Sedapnya menikmati segelas sirap bandung ketika cuaca sedang panas menyengat. Sirap bandung merupakan sejenis minuman yang memang menjadi kegemaran dan cukup popular di negara kita.

Rasanya yang berlemak dan berbau ros, cukup membangkitkan selera. Malah, penulis yakin salah satu tarikan air ini ialah warna merah jambunya. Bahan-bahan yang dicampurkan di dalam minuman ini juga menjadi daya penarik utama.

Bahan utama untuk membuatnya ialah sirap kordial perisa ros, susu pekat dan susu cair. Walaupun namanya ‘bandung’, minuman ini tiada kena mengena dengan Bandung, Indonesia. Ia merupakan minuman yang berasal dari negara kita.

Jika dahulu, air sirap bandung dicampurkan dengan cincau untuk menambahkan lagi kelazatan. Kini, seiring dengan peredaran zaman, kita semakin kreatif menambah pelbagai bahan. Tidak hanya bertambah sedap, bila terpandang pun boleh terliur.

bandung
Imej Via iCookAsia

Jom baca tentang resepi sirap bandung sedap. Sempena bulan puasa yang akan menjelang tidak lama lagi, anda boleh mencubanya di rumah.

Resepi Sirap Bandung Sedap

  • Sirap bandung ABC

Cara membuat sirap bandung ABC ialah campurkan sirap ros, susu cair, susu pekat dan gula pasir. Kemudian, masukkan kacang tanah yang dihancurkan, jagung (tin), hirisan cincau, kacang merah (tin) dan agar-agar.

Anda juga boleh tambahkan sedikit air gula melaka. Bahan-bahan tambahan ini sekadar untuk menambahkan nikmat kelazatannya.

  • Sirap bandung katira

Cara membuatnya ialah sama seperti membuat air bandung biasa. Cuma air gula perlu dimasak dengan daun pandan. Kemudian, masukkan buah kembang semangkuk (direndam dahulu), biji selasih, hirisan cincau dan hirisan getah anggur.

Anda juga boleh tambahkan hirisan kurma cina, barli (direbus dulu), buah kundur atau kabung dan air ais krim soda.

  • Sirap bandung kurma dan badam

Setelah siapkan air bandung, kisar beberapa biji buah kurma (dibuang biji) dan badam. Campurkan ke dalam air tersebut. Anda boleh menambah hirisan kurma dan badam hancur untuk memberi rasa yang lebih lemak.

  • Bandung cendol

Larutkan sirap ros ke dalam air sejuk. Tambahkan sedikit susu pekat. Namun, anda perlu menggantikan susu cair kepada santan segar. Santan perlu dipanaskan terlebih dahulu untuk mengelakkannya mudah basi.

Gantikan juga air gula kepada gula melaka yang dicairkan dengan daun pandan. Kemudian, sejukkan sebentar. Masukkan bahan-bahan lain seperti mi cendol (warna merah jambu) dan cincau. Sebelum dihidang, masukkan beberapa ketul ais.

bandung
Imej Via Hungry Onion
  • Bandung float

Isikan air bandung ke dalam gelas. Tambahkan sedikit air aiskrim soda atau Sprite. Kemudian, masukkan 1 senduk kecil aiskrim pilihan. Anda boleh masukkan aiskrim perasa vanila, strawberi, jagung dan sebagainya

  • Koktel sirap bandung  

Buat air bandung seperti biasa. Kemudian, masukkan buah-buahan campur di dalam tin. Jangan masukkan air yang terdapat dalam koktel buah-buahan tersebut.

Anda boleh menggantikannya dengan buah-buhan segar seperti tembikai, nanas, epal, kiwi, anggur, strawberi dan sebagainya. Potong dadu sebelum dimasukkan ke dalam air bandung.

  • Bandung latte

Cara penyediaan air bandung sama sahaja. Cuma anda perlu gantikan susu cair dengan susu segar. Kemudian, ambil beberapa sudu air bandung dari bancuhan tadi dan campurkan dengan dairy whipping cream.

Bagi mencantikkan warna krim, tambahkan sedikit pewarna merah atau sirap ros (tanpa gula) untuk menjadikan krim berwarna merah jambu. Air bandung tersebut dituang ke dalam gelas. Tuangkan krim tadi di atasnya.

  • Sirap bandung mochi

Sebelum menyiapkan air bandung. Ambil sedikit tepung pulut, tambahkan dengan air dan pewarna pilihan. Kemudian, bulat-bulatkan menjadi saiz kecil dan direbus dengan air yang dimasukkan dengan daun pandan.

Jika suka, boleh masukkan inti kacang tanah hancur atau pes kacang merah ke dalam mochi (onde-onde) tadi. Cara memasaknya sama seperti membuat kuih buah melaka atau onde-onde. Akhir sekali, nikmatinya dengan sirap bandung yang disejukkan.

  • Dalgona bandung

Caranya ialah buat air bandung macam biasa. Anda boleh juga jadikannya seperti bandung blended. Blended maksudnya air bandung tadi dikisar dengan ais sehingga pekat.

Masukkan sirap bandung yang telah siap ke dalam gelas. Kemudian, paipkan dairy whipping cream ke atasnya. Taburkan dengan hiasan seperti chocolate rice, air gula melaka, hirisan kurma dan sebagainya.

  • Bandung pulut

Kukus beras pulut yang dicampurkan dengan santan dan sedikit garam. Kemudian, masukkan sedikit pulut yang telah masak dan lembut ke dalam sirap bandung. Anda juga boleh tambahkan jagung tin, kacang merah dan kacang tanah.

  • Soya bandung

Bagi resepi ini, anda boleh buat air soya homemade atau beli sahaja yang di dalam kotak. Yang lebih sedap tentunya yang dibuat sendiri kerana lebih pekat dan asli.

Caranya ialah sama seperti membuat sirap bandung biasa. Cuma anda perlu gantikan susu cair dengan air soya. Anda juga tidak perlu memasukkan susu pekat. Cukup sekadar air gula pandan atau air gula melaka.

  • Bandung 3 layer

Bagi resepi ini, anda memerlukan sedikit masa untuk menyiapkannya. Namun, percayalah hasilnya pasti buat anda tersenyum bangga. Anda perlu menyediakan 3 lapisan untuk bandung 3 layer.

Imej Via Blogspot

Bagi lapisan bawah sekali, anda perlu membuat puding bandung. Caranya ialah air bandung yang telah dibuat, dicampurkan dengan sedikit serbuk agar-agar atau dadih. Biarkan sehingga keras. Kemudian, sendukkan ke dalam cawan atau bekas.

Bagi lapisan kedua pula dituangkan air gula melaka yang pekat. Agak-agak sahaja tahap kemanisan yang diperlukan. Bahagian atas sekali, tuangkan air bandung yang telah dibuat awal-awal. Dari luar, anda akan nampak 3 lapisan yang cantik.

Jangan lupa cuba 12 resepi sirap bandung yang dikongsikan ini. Hasilnya pasti membuatkan anda terkesima dan kagum. Biasanya kita minum air bandung yang sama sahaja, apa kata kali ini cuba sesuatu yang lain.

Anda juga boleh cuba resepi boba drink dan resepi air soda herba yang sedap. Selamat mencuba.

Rujukan

Wikipedia (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.