Ikan bakar menu yang banyak dicari di hari istimewa. Cara bakar pula boleh guna arang ataupun oven. Namun ada yang kurang suka bakar dengan oven, kena juga bakar atas arang, baru dia ‘nyakut’ ada bau asapnya. Sebetulnya anda boleh kreasikan bakar arang atas dapur gas, caranya guna kuali buruk yang tidak elok guna kemudian boleh bubuh arang yang sudah dibakar.
Biasa kalau makan dekat medan ikan bakar makan sekeluarga mau terbang duit RM100-RM200. Baik buat ikan bakar sendiri sahaja, rasa macam restoran punya. Yang penting jimat duit bukan? Bahkan kadang-kadang makan di medan ikan bakar tidak ada lah sedap manapun.
Juga terdapat banyak jenis ikan yang sedap dibakar, umumnya ikan bersaiz besar seperti siakap, cencaru, pari, dan lain sebagainya. Jika anda tercari resepi ikan bakar sedap sila baca resepi di bawah. Kami ada resepi ikan bakar mulai daripada bakar garing hingga bakar sambal. Kesemua 10 resepi ini adalah sedap. Selamat mencuba.
Ikan Bakar Bersos Istimewa
Menu yang lebih sedap daripada ikan bakar lumut atau ikan bakar tasik raban atau ikan bakar teluk tempoyak. Makan bukan dengan sembarang sos ya, tapi ada sos istimewa resepi daripada Norizan Mohd Tajuddin di laman Facebook lagi sedap. Kuah boleh siram lagi waktu makan.
Bahan kisar sos :
Bawang merah 2@3 labu besar,
Bawang putih 4@5 ulas,
Lengkuas besar ibu jari,
Halia besar ibu jari,
Kunyit besar setengah jari telunjuk,
Serai 4 batang (hiris dulu, jangan terus blend dengan batang).
Cara-cara :
Tumis cili kisar/cili boh dalam 2 senduk. Tambah gula merah 1 keping.
Tumis cili sampai masak.
Masukkan bahan kisar. Tumis semua bahan sampai pecah minyak.
Masukkan air asam jawa.
Tambah hirisan daun kunyit, daun limau purut dan bunga kantan.
Perasakan dengan garam dan sedikit serbuk perasa.
Biar sos pekat dan likat. Siap.
Cara sediakan ikan :
Belah belakang ikan.
Letak atas aluminium foil. Siram sos.
Bakar dalam oven 180°C waktu 20 minit.
Bakar atas arang pun boleh.
Sedia untuk dihidang.
Ikan Siakap Bakar Kota Perlis
Ingin merasa makan ikan bakar macam dekat kota Perlis? Tidak perlu jauh-jauh datang Perlis, boleh buat di rumah saja lagi senang dan rasa dia pula sedap macam restoran dekat Perlis. Maya Miera berkongsi resepi siakap bakar sedap, sila cubakan.
Bahan-bahan :
Majerin/butter,
Santan,
Susu pekat manis,
Kunyit serbuk,
Garam,
*Bahan-bahan ini agak-agak saja banyak mana.
Cara-cara :
Masak semua bahan-bahan di atas dengan api perlahan dan agak-agak pekat sedikit, rasa manis-manis lemak.
Ikan gaul kunyit dan bakar.
Jika siap bakar, letak kuah ke atas ikan. Siap.
Snow Fish Thai
Atau nama melayunya ialah ikan bakar bersama garam. Mesti pelik dan takut tengok garam bertimbun itu bukan? Jangan risau isi ikan nanti takkan rasa masin pun sebab kita bakar sekali sisik dia, nanti sisik itu kita buang. Resepi oleh Are Peace di laman Facebook.
Bahan-bahan :
Ikan talapia merah (lagi besar lagi bagus).
Belah buang perut cuci bersih-bersih dengan asam jawa tapi sisik dia jangan buang.
Bahan-bahan untuk sumbat dalam perut ikan :
2 batang serai,
2 helai daun limau purut,
2 tangkai daun ketumbar bersama akar,
Basuh, cuci dan tumbuk kasar, kemudian sumbat dalam bahagian perut ikan.
Cara bakar :
Tabur garam atas pemanggang ajaib.
Kemudian masukkan ikan.
Tabur lagi garam di atas ikan (bagi nampak snow gitu).
Bakar dengan api yang sederhana dalam 7 minit dan terbalikan lagi 7 minit. Isi dia nanti akan berjus. (Tapi kalau tidak masak lagi boleh tambah lagi 2-3 minit).
Kalau sudah siap, sebelum buka sisik dia buang sedikit lebihan-lebihan garam itu, takut kena isi nanti masin pula.
Bahan sambal hijau Thai :
15 biji cili padi hijau*,
2 batang ketumbar serta akar*,
4 ulas bawang putih*,
1 inci gula melaka*,
1 sudu besar cuka makan,
1 sudu besar sos ikan,
Cara-cara :
Tumbuk semua bahan bertanda *.
Bila sudah sedikit hancur masukkan cuka dan sos ikan. Kalau agak pekat boleh tambah air sedikit.
