Cencaru ialah antara jenis ikan yang digemari di Malaysia. Ikan ini paling terkenal dengan masakan sumbat sambal atau sumbat kelapa. Adapula ikan cencaru goreng berlada, bakar masak cekur juga amat disukai. Cencaru segar dalam RM8 sekilo. Kalau saiz sederhana dapat dalam 7-8 ekor. Tapi kalau beli yang sudah siap masak dalam RM 4 seekor. Maka itu, untuk simpan bajet eloklah masak sendiri bukan? Masak sedap-sedap macam kedai, puas makan satu keluarga. Kami hadirkan 10 resepi ikan cencaru yang sedap. Mari kita cuba.

1. Ikan Cencaru Sumbat Sambal Portugis

Imej via Facebook

Adakah yang suka cencaru sumbat sambal portugis? Mari kami selitkan resepi cara Una Husna yang berkongsi di laman Facebook. Resepi lain dari yang lain dan semestinya sedap sangat.

Bahan-bahan :
  • Ikan cencaru. Belah belakang, bersih dan toskan. Gaul garam kunyit dan ketepikan dulu.
Bahan-bahan sambal :
  • Daun kesum racik-racik,
  • Bunga kantan hiris nipis,
  • 15 biji limau kasturi/cuit (perah dan ambil airnya).,
  • Gula,
  • Garam,
  • Secukup rasa,
  • Aji (ikut masing-masing),
  • *1 biji bawang besar,
  • *3 biji Bawang kecil,
  • *3 biji Bawang putih,
  • *Sedikit belacan,
  • *1 biji tomato,
  • *15 tangkai cili kering direbus,
  • *3 cili besar hijau,
  • *10 cili api.
Cara-cara :
  1. Blend kasar semua bahan bertanda*.
  2. Tumis semua bahan blend tadi dengan minyak sehingga naik bau dan pecah minyak.
  3. Bila sambal sudah masak, masukkan air asam limau kasturi, bunga kantan dan daun kesum. Kacau sebati.
  4. Kemudian masukkan garam, gula, secukup rasa. Kacau-kacau lagi dan rasakan. Bila sudah pekat tutup api.
  5. Kemudian sumbatkan sambal ke dalam cencaru yang dibelah belakang tadi. Goreng dengan garing.
  6. Angkat dan boleh letak lagi sambal tadi dan tuangkan minyak ikan goreng tadi. Kalau mahu bakar pun boleh, ikut selera masing-masing.

2. Ikan Cencaru Kicap Cili Padi Petai

Imej via Facebook

Kalau dapat makan siang dengan menu ini memang puas hati. Lauk yang manis-manis pedas dan ada aroma petai amat terangkat. Siapa yang tidak makan pedas, boleh ganti dengan cili padi akar. Ayuh cuba masak lauk ini pula resepi dikongsikan oleh Amelia Tamby Hussin di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • Bawang merah (dikisar),
  • Bawang putih (dikisar),
  • Cili padi thai (dikisar),
  • Buah keras (ditumbuk),
  • Petai,
  • Bawang holland atau bawang merah besar (dihiris),
  • Kicap ABC (mesti ada),
  • Kicap manis (tidak kisah apa jenama),
  • Garam secukup rasa.
Cara-cara :
  1. Mula mula goreng ikan cencaru dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak lebihan goreng ikan tadi, tumiskan bawang merah dan bawang putih.
  3. Bila sudah garing dan wangi masukkan cili padi dan buah keras.
  4. Kemudian tuang kicap ABC (mesti ada) dan kicap manis kipas udang.
  5. Masukkan petai dan bawang holland dihiris.
  6. Garam secukup rasa.

3. Ikan Cencaru Sumbat kelapa

Imej via Facebook

Kenyang perut jika dapat makan dengan ikan cencaru sumbat nyok/kelapa. Sakinah Osman berkongsi resepi cencaru sumbat kelapa masakan kampung yang menggamit selera. Ayuh cubakan sekarang.

Bahan-bahan :
  • Ikan cencaru belah belakang dicuci bersih dan dibubuh garam dan kunyit. Ketepikan dulu.
  • Nyok/kelapa parut sebiji yang putih,
  • Cabai kering 10 tangkai,
  • Cabai melaka 4 biji,
  • Bawang merah 2 ulas,
  • Bawang putih 2 ulas,
  • Serai 5 batang kecil,
  • Kunyit hidup 1 inci,
  • Serbuk kunyit digaul dengan nyok bagi kuning sedikit,
  • Garam dan gula secukup rasa.
Cara-cara :
  1. Tumbuk semua bahan dan gaul sebati.
  2. Kemudian semua bahan disumbat ke dalam ikan yang sudah dibubuh garam kunyit tadi.
  3. Ikan boleh dibakar dengan pemanggang ajaib ataupun bara api.

