ulas bawang putih,
  • Air perahan limau nipis.

Cara-cara :

  1. Tumbuk cili padi dan bawang putih hampir lumat.
  2. Gaul dengan air perahan limau nipis.
  3. Letak sedikit gula.
  4. Akhir sekali bahan ini disiram atas ikan bila ikan ¾ masak.

Ikan Talapia Masak Tiga Rasa

Imej via Facebook

Ini antara menu kesukaan keluarga. Resepi versi Yusma Mustafa paling simpel dan sesuai sangat bila suntuk nak masak. Percaya tidak percaya menu talapia masak tiga rasa dalam 10 minit siap.

Bahan bahan :

  • Seekor ikan talapia sederhana besar,
  • Tomato, timun, nenas dipotong dadu. Ikut suka banyak mana.
  • 1 sudu besar sos cili,
  • 1 sudu besar sos tomato,
  • 1 sudu besar sos tiram.
  • 2 ulas bawang putih tumbuk/kisar,
  • 2 ulas bawang merah tumbuk/kisar.

Cara-cara :

  1. Mula-mula siang ikan, lepas siang terus mekapkan dengan garam kunyit. Goreng ikan sampai garing kedua belah. Pastikan minyak betul-betul panas.
  2. Tumis bawang putih dan bawang yang sudah siap ditumbuk sampai warna keemasan dan wangi.
  3. Masukkan 3 sekawan sos tadi.
  4. Masa ini boleh tambah gula dan garam secukup rasa.
  5. Jiruskan secawan air bagi sedikit berkuah.
  6. Campakkan timun, nenas, dan tomato. Biar sekejap dalam 2-3 minit bagi lembut sedikit.
  7. Bila sudah mendidih, masukkan ikan yang sudah siap digoreng tadi.

Talapia Garing Bersos Limau Cambodia

Imej via Facebook

Ini menu terkenal di Cambodia. Meriah makan ramai-ramai, sedap sampai menghirup pinggan. Nampak mudah sangat cara dan bahannya. Cukup masam, masin, manis dan pedas. Sesuai sangat dipadankan dengan isi talapia yang segar dan sedap. Resepi dikongsikan oleh Marina Ismail di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • 1 ekor ikan talapia,
  • 3 biji limau nipis (ambil jus),
  • 3 sudu besar gula,
  • 3 biji cili padi merah (potong halus),
  • 5 biji cili padi hijau (potong halus),
  • 5 sudu besar sos ikan,
  • 7 ulas bawang putih (cincang halus),
  • 2 tangkai daun ketumbar (potong halus),
  • Garam untuk lumur ikan.

Cara-cara :

  1. Basuh ikan bersih-bersih dengan limau nipis.
  2. Lumurkan garam secukupnya pada ikan yang sudah bersih tadi. Perap seketika. Tidak perlu letak kunyit.
  3. Goreng ikan hingga betul-betul garing. Ketepikan.
  4. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih hingga naik bau. Jangan sampai garing ya.
  5. Gaulkan sos ikan, gula, jus limau nipis, cili padi dan daun ketumbar. Kacau sebati.
  6. Masukkan bancuhan itu ke dalam kuali yang kita tumis bawang putih tadi. Kacau dan rasa. Sebab masakan ini perlu cukup rasa masam, manis masin dan pedas.
  7. Bila sudah cukup rasa, tuangkan atas ikan yang sudah digoreng tadi.

Ikan Talapia Masak Lemak Belimbing Buloh

Imej via Facebook

Kalau ingin jadi menantu orang nismilan, masak gulai jangan sampai pecah minyak. Kunyit kalau boleh yang hidup. Masak lemak talapia campur belimbing buloh jadi makin sedap. Bagi pedas cili api biar makin sedap. Resepi dikongsikan oleh Nur Aisya di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • Ikan talapia, boleh disalai atau digoreng.
  • Cili api,
  • Kunyit hidup,
  • Garam kasar,
  • Perasa,
  • Santan pekat,

Cara-cara :

  1. Tumbuk cili api, kunyit hidup dengan garam kasar bagi lumat.
  2. Masukkan ikan dengan belimbing dalam periuk atau kuali.
  3. Masukkan santan dan bubuh air. Kacau pelan sampai masak tanpa henti dengan api kecil.
  4. Kemudian simpan sedikit santan pekat.
  5. Jika kuah sudah menggelegak, masukkan santan pekat tadi, kacau lagi. Ini untuk bagi kuah pekat cantik.
    (Kalau suka belimbing itu rangup, masukkan akhir sekali).

Talapia Miang Pla Pao

Imej via Facebook

Rasa jemu makan nasi? Boleh cuba buat ini pula. Myira Idora masak miang pla pao, iaitu masak ikan talapia digoreng garing yang dimakan dengan sambal hijau yang diperbuat dengan cili hijau, bawang putih, gula perang, sos ikan, dan paling penting ialah daun ketumbar dan akar ketumbar ciri masakan Thailand.

Bahan-bahan :

  • Ikan talapia,
  • Garam,
  • Kunyit,
  • Tepung gandum.
  • Campurkan semua bahan di atas dan goreng hingga garing.

Sambal hijau :

  • Bawang putih,
  • Cili hijau,
  • Akar ketumbar,
  • Gula perang,
  • Sos ikan,
  • Limau kasturi (ambik air perahan),
  • Daun ketumbar.

Cara-cara :

  1. Blend sekali kesemua bahan.
  2. Jika sudah blend, masak atas dapur sekejap (tidak masak pun boleh).
  3. Bila sudah cukup rasa semua tabur daun ketumbar.
  4. Letak bahan lain seperti suhun, dan daun salad.

Resepi menarik lain

Selain kumpulan resepi ikan talapia, kami juga menulis resepi menarik lain yang patut anda cubakan. Sila baca dan cubakan resepinya. Jangan lupa Like dan Share resepi ini ya.

Penulis: Rahayu Z

Pelajar yang menyukai kartun dan muzik. Memiliki hobi menulis mendorong ia untuk berkarya dan berkongsi di Bidadari.my

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.