Ayuh kita pelajari tentang sejarah Razia Sultan.
Razia Sultan adalah satu-satunya puteri yang lahir dari Sultan Delhi ketiga dan terbesar, Shamsuddin Iltutmish bersama permaisurinya, Qutub Begum. Shamsuddin Iltutmish merupakan pemerintah kesultanan Delhi yang berketurunan Seljuk dan terkenal sebagai seorang yang soleh.
Razia Sultan, atau nama sebenarnya Radiyya atau Raziyya al-Din atau Jalalatuddin Raziya dilahirkan pada tahun 1205 di Budaun. Beliau merupakan Sultan di Delhi, India dari 1236 sehingga tahun 1240, sekaligus sebagai sultan wanita pertama yang memerintah Kesultanan Delhi dan kerajaan Islam.
Semasa kelahiran Razia, Sultan Shamsuddin Iltutmish merayakannya dengan upacara yang penuh kemegahan, dan meriah yang luar biasa.
Pada awalnya, sejak kecil Razia hanya diajar untuk menjadi seorang ratu yang menyokong pemerintahan negara di belakang tabir, seperti kebanyakan puteri dan ratu ketika itu. Bahkan kaum wanita zaman itu telah diajarkan untuk tunduk pada kaum lelaki.
Namun, di bawah pemantauan ayahandanya Razia tetap diberi pendedahan lengkap dari segala aspek, bukan hanya sebagai seorang ratu sahaja tetapi sebagai pemerintah. Razia lalu membesar dengan mempelajari seni berperang, cekap menunggang kuda, seni bela diri termasuklah ilmu diplomasi, pemerintahan dan pentadbiran negara.
Bahkan sejak awal lagi, kenderungan Razia juga ke arah kepahlawanan dan pemerintahan negara. Tidak seperti layaknya seorang ratu yang lebih pemalu dan gemar berhias.
Razia lalu menjadi dewasa sebagai seorang yang berani, aktif, berfikiran bebas dan tidak berminat untuk hanya berada diam dalam istana. Beliau lebih berminat membantu ayahandanya menguruskan pemerintahan negara.
Namun, Razia tetap seorang wanita yang cerdas, berpendidikan tinggi, serta berilmu tinggi dalam pendidikan formal mahupun agama Islam. Bahkan sangat menguasai ilmu bela diri dan kepahlawan.
Pada 1229, putera sulung Sultan Shamsuddin Iltumish, iaitu Nasiruddin Mahmud, telah tertewas sewaktu berperang melawan kaum Mongol.
Hal ini menyebakan Shamsuddin Iltumish kehilangan calon yang sesuai untuk menggantikan kedudukannya. Beliau tidak yakin akan putera-puteranya lain layak untuk memegang tahta, kecuali satu-satunya puterinya, Razia.
Sultan Shamsuddin Iltumish lalu memutuskan untuk menguji mereka dengan meninggalkan pemerintahan kerajaan kepada Razia dan puteranya, Ruknuddin Sultan Firuz buat sementara beliau menguruskan ehwal negara di luar wilayah.
Sekembalinya, Shamsuddin Iltumish sangat terkesan dengan kewibawaan puterinya yang telah mengatur dan melancarkan urusan negara selama ketiadaan beliau. Manakala, puteranya Ruknuddin Sultan Firuz hanya menghabiskan masa dengan berhibur.
Melihat kecerdasan dan keunggulan puterinya itu, pada tahun 1236 Shamsuddin Iltutmish melantik puterinya Jalalat-Al-Din Razia sebagai penggantinya. Lalu Shamsuddin ilttumish menjadi sultan pertama yang melantik peganti dalam kalangan wanita.
Keputusan ini diambil tanpa berbincang atau mengira pandangan daripada para pembesarnya. Sementara para pembesar dan bangsawan sememangnya tidak bersetuju dengan pelantikan itu. Mereka sangat kecewa, membantah dan sesekali tidak akan menerima seorang wanita sebagai pemerintah.
Tidak lama kemudian Sultan Shamsuddin Iltutmish meninggal dunia pada hari Rabu 30 April 1236. Lantas para pembesar melantik Ruknuddin Sultan Firuz untuk menaiki tahta dan menjadi pemerintah yang baru. Tindakan ini membuatkan Razia sangat kecewa.
Namun begitu, pemerintahan Ruknuddin Sultan Firuz tidak begitu lancar dan tidak bertahan lama, berikutan cara pemerintahannya yang tidak cekap dan lemah.
Ruknuddin Sultan Firuz seorang yang gemar berfoya-foya dan sering mengadakan pesta sehingga menimbulkan kemarahan para bangsawan dan pembesar. Bahkan rakyat jelata juga tidak berpuas hati dan memberontak.