Kacau-kacau sebati dan siap.
Ikan Bakar Merecik
Sambal ikan bakar merecik akan terasa sedikit menyengat masam manisnya dan mesti lebih masin sedikit dari sambal biasa kerana kandungan asid daripada nenas dan limau. Juita Jaafar membagikan rahsia sos yang sama sekali tidak akan dikongsi oleh mana-mana kedai ikan bakar yang terlajak sedap.
Bahan-bahan :
Ikan segar yang sudah dibersihkan.
Bahan sambal
Bahan kisar A :
Semangkuk cili kering,
2 batang cili segar,
2 labu bawang merah besar,
5 ulas bawang putih,
2 batang serai,
Seinci halia,
Sekeping kecil belacan bakar,
Seinci kunyit segar,
Bahan kisar B :
Sepotong nenas.
Bahan C :
5 biji limau kasturi- perah airnya sahaja,
2 sudu besar pes asam jawa,
1 buku kecil gula melaka (50g),
3 sudu besar cili sos,
3 sudu besar gula pasir,
Garam,
Serbuk perasa jika suka,
Minyak untuk menumis.
Cara-cara :
Cili kering dipotong serong dan direbus dahulu.
Kisar bahan A. Kemudian panaskan sedikit minyak dan tumis bahan A sehingga pecah minyak.
Masukkan bahan kisar B.
Masukkan bahan C dan masak seketika sehingga sambal agak pekat.
Periksa dulu rasa sambal jka sudah cukup rasa masam manis dan masinnya.
Bila siap, boleh lumur pada ikan dan panggang ikan dalam 20-30 minit atau hingga masak.
Golek Ikan Terengganu
Ada yang panggil percik ikan, ada juga panggil golek ikan. Musim-musim PKP ini boleh cubakan masak di rumah. Percayalah selepas anda mencuba buat sendiri golek ikan ini. Anda akan tahu nikmatnya ikan bakar dari dapur anda sendiri. Resepi daripada Rosziema Ibrahim di laman Facebook.
Bahan-bahan :
Ikan kembung/ikan selar,
200 ml atau sekotak kecil santan,
1 batang serai (diketuk),
1 keping asam keping,
Garam dan gula secukupnya,
Bahan kisar :
10 biji bawang merah,
1 biji bawang besar,
1 cm lengkuas,
1 cm kunyit,
10 tangkai cili kering,
Cara-cara :
Kelar ikan dan perapkan seketika dengan garam dan kunyit.
Panggang atau bakar ikan hingga masak dan ketepikan. Gunakan api sederhana.
Masukkan bahan kisar dalam kuali dan tumis sebentar.
Agak-agak mulai mendidih, masukkan santan, serai, dan asam keping. Kacau sebati.
Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
Kacau dan biarkan mendidih hingga kuah menjadi agak pekat.
Jika siap, masukkan ikan yang dipanggang tadi ke dalam kuah, gaul sekata. Angkat ikan dan panggang sekali lagi.
Jika sudah agak-agak masak, tutup api dan masak sekali lagi dalam kuah.
Ikan Pari Bakar Marvelous
Tengok gambar pun dah ngences. Sedapnya ikan pari bakar dengan pelbagai rempah. Dapat pula makan dengan nasi panas, perrgh sedap. Resepi dikongsikan oleh Erma Azizie di laman Facebook.
Bahan-bahan :
3 ekor ikan pari sedang (potong 2),
2 biji bawang besar,
3 ulas bawang putih,
10 batang cili kering (buang biji dan rebus),
3 batang cili besar,
4 batang cili padi,
Garam,
Gula,
Serbuk perasa,
Asam keping,
Daun limau purut (mayang halus),
Daun kunyit (mayang halus),
Daun pisang,
Aluminium foil.
Cara-cara :
Cuci bersih ikan pari.
Blend bawang besar, bawang putih, cili kering, cili besar, dan cili padi.
Ambil kuali bersih, masukkan minyak dan tumis semua yang sudah blend tadi sampai garing.
Masukkan asam keping, garam, gula, serbuk perasa. Masukkan daun limau purut dan daun kunyit. Sambal siap.
Ambil aluminium foil, lapikkan daun pisang.
Ambil sambal letak sedikit di atas daun pisang.
Letak ikan kemudian letak lagi sambal. Terus balut kemas.
Akhir sekali bakar sampai ikan masak. Guna oven boleh. Guna kuali pemanggang ajaib pun boleh.
Ikan Bakar Sambal
Sambal bakar yang diperbuat daripada cili kering, bawang merah, bawang putih, kunyit, halia, dan serai. Bahan-bahan sambal ini pula kena tumis dulu dengan gula merah dan sedikit asam keping. Kalau soal rasa, mesti tidak kalah sedap dengan resepi-resepi di atas. Resepi dikongsikan oleh Mohamad Firdaus di laman Facebook.
Bahan-bahan :
Ikan cencaru,
Cili kering,
Bawang besar,
Bawang putih,
Halia,
Kunyit hidup,
Serai,
Asam keping,
Gula merah,
Gula,
Garam,
Air,
Daun pisang.