4. Ikan Cencaru Percik

Imej via Facebook

Ikan cencaru percik merecik sedia untuk makan tengah hari anda. Sedapnya dapat makan ikan cencaru percik dengan nasi putih dan ulam-ulaman, makan pula jadi berselera. Resepi dikongsikan oleh Nur Humairah Soleh di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • 2/3 ekor ikan cencaru,
  • 200 gm santan pekat,
  • 3 sudu besar cili kering yang siap kisar,
  • 2 biji bawang merah –kisar,
  • 3 ulas bawang putih- kisar,
  • Halia- kisar,
  • Minyak masak untuk menumis secukupnya,
  • Garam secukup rasa,
  • Gula secukup rasa,
  • Serbuk kunyit sesudu kecil.
Cara-cara :
  1. Gaul ikan dengan garam. Bakar sehingga masak. Boleh bakar dengan magic pan sahaja.
  2. Panaskan minyak. Masukkan cili kisar, bawang putih, bawang merah, dan halia yang dikisar.
  3. Kemudian masukkan santan. Kacau rata sehingga sebati dan pekat.
  4. Masukkan serbuk kunyit, garam dan gula secukup rasa. Gaul sebati sehingga benar-benar pekat dan masak.
  5. Setelah siap, siram ke atas ikan yang sudah siap dibakar tadi. Sedia dihidangkan.

5. Ikan Cencaru Masak Serai lengkuas

Imej via Facebook

Masak serai lengkus ini biasanya tidak bubuh santan. Tapi Fazida Ida sengaja bubuh santan. Bagaimanakah rasa dia? Adakah makin sedap? Mari kita cuba.

Bahan-bahan :
  • Ikan,
  • Serai,
  • Lengkuas,
  • Kunyit hidup,
  • Cabai.
Cara-cara :
  1. Tumbuk manja kesemua bahan kecuali ikan.
  2. Kemudian letak ikan dalam periuk.
  3. Masukkan semua bumbu yang ditumbuk tadi. Letak air sedikit sahaja, jangan sampai tenggelam ikan.
  4. Terus masukkan asam keping dan garam. Reneh dengan api kecil.
  5. Balikkan ikan berhati-hati sebab lembut, nanti ikan hancur. Tunggu kuah kering dan siap.

6. Ikan Cencaru Masak Kicap Pedas Limau

Imej via Facebook

Sebelum-sebelum ini ikan cencaru hanya digoreng dan bakar sahaja. Hari ini boleh cuba resepi baharu iaitu masak kicap pedas bersama perahan jus limau nipis. Sesiapa yang pertama kali cuba makan memang mabeles lauk ini. Resepi dikongsikan oleh Dayah Sulong di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • 3 ekor ikan cencaru,
  • 4-5 tangkai cili kering **,
  • 1 biji bawang besar **,
  • 3 ulas bawang puith **,
  • 2 sudu besar cili sos,
  • 3 sudu besar kicap lemak manis,
  • 1 sudu makan sos tiram,
  • 1 mangkuk kecil air (boleh agak-agak sendiri),
  • 1 sudu makan tepung jagung bancuh dengan air,
  • 1 biji bawang besar – dipotong dadu,
  • 10 biji cili api – dipotong,
  • 4 biji limau kasturi/limau nipis – dibelah dua.
Cara-cara :
  1. Ikan cencaru dicuci bersih kemudian dicampur dengan serbuk kunyit dan garam, goreng hingga masak, ketepikan.
  2. Bahan bertanda ( ** ) dikisar lumat, panaskan kuali tumis bahan kisar hingga garing.
  3. Masukkan air, cili sos, kicap, sos tiram dan bawang besar potong dadu, masak mendidih.
  4. Letak garam, gula secukup rasa jika perlu.
  5. Akhir sekali masukkan bancuhan tepung jagung supaya kuah kicap pedas likat sedikit.
  6. Tuang kuah ke atas ikan cencaru, tabur cili api potong dan letak limau kasturi/limau nipis.
    Cara makan: semasa menjamu selera nanti, perahkan 2 limau kasturi/limau nipis dalam hidangan itu, tidak perlu perah semua, nanti rasa nak makan lagi perah lagi.

7. Ikan Cencaru Laprik

Imej via Facebook

Menu tengahari seterusnya ialah ikan cencaru masak laprik cara Nora Ismail. Tidak perlu menggunakan perencah maepranom. Senang dan mudah sila cubakan.

