Siapa tidak kenal ikan patin? Ikan patin sejatinya terkenal dengan masak tempoyak. Sebenarnya ada banyak resepi boleh cuba antaranya masak asam pedas, sambal tumis, kengsom, masak cuka dan lain-lain masakan yang menyelerakan.

Ikan patin merupakan ikan air sungai yang biasa diternak di kolam-kolam atau sangkar. Kernanya rasa ikan patin sedikit hanyir ini sesuai dimasak mengikut resepi berbasiskan asam. Ikan patin dagingnya putih, manis dan menyelerakan amat disukai masyarakat malaysia. Bahkan daging ikan patin seringkali dikomersilkan bentuk fillet.

Kami ada 10 resepi ikan patin yang mudah dan senang untuk anda cuba. Di mana kumpulan resepi ini sememangnya paling banyak dicari di laman Facebook. Cara masak yang kena dengan tekak dan sedap memang kami syorkan untuk cuba. Jom tengok resepi di bawah ini.

Ikan Patin Masak Tempoyak Temerloh Pahang

Imej via Facebook

Siapa yang tidak merasa lagi patin tempoyak? Rugi betul kalau tidak cuba lauk ini. Masak tempoyak merupakan identiti khas ikan patin. Tempoyak ialah durian yang ditapaikan, rasanya berkelainan dan unik jadi kegemaran sesetengah orang. Faris Ibrahim berkongsikan resepi patin tempoyak di laman Facebook. Rahsianya lagi pekat kuah adalah lagi sedap.

Bahan-bahan :

  • 1 ekor ikan patin,
  • 1 senduk tempoyak,
  • 1 ikat daun kesum,
  • 1 batang bunga kantan,
  • 7-15 biji cili api,
  • 1 inci kunyit hidup,
  • Air,
  • Garam,
  • Gula.

Cara-cara :

  1. Blender bahan-bahan di atas dengan air ikut rasa masing-masing.
  2. Bila sudah siap blender, tuang ke dalam periuk.
  3. Campaklah sekali dengan daun kesum dan bunga kantan.
  4. Bila sudah mendidih baru masuk ikan.
  5. Jangan lupa perasakan garam dan gula.

Pais Ikan Patin

Imej via Facebook

Berbasiskan tempoyak, dengan menggaul dan lumurkan tempoyak bersama kunyit hidup yang diblend, tambahkan sedikit cili api supaya pedas meletop. Bahan pais ini diperap bersama ikan patin kemudian dibakar. Kejadiannya memang menggoda selera. Resepi dikongsikan oleh Anggerik Rosni di laman Facebook. Jangan lupa letak petai supaya makin sedap. Boleh bakar atas dapur atau airfryer. Siap.

Bahan-bahan :

  • Ikan patin,
  • *Tempoyak,
  • *Cili api merah dan hijau,
  • *Kunyit hidup,
  • *Garam,
  • *Ajinomoto,
  • Daun kunyit (hiris halus),
  • Petai,
  • Daun pisang,
  • Aluminuim foil.

Cara-cara :

  1. Kisar bahan yang bertanda *. Kemudian lumur ikan dengan bahan kisar tadi.
  2. Taburkan daun kunyit dan petai.
  3. Kemudian balut dengan daun pisang dan aluminium foil. Siap untuk dibakar.

Ikan Patin Masak Cuka

Imej via Facebook

Letak tomato dalam masakan ini pun sedap kerana makin terasa asam-asam masin kuahnya. Jangan lupa ikan digoreng garing dulu supaya rasa enak lemak ikan. Ayuh ikut resepi Umi Mas di laman Facebook. Makan dengan nasi putih sedap lemak-lemak masam masin.

Bahan-bahan :

  • Ikan patin,
  • Serbuk kunyit,
  • Garam,
  • *Bawang merah,
  • *Bawang putih,
  • *Halia,
  • *Halba campur,
  • Cili besar hijau/merah (belah dua jangan putus),
  • Cili padi (belah 2),
  • Bawang besar (belah 4),
  • Cuka makan,
  • Gula,
  • Bahan perasa.

Cara-cara :

  1. Mula-mula gaul ikan dengan kunyit dan garam kemudian goreng.
  2. Kemudian hiris nipis bahan bertanda * dan tumis sampai naik bau.
  3. Masukkan air untuk dijadikan kuah.
  4. Kemudian, masukkan cuka, gula, garam, dan bahan perasa.
  5. Masukkan pula cili dan bawang besar.
  6. Akhir sekali baru masukkan ikan.

Patin Tomyam Sangkar Sg. Pahang

Imej via Facebook

Kalau dapat patin sangkar sungai Pahang sedap lah pula dibuat masak tomyam macam Adnan Bin Mat Abu yang berkongsi resepi di laman Facebook. Resepi amat sedap dan senang dicuba, rasa pula macam tomyam dekat restoran.