Cara-cara :
Cili kering dimesin dengan bawang besar dan putih, halia, kunyit hidup dan serai. Serai lagi banyak lagi sedap.
Tumis bahan-bahan mesin tadi sampai kering dan pecah minyak.
Tambahkan air.
Tunggu pecah minyak lagi sekali. Kemudian baru letak asam keping.
Letak gula merah.
Letak bahan perasa, gula, dan garam, kemudian gaul sampai sekata dan sebati.
Belah 2 ikan cencaru. Alas dengan daun pisang.
Letak sambal yang kita buat tadi.
Jika satu bahagian sudah masak, terbalikkan ikan dan tukar daun pisang. Tunggu hingga masak.
Percik Ikan Kembung Sedak Dooh
Ayuh kita buat percik ikan kembung pula, percik kelate paling sedap. Tidak percaya boleh cuba, baru tahu nambah nasi ke tidak. Percik ikan menu wajib bulan puasa, anak-anak pun lalu makan nasi kalau ada percik, boleh guna untuk percik ikan atau percik ayam. Resepi dikongsikan oleh Suhasnida Ismail di laman Facebook.
Bahan A : Perap Ayam/Ikan
8 ulas bawang putih,
3 batang serai,
1 inchi halia,
1 tbsp cili kering kisar,
2 inchi kunyit hidup,
Sedikit serbuk perasa/aji/pasti sedap,
1 tbsp garam,
½ tbsp jintan manis,
Secubit belacan (optional),
Sedikit air untuk blend.
Bahan B: Bahan kuah
8 biji bawang merah size 50 sen,
2 ulas bawang putih,
Sehiris halia,
1 tbsp ketumbar biji (sangai),
Secubit belacan,
3 tbsp cili kering,
900 ml santan pekat,
2 hiris asam limau/asam keping,
Bahan C: Bahan Perasa
2 tbsp garam bukit,
2 tbsp gula pasir,
2 tbsp gula kabung thai,
1 tsp serbuk perasa/aji/pasti sedap,
Cara penyediaan :
Kisar bahan A, lumur pada ikan dan perap sejam.
Jika guna ayam, lumur pada ayam dan rebus sekejap ayam di atas dapur dengan sedikit santan sehingga separuh masak.
Blend bahan B dan masukkan dalam periuk.
Masukkan santan pekat dan bahan perasa.
Masak sampai mendidih dan pekat.
Bakar ikan atau ayam sampai masak.
Salut kuah percik pada ikan atau ayam dan bakar. Buat 4x salutan baru percik lagi bertambah sedap.
Kuah percik ini dapat untuk 5 ekor ikan, 1 ekor setengah ayàm saiz 2 kg.
Ikan Bakar Garing
Syahirah Sidek berkongsi di laman Facebook, guna ikan kembung. Sebelum-sebelum ini guna ikan talapia merah sebab lagi sedap. Ikan kelar-kelar letak kunyit, garam dan goreng separuh masak, agak-agak ikan sudah garing sedikit baru angkat. Kalau rajin bungkus ikan dengan daun pisang untuk dapatkan aroma wangi.
Bahan-bahan sapu atas ikan :
*Bawang putih,
*Halia,
*Cili padi,
*Garam/gula/serbuk perasa sedikit/kunyit.
Cara-cara :
Tumbuk bahan-bahan sampai lumat dan masukkan kicap manis, serbuk lada hitam/putih sedikit. Jangan lupa masukkan minyak masak sedikit. Bahan agak-agak saja, kalau ingin manis lebihkan gula sedikit.
Sapu bahan tumbuk tadi ke atas ikan. Pastikan sapu rata depan belakang. Kemudian bakar atas kuali atau air fryer atau masuk oven pun boleh.
Bakar sampai garing guna oven selama 10-15 minit untuk bagi kicap meresap dan ikan pun garing.
Ikan Cencaru Bakar
Makan ikan bakar hujan-hujan macam ini sedap bukan? Menu ini kesukaan anak-anak masa bulan puasa. Kalau boleh hari-hari merak ingin makan ikan bakar macam ini. Resepi dikongsikan oleh Zila Zainudin di laman Facebook.
Bahan-bahan :
3 ekor ikan cencaru belah,
2 batang serai,
1 inci halia,
5 ulas bawang putih,
1 biji bawang besar,
1 inci lengkuas,
2 senduk cili kisar,
Air asam,
Garam, aji dan gula Melaka,
Cara-cara :
Racik halus semua bahan.
Blender sampai halus.
Panaskan minyak, tumis bahan kisar.
Bila sudah garing masukkan air asam perisakan dengan garam, gula dan aji.
Bila sudah cukup rasa semua, bolehlah dicurah atas ikan dan bakar ikan sampai masak.
Resepi Menarik Lain
Selain resepi ikan bakar di atas, kami juga menulis resepi lain yang menarik dan senang dicubakan. Sila baca dan cubakan resepinya. Jangan lupa Like dan Share resepinya.
Apabila kita menyebarkan kebaikkan walaupun satu ayat, kelak kebaikkan juga yang akan datang kepada kita. Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah satu usaha untuk menyebarkan kebaikkan. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.