Selain muka berminyak, muka naik jerawat dan parut kesan jerawat, masalah kulit kering turut merupakan salah satu masalah kulit yang dialami ramai orang khususnya wanita. Masalah kulit kering juga boleh berlaku di permukaan kulit yang lain seperti di bahagian kulit kepala, siku, tapak kaki, lengan dan sebagainya. Ayuh teruskan bacaan artikel ini untuk mengetahui punca kulit kering.

Pengenalan

Kulit wajah merupakan aset yang paling penting terutamanya sebagai penampilan diri dan keterampilan semasa berkomunikasi. Penjagaan kulit muka bukan setakat pada penjagaan masalah acne atau jerawat, tetapi merangkumi kebersihan kulit daripada noda dan kulit yang sihat serta lembap.

Sebagai organ paling luar yang melindungi tubuh daripada ancaman fizikal, lapisan epidermis kulit berperanan sebagai lapisan penghadang.

Epidermis terdiri daripada lapisan nipis dan rentan terhadap air yang dipanggil stratum corneum. Terdapat 4 lapisan epidermis iaitu:

  1. Basal (asas)
  2. Spinous
  3. Granular
  4. Lapisan paling luar (stratus corneum)

Kulit yang sihat mengandungi tahap korneosit (sel pada lapisan stratus corneum) yang mempunyai kepekatan Natural Moisturizing Factor (NMF) atau Faktor Kelembapan Semula Jadi yang tinggi.

Ini menjadikan kulit sentiasa lembab dan sihat.

Imej via Bidadari

Bahagian Kulit Kering

Keadaan kulit kering ini menyebabkan rasa tidak selesa dengan kemunculan gatal-gatal, rekahan dan sisikan. Banyak faktor yang menjadi punca kulit kering, malah boleh berlaku secara semula jadi.

Ironinya, bagi mereka yang mengalami masalah kulit berminyak, anda masih boleh mendapat masalah kulit kering dari semasa ke semasa, menurut pakar perubatan kulit.

Antara bahagian kulit yang selalu menghadapi masalah kekeringan ialah tangan, lengan, kaki dan muka.

Jenis Kulit Kering dan Punca

Anda boleh merasakan sendiri perubahan kulit jika berlaku kekeringan. Kulit merasa kesat dan keras secara amnya.

Namun, terdapat kes kulit kering yang ekstrim dalam dunia perubatan yang digelar dermatitis atau keradangan kulit.

Terdapat 3 jenis dermatitis yang boleh berlaku, iaitu:

Dermatitis sentuhan

Jenis ini berlaku apabila kulit anda bersentuhan atau berhubungan dengan sesuatu yang boleh menyebabkan keradangan setempat. Antara bahan merengsakan yang boleh mendatangkan keradangan tersebut ialah agen kimia, contohnya peluntur.

Boleh jadi juga mereka yang mengalami alahan, mendapat masalah dermatitis sentuhan ini apabila kulit anda terdedah kepada bahan yang mendatangkan alahan dan gatal-gatal.

Dermatitis seborrheic

Masalah ini muncul apabila kulit anda menghasilkan terlalu banyak minyak.

Hal ini mengakibatkan kemerahan dan ruam bersisik, khususnya di bahagian kulit kepala. Jenis dermatitis ini banyak dilaporkan dalam kalangan bayi yang baru lahir.

Dermatitis atopik

Nama lain bagi dermatitis atopik ialah eczema. Jenis ini merupakan keadaan kulit yang paling kronik yang menyebabkan tompokan bersisik yang kering pada permukaan kulit.

Hal ini biasa terjadi dalam kalangan kanak-kanak dan boleh berlaku ke atas orang dewasa.

Punca Kulit Kering dan Faktor Risiko

Pada tahun 2000, penyelidik bersama Beford, UK dan New Jersey menulis kertas kajian mengenai fenomena kulit kering ini dan diterbitkan dalam International Journal of Cosmetic Science.

Berdasarkan kertas kajian tersebut dan kajian lepas yang lain, berikut ialah punca kulit kering dan faktor risiko yang perlu diambil perhatian:

1. Usia

Individu berusia lebih mudah mengalami masalah kulit kering. Ini disebabkan sistem tubuh badan yang kurang menghasilkan minyak di permukaan liang pori. Seterusnya, meninggikan risiko mendapat kulit kering.

2. Sejarah perubatan

Keturunan atau genetik boleh mewariskan masalah kulit kepada anda. Selain itu, jika anda pernah mengalami masalah kulit sewaktu kecil, insiden sama boleh berulang apabila anda meningkat dewasa.

3. Cuaca

Bagi masyarakat negara Barat, mereka memerhatikan bahawa masalah kulit kering banyak terjadi semasa musim luruh berbanding musim sejuk. Ketika itu, tahap kelembapan adalah rendah. Musim sejuk yang mempunyai kelembapan tinggi membantu kulit kekal lembap dan tidak kering.

Sementara itu bagi kita di Malaysia, keadaan cuaca panas bahang boleh menyumbang kepada masalah kulit kering.

4. Tabiat penjagaan kebersihan diri dan mandi

Kekerapan mandi atau mencuci tangan akan meningkatkan kadar kulit kering. Mandi dengan air panas juga boleh menyebabkan kulit kering jika diamalkan dengan kerap. Hal ini menyingkirkan kandungan minyak yang sepatutnya melembabkan kawasan kulit.

5. Penyakit

Terdapat kajian yang mengaitkan penyakit dengan respon kulit menjadi kering. Antaranya ialah psoriasis dan kencing manis. Kawalan penyakit ini didapati mampu mengurangkan faktor risiko kulit kering yang lebih teruk.

Tips Elak Kulit Kering

Selain penggunaan produk pelembab di pasaran, masalah kulit kering boleh dielakkan dengan mengubah gaya hidup. Antaranya:

  • Elakkan penggunaan air panas untuk mandi hanya bila perlu
  • Mandi kurang daripada 10 minit bagi mengelakkan pendedahan dan penggunaan sabun yang lebih lama
  • Gunakan krim mandian jenis pelembap
  • Mengelap tuala dengan perlahan semasa mengeringkan badan selepas mandi, berbanding menggosok dengan kuat
  • Minum banyak air
  • Melakukan aktiviti mengeluarkan peluh supaya liang pori sentiasa aktif

Kesimpulan

Masalah kulit kering ini boleh memberi kesan ke atas semua orang tanpa mengira lapisan umur atau jantina.

Jika anda mengalami masalah kulit kering secara bermusim dan tidak berlarutan, anda boleh merawat atau mencegahnya dengan penggunaan produk pelembap dan mengubah gaya hidup seharian. Walau bagaimanapun, bagi kes yang mengalami masalah kulit kering sehingga menimbulkan keradangan, anda sangat disarankan untuk berjumpa dengan pakar perubatan bertauliah dengan segera.

Rawatan awal dapat membantu anda untuk merasa lebih selesa dan mengurangkan risiko komplikasi lain seperti jangkitan kulit dan luka akibat kulit kering.

Jemput juga bac artikel tentang punca hormon tidak stabil , punca jerawat pasir dan masalah kulit sensitif

Rujukan

  1. Healthline
  2. Harding, C. R., Watkinson, A., Rawlings, A. V., & Scott, I. R. (2000). Dry skin, moisturization and corneodesmolysis. International journal of cosmetic science22(1), 21-52.  (link)
  3. Rawlings, A. V., & Matts, P. J. (2005). Stratum corneum moisturization at the molecular level: an update in relation to the dry skin cycle. Journal of Investigative Dermatology124(6), 1099-1110. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.