Bahan-bahan :

  • ½ ekor ikan patin,
  • 3 batang serai diketuk,
  • 2 biji limau nipis diambil jusnya,
  • 7 biji cili padi siam ditumbuk separuh lumat,
  • 2 ulas bawang putih dihiris,
  • Sebiji bawang holland dihiris,
  • 1 inci halia dihiris,
  • Seketul kuib tom yam,
  • 4 helai daun limau purut,
  • 3 batang akar daun ketumbar dibasuh bersih,
  • Sebiji tomato dibelah 4,
  • Bunga kobis, carrot dan batang seleri secukupnya.

Cara-cara :

  1. Rebus semua bahan kecuali tomato dan limau nipis.
  2. Bila sudah mendidih, masukkan perahan limau nipis, garam, dan perasa.
  3. Kemudian masukkan ikan patin.
  4. Bila ikan sudah masak baru masukkan tomato dan daun ketumbar.
  5. Biar mendidih seketika baru tutup api.

Asam Pedas ‘Susu’ Ikan Patin

Imej via Facebook

“Jangankan makan, tengok pun tidak pernah”. Mesti ada dalam kalangan pembaca yang tidak pernah makan ‘susu’ ikan patin ini. Mungkin ramai yang tidak suka namun bila sudah masak rasanya umphh..sedappp. ‘Susu’ ikan patin akan kita masak asam pedas. Resepi dikongsikan oleh Norlida Alwi di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • Susu ikan patin,
  • Cili api ikut suka pedas mana,
  • Bawang besar sesuaikan banyak mana,
  • Bawang putih 2 ulas,
  • Kunyit hidup 2 cm,
  • Asam keping 2-3 keping (boleh tambah jika suka lebih masam),
  • Daun kesum segenggam,
  • Serai 3 batang diketuk,
  • Garam, dan serbuk perasa secukupnya,
  • Minyak masak untuk menumis,
  • Air untuk kuah secukupnya.

Cara-cara :

  1. Bersihkan susu ikan patin dan ditoskan.
  2. Blender semua bahan tumis kecuali asam keping, daun kesum dan serai.
  3. Panaskan periuk dan tuang minyak masak untuk menumis.
  4. Tumis serai yang diketuk, daun kesum dan bahan blender hingga naik bau wangi dan pecah minyak.
  5. Masukkan air biarkan hingga mendidih.
  6. Bila sudah mendidih, masukkan susu ikan patin dan kacau perlahan selama 10 menit.
  7. Masukkan garam, asam keping dan serbuk perasa.
  8. Kacau lagi selama 5-10 menit dan biarkan pekat kuah yang dikehendaki. Siap untuk dihidangkan.

Kengsom Patin Ala Thai

Imej via Facebook

Sajian Thailand kengsom memang paling kena dengan citarasa orang Malaysia. Cara menyediakannya pula mudah dan senang. Selalunya orang akan buat ikan siakap namun Eiisha Daud masak dengan ikan patin. Macamana ya rasa dia? Ayuh cubakan.

Bahan Kisar :

  • Cili padi merah 10-15 biji (ikut kepedasan yang diingini),
  • 1 biji bawang besar,
  • 3 ulas bawang merah,
  • 2 ulas bawang putih,
  • 1 inci kunyit hidup,
  • 1 batang serai,
  • Belacan,
  • Cili besar merah 2 biji,
  • Sedikit air.

Bahan lain :

  • Ikan patin,
  • Nanas,
  • Kangkung,
  • Sebatang serai (ketuk),
  • Perahan asam jawa /lemon,
  • Garam,
  • Perasa.

Cara-cara :

  1. Blend semua bahan kisar.
  2. Kemudian masukkan bahan kisar ke dalam periuk, tambah sedikit air.
  3. Masukkan nanas dan ikan.
  4. Kemudian masukkan sedikit perahan air asam jawa/lemon, garam dan perasa.
  5. Bila agak empuk masukkan kangkung. Tutup api bila sudah mendidih.

Patin Sambal Tumis Tempoyak

Imej via Facebook

Nak tunggu apa lagi, kalau dapat makan nasi putih dengan sambal tumis patin tempoyak memang berselera lah makan. Kalau tidak percaya cubalah dulu resepi sambal patin tempoyak yang dikongsikan oleh Muhtasib Raudah di laman Facebook. Lazat teramat makan tidak cukup sepinggan. Jangan lupa ikan patin digoreng garing dahulu.

Bahan-bahan :

  • Bawang merah 20 biji,
  • Bawang putih 4 ulas,
  • Cili kering blender 1 mangkuk,
  • Sedikit kunyit untuk cantikkan sambal,
  • Tempoyak 4 sudu atau lebih,
  • Air asam jawa,
  • Nisan kerek,
  • Garam,
  • Maggie secukup rasa.