Bahan-bahan :
  • 3 ekor ikan cencaru,
  • 5 ulas bawang merah,
  • 1 biji cili merah,
  • 5 biji cili padi,
  • 3 biji tomato,
  • Asam jawa,
  • Air gula,
  • Daun ketumbar.
Cara-cara :
  1. Ikan cencaru dilumurkan garam dan digoreng terlebih dahulu.
  2. Kemudian blend bawang merah, cili merah, cili padi dan tomato, dan terus ditumis sampai pecah minyak.
  3. Apabila bahan yang ditumis sudah pecah minyak, masukkan air gula, air asam jawa, dan masukkan ikan cencaru.
  4. Akhir sekali taburkan daun ketumbar.

8. Ikan Cencaru Masak Taucu

Imej via Facebook

Resepi campak-campak sahaja namun menjadi dengan jayanya. Sedap pula dimakan dengan nasi putih panas. Wangi taucu pula bangkitkan selera makan. Resepi dikongsikan oleh AneyNae Natasha di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • Ikan cencaru dicuci bersih, goreng macam biasa dengan kunyit dan garam,
  • Bawang besar 2 biji dipotong,
  • Halia hiris,
  • Bawang putih diketuk,
  • Cabai besar hijau ikut suka,
  • Cili padi ikut suka,
  • Taucu,
  • Air asam jawa,
  • Gula dan aji sedikit.
Cara-cara :
  1. Tumis bahan potong dengan minyak goreng ikan tadi.
  2. Jika sudah naik bau letak taucu dalam 2-3 sudu besar.
  3. Kemudian masukkan air asam jawa.
  4. Masukkan ikan.
  5. Perasakan dengan gula sedikit, aji sedikit.
  6. Rasa dulu, kalau tawar baru letak garam, kalau sudah OK jangan letak sebab taucu dan ikan yang kita goreng tadi sudah masin.

9. Ikan Cencaru Sambal belacan

Imej via Facebook

Malam ini masak ikan cencaru goreng sambal belacan. Sesekali ubah selera. Bagi yang hantu pedas boleh lah cuba. Memang mengusik jiwa pedas dia itu. Resepi oleh Norfarhana Ariffin di laman Facebook.

Bahan-bahan :
  • Ikan cencaru (goreng),
  • Sambal belacan,
  • 7-9 biji cili padi,
  • 1 biji tomato,
  • 1biji bawang merah (bakar),
  • Sedikit belacan (bakar),
  • Air asam jawa (sedikit),
  • Gula,
  • Garam,
    (Bahan di atas diblend halus).
  • 3-5 biji cili padi (tumbuk),
  • 1 biji bawang holland (hiris),
  • Sos ikan,
  • Perahan limau.
Cara-cara :
  1. Goreng ikan cencaru yang digaul garam kunyit terlebih dahulu.
  2. Tumis bawang holland hiris bersama cili padi tumbuk.
  3. Masukkan bahan yang diblend tadi.
  4. Masukkan sos ikan, perahan limau nipis, gula dan sedikit garam.
  5. Masak agak-agak pecah minyak. Boleh disiram ke atas ikan tadi.

10. Ikan Cencaru Sambal Thai

Imej via Facebook

Cencaru sambal thai menu simple kalau bulan puasa antara yang femes jual kat Baazar Ramadhan. Ada yang ingin resepi? Okey kami letak resepi daripada Wan Muhammad Hafiz Satar di laman Facebook. Boleh puas makan sendiri.

Bahan Untuk Sambal Thai :
  • Bawang merah,
  • Cili merah campur cili padi,
  • Halia,
  • * Bahan diatas kisar (kisar dengan minyak yang diguna menumis terus).
  • Serai (diketuk),
  • Daun limau purut,
  • Daun sup atau daun ketumbar,
  • Buah tomato,
  • Sos cili,
  • Garam dan gula dan aji sedikit.
Cara-cara :
  1. Tumis bahan kisar tadi sekali dengan serai sampai pecah minyak.
  2. Kemudian masukkan sos cili dan tomato yang telah dipotong.
  3. Masukkan pula daun sup, gula, dan garam. Biarkan ianya masak dan mesra.
  4. Bila nampak berkilat boleh lah letak cencaru yang telah digoreng dan hias dengan cili merah, dan daun bawang.
  5. Sambal Thai ini pedas-pedas manis.
Resepi Lain

Selain resepi cencaru, kami juga menulis kumpulan resepi lain yang dapat pekongsian ramai. Jangan lupa like dan share resepi ini ya.

Penulis: Rahayu Z

Rahayu Z

Pelajar yang menyukai kartun dan muzik. Memiliki hobi menulis mendorong ia untuk berkarya dan berkongsi di Bidadari.my

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.