Pada suatu hari Jumaat, dengan pakaian merah Razia berdiri dengan berani di hadapan para jemaah yang berkumpul di masjid Quwwat-ul-Islam.
Beliau memohon keadilan dan mengingatkan mereka tentang pemerintahan bapanya yang makmur sekaligus namanya yang disebut sebagai pemerintah seterusnya.
Maka ramai yang menyokongnya dan berlakulah pergulingan kuasa dari saudaranya. Pada tanggal 19 November 1236, Razia berjaya merampas kuasa dari Ruknuddin Sultan Firuz Lalu dinobatkan sebagai sultan baharu Kesultanan Delhi dengan gelaran Jalalataldin Razia Sultan.
Razia Sultan menjadi satu-satunya penguasa wanita pada kesultanan Delhi dan zaman Mughal, selama empat tahun.
Semasa pemerintahannya, Razia Sultan enggan mengunakan gelaran ‘Sultana’ atau ratu lalu mengubah sebutannya sebagai ‘Sultan’.
Beliau juga meninggalkan pakaian anggun sebagai wanita tetapi menggantikannya dengan seluar, serban, dan sering menyarungkan pedang persis seorang pemerintah lelaki. Baginya, dengan cara itu beliau lebih bersedia mempertahankan kerajaannya.
Sewaktu Delhi di bawah pemerintahannya, Razia cuba membahagiakan rakyatnya dengan mendirikan pelbagai kemudahan, seperti sekolah, pusat pengajian, termasuklah memajukan perpustakaan dengan mengisi pelbagai karya falsafah dan al-Quran.
Begitu juga dengan perkembangan ilmu dalam bidang astronomi, falsafah yang diwujudkan pusat penelitian. Serta memajukan bidang sastera dengan diajarkan di sekolah-sekolah.
Razia Sultan juga memajukan sistem jalan yang menghubungkan kawasan perkampungan dengan bandar. Selain menghapuskan budaya kaum Hindu yang membebankan seperti pajak jazia dan sebagainya.
Razia juga menciptakan matawang atas namanya sendiri. Begitu juga dengan perluasan wilayah, Razia begitu unggul sehingga mampu merebut dan mempertahankan wilayah. Dalam segala aspek, Razia menjadi pemerintah yang terbaik sepanjang pemerintahan kerajaan Delhi.
Namun begitu, walau bermatian Razia menyakinkan rakyatnya dengan pemerintahannya yang adil dan makmur, masih terdapat bangsawan atau para pembesar yang berasa malu dan tidak berpuas hati kerana diperintah oleh seorang wanita. Hal ini sangat janggal kerana ketika itu, wanita hanya dianggap sebagai hamba atau suruhan bagi kaum lelaki.
Razia bukan sahaaj pemerintah yang bijaksana, adil, murah hati, berwawasan tetapi menjadi pelindung rakyatnya. Seorang sejarawan pada masa itu menggangap pemerintahan Razia sangat mahsyur dan cemerlang, namun kesalahannya adalah kerana Razia lahir sebagai seorang wanita!
Walaupun cekap memerintah, Razia tetap menerima tentangan hebat yang bertalu-talu oleh golongan yang tidak menyokongnya dari awal. Bahkan sikapnya yang tidak mudah gentar dan tidak takut untuk menyatakan pendirian demi kebaikan negara, telah mencetuskan sebab untuk golongan bangsawan bertindak.
Pentadbiran Razia berdepan dengan pemberontakan dari Malik Ikhtiaruddin Altunia, iaitu Gabenor di Bathinda. Altunia bermatlamat membantu saudara lelaki Razia, Muizuddin Bahram merampas tahnta Delhi.
Razia mempertahankan tahtanya dengan bermatian bertarung penuh gagah berani. Sehingga beliau kalah dan dipenjarakan di Qila Mubarak di Bhatinda.
Ketika di penjara, Razia diperlakukan dengan baik. Altunia jatuh cinta padanya lalu menikahi Razia. Altunia kemudiannya menukar haluan dan menyokong perjuangan Razia yang ingin menuntut bela di Delhi.
Pada 14 Oktober 1240, mereka mencuba merebut kembali tahta Razia tetapi sekali lagi ditewaskan. Razia mengalami kekalahan yang menyedihkan. Manakala Muizuddin Bahram Shah mengangkat dirinya sebagai Sultan Delhi yang baharu.
Razia bersama Altunia segera berundur dari Delhi sehingga tiba di Kaithal. Di sana, mereka dirompak oleh Hindu Jat dan dibunuh.
Terdapat riwayat lain menyatakan Muizuddin Bahram sendiri turut berkonspirasi untuk menangkap dan membunuh mereka. Ketika itu Razia baru berusia 35 tahun!