Cara-cara :

  1. Mula-mula ikan patin digoreng garing.
  2. Bawang merah, bawang putih, dan kunyit diblender.
  3. Kemudian tumis bawang dan kunyit bersama cili kering blender sehingga naik minyak.
  4. Terus masukkan air asam, garam, nisan kerek, dan Maggie secukup rasa.
  5. Masa ini sudah boleh masukkan tempoyak.
  6. Akhir sekali masukkan ikan yang telah digoreng garing tadi, gaul sebati. Sedia untuk dihidang.

Ikan Patin Bakar

Imej via Facebook

Ikan patin bakar makan dengan nasi panas dan ulam-ulaman gojes betul. Senang saja cara dia hanya guna pais Adabi dan sedikit bahan-bahan rencah untuk naikkan rasa dia jadi makin pekat terangkat. Resepi ikan bakar ALeya Seolihah bukan biasa-biasa, sekali cuba mesti nak lagi.

Bahan-bahan :

  • 1 ekor ikan patin sederhana dipotong,
  • 1 paket perencah ikan bakar Adabi,
  • 2 sudu besar pes sambal serbaguna, (sekiranya tiada ibu sambal, boleh gantikan dengan pes sambal tumis Maggi. Sekiranya tiada, boleh juga kisarkan bawang putih, bawang merah, halia dan sedikit gula Melaka kemudian perahkan sebiji limau kasturi).
  • 1 batang serai dihiris serong,
  • 1 helai daun kunyit dihiris,
  • 3 helai daun limau purut dibuang urat daun,
  • Garam dan Ajinomoto (perasa).

Cara-cara :

  1. Campur semua bahan, perapkan ikan selama 30 minit. Bungkus ikan dan perapan dengan aluminium foil.
  2. Bakar pada suhu 200°C selama 30 minit. Siap.

Asam Pedas Ikan Patin Berlemak

Imej via Facebook

Tidak sampai setengah jam siap sudah lauk ini. Makan dengan nasi panas-panas lebih nikmat. Kalau di atas tadi ‘susu’ patin, sekarang pula kita guna ikan patin semua. Sesiapa yang asyik buat masak tempoyak saja boleh cuba resepi asam pedas patin oleh Nani Habib pula, serius sedap buat resepi ini, senang dan mudah pula. Jom tengok bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan :

  • Ikan patin seekor,
  • Cili kering, bawang merah, dan bawang putih diblender halus,
  • Bunga kantan,
  • Daun kesum,
  • Tomato sebiji,
  • Asam keping sedikit.

Cara-cara :

  1. Mula-mula panaskan minyak, tumis bahan blender tadi sampai pecah minyak. Kalau ingin lagi sedap bubuh belacan bakar sedikit. 
  2. Bila sudah pecah minyak baru masukkan ikan dan segala bahan yang sudah dipotong kecuali tomato.
    Masuk tomato akhir sekali supaya tidak hancur.
  3. Perasakan dengan garam, gula dan air asam sedikit.

Ikan Patin Masak Lemak Cili Padi

Akhir sekali ini resepi yang tidak boleh anda lepas. Pasalnya masak lemak cili api ikan patin ini memang sedap sangat. Rasa lemak, pedas, masin menyatu dalam masakan ini. Dapat pula makan dengan keropok dan ulam memang menjadi. Tuang kuah lemak ke atas nasi putih panas ummph sedap tiada tandingan. Resepi dikongsikan oleh Hidayah Azman di laman Facebook.

Bahan-bahan :

  • Kunyit 5 biji,
  • Bawang besar 1 biji,
  • Bawang merah 5 biji,
  • Bawang putih 3 biji,
  • Halia 1 biji,
  • Serai 2 batang,
  • Cili padi segenggam,
  • Asam keping 3,
  • Daun kunyit 2 helai,
  • Belacan sedikit,
  • Santan 1 kotak,
  • Sayur bendi secukupnya.

Cara-cara :

  1. Blend bawang besar, bawang merah, bawang putih, cili padi, belacan, halia, dan kunyit hingga lumat.
  2. Kemudian masukkan bahan blend tadi ke dalam periuk bersama ikan patin, asam keping serai yang diketuk, gula, garam, dan serbuk perasa serta air agak-agak.
  3. Biarkan semua bahan-bahan tadi mendidih kemudian masukkan santan.
  4. Terus masukkan daun kunyit serta bendi, masak sehingga bendi lembut.
  5. Perasakan garam gula. Siap.

Resepi Menarik Lain

Selain resepi ikan patin, kami juga menulis kumpulan resepi lain yang menarik. Sila baca dan cubakan resepi di bawah. Jangan lupa Like dan Share resepi ini ya.

Penulis: Rahayu Z

Pelajar yang menyukai kartun dan muzik. Memiliki hobi menulis mendorong ia untuk berkarya dan berkongsi di Bidadari.my